PERLUNYA FLEKSIBILITI DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA MENDEPANI PANDEMIK COVID-19

PdPR


1.0 PENDAHULUAN

Penularan Covid-19 yang melanda Malaysia kini telah genap setahun sejak negara melaporkan kes jangkitan pertama pada 24 Januari 2020 lalu, membabitkan pelancong daripada negara China yang berada di Johor Bahru yang juga merupakan kontak rapat kepada kes pertama 2019-nCOV di Singapura. Penularan Covid-19 hanya diisytihar oleh WHO sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 setelah virus berkenaan telah menjangkiti lebih 118,000 orang di 114 negara dan meragut 4,291 nyawa dengan kematian pertama di dunia direkodkan di China pada 11 Januari 2020.

Situasi ini memaksa kerajaan di fasa awal pandemik yang memasuki gelombang kedua (27 Februari 2020) mengisytihar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 MAC 2021. Selaras dengan pengisytiharan itu, KPM turut mengumumkan PdPR sebagai langkah awal dalam memastikan pelajar terus mendapat akses pendidikan meskipun sistem pembelajaran secara fizikal tidak dapat dilaksanakan semasa PKP. 

Antara usaha awal yg dilakukan oleh warga pendidik di KPM dalam merealisasikan PdPR, adalah menerusi penggunaan sepenuhnya aplikasi atas talian (Google Meet, Aplikasi Zoom, Google Classroom, Live Streem, Video Call, Whatsapp, Telegram dan lain-lain lagi). Pelbagai kaedah dengan sumber yang tersedia ada digunakan sepenuhnya. 

Namun, pengunaan pelbagai aplikasi teknologi ini dalam menyokong PdPR juga membuka mata ramai pihak akan realiti sebenar jurang digital antara kawasan pedalaman, pinggir bandar dan bandar yang ketara dengan ada diantara kawasan pedalaman ini masih tidak memiliki bekalan eletrik sepenuhnya atau bekalan elektrik secara berkala. Masyarakat di kawasan pedalaman kekal tersisih bukan hanya daripada menikmati arus pembangunan bahkan juga dalam aspek implimentasi pendidikan digital ketika negara dan dunia berdepan penularan Covid-19. 

Susulan daripada pelbagai kekangan yang dihadapi oleh pelajar dan guru-guru di kawasan pedalaman, KPM mengabil pendekatan awal dengan memperkenalkan saluran TV pendidikan sebagai alternatif dalam memastikan pelajar di pedalaman tidak ketinggalan dalam mendapatkan akses pendidikan. 

Menjelang Mac 2021, sedar atau tidak pelaksanaan PdPR akan genap setahun sejak Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan pada 27 Mac 2020 (Surat Edaran KPM Bil. 3 tahun 2020). Sepanjang tempoh itu terdapat pelbagai cadangan yang telah dikeutarakan oleh pelbagai pihak, termasuk barisan pendidik dan masyarakat awam berhubung dengan  dasar pendidikan negara dan PdPR itu sendiri. 


2.0 CADANGAN PAKAR DAN WARGA PENDIDIK

Fauziah Sirat (Pakar Motivasi Pengajar dan Ibu Bapa)
Mengurangkan Silibus Pembelajaran; Malaysia perlu membuka mata untuk mengubah sistem pendidikan negara bersesuaian dengan keadaan semasa (penularan pandemik Koronavirus - Covid-19) bagi menyelesaikan masalah stress yang dihadapi anak-anak, ibu bapa dan guru ekoran norma baharu pembelajaran dalam talian (e-pembelajaran) sekarang. Pendekatan negara luar memotong kurikulum atau silibus pembelajaran dalam mendepani krisis Covid-19 wajar dicontohi negara ini berbanding masih mengikut sistem lama yang menjadi amalan 100 tahun lalu. Anatara yang boleh dilakukan adalah memotong kurikulum yang asalnya banyak kepada seringkas-ringkasnya sekadar untuk memberikan kemahiran asas kepada anak-anak yang boleh dilakukan secara persendirian di rumah.

