Dipetik: Borneo Post

LABUAN: Sebuah bom peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui oleh kontraktor di tapak projek perumahan Tanjung Aru di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Saiman Kasran berkata kontraktor terbabit telah menemui bom yang gagal meletup itu sekitar jam 4 petang ketika mereka sedang melakukan kerja pembinaan di tapak projek berkenaan.
“Bom itu akan diletupkan dalam masa dua hari ini sementara menunggu kerja persiapan termasuklah penggalian lubang sedalam 20 hingga 30 kaki.
“Pakar bom yang didatangkan khas dari Kota Kinabalu akan mengetuai operasi meletupkan bom itu,” katanya kelmarin
Saiman berkata, pihak polis akan memantau kawasan tapak projek perumahan itu demi langkah keselamatan serta mengesan seandainya terdapat lagi bom peninggalan Perang Dunia Kedua yang tidak meletup.
Berat bom itu dianggarkan 454 kilogram dengan ukuran panjang empat kaki sepuluh inci dan ukur lilit lima kaki.