Pandangan 1Sen: Persiapkan Mahasiswa/i Dengan Ilmu Survival Pasca Covid-19

1 SEN

Tahniah di atas perlantikan Dato’ Abdul Rahman Dahlan (DARD) selaku Pengerusi Lembaga Pengarah UMS. Beliau memang orang yang selayaknya untuk jawatan tersebut ditambah dengan cara berfikir yang bersifat terbuka sesuai dengan generasi Z yang lebih dahagakan kepada idea-idea bernas dan segar selari dengan pendedahan yang diperoleh daripada media sosial (Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter).

Tertarik dengan dua (2) daripada tiga (3) isu yang cuba diperjuangkan oleh DARD yang antaranya berhubung dengan isu asrama dalam kampus selain menambah punca pendapatan UMS. Selaku warga Sabah yang ingin melihat UMS itu menjadi antara Universiti awam terkemuka di Malaysia suatu hari nanti, maka lahirlah sedikit cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan. Perlu diingat ini hanya sekadar cadangan dan pandangan dan bukan bertujuan untuk MENUNJUK PANDAI


Asrama Dan Penempatan Pelajar
Isu ini sememangnya perlu menjadi keutamaan walau siapapun yang memimpin UMS. Namun, asrama perlu juga lengkap dengan prasarana dan kemudahan yang menyokong pembelajaran atas talian dan tidak terlalu terikat dengan kehadiran fizikal dalam dewan kuliah semata-mata. Selaku Gedung ilmu yang menjadi dambaan semua pelajar di sekolah menengah, sudah tiba masanya kehadiran fizikal perlahan-lahan ditukar dengan kehadiran secara maya mengikut kesesuaian dan fleksibiliti pelajar. Kesemua ini boleh dicapai jika asrama dilengkapi dengan segala kemudahan atas dan kemudahan akses internet seiring dengan keperluan kearah pembudayaan pembelajaran atas talian.

Sifar Pelajar Lapar
Isu yang tidak pernah lekang daripada mana-mana Universiti Awam dan Swasta sejak dulu. UMS perlu menjadi antara universiti awam yang berjaya merealisasikan agenda Sifar Pelajar Lapar. Mungkin perlu ada subsidi atau bantuan tambahan untuk pelajar B40. Ada di antara pelajar yang datang daripada B40 ini, terpaksa berlapar berhari-hari semata-mata untuk berjimat, setelah duit PTPTN yang terhad digunakan untuk membayar yuran pengajian. Kesan lain yang wujud termasuklah, pelajar terpaksa meminimumkan pergerakan, aktiviti kampus dan ada yang bertindak ponteng kelas. Tidak dinafikan juga situasi sebegini menjadi punca kepada masalah sosial yang seringkali dikaitkan dengan mahasiswa/i. 

Food bank dan kupon makanan antara alternatif yang dicadangkan dengan menyasarkan pelajar B40. Syarikat-syarikat swasta, NGO dan agensi kerajaan yang mempunyai lebihan dana, lebihan stok makanan boleh memainkan tanggungjawab sosial (CSR) dalam merealiasikan inisiatif ini (food bank). Selain itu, syarikat-syarikat swasta boleh diberi pelepasan cukai untuk jumlah tertentu yang disalurkan dalam setiap program amal dan program melibatkan universiti, agar ia akan menjadi program yang berterusan dan tidak terhad kepada waktu tertentu sahaja.

Kupon makan bersubsidi yang boleh dibeli oleh pelajar juga boleh dipertimbangkan. Kupon yang memberi potongan harga makanan sehingga 30% - 50% untuk pelajar B40 dan 20% - 30% untuk pelajar M40. Tempoh sah laku adalah selama setahun dan boleh ditambah nilai pada bila-bila masa. Penggunaan hanya terhad kepada pembelian makanan di mana-mana kantin dalam kampus dan kantin di kolej kediaman luar kampuas sahaja. Dengan cara ini pembudayaan cashless dalam urusan jual beli di dalam kampus boleh diterapkan. Kupon ini memastikan pelajar sentiasa ada wang saku dalam bentuk kupon untuk membeli makanan (sifar pelajar lapar) meskipun tidak memiliki duit dalam simpanan untuk perbelanjaan lain.

Penubuhan Koperasi dalam Kampus
Selain itu, pihak universiti mungkin boleh mempertimbangkan untuk melantik syarikat atau menubuhkan koperasi di dalam kampus khas untuk menjual barang asas kegunaan pelajar dengan harga yang lebih murah berbanding di luar kampus. Jenis barang yang boleh dijual perlu terhad kepada barang kegunaan harian dan makanan ringan, agar inisiatif ini tidak mendatangkan impak negatif kepada perniagaan setempat.

Punca Pendapatan UMS
Model yang diterapkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam aspek pengurusan dan perolehan dana melibatkan badan korporat dalam menyokong aktiviti kolej kediaman, kampus dan universiti, boleh dipertimbangkan. UUM antara Universiti Awam di Malaysia yang mungkin tidak sehebat universiti terkemuka lain seperti UM, UKM mahupun UiTM. Namun dari segi penglibatan badan korporat, UUM antara yang terbaik. Penjenamaam setiap kolej kediaman mengikut nama GLC akan turut melibatkan penyaluran sejumlah besar peruntukan masuk kedalam universiti dan kolej kediaman. Tidak cukup dengan itu, setiap kolej kediaman turut dilengkapi dengan LAB (pusat internet) sendiri. Universiti dalam hutan, namun liputan Wifi, LAB disetiap kampus dan kolej kediaman selain dana yang berterusan daripada GLC, menjadi antara faktor kenapa model ini perlu ditiru dan dikembangkan oleh UMS. Bukan untuk membandingkan, namun budaya kerja dan pengurusan terbaik perlu menjadi ikutan dan ditambahbaik mengikut kesesuaian setempat.


