<title> | DKM SABAH

Breaking

Home Top Ad

Post Top Ad

Tuesday, March 27, 2012

Dipetik: Mstar Online



Mawi menceritakan detik kejadian dirompak. Foto SIN CHEW DAILY

PETALING JAYA: Penyanyi Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani tidak dapat melupakan pengalaman ngeri apabila rumah banglo miliknya di Bangi Golf Resort di pecah masuk perompak pada Isnin sehingga mengancam nyawanya dan keluarga.
Mawi, 31, berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 4 pagi dan mengambil masa hanya 20 minit itu membuatkan dia cemas dan risau dengan keadaan keluarganya lebih-lebih lagi apabila wajahnya telah ditutup dengan baju selepas tangan diikat.
"Saya baru nak lelapkan mata selepas pulang dari Johor Baru bagi menjayakan siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang bakal berlangsung tak lama lagi.
"Tiba-tiba saya terjaga apabila pintu bilik diketuk kuat dan Ekin yang membuka pintu itu kerana menyangka pembantu rumah kami yang berbuat demikian.




Menerusi tingkap inilah perompak memasuki banglo milik Mawi sebelum mengikatnya.

"Kemudian, Ekin terus ditolak ke atas katil dan seramai tiga daripada empat perompak yang berpakaian serba hitam mengikat tangannya dan saya. Lebih mencemaskan ialah apabila wajah saya ditutup dengan baju," katanya.
Tambah Mawi, suspek turut mengacukan pisau ke leher isterinya dan meminta barang kemas dan mula menggeledah bilik mereka sebelum melarikan rantai, wang, serta empat buah telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000.
Selain Mawi dan Ekin atau Nora’asikin Rahmat, ibu mertuanya, Fatimah Saad, 55, neneknya, Salmah Sehan, 77, anak mereka, Cahaya Malaika dan seorang pembantu rumah turut berada dalam kejadian di mana mereka telah dibawa ke tingkat atas dan diikat.



Tangga aluminium ini dipercayai digunakan perompak untuk memanjat belakang banglo Mawi bagi tujuan memecah masuk rumahnya.

Menurut bekas juara Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) itu lagi, dia percaya keempat-empat perompak tersebut memecah masuk ke rumahnya menggunakan tangga aluminium yang diambil dari tapak pembinaan perumahan berdekatan untuk memanjat tembok rumah lima bilik itu sebelum mengumpil tingkap di dapur.
"Selepas mereka (perompak) keluar dari rumah, saya membuka ikatan menggunakan gigi lalu menyelamatkan isteri, ibu mertua dan nenek lalu membuat laporan polis dengan segera," ujarnya.
Sebelum ini, kejadian rompakan pernah terjadi di rumah keluarga Mawi di Felda Taib Andak, Kulai, Johor Bahru pada 25 Julai 2009.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab Wahab memberitahu, pihaknya telah menahan tiga pekerja buruh tapak pembinaan di sebelah kediaman Mawi tiga jam selepas kejadian bagi membantu siasatan.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dan rompakan dengan senjata.

Pages