AKHIRNYA LAHIRUL BERSUARA: IPD BEAUFORT & PRESS PULA YANG SALAH

Dipetik Sabahkini

 

 Oleh : MUTALIB M.D

KETUA Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu mengesahkan bahawa beliau adalah warganegara Malaysia mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan kerana kerakyatannya mengikut taraf kerakyatan ibunya; sekalipun bapanya adalah Warganegara Indonesia yang kini sedang memohon taraf penduduk tetap.

"Saya lahir di Sabah melalui perkahwinan yang sah antara ibu saya, Wanita Murut dengan bapa saya Warganegara Indonesia yang menggunakan Pasport Lawatan dan kini atas jaminan ibu saya," ujar Lahirul ketika dihubungi melalui email sebentar tadi bagi mengesahkan taraf kerakyatan beliau yang ditimbulkan melalui Blog Tambuakar dan blog lain.
Menurut Lahirul, isu kerakyatan beliau tidak perlu ditimbulkan kerana bapanya masuk secara sah, menggunakan pasport, permit kerja dan kini dijamin oleh ibu beliau; adalah teratur mengikut peraturan yang berkuatkuasa.

Tegas Lahirul lagi, mengikut Bahagian II [Perkara 14(1)(B)] Kewarganegaraan Melalui Kuat Kuasa Undang-Undang Bagi Orang Yang Lahir Pada Atau Selepas Hari Malaysia; Tertakluk kepada peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini, orang yang berikut yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:

"(a) tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan;"

"Dalam hal ini sudah cukup jelas bahawa saya adalah Warganegara Malaysia dan Anak Negeri Sabah kerana ibu saya adalah Anak Negeri Sabah berketurunan Murut," ujar Lahirul yang menjelaskan status bapanya tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada kerakyatan beliau.

Lahirul menjelaskan bapanya, Latigu Bin Lahandu telah bernikah dengan ibunya, Nurila Bte Atau (Kaum Murut) yang berasal dari Kg Bukau, Beaufort pada 17 Julai 1974 setelah memeluk agama Islam mengikut adat istiadat Anak Negeri Sabah kerana Datuknya, Atau Bin Buang dan Neneknya, Lipai Bte Bakir tidak menganut sebarang agama ketika itu (Pagan).

Menurut Lahirul, beliau dilahirkan pada 19 Julai 1976 di Kg Bukau Beaufort dan didaftarkan kelahiran melalui Sijil Lahir bernombor 702/76 dan bersekolah di SK Bukau, sebelum melanjutkan pelajaran ke SM St John, SMK Beaufort dan Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pinjaman Yayasan Sabah.

Katanya lagi, beliau mendapat kad pengenalan biru bernombor H0922390 dan kini memegang MyKad bernombor 760719-12-5747.

Menurut Lahirul, beliau tinggal bersama datuknya sejak darjah empat sehinggalah datuknya meninggal dunia pada 23 Mac 1990 (68 tahun) ketika beliau berada di tingkatan dua. Manakala neneknya pula meninggal pada 4 Ogos 2008 ketika berusia 79 tahun tetapi sempat memeluk agama Islam beberapa tahun sebelum meninggal dunia.
 
 
 
"Bapa saya bukan PATI kerana memegang pasport Indonesia W075828 yang masih berkuatkuasa  sehingga 2 Mac 2016. Beliau telah memohon taraf penduduk tetap melalui Imigresen Kota Kinabalu awal tahun ini dan telah menjalani temuduga di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort pada 28 Ogos lalu," kata Lahirul yang tidak menolak kemungkinan maklumat bapanya dan identiti adik beradiknya bocor melalui IPD Beaufort.

Bagaimanapun kata Lahirul, beliau berharap agar PDRM bersikap profesional menjaga kerahsiaan dan menjalankan siasatan rapi agar kejadian seperti ini tidak berulang, terutama dokumen peribadinya didedahkan kepada pihak ketiga yang tidak berkaitan.

"Saya tidak gentar kerana saya, keluarga dan bapa saya memohon kewarnegaraan melalui jalan yang sah dan menurut Perlembagaan Persekutuan, bukannya melalui pintu belakang. Oleh kerana itu saya dan PAS tetap dengan pendirian mendesak penyegeraan RCI," kata Lahirul yang tidak menafikan pendedahan ini berpunca daripada sengketa politiknya dengan Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (PRESS) atau sekutunya.

Lahirul turut menjelaskan bahawa beliau adalah wakil PAS dalam Jawatankuasa Khas Pakatan Rakyat yang diketuai Dr Chong Eng Leong untuk mengetengahkan isu RCI.

"Dalam hal ini, saya turut menyarankan agar Kerajaan Negeri Sabah memperkasakan Native Ordinance dengan memasukkan senarai suku kaum Anak Negeri dan diendorse ke dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti Sarawak," kata Lahirul yang meyakini isu kerakyatan beliau sengaja digembar-gemburkan oleh PRESS untuk merosakkan kredibiliti beliau berhubung RCI.
 




3 comments:

  1. semua rakyat Sabah drpd pelbagai suku kaum berhak ke atas pentadbiran negara sabah serta harta rakyat di darat dan lautan, berbanding orang UMNO yg mewakili kerajaan Pusat...dari luar Sabah..

    ReplyDelete
  2. apa kurangnya PKR, PAS dan DAP.. tu bukan dari semenanjung ka... Lahirul yg bapa dia ni org indon pun blh jd CM ka?

    ReplyDelete
  3. apa kurangnya PKR, PAS dan DAP.. tu bukan dari semenanjung ka... Lahirul yg bapa dia ni org indon pun blh jd CM ka?

    ReplyDelete