Anuar Ahmad (Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia - UKM)
Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seharusnya beri keutamaan kepada subjek teras bagi mengurangkan stres kepada murid dan guru. PdPR perlu lebih fleksibel. Semasa pandemic, seharusnya guru mengurangkan bilangan subjek tertentu yang tidak penting bagi meminimumkan stress kepada kedua-dua pihak (ibu bapa dan guru).

"Beberapa negara seperti England sudah menggugurkan bilangan mata pelajaran semasa pandemik ini dengan memberi keutamaan kepada subjek yang dianggap teras dan tidak boleh ditinggalkan sahaja. Bukan bermaksud subjek lain itu tidak penting tetapi buat masa sekarang kita harus ada keutamaan”.

Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan (Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional - PIBGN)
Sudah tiba masanya sistem penilaian berasaskan peperiksaan dirombak dengan memperbetul arah tuju penilaian secara menyeluruh. Situasi semasa pendidikan Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan khususnya kebergantungan kepada peperiksaan dan pemberatan penekanan pencapaian akademik. Penilaian pelajar harus dalam pelbagai aspek ke arah pemikiran aras tinggi yang mencakupi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialisasi. Penilaian pelajar harus dalam pelbagai aspek ke arah pemikiran aras tinggi yang mencakupi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialisasi. Unsur-unsur pemikiran kreatif, saintifik dan aras tinggi ini perlu dipasak seawal mungkin di peringkat prasekolah melalui kaedah yang lebih menarik termasuk menerusi permainan.

Dr. Abdul Mutalib Embong (Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu)
PdPR secara "off-site" di sekolah rendah luar bandar bagi murid miskin perlu ditambah baik dengan sukatan pembelajaran mengikut tahap keupayaan semasa murid bagi memastikan mereka tidak tercicir. PdPR secara "off-site" kebanyakan guru akan menyediakan modul sesuatu pelajaran kepada murid namun tiada bimbingan daripada guru berkenaan.

"Ini pula ditambah dengan ibu bapa yang datang daripada golongan kurang bernasib baik dari segi pengetahuan untuk menolong anak mereka. Jadi modul pembelajaran itu boleh direndahkan. Contohnya, walaupun objektif untuk Tahun 3 adalah mengikuti pembelajaran Tahun 3 tidak tercapai tapi saya rasa lebih bermanfaat mereka dibekalkan modul pembelajaran Tahun 2, dan sekiranya ada peningkatan, murid Tahun 3 ini boleh dibekalkan modul yang lebih mencabar atau setarafnya".

Wan Ya Shin (Pengurus Penyelidikan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi - IDEAS)
Pengedaran peranti dan meningkatkan akses kepada kelas atas talian; Agar jurang digital dapat dikurangkan, banyak negara telah mengambil langkah seperti mengedarkan peranti-peranti supaya akses kepada kelas atas talian ditingkatkan. Di Finland, beberapa negeri di China, dan Amerika Syarikat para pelajar dibenarkan meminjam peranti digital dari pihak sekolah untuk mengakses platform pembelajaran atas talian. Terdapat juga syarikat-syarikat swasta yang menyumbangkan peranti kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Meluaskan capaian kepada para pelajar melalui televisyen; Satu lagi cara untuk meluaskan capaian pembelajaran digital ialah melalui televisyen. Penggunaan televisyen untuk menyiarkan pembelajaran perlu diperluaskan lagi. Berdasarkan Kaji Selidik Penggunaan ICT dan Akses Oleh Individu dan Isirumah 2018, isirumah yang mempunyai akses kepada televisyen ialah sebanyak 98.6% dan merupakan yang tertinggi antara peranti lain. Oleh itu, liputan kepada para pelajar melalui televisyen adalah lebih luas berbanding platform atas talian. Pada waktu ini, Kelas@Rumah disiarkan dalam 2 slot berdurasi 1 jam setiap hari di Okey TV. Penyiaran ini boleh diperluaskan lagi supaya lebih banyak kelas dapat disediakan kepada kanak-kanak pelbagai umur dan sepanjang hari.

