Hari ini (6 Jun 2021) memasuki hari kelima Lockdown sejak kerajaan terpaksa mengambil tindakan drastik (02 Jun 2021) demi melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat dari hari ke hari dengan hari ini sahaja sebanyak 6,241 kes baharu dikesan dengan 109 kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 3,292. Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa korban Covid-19, semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sejak kali pertama Perdana Menteri Malaysia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pertama (18 – 31 Mac 2020), sedar tidak sedar Covid-19 telah berada dalam kehidupan seharian rakyat sehingga kehidupan kita kini berada dalam situasi norma baharu, iaitu suasana kehidupan yang tidak pernah digambarkan oleh seluruh umat manusia.
Bayangkan bagaimana penularan pandemik Covid-19 telah membataskan sepenuhnya kehidupan seharian umat manusia di seluruh dunia, lumpuhnya sistem penerbangan dunia yang merupakan antara industri yang paling sibuk, melumpuhkan industri pelancongan dan perhotelan, peniaga-peniaga terjejas, jalan-jalan raya yang tersibuk di dunia juga lengang akibat keputusan pemerintah untuk melaksanakan lockdown. Siapa sangka, angkara penularan Virus Covid-19 yang tidak kelihatan dengan mata kasar ini, menyebabkan umat Islam tidak dapat menunaikan Umrah dan Haji, malah tidak dapat solat berjemaah di Surau dan Masjid seperti sediakala. Itu adalah antara nikmat yang ditarik oleh Allah SWT sepanjang penularan Virus Covid-19, tidak hanya di negara kita Malaysia bahkan juga di seluruh dunia. Namun itulah kehendak dan kekuasaan Allah SWT, dan pastinya setiap apa yang berlaku ada hikmatnya.
Namun kehadiran penulisan ini di saat seluruh negara dan rakyat sedang berdepan dengan lockdown, lebih bersifat pandangan peribadi yang mana adalah menjadi tugas setiap umat manusia terutamanya yang beragama Islam untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi untuk berpesan-pesan kepada kebaikan;
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Surah al-Asr (1-3)
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang adalah langkah terbaik dan tepat dalam usaha membendung penularan Covid-19 dalam negara. Tindakan itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pemerintah dalam menjaga keselamatan rakyatnya daripada segala bentuk ancaman termasuk ancaman dari sudut kesihatan. Manakala sebagai rakyat, kita juga perlu;
1. Patuh akan segala arahan dan ketetapan yang diputuskan oleh pihak pemerintah, agar usaha kerajaan dan petugas frontliner tidak menjadi sia-sia. Ianya juga termasuk usaha kita selaku rakyat dengan patuh untuk duduk di rumah dan tidak keluar rumah melainkan atas urusan perlu.
“Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut)”.
Riwayat Al-Bukhari (2955)
2. Tidak menyebarkan berita yang tidak benar dan sahih. Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang. Ini adalah bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran, firmannya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
Surah Al-Hujurat (6)
3. PKP adalah masa terbaik untuk rakyat saling bersatu padu dan tolong-menolong dalam mendepani pandemik Covid-19. Rakyat tanpa mengira ideologi dan fahaman politik seharusnya menggunakan sepenuhnya setiap ruang dan peluang yang ada untuk saling bantu-membantu dan membuat amal kebajikan. Tentu rakyat masih ingat bagaimana kita berupaya melandaikan lengkung penularan Covid-19 selepas pelaksanaan PKP Fasa pertama dan kedua dahulu. Semuanya berkat daripada kesatuan, perpaduan dan semangat saling bantu-membantu yang ditunjukkan oleh rakyat selain taat kepada arahan pemerintah. Inilah bukti nyata betapa perlunya kesatuan di kalangan rakyat menjadi faktor utama dalam memastikan segala usaha kerajaan dan barisan frontliner membuahkan hasil. Firman Allah SWT;
“Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah”.
Surah Ali Imraan (103)
"Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan".
Surah al-Anbiya (47)
Umat Islam perlu melihat penularan wabak Covid-19 ini dari sisi apa yang difirmankan oleh Allah SWT bahawa telah dijanjikan berita gembira kepada mereka yang bersabar. Buat seluruh rakyat yang berhadapan kesukaran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ingatlah bahawa segala apa yang berlaku ini adalah peringat daripada Allah SWT agar kita kembali kepada fitrah kejadiaan umat manusia itu sendiri, iaitu untuk beribadah kepadaNya.
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
Surah al-Zariyaat (56)
Apa yang dilakukan oleh kerajaan kini adalah keputusan kolektif dan sehabis baik dalam melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 dalam negara. Meskipun tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak, namun sedikit sebanyak memanfaatkan golongan yang terjejas teruk khususnya golongan B40. Selain itu, marilah kita sama-sama menghargai sumbangan barisan petugas Frontliner yang berjuang dan bergadai nyawa dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 ini dari terus merebak hingga menyebabkan kematian kepada pesakit yang dijangkiti, dengan cara duduk dirumah dan melakukan kuarantin kendiri sepertimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mungkin apa yang berlaku pada seluruh umat manusia kini adalah suatu teguran daripada Allah SWT untuk kita kembali bermuhasabah diri. Akhir kata, tempoh pelaksanaan PKP ini adalah masa dan peluang terbaik untuk kita sama-sama memperbanyakkan aktiviti kerohaniaan bersama keluarga dan perbanyakkan doa kepada Allah SWT agar Covid-19 ini diangkat kembali olehNYA.
In Sha Allah,
Sekian
#AllahLindungiKitaSemua
#LindungDIriLindungSemua
0 Comments