Bagaimana menajdi ahli poltik yang baik? Niat semata-mata
tidak akan menjamin seseorang menjadi ahli politik yang baik. Langkah susulan
adalah dengan melaksanakan niat itu dengan baik. “Baik” di sini bermaksud
mematuhi syariat Allah. Maksudnya mesti memilih jalan yang halal dalam
melaksanakan urusan politik.
Niat yang baik tidak menghalalkan sebarang cara. Niat yang
baik mestilah dilaksanakan dengan cara yang baik. Jangan sekali-kali terlibat
dengan perkara-perkara yang haram, mungkar dan dosa dalam melaksanakan
cita-cita politik. Jangan kerana tamak akan kuasa, kita melayan apa yang
disukai oleh majoriti manusia walaupun terlibat dengan dosa!
Perbuatan mencaci, menghina dan memperkecil-kecilkan musuh
politik tidak wajar dilakukan dengan mengetepikan adab-adab Islam. Utamakan
usaha memberi penerangan dan penjelasan tentang matlamat atau apa-apa yang
hendak diperjuangkan berbanding mencaci lawan. Mengkritik, menegur malah
menyalahkan pihak lain boleh dilakukan, tetapi hendaklah dalam batas-batas
syariat dan akhlak Islamiah.
Baik sesama rakan seperti atau dengan orang yang berbeza parti,
kita seharusnya menjaga hati agar tidak dibolosi oleh sifat-sifat mazmumah
seperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan lain-lain. Untuk mendapat kuasa
tidak salah, tetapi tempuhilah jalan yang benar yakni dengan bekerja keras
memenuhi amanah Allah dan masyarakat, bukan dengan cara menyogok, mengancam dan
menipu. Ingat selalu, kuasa bukan matlamat tetapi hanya alat.
Untuk itu, ahli-ahli politik Islam mesti mendalami ilmu-ilmu
tentang pengurusan, pentadbiran dan perhubungan, menguasai cara berfikir yang
tajam dan cepat serta berlatih cara bercakap dan berucap dengan berkesan agar
mesej politik dapat difahami dengan baik. Mereka juga perlu banyak membaca,
bergaul dan mendengar untuk mempertingkatkan ilmu dan kemahiran memimpin.
Ahli politik muslim mesti mendalami ilmu agama, psikologi,
ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain selaras dengan amanah yang dipikul.
Kebolehan menjadi pendengar yang baik, empati dan peka dengan apa yang
disuarakan atau apa yang tidak disuarakan oleh rakyat ialah kemahiran tertinggi
untuk melonjakkan karier politik secara terpuji.
Paling penting, sentiasalah mengutamakan Islam dan rakyat
berbanding kepentingan diri dan parti. Jika ditakdirkan menjadi wakil rakyat,
duduklah bersama rakyat serta dengarlah suara hati mereka. Jangan jadi wakil
rakyat yang jarang bersama-sama rakyat. Sabar, berkorban, prihatin, empati,
pemaaf dan pemurah ialah sifat-sifat yang perlu ada jika anda ingin menjadi
ahli politik yang baik.
Paling penting jagalah solat. Jika kita mengabaikan solat,
kita tetap “Jahat” di sisi Allah walaupun segunung kebaikan kita berikan kepada
manusia. Ia tidak boleh diabaikan walaupun sesibuk manapun urusan politik anda.
Jangan pula mesyuarat menyebabkan anda luput waktu solat.
Hendaklah diingat, ibadah asas inilah yang akan memberi
kekuatan jiwa, kelapangan fikiran dan ketenangan urusan politik dengan lebih
efektif, produktif dan kreatif lagi. Ingatlah, sesiapa yang menjaga hubungannya
dengan Allah, maka Allah akan menjaga hubungannya dengan manusia.
Gunakan kuasa selaras dengan tujuan Allah mengurniakannya.
Allah berikan kuasa dengan tujuan berbakti kepada manusia, maka berbaktilah,
bukan menyombong diri. Janji menabur bakti kepada manusia bergantung kepada
sejauh mana kita menunaikan janji kepada Allah. Apabila Allah didahulukan,
barulah rakyat mampu diutamakan. Tunaikan janji kita dengan Allah, insya-Allah
dia akan membantu kita menunaikan janji kita sesama manusia.
No comments:
Post a Comment