Dato Dr Madeline Berma (Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sarawak) 
Mencadangkan dana khas ditubuhkan bagi menangani isu 'miskin pembelajaran' khasnya dalam kalangan kanak-kanak di negara ini ekoran pandemik COVID-19. Beliau memberitahu tujuan penubuhan dana itu ialah bagi membantu pelajar yang hilang pendidikan disebabkan penutupan sekolah dengan merapatkan lompang pembelajaran. Menerusi bantuan kewangan diberikan di bawah dana khas berkenaan, alat atau peranti digital dan segala keperluan pengajaran dan pembelajaran dapat disediakan lebih-lebih lagi untuk sekolah serta pelajar luar bandar juga dari keluarga yang tidak mampu. kerajaan perlu mengambil kesempatan ini untuk membangunkan sistem pendidikan negara yang lebih berdaya tahan dan mudah mengadaptasi keperluan pelajar. Sistem pendidikan negara yang dibangunkan itu juga harus lebih saksama dan inklusif.

Dr. Zuwati Hasim (Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan - Universiti Malaya)
Keperluan Kajian Lanjut dan Perubahan Pendidikan Sekolah; Kurikulum dan silibus Pendidikan merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak Kementerian Pelajaran. Silibus yang bersesuaian dengan umur dan peringkat pembelajaran pelajar amat perlu. Jika dilihat kepada kurikulum dan silibus sekolah rendah, Tahun 1 sebagai contoh, kandungan silibus yang ditetapkan agak sukar dicapai oleh pelajar. Di peringkat Tahap 1 (Tahun 1, 2, dan 3), sewajarnya diberi perhatian kepada penguasaan dan kemahiran asas literasi dan numerasi. Ini bagi membolehkan pelajar memahami konsep asas sebelum mereka meneruskan pelajaran ke tahap seterusnya yang memerlukan mereka membina kemahiran pada aras yang lebih tinggi selain dari ‘ingat’ dan ‘faham’ (remember and understand).

Autonomi Guru dan Pelajar; Kajia awal yang dijalankan mendapati ramai respondens menyatakan bahawa guru perlu diberi kebebasan untuk bersuara dan bebas merancang dan memilih bahan pengajaran “tanpa terikat dengan buku teks.” Sehubungan dengan itu, mereka tidak perlu dibebankan dengan tugas selain pengajaran dan perlu diberikan masa yang lebih bagi tujuan penghasilan alat bantu mengajar yang bersesuaian dan berkesan.  Dengan autonomi ini, diharapkan dapat meningkatkan kreativiti guru dalam mencari idea membantu meningkatkan kefahaman dan menarik minat pelajar dalam setiap mata pelajaran.

Cheryl Ann Fernando (Pengarah Global School Leaders Malaysia)
Kurikulum Terlalu Padat; Teknologi hanya alat, namun kemahiran menjadi keutamaan pertama dalam mendepani sistem pengajaran alaf ke-21. Kurikulum pada masa kini terlalu padat, sekaligus menyebabkan guru-guru tidak dapat memenuhi sistem pengajaran alaf ke-21. 

“Banyak guru-guru kita ada masalah dengan kurikulum yang terlalu padat. Saya tahu mereka (guru-guru) nak buat sistem pengajaran alaf ke-21 dan pelbagai lagi, tetapi tidak ada masa”.

Prof Madya Dr Rahim Razalli (Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) perlu dikembalikan bagi menangani isu penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M). Saringan itu bagaimanapun perlu diberi 'nafas baharu', menerusi penyediaan instrumen diselaraskan untuk kegunaan sekolah di seluruh negara. LINUS adalah ujian atau diagnostik bagi menentukan 12 aras penguasaan murid terhadap 3M, jadi ia amat penting terutama apabila memasuki Tahun Satu. LINUS diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2009, sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan, bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M. Pelaksanaannya menyasarkan 100 peratus murid Tahun Tiga menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum naik ke Tahun Empat.

