KENYATAAN MEDIA 
KESATUAN GURU-GURU KERAJAAN SABAH (KGKS)

10 Jun 2021

1. Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik agihan sebanyak 10,000 unit komputer riba (Laptop) di bawah Program Bantuan Ehsan Komputer (BAIK) Kerajaan Negeri Sabah yang diumumkan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor baru-baru ini.  

2. KGKS berpendapat keputusan dan langkah ini adalah tepat pada masanya serta bersesuaian dengan situasi pandemik semasa negara dan negeri khususnya. Agihan kepada pelajar-pelajar Miskin Tegar yang akan mengambil peperiksaan SPM dan STPM termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga boleh mengurangkan bebanan dan kekangan dalam menjalani pembelajaran digital yang dilaksanakan diseluruh negara ketika ini.   

3. Walaupun agihan ini tidak menyeluruh dan masih kurang dari segi bilangan namun langkah ini suatu tindakan yang sangat diharapkan dan ke hadapan sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam memperkasakan pendidikan di Negeri Sabah.   

4. Bantuan ini amat diperlukan oleh murid-murid berkenaan kerana kekurangan kemampuan memiliki komputer oleh murid-murid ini sememangnya difahami dan dimaklumi. Pemberian ini merupakan anugerah yang didambakan serta kurniaan yang amat besar nilainya. Ini kerana halangan terbesar dalam arus pendidikan digital semasa pandemik ini adalah ketiadaan peranti yang bersesuaian serta kemudahan internet yang bermasalah dari segi capaian.  

5.  Pemberian ini dilihat boleh mengurangkan bebanan tugas guru dan mengubat kekecewaan para guru khususnya penyertaan menyeluruh murid dalam pembelajaran atas talian PDPR (Pengajaran dan  Pembelajaran Di Rumah). Keprihatinan warga guru terhadap kualiti pembelajaran murid menjadi keutamaan agar tidak berlaku keciciran dan tidak ada murid yang tertinggal di belakang. Sesungguhnya proses pembelajaran tetap dilaksanakan dan perlu diteruskan dalam situasi pandemik semasa agar keciciran ilmu tidak berlaku dan hak belajar murid-murid tidak dinafikan. Justeru dengan adanya pemberian ini akan membantu dalam memudahkan proses PDPR dan pembelajaran berlaku seperti yang dirancang.   

6. KGKS merakam ucapan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah serta tindakan yang diambil khususnya dalam usaha memperkasakan pendidikan di negeri ini khususnya inisiatif serta intensif bantuan yang lain seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara one off (BUDI) sebanyak RM2000 kepada pelajar tahun pertama ijazah IPT, Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI) iaitu bantuan tunai RM200 kepada pelajar yang mengambil SPM, STPM dan STAM tahun 2021 dan Bantuan Ehsan Makanan Pelajar Terjejas COVID-19 (IMPAK) bayaran one off RM300 kepada semua pelajar Sabah yang terperangkap di kampus di seluruh IPT dan Institusi seluruh  negara.  

7. KGKS  berpendirian  positif  dalam  hal  ini  kerana  ke utamaan  adalah  memperkasakan  pendidikan  di negeri  ini.  Disamping  dengan  adanya kemudahan  ini  akan mempertingkatkan  komitmen,  dedikasi serta  iltizam  warga  guru  untuk  melaksanakan  amanah  sebagai  pendidik  kerana  sokongan  dan dorongan  kerajaan  negeri  yang  mantap. 

SABAH MAJU JAYA 

FADZIL BIN HJ. MOHD. JAMIL 
Setiausaha Agung  KGKS