dkm pdpr
Petikan Berita: Sinar, Harian Metro, FMT dan Utusan Malaysia

Sesi persekolahan yang bermula pada 20 Januari 2021 berlangsung dalam suasana dan norma baharu. Ketetapan yang diambil kerajaan dengan hanya membenarkan pelajar-pelajar yang terlibat dengan peperiksaan penting untuk hadir ke sekolah (Edaran Media MOE – 11 Januari 2021), merupakan  alternatif terbaik dalam membantu pelajar-pelajar yang terlibat dengan peperiksaan penting, meskipun telah dijangkakan oleh semua pihak bahawa tindakan tersebut bakal mendedahkan pelajar, guru dan ibubapa kepada jangkitan Covid-19.

Pelbagai masalah dan kekangan yang timbul ekoran pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), malah perlaksanaan PdPR itu sendiri seakan tidak selari dengan edaran Manual Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (Tahun 2020). Berikut antara isi utama manual tersebut (Point 9: Pelaksanaan PdPR – 9.3 dan 9.4) yang antaranya dengan jelas menyatakan bahawa;

9.3. Menentukan kaedah penyampaian yang FLEKSIBEL mengikut situasi semasa dengan mengambil kira sumber yang ada pada murid;

9.4. Menyediakan bahan yang mudah didapati, diakses dan bersesuaian dengan kaedah PdPR yang digunakan;

Terlebih dahulu, suka diingatkan kepada semua bahawa, artikel ini bukan bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak sama ada KPM mahupun para guru yang bersusah-payah mendidik anak-anak dalam situasi yang penuh dengan pelbagai cabaran dan kekangan. Terima Kasih kepada KPM dan Guru-guru, JASA anda hanya Allah S.W.T sahaja yang membalasnya.

Artikel ini lebih kepada sekadar cadangan mengambilkira kekangan dan permasalahan yang wujud sepertimana yang didedahkan di media massa termasuk juga yang didapati daripada pemerhatian. Artikel ini pada penghujungnya menyediakan solusi untuk memudahkan semua pihak termasuk ibubapa dan guru, pelajar miskin yang berhadapan masalah kekangan gadjet dan tablet, capaian talian internet yang terhad terutama di kawasan pedalaman dan ibubapa yang bekerja serta memiliki anak ramai dengan gadjet yang terhad. Cadangan ini juga selaras dengan dua (2) point (9.3 dan 9.4) sepertimana yang disenaraikan dalam Manual Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (Tahun 2020).


Kaedah Offline: Solusi untuk keluarga yang berhadapan masalah Gadget;

1. Nota dan Latihan Bercetak (Hardcopy)
Nota dan Latihan bercetak diedarkan dan diambil oleh ibubapa mengikut ketetapan dan fleksibiliti pihak sekolah dan ibubapa. NOTA dan KERJA SEKOLAH disediakan secara PUKAL mengikut TOPIK atau BAB oleh pihak sekolah berserta dengan borang cadangan. Menetapkan suatu tempoh tertentu untuk ibubapa mengembalikan kerja sekolah dan borang cadangan (mengandungi permasalahan yang dihadapi pelajar dalam memahami topik tersebut) kepada pihak sekolah selain turut mengambil NOTA dan KERJA SEKOLAH untuk topik atau bab berikutnya.

Dari sini, LATIH TUBI yang diberikan kepada pelajar akan membantu guru untuk menilai tahap pemahaman dan perkembangan pelajar. BORANG CADANGAN akan menceritakan masalah yang dihadapi pelajar berhubung topik, nota dan latihan yang diberikan. Data dalam borang cadangan akan membantu guru memahami kekangan pelajar dalam menguasi topik tersebut seterusnya tindakan susulan boleh difikirkan (memberi nota dan latihan tambahan pada minggu berikutnya ketika ibubapa datang menghantar KERJA SEKOLAH anak-anak dan mengambil nota dan kerja sekolah baharu untuk topik berikutnya). Kaedah ini turut digunakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Labu Negeri Sembilan dan dibeberapa Sekolah sekitar Sabah yang berhadapan dengan masalah liputan internet dan gadjet. Pendekatan SK Labu ini selari dengan Modul PdPR 2020 pada point 7.6 (Pendekatan dan Kaedah PdPR).

