By: HM @ DKM Sabah
8 Jun 2021
Terpanggil untuk menjawab lontaran persoalan daripada Dato’ Abdul Rahman Dahlan (DARD) yang merupakan individu berpengalaman dalam arena politik tanah air dan pernah menjawat beberapa jawatan penting di peringkat Kerajaan Persekutuan. Untuk isu sebegini khususnya yang berkaitan dengan Pendidikan dimusim PKP, rasa-rasanya tidak perlu untuk kerajaan negeri menjawab. Secara peribadinya isu sebegini akan terjawab dengan sendirinya jika ahli politik MELETAKKAN KEPENTINGAN RAKYAT MELEBIHI KEPENTINGAN POLITIK PERIBADI MAHUPUN PARTI.
Ini bukan kali pertama DKM Sabah mengutarakan pandangan kepada DARD, kali pertama ketika beliau dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UMS (Pandangan 1Sen: Persiapkan Mahasiswa/i Dengan Ilmu Survival Pasca Covid-19), namun tidak pasti diterima pakai atau sebaliknya. Demikian juga berhubung dengan permasalahan yang dihadapi pelajar semasa pelaksanaan PdPR menerusi dua artikel berikut;
- Cadangan Penyelesaian Kepada Pelajar Berhadapan Masalah Akses Internet Dan Gadget Dalam PdPR
- Perlunya Fleksibiliti Dalam Sistem Pendidikan Negara Mendepani Pandemik Covid-19
Terima Kasih kepada guru-guru dan ibubapa yang membawa isu ini hingga ke pengetahuan kerajaan negeri dan Pengarah Pelajaran Negeri dan disusuli dengan tindakan segera. Anggaplah jawapan ini sekadar perkongsian pandangan daripada rakyat bawahan.
Berikut adalah persoalan yang dilontarkan oleh DARD berserta jawapan berhubung keputusan kerajaan negeri memberi 10 ribu unit komputer kepada pelajar di Sabah untuk PdPR;
1. Apa keperluan kerajaan negeri membeli 10
ribu komputer sedangkan kerajaan Pusat akan mengagihkan 150 ribu unit laptop
kepada pelajar termasuk di Sabah?
Sebanyak 10 ribu unit komputer riba yang diumum oleh Ketua Menteri
Sabah (Datuk Seri Hj. Hajiji Hj. Noor) adalah atas inisiatif yang diambil
kerajaan negeri demi memastikan pelajar yang layak khususnya pelajar yang
datang daripada golongan miskin tegar dan tersenarai sebagai penerima e-kasih,
tidak tercicir daripada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ia juga
adalah janji YAB Ketua Menteri yang telah dihebahkan oleh media arus perdana
ketika meninjau keadaan jalan runtuh di KM44.7 jalan Penampang ke Tambunan (26
Januari 2021) yang lalu.
Ianya juga adalah simbol keprihatinan kerajaan negeri
khususnya kepada pelajar miskin dan pedalaman yang berhadapan kesukaran
sepanjang pelaksanaan PdPR sejak dilaksanakan pada Mac 2020. Meskipun pemberian
ini mungkin tidak mampu menyokong sepenuhnya pembelajaran atas talian, namun sumbangan
itu cukup untuk menyokong pembelajaran luar talian (offline), iaitu nota,
latihan dan video pembelajaran dapat dipindah ke dalam laptop khususnya bagi Kawasan
yang tiada capaian internet. Malah pemberian laptop ini jauh lebih baik
berbanding pemberian tablet kerana keupayaan untuk menyimpan nota, latihan dan
video pembelajaran dalam kapasiti yang jauh lebih bersar berbanding tablet.
Malah saiz laptop yang lebih besar berbanding tablet akan memudahkan pembelajaran
anak-anak khususnya bagi isi rumah yang memiliki anak yang ramai.
