Hari penamaan calon (15 November 2025) memuktamadkan senarai penuh calon yang bertanding mewakili setiap parti politik. PRN-17 kali ini membuka mata ramai pihak akan realiti sebenar persengketaan antara parti komponen yang membentuk kerajaan negeri (GRS-PH) tidak lagi boleh dibendung. Meskipun Hajiji melahirkan keyakinan yang GRS bakal diberi mandat sekali lagi untuk membentuk kerajaan, hakikatnya ia penuh dengan kesamaran.

Kerusi GRS Disailang
Pra pembubaran menyaksikan komitmen PH untuk menjadi penghubung dan pendamai dalam persengketaan membabitkan GRS dan BN. Meskipun penyelesaian yang diharapkan menemui jalan buntu, Saifuddin Nasution telah memberi jaminan bahawa kerusi yang bakal ditandingi calon PH tidak akan bertembung dengan GRS mahupun BN. 

Hakikatnya berbaki sehari menjelang hari penamaan calon, PKR dan DAP tanpa berselindung meletakkan calon dikerusi GRS. Antara kerusi GRS yang disailang saat akhir oleh PH menerusi PKR termasuklah, Bandau (Zaidi Jatil - AMK Sabah), Petagas (Awang Husaini), Moyog (Remysta Taylor - Timb. Ketua Pemuda PKR Sabah), Silam (Abd. Halim Sidek Gulam Hassan) dan Kemabong menerusi calon DAP (Noorita Sual). Manakala bagi dun Karamunting yang ditandingi BN, PKR turut mencalonkan bekas Ketua Bahagian PGRS George Hiew.

Hajiji dilihat tidak berupaya dan hanya merelakan apabila PKR turut merampas tiga (3) kerusi adun penyandang PGRS iaitu Petagas (Awang Ahmad Sah), Sindumin (Dr. Yusof Yacob) dan Karamunting (George Hiew). Tidak berakhir disitu, dua (2) Ketua Bahagian (KB) PGRS turut dicuri oleh PKR dan bertanding mewakili parti berkenaan. Mereka adalah Jamawi Jaafar (Kemabong) dan George Hiew (Karamunting). 


Tanding Bebas Setelah Dikhianati Hajiji
Drama PRN-16 turut berulang pada PRN-17 kali ini, cuma dengan sedikit perbezaan iaitu, pemimpin yang tidak dicalonkan bertindak keluar parti dan bertanding selaku calon BEBAS kerana berasa kesetiaan mereka selama ini telah dikhianati. Mereka termasuklah Fairuz Renddan (Pintasan), Maijol Mahap (Bandau), Ag. Ahmad Sah (Petagas) dan Rina Jainal (Kukusan). Kesetiaan Maijol terhadap GRS hingga sanggup untuk tidak diletakkan selaku calon pada PRN-16 dan PRU-15 lalu, jelas tidak dihargai oleh Hajiji. Hajiji lebih memilih Redonah berbanding membalas jasa baik maijol yang suatu ketika dahulu bersama-sama Allahyarham DSP Lajim membawa masuk PPBM ke Sabah hingga PHRS dibubarkan. 

Demikian juga Fairuz yang selama ini menjadi benteng dan barisan hadapan setiap kali Hajiji menjadi mangsa tohmahan rakyat yang tidak berpuas hati dengan corak pentadbirannya, namun turut menjadi korban Hajiji demi meletakkan calon kuda tua yang juga kawan baiknya iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia. 

Sementara Ag. Ahmad Sah dan Rina pula, menjadi mangsa mainan politik jahat Hajiji, ibarat habis madu sepah dibuang. Tindakan mereka melompat parti dari Warisan menyertai PGRS dengan harapan bakal dicalonkan semula, namun janji dan harapan tersebut dikhianati Hajiji. Hanya Yusuf Yacob sahaja yang akur dengan keputusan Hajiji dan merelakan kerusi yang disandangnya, dirampas oleh PKR yang meletakkan anak TYT Sabah iaitu Yamani Hafeez Musa.

Kesimpulan
Tiada tempat bagi mereka yang setia dalam GRS, kerana corak kepimpinan Hajiji yang lebih mengutamakan kroni, proksi dan hubungan persahabatan. Maka janganlah hairan, bila KUDA TUA yang terpaksa berkaki tiga, masih mendapat tempat hanya kerana sahabat baik dan elemen sentimental USNO kepada Hajiji, berbanding Ketua Pemuda sendiri. Berkorban untuk Hajiji ibarat membunuh karier politik sendiri khususnya bagi pemimpin yang tidak sanggup menjadi lembu dicucuk hidung. 

Pengorbanan Datuk Maijol bersama-sama Allahyarham DSP Lajim Ukin, yang memberi laluan untuk PPBM  melebarkan sayap ke Sabah demi memberi tempat kepada bekas pemimpin UMNO yang hidup sebagai Adun Bebas terbuang, seakan tidak memberi apa-apa makna. Maijol, Fairuz dan Rina membuat keputusan yang bijak kerana sedar, hidup tanpa sebarang jawatan dalam parti khususnya jawatan Adun, ibarat tidak memberi sebarang makna. Bertanding selaku adun bebas, bakal menyaksikan kedua-dua calon Bebas dan GRS kecundang, dan itu lebih baik dari memberi laluan selesa untuk mereka memenangi kerusi yang ditandingi.


Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022) - kini Gagasan Rakyat (PGRS)


RUJUKAN

FMT (06 Nov 025); Hanya 1 kerusi belum dimuktamad PH-GRS, kata Saifuddin
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/11/06/ph-grs-hanya-1-kerusi-belum-muktamad-kata-saifuddin

Astro Awani (14 Nov 2025); TERKINI PRN Sabah: GRS, PKR bertembung di DUN Moyog dan DUN Bandau?
https://www.astroawani.com/berita-politik/terkini-prn-sabah-grs-pkr-bertembung-di-dun-moyog-dan-dun-bandau-547570

Sinar Harian (14 Nov 2025); PRN Sabah: PKR tambah dua kerusi di DUN Bandau, Moyog
https://www.sinarharian.com.my/article/756599/berita/politik/prn-sabah-pkr-tambah-dua-kerusi-di-dun-bandau-moyog

Sinar Harian (14 Nov 2025); PRN Sabah: PKR tambah kerusi, Ketua AMK calon DUN Bandau
https://pru.sinarharian.com.my/info-berita/19292/prn-sabah-pkr-tambah-kerusi-ketua-amk-calon-dun-bandau

Astro Awani (15 Nov 2025); PRN Sabah: Pertembungan keluarga warnai penamaan calon DUN Petagas
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/berita-terkini-prn-sabah-pertembungan-keluarga-warnai-penamaan-calon-dun-petagas-547677

BH Online (15 Nov 2025); Pertembungan BN-PKR di kerusi DUN Karamunting tak jejas hubungan parti Kerajaan MADANI - Ahmad Zahid
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1471848/pertembungan-bn-pkr-di-kerusi-dun-karamunting-tak-jejas-hubungan#google_vignette

PRN-17, PRN-17 SABAH, PRN17 SABAH
#PRN-17, #PRN-17 SABAH, #PRN17 SABAH