pdpr
Rajah 1: Aliran Kerja Penyediaan Bahan Pembelajaran Secara Bercetak


2. Pindahan Nota, Slide dan Video Pembelajaran Tanpa Internet: Untuk Kawasan yang berhadapan liputan internet, Gadjet terhad, ibubapa Yang Bekerja. 

Dua kaedah untuk memindahkan nota, slide dan video pembelajaran ke dalam telefon pintar atau tablet ibubapa dan anak tanpa perlu kepada akses internet.

1. Menggunakan USB OTG: USB OTG (On The Go) membolehkan nota, slide dan video pembelajaran dapat dipindah daripada komputer riba guru-guru terus kepada telefon pintar dan komputer riba pelajar atau telefon pintar ibubapa. Harga USB OTG sekitar RM20 - RM200 mengikut kapasiti simpanan. Bagi yang memiliki Komputer Riba dan Komputer Desktop, boleh menggunakan Pendrive. 

2. Bluetooth: Nota daripada guru-guru boleh dipindah daripada komputer riba terus ke telefon pintar ibubapa menggunakan Bluetooth. Untuk lebih mudah, guru-guru boleh memindahkan nota, slide dan video dari komputer riba guru ke telefon pintar milik guru sebelum di pindahkan kepada telefon pintar ibubapa. Kebaikan bluetooth ini adalah mengekalkan penjarakan sosial antara guru dan ibubapa. Pelajar hanya perlu menyalin latihan ke dalam buku latihan (jika tidak dapat print latihan) dan dihantar ke sekolah mengikut fleksibiliti pihak sekolah, ibubapa atau pelajar.

pdprRajah 1: Aliran Kerja Penyediaan Bahan Pembelajaran Secara Pindahan (Bluetooth & USB)

Kesemua kaedah yang dicadangkan ini sedikit-sebanyak akan memudahkan guru, ibubapa dan pelajar dari segi menjimatkan masa, malahan juga wang ringgit. Ibubapa tidak perlu membeli komputer riba dan telefon pintar baharu untuk kegunaan anak-anak (jimat wang ringgit), anak-anak boleh secara bergilir-gilir melihat nota dan menyalin latihan yang dipindahkan oleh guru ke dalam telefon pintar ibubapa (bagi mereka yang mempunyai ramai anak), tidak perlu bersusah payah meredah hutan dan bukit untuk mencari liputan internet (untuk tujuan keselamatan pelajar dan ibubapa) selain menjimatkan masa dan memudahkan kerja semua pihak. Ibubapa yang bekerja boleh melihat nota dan kerja sekolah anak-anak pada bila-bila masa selepas waktu bekerja atau ketika cuti, sekaligus mengurangkan tekanan ibubapa di tempat kerja.

3. Komputer riba, Tablet atau Telefon Pintar?
Jika kaedah pembelajaran bercetak (hardcopy) dan offline (pindahan nota, video, latih tubi dan kerja sekolah), kesemua peranti (komputer riba, tablet dan telefon pintar) akan dapat digunakan sepenuhnya, malah komputer desktop juga dapat digunakan. Apa yang penting adalah kesemua peranti ini perlu memiliki perisian Microsoft office dan PDF Reader. Bagi isi rumah yang tidak berkemampuan, cukup sekadar memiliki telefon pintar yang dinaik taraf dengan storage yang besar (SD Card) untuk menyimpan dokumen pembelajaran termasuk video yang mungkin bersaiz besar.