Untuk rekod (mohon perbetulkan jika fakta tersilap), kerajaan
Sabah adalah satu-satunya kerajaan negeri yang mengumumkan pemberian komputer
riba kepada pelajar Sabah yang berhadapan dengan kesukaran pembelajaran sepanjang
pelaksanaan PdPR akibat ketiadaan gadget dan akses internet. Meskipun kerajaan Persekutuan
telah mengumumkan pemberian sebanyak 150 ribu unit komputer riba kepada
500 sekolah perintis di seluruh Malaysia sepertimana yang diumumkan dalam pembentangan
bajet 2021, perlu diingat jumlah tersebut adalah untuk seluruh Malaysia dan tidak
diketahui berapa jumlah yang akan diperolehi oleh setiap negeri. Tidak keterlaluan
untuk diandaikan mungkin Sabah akan menerima kurang daripada 10 ribu unit laptop.
Jika diamati, jumlah tersebut sememangnya tidak mencukupi, namun inisiatif kedua-dua
kerajaan Persekutuan dan Negeri ini akan dapat membantu seramai lebih kurang 20
ribu orang murid. Bukankah itu jauh lebih baik daripada hanya bergantung
harap daripada jumlah yang kita sendiri tidak ketahui?
2. Sejumlah 96,823 unit lagi akan diagihkan
pada September. Kenapa kerajaan tidak boleh tunggu?
Seperti yang telah dimaklumkan dalam Point 1, tujuan pemberian laptop ini adalah inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan tidak ada pelajar yang tercicir dalam sesi PdPR khususnya pelajar miskin dan pedalaman. Ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri yang prihatin dan peka akan kesukaran yang dihadapi oleh keluarga yang tidak berkemampuan untuk menyediakan gadget, telefon bimbit dan laptop untuk PdPR anak-anak sepanjang tempoh PKP. Jika kerajaan negeri tidak mengambil inisiatif ini, lebih ramai pelajar yang akan terpinggir dan tercicir daripada sesi PdPR, dan ini sesuatu yang tidak sepatutnya dibiarkan.
Inisiatif ini juga selari dengan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai RM2.5 billion meliputi pembinaan 400 menara baharu dan 2000 pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G dalam tempoh 2 tahun. Selain itu, ia juga sebagai tambahan kepada inisiatif Program Jaringan Prihatin yang memberikan subsidi bernilai RM300 untuk pembelian telefon pintar bagi isi rumah B40 yang mempunyai anak yang bersekolah. Maka tidak wujud lagi isu isi rumah yang memiliki anak yang ramai terpaksa berebut-rebut menggunakan telefon pintar milik ibubapa.
Memetik kenyataan dalam FB DARD, sejumlah 40,290 akan diagihkan pada Jun dan selebihnya iaitu 96,823 unit hanya akan diagihkan oleh kerajaan pusat pada September 2021, takkan Kerajaan Sabah tidak boleh tunggu?
Total Lockdown menyeluruh telah diumumkan pada 1 Jun 2021 oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), dan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan bermula 13 dan 14 Jun sehingga 16 dan 17 Julai 2021 (25 hari) sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan (Datuk Radzi Jidin). Perlu diingat, PdPR akan bermula pada 13 dan 14 Jun 2021. Jika kerajaan negeri berfikiran seperti DARD, seramai 10,000 pelajar akan terus tercicir dan terpinggir daripada sesi PdPR. Malahan Kerajaan Negeri sendiri tidak tahu berapa kouta yang akan diberikan kepada pelajar-pelajar di Sabah. Jika menunggu agihan laptop selesai (iaitu September 2021), maka semakin ramai pelajar yang akan terus tercicir dan tertinggal silibus pelajaran. Benda yang elok perlu disokong dan disegerakan, khususnya yang sampai dan diterima oleh rakyat.
“Kami tidak mau tahu berapa billion yang kerajaan umum, yang kami mau tau, berapa yang kerajaan bagi untuk rakyat. Tiada guna umum juta-juta dan billion-billion kalau satu sen pun rakyat tidak rasa…”
Falsafah dan pemikiran politik orang kampung
Selaku kerajaan yang telah diberi mandat oleh rakyat, isu sebegini perlu ditangani segera dan bukannya hanya bergantung harap dengan agihan daripada kerajaan pusat semata-mata. Inilah apa yang dinamakan Autonomi sepertimana yang dituntut oleh UMNO Sabah. Apakah salah jika kerajaan negeri (GRS) yang dibentuk menerusi mandat rakyat pada PRN-16 lalu menggunakan sedikit kuasa dan sumber yang ada untuk kepentingan rakyat khususnya pelajar yang merupakan aset masa depan negara tanpa perlu menunggu dan bergantung harap dengan persetujuan dan pemberian daripada Kerajaan Persekutuan?