"Tatkala pandemik, ia lebih membimbangkan kerana modul pembelajaran bercampur-aduk, dengan segelintir berteraskan konsep dalam talian dan proses pendidikan dikendalikan secara sendiri oleh ibu bapa,"


3.0 LAIN-LAIN CADANGAN

Tagih Peranan CSR Syarikat dan Badan Korporat; Ini adalah masa sesuai untuk syarikat-syarikat swasta dan korporat memainkan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam pelbagai bentuk untuk membantu kelancaran PdPR. Penyediaan keperluan mengikut kawasan seperti kawasan bandar dan pinggir bandar (Bantuan kupon internet, PC desktop, komputer riba, tablet, pendrive, smart phone, pembinaan pusat internet), dan kawasan pedalaman (TV, PC desktop, komputer riba, buku dan bahan bercetak). Ada diantara perkakasan ini (PC desktop, komputer riba, smartphone dan tablet) tidak perlu beli baru, malahan komputer dan tablet terpakai juga boleh diberikan selagi perkakasan tersebut memiliki perisian untuk menonton video, pdf dan microsoft. Bagi penyediaan bahan bercetak disekolah, badan korporat boleh menyediakan atau membekalkan mesin photostat di setiap sekolah atau menyediakan sejumlah perbelanjaan terhadap sekolah untuk mencetak setiap lembaran nota dan kerja sekolah di kedai fotostat.

Pembinaan Lebih Banyak Pusat Internet Komuniti (PIK) Malaysia. PIK adalah alternatif bukan sahaja kepada ibu bapa yang tidak mampu menyediakan gajet atau peranti untuk anak-anak mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), malah juga mempunyai akses internet yang kuat. pusat internet yang beroperasi perlu memberi kemudahan pinjaman komputer riba (netbook) untuk kegunaan pelajar sekolah di rumah.

Nota dan Latihan Bercetak (Hardcopy)
Nota dan Latihan bercetak diedarkan dan diambil oleh ibubapa mengikut ketetapan dan fleksibiliti pihak sekolah dan ibubapa. NOTA dan KERJA SEKOLAH disediakan secara PUKAL mengikut TOPIK atau BAB oleh pihak sekolah berserta dengan borang cadangan. Menetapkan suatu tempoh tertentu untuk ibubapa mengembalikan kerja sekolah dan borang cadangan (mengandungi permasalahan yang dihadapi pelajar dalam memahami topik tersebut) kepada pihak sekolah selain turut mengambil NOTA dan KERJA SEKOLAH untuk topik atau bab berikutnya.

Dari sini, LATIH TUBI yang diberikan kepada pelajar akan membantu guru untuk menilai tahap pemahaman dan perkembangan pelajar. BORANG CADANGAN akan menceritakan masalah yang dihadapi pelajar berhubung topik, nota dan latihan yang diberikan. Data dalam borang cadangan akan membantu guru memahami kekangan pelajar dalam menguasi topik tersebut seterusnya tindakan susulan boleh difikirkan (memberi nota dan latihan tambahan pada minggu berikutnya ketika ibubapa datang menghantar KERJA SEKOLAH anak-anak dan mengambil nota dan kerja sekolah baharu untuk topik berikutnya).

Tukar TV1 dan TV2 Sebagai Saluran TV Pendidikan Sepenuhnya. Cadangan mewujudkan saluran TV Pendidikan telah disuarakan oleh ramai pihak. Cadangan KPM untuk memperkenalkan saluran TV Pendidikan baharu sebagai langkah membantu pelajar di kawasan pedalaman di fikirkan TIDAK PERLU. Apa yang perlu dalam situasi sekarang adalah menggunakan sepenuhnya sumber yang tersedia ada. Perlu diingat masih terdapat kawasan pedalaman yang hanya dapat liputan TV1 dan TV2 dan terdapat juga keluarga yang masih tidak memiliki set TV di rumah kerana faktor kemiskinan. Penggunaan saluran TV sebagai salurang TV Pendidikan hanyala bersifat pilihan dan bukan mandatori. Jika ia dilaksanakan, dicadangkan saluran TV1 dan TV2 ditukar sepenuhnya kerana dua saluran asas ini dapat ditonton oleh semua masyarakat termasuk di kawasan pedalaman. Penggunaan TV Pendidikan akan menjadi medium pembelajaran tambahan dan bukan penyelesaian bersifat menyeluruh.