4 . Tukar Saluran TV1 dan TV2 menjadi saluran TV Pendidikan
Cadangan mewujudkan saluran TV Pendidikan telah disuarakan oleh ramai pihak. Cadangan KPM untuk memperkenalkan saluran TV Pendidikan baharu sebagai langkah membantu pelajar di kawasan pedalaman di fikirkan TIDAK PERLU. Apa yang perlu dalam situasi sekarang adalah menggunakan sepenuhnya sumber yang tersedia ada. Perlu diingat masih terdapat kawasan pedalaman yang hanya dapat liputan TV1 dan TV2 dan terdapat juga keluarga yang masih tidak memiliki set TV di rumah kerana faktor kemiskinan. 

Penggunaan saluran TV sebagai salurang TV Pendidikan hanyala bersifat pilihan dan bukan mandatori. Jika ia dilaksanakan, dicadangkan  saluran TV1 dan TV2 ditukar sepenuhnya kerana dua saluran asas ini dapat ditonton oleh semua masyarakat termasuk di kawasan pedalaman. Penggunaan TV Pendidikan akan menjadi medium pembelajaran tambahan dan bukan penyelesaian bersifat menyeluruh.

tv pendidikan
Petikan Berita: Bernama, MalaysiaGazette dan BH Online

Apapun keadaannya, sistem pendidikan kini tidak lagi berorientasikan peperiksanaan khususnya murid-murid sekolah rendah. Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PdPR, menjadi masa terbaik untuk KPM mengkaji semula sistem Pendidikan sepertimana yang disyorkan oleh beberapa tokoh Pendidikan dan guru-guru berpengalaman. Pelajar sekolah rendah perlu kembali kapada asas utama, penguasaan MEMBACA, MENULIS dan MENGIRA. Sukatan pembelajaran perlu dikurangkan, agar guru-guru dan pelajar tidak terkejar-kejar untuk menghabiskan silibus yang mana pada penghujungnya akan menyusahkan semua pihak dan pelbagai lagi masalah akan wujud. Sistem Pendidikan negara perlu bersifat FLEKSIBEL sesuai dengan situasi semasa dunia yang masih dibelenggu oleh pandemik Covid.19.

Pesanan untuk ibubapa, jangan terburu-buru untuk membeli komputer riba, tablet dan telefon pintar baharu. Jika masih boleh diguna dan boleh buka nota dan bahan pembelajaran anak-anak, itu sudah memadai. Dalam situasi semasa, pasti akan ada peniaga yang mengambil kesempatan, bukan semua tapi segelintir. 

Suka diingatkan agar pihak sekolah menjadi pemudah cara. Menggunakan medium yang bersesuaian, berdasarkan kemampuan yang ada pada ibubapa pelajar dan yang paling penting, kreatif serta tidak membebankan ibubapa dan pelajar.


RUJUKAN

Bahan pengajaran efektif pastikan keberkesanan PdPR. Diakses pada 26 Januari 2021, melalui;

Cara Simple pindah fail dari komputer ke telefon pintar tanpa internet dan dengan internet. Diakses pada 26 Januari 2021, melalui;

Cerita murid pedalaman belajar sepanjang PKP. Diakses pada 27 Januari 2021, melalui;

Isu PdPR, ramai peniaga komputer cuba kaut untung. Diakses pada 27 Januari 2021, melalui;

Macam Mana? Ada 3 Orang Anak Nak Mulakan Kelas PDPR? Diakses pada 26 Januari 2021, melalui;

Manual PDP di Rumah. Diakses pada 26 Januari 2021, melalui;

Pengoperasian Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Diakses pada 26 Januari 2021, melalui;

Satu saluran khas berbentuk TV Pendidikan akan diwujudkan di RTM. Diakses pada 27 Januari 2021, melalui;

Terima kasih cikgu, ini idea bijak! Diakses pada 26 Januari 2021, melalui;

8 beradik kongsi telefon ibu, kini dapat 3 tablet. Diakses pada 27 Januari 2021, melalui;