3. Kenapa belanjakan RM15juta Untuk Pembelian Komputer?
RM15 juta untuk 10 ribu unit komputer riba. Anggaran kasar harga sebuah laptop sekitar RM1,500. Untuk pengetahuan umum, jika anda berhasrat untuk membeli komputer riba berharga RM1,800 dan ke bawah, pastinya sukar. Berdasarkan temubual dengan peniaga-peniaga IT sekitar Karamunsing, laptop berharga RM1,800 dan ke bawah berhadapan masalah kekurangan bekalan kerana stock yang sampai laris ibarat pisang panas. Ibubapa yang layak pengeluaran iSinar (KWSP) dikatakan menggunakan wang tersebut membeli komputer riba untuk PdPR anak-anak. Jika ada rakyat yang mengadu terdapat peniaga yang menaikkan harga komputer riba, sebenarnya isu tersebut tidak wujud. Sebaliknya apa yang berlaku adalah, ketiadaan bekalan untuk laptop berharga RM1,800 dan ke bawah untuk menampung permintaan yang melonjak khususnya ketika iSinar telah dikreditkan ke akaun isi rumah.
Daripada
situasi ini, jelas bahawa usaha murni kerajaan negeri ini adalah tepat dan
wajar disokong semua pihak. Apa yang penting sekarang adalah, seluruh rakyat
dan ahli politik memantau kualiti laptop yang diagihkan oleh pihak yang diberi
amanah.
4. Alangkah baiknya jika RM15 juta itu
dibelanjakan untuk membantu peniaga kecil dan orang kampung yang menderita
semasa lockdown.
Sejak PKP pertama dilaksanakan pada 18 – 31 Mac 2020 sehingga Proklamasi Darurat dan kini Lockdown, kerajaan tidak pernah mengabaikan aspek kebajikan rakyat. Kerajaan Pusat telah mengumumkan pelbagai bantuan kepada rakyat seperti iSinar, BPN untuk rakyat terjejas dan GKP untuk peniaga yang terkesan sepanjang pelaksanaan PKP. Tidak perlulah diceritakan berapa jumlah bantuan yang diterima oleh Makcik Kiah sekeluarga sehingga ke hari ini.
Mungkin bantuan yang diberikan ini tidak sehebat bantuan e-wallet RM30 ringgit (Mantan Menteri Kewangan PH – 14 Januari 2020), mahupun tambahan RM100 BSH dan eWallet RM50 sepertimana yang diumumkan Tun M menerusi pakej rangsangan Ekonomi 2020 (27 Februari 2020) di fasa awal penularan Pandemik Covid-19.
Bagi peniaga yang terjejas, kerajaan Pusat turut memberikan bantuan Geran Khas Prihatin fasa 1 (RM3,000) fasa 2 (RM1,000) dan fasa 3 (RM1,500). Sememangnya jumlah ini tidak mencukupi, namun ia setidak-tidaknya memberi sedikit kelegaan khususnya kepada peniaga yang putus punca pendapatan sepanjang pelaksanaan PKP.
Berbalik kepada isu pemberian 10 ribu unit laptop, bukankah usaha murni kerajaan negeri ini sesuatu yang baik? yang mana pendapatan yang diperoleh oleh isu rumah dalam kategori B40 dan miskin tegar menerusi iSinar, BPN dan GKP tidak diusik dan dibelanjakan sepenuhnya untuk barang keperluan harian menghadapi masa mendatang sepanjang PKP tanpa perlu memikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan gadget dan laptop untuk PdPR anak-anak.
Akhir kata, Apakah
kerajaan negeri tidak boleh memberikan lain-lain bantuan sekiranya kerajaan
persekutuan juga memberikan bantuan yang serupa? Bukankah lebih banyak
bantuan daripada kedua-dua pihak (Kerajaan Negeri dan Persekutuan) akan dapat
dinikmati oleh lebih ramai rakyat yang memerlukan. Apa yang penting adalah penyelerasan
agihan bantuan Laptop ini perlu dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan bagi
mengelakkan senarai bertindih.
0 Comments