Dr. Asmah Razalli (Ketua Wirawati Putra Malaysia) 
Inilah masanya stesen televisyen nasional, swasta serta satelit menyalurkan kebajikan korporat atas rasa tanggungjawab untuk mengadakan beberapa saluran khas TV pendidikan wajib khas untuk subjek darjah 1 hingga ke tingkatan 6. TV Pendidikan secara integrasi yang merakam dan menyiarkan subjek dalam bentuk rakaman mampu diulang oleh pelajar dan menjimatkan masa ibu bapa terutama yang berhempas-pulas mencari rezeki. Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan Jawatankuasa Saluran TV Pendidikan untuk mengolah sistem PdPR yang lebih efisen, jimat serta tidak membebankan ibu bapa terutama yang keduanya bekerja dan tidak mempunyai lebihan telefon bimbit mahupun komputer riba. Kementerian Pendidikan perlu bersikap lebih empati dalam menyusun atur PdPR yang lebih mesra ibu bapa dan anak-anak.


4.0 RUMUSAN

Sistem Pendidikan negara mendepani pandemik Covid-19 perlu lebih flleksibel. Kini peranan mendidik anak-anak digalas sepenuhnya oleh ibu bapa dangan guru bertidak selaku pemantau yang memantau perkembangan PdPR pelajar di rumah. Rombakan terhadap sistem Pendidikan selain penyediaan perkakasan dan keperluan pembelajaran untuk menyokong PdPR perlu digerakkan kerana belum ada jaminan yang jelas bahawa Pandemik Covid-19 akan berakhir. Kerjasama semua pihak, ibu bapa, guru, orang perseorangan dan syarikat swasta amat ditagih ketika negara masih berdeban kesukaran membendung sepenuhnya penularan Covid-19. Perancangan dan tindakan yang bakal diambil oleh Kerajaan terutama KPM, tidak hanya memfokus kepada situasi semasa, bahkan juga perlu melihat kepada aspek yang lebih jauh (jika Covid-19 masih gagal dibendung dan PKP terus dilaksanakan untuk suatu tempoh tertentu).

Tidak Miskin Orang Yang BERSEDEKAH
(HR Muslim)

https://picasion.com/
RUJUKAN

Aktivis Sabah Kumpul Telefon Pintar Bantu Murid Yang Memerlukan Ikuti Kelas Dalam Talian. Diakses pada 31 Januari 2021, melalui;

COVID-19: Peluang terbaik untuk 'reboot' sistem pendidikan - IDEAS. Diakses pada 22 Januari 2021, melalui;

Kaedah penilaian pelajar sekolah perlu dirombak? Diakses pada 31 Januari 2021, melalui;

Keperluan Kajian Lanjut dan Perubahan Pendidikan Sekolah untuk Perhatian Menteri Pendidikan Malaysia (2018). Diakses pada 31 Januari 2021, melalui;

Kurangkan subjek semasa PdPR, untuk kurang stress murid, guru. Diakses pada 31 Januari 2021, melalui;

LINUS perlu dikembalikan tingkat penguasaan 3M. Diakses pada 2 Februari 2021, melalui;

Malaysia perlu ubah sistem pendidikan. Diakses pada 22 Januari 2021, melalui;

Murid Tanpa Akses Internet Tidak Akan Ketinggalan Jalani PdPR Di Sabah. Diakses pada 28 Januari 2021, melalui;

Permudahkan Urusan Pembelajaran Pdpr Melalui Televisyen Di Rumah. Diakses pada 22 Januari 2021, melalui;

PdPR: Sabah Pertimbang Beri Peranti Elektronik Untuk Pelajar – Hajiji. Diakses pada 27 Januari 2021, melalui;

Pendidikan Sepanjang Krisis COVID-19. Diakses pada 22 Januari 2021, melalui;

Penubuhan dana khas dicadangkan tangani isu 'miskin pembelajaran' impak COVID-19. Diakses pada 26 Januari 2021, melalui;

Pusat internet komuniti pilihan terbaik bantu keperluan PdPR. Diakses pada 27 Januari 2021, melalui;

'Sukatan pelajaran terlalu padat kekang pengajaran alaf ke-21'. Diakses pada 22 Januari 2021, melalui;

Surat Edaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bil. 3 Tahun 2020. Diakses pada 30 Januari 2021, melalui;


No comments:

Post a Comment