Persiapkan Gen-Z Dengan Ilmu Survival Pasca Covid
Mahasiswa/i yang mendaftar kali pertama bagi sesi akademik 2020/21 dan mungkin juga melibatkan sesi akademik 2021/22 mungkin tidak merasai sepenuhnya apa yang dikatakan sebagai “student life” kerana ada di antara mereka hanya sempat beberapa bulan menjejakkan kaki di dewan kuliah sebelum kembali ke kampung halaman masing-masing akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam situasi semasa, yang mana dunia masih belum bebas sepenuhnya dengan pandemik Covid-19, sudah tiba masanya untuk UMS memikirkan bagaimana untuk mempersiapkan pelajar-pelajar ini dengan ilmu survival dalam mendepani realiti sebenar pasaran kerja pasca pandemik Covid-19 yang tiada siapa mampu menduga dengan tepat apa yang akan berlaku. 

Jika dilihat situasi semasa, seorang yang bekerja Pilot syarikat penerbangan juga boleh menjadi pemandu grab, grab food dan peniaga kedai makan, bahkan CEO juga boleh menjadi penghantar makanan, bagaimana pula keadaannya dengan pelajar-pelajar ini yang 70% – 90% mungkin menganggur dan terpaksa memikirkan inisiatif lain untuk menjana pendapatan selepas bergraduasi nanti. Antara disiplin bidang pekerjaan dan kemahiran asas yang mungkin boleh dibekalkan bermula dari sekarang adalah;

1. Ilmu Keusahawanan Atas Talian, yang memberi pendedahan khusus kepada perniagaan atas talian menerusi platform Lazada, Shopee, Alibaba, Ali Express, Amazon dan lain-lain. Ilmu keusahawanan ini turut dilengkapkan dengan teknik pemasaran berkesan menerusi platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan lain-lain. Pelajar turut dibantu bagaimana untuk mendaftar lesen perniagaan, agar perniagaan yang mereka bakal mulakan adalah bardaftar dan tidak bertentangan dengan perundangan negara.

2. Pekerjaan freelance, antara cabang pekerjaan yang semakin mendapat tempat, malah ada di antara pekerjaan freelance ini tidak memerlukan modal, boleh dimulakan pada bila-bila masa selain waktu kerja yang fleksibel.  Malah pekerjaan freelance tidak memerlukan individu untuk terikat dengan satu jenis pekerjaan freelance sahaja bahkan juga boleh melakukan lebih daripada satu kerja freelance. Antara kerja freelance termasuklah, agen hartanah, insurans, pembiayaan peribadi bank dan koperasi, pemandu e-hailing, social media influencer, product review, streamer, blogger, penulis artikel dan banyak lagi. Ilmu dan pengetahuan berhubung setiap pekerjaan ini, akan dapat membantu mahasiswa/i untuk memulakan pekerjaan pertama mereka semasa berada di kampus atau setelah bergraduasi.

3. Bidang pelaburan (Saham), Bidang yang semakin mendapat tempat ramai tidak hanya mereka yang berkerjaya malah juga yang hilang pekerjaan dan suri rumah sepenuh masa. Fleksibiliti dan tidak terikat dengan komitmen kerja selain boleh dilakukan pada bila-bila masa menjadikan ia sebagai pilihan untuk mereka yang tidak bekerja. Malah ada yang menjadikan pelaburan saham sebagai kerjaya sepenuh masa kerana menjanjikan pulangan lumayan kepada mereka yang bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu pelaburan saham. Ilmu daripada mentor saham yang berkredibiliti dan telah terbukti membantu ramai pelabur saham untuk berjaya, akan membantu mahasiswa untuk memulakan langkah seawal bergelar mahasiswa lagi. Malah pendedahan sebegini akan dapat membendung mahasiswa/i ini daripada sebarang SKIM PELABURAN ATAS TALIAN YANG TIDAK WUJUD atau Skim Cepat Kaya (Scammer).


Semua pihak terutama pelajar dan ibubapa perlu sedar akan realiti yang bakal mereka hadapi dalam era Covid-19. Jika bertuah, mungkin ekonomi dan pasaran kerja pasca Covid-19 akan lebih luas dan terbuka atau mungkin sebaliknya. Setidak-tidaknya ilmu sebegini akan membantuk mahasiswa/i untuk lebih berdikari dan tidak akan menyalahkan bidang pengajian yang diambil ketika di universiti mahupun menyalahkan pihak universiti kerana kegagalan mereka untuk mendapatkan pekerjaan selepas bergraduasi.

Apa yang dicadangkan ini mungkin sesuai dan mungkin tidak relevan, namun perbezaan itu perlu diraikan dan bukan di longgokkan dalam tong sampah. Cadangan yang sesuai dengan kehendak semasa perlu diberi perhatian. Sudah tiba masanya bidang pengajian bersifat teoritikal dipadukan dengan ilmu amali (survival) agar pelajar tidak terlalu bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata bahkan juga dengan ilmu yang mampu menjadikan mahasiswa/i lebih berdikari setelah tamat pengajian.


Iklhas daripada
DKMSabah @ HM

No comments:

Post a Comment