Sehingga 9 November 2025, Pakatan Harapan Rakyat (PH) menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) telah mengumumkan calon mewakili parti berkenaan pada PRN-17, lebih dahulu berbanding GRS. Turut mengadakan majlis pengumuman calon adalah BN Sabah, yang menampilkan 41 calon dengan DSP. Bung Moktar Radin kekal bertanding di kerusi Dun Lamag. Harapan Rakyat menyenaraikan 18 calon (PKR-10 dan DAP-8) sementara Parti Amanah Negara (Amanah) sehingga kini baru mengumumkan satu (1) calon di Dun Sulabayan (Ustaz Mohd. Julpikar). PKR dan komponen PH yang lain (DAP dan PAN) akan menggunakan logo Harapan Rakyat pada PRN-17.

PKR meletakkan 10 calon bertanding mewakili parti berkenaan menerusi Datuk Peto Galim (N.18 Inanam), Thonny Chee (N.20 Api-Api), Datuk Ag. Husaini Sahari (N.23 Petagas), Datuk Yamani Hafeez Musa (N.35 Sindumin), Datuk Jamawi Jaafar (N.42 Melalap), Rufinah Pengeran (N.44 Tulid), Abdul Said Pimping (N.50 Gum-gum), Datuk George Hiew Vun Zin (N.54 Karamunting), Romansa Lamin (N.61 Segama) dan Datuk Ruji Ubi (N.72 Merotai). Sementara Mustapha Sakmud yang juga Pengerusi PKR Sabah dan bekas Adun Api-Api (Datuk Christina Liew) tidak tersenarai.

DAP lebih dahulu telah mengumumkan calon rasmi mewakili parti berkenaan pada 8 November 2025. Seramai lapan (8) calon dipertaruhkan yang terdiri daripada, Datuk Phoong Jin Zhe (N.19 Likas), Datuk Chan Foong Hin (N.22 Tanjong Aru), Datuk Jannie Lasimbang (N.25 Kapayan), Vivian Wong (N.55 Elopura), Philip Yap Wui Lip (N.69 Sri Tanjong), Chan Loong Wei (N.21 Luyang), Tang Szu Ching (N.56 Tanjong Papat) dan nama bekas Ahli Parlimen Tenom (PRU-14) Senator Noorita Sual tidak dapat diumumkan kerana perbincangan antara DAP dan GRS masi berlangsung. 

Kerusi pedalaman yang dilobi oleh DAP adalah Dun N.43 Kemabong yang kini disandang oleh Adun GRS iaitu Datuk Rubin Balang. Untuk rekod, Datuk Chan Fong Hin dan Vivian Wong Shir Yee masing-masing merupakan Ahli parlimen P.172 Kota Kinabalu dan P.186 Sandakan. Senarai calon DAP ini juga menyaksikan Phoong beralih dari Dun Luyang ke Dun Likas sementara Chan Foong Hin bertanding di kerusi baharu DAP iaitu Tg. Aru menentang Adun penyandang Warisan (Datuk Junz Wong).


Selepas senarai penuh calon rasmi PH menerusi PKR dan DAP diumumkan, beberapa kerusi milik GRS secara terang-terangan telah dicantas oleh PH. Sebanyak empat (4) kerusi yang disandang oleh Adun GRS, bakal ditandingi oleh calon PKR dan satu (1) kerusi lagi oleh DAP. Antara kerusi GRS yang ditandingi PKR adalah kerusi N.23 Petagas (Ag. Husaini Sahari), N.35 Sindumin (Yamani Hafez Musa), N.44 Tulid (Rufinah Pengeran) dan N.54 Karamunting (George Hiew). Situasi ini memberi tamparan hebat kepada tiga (3) adun penyandang dari GRS iaitu Ag. Ahmad Sah (N.23 Petagas), Dr. Yusof Yacob (N.35 Sindumin) dan Flovia Ng (N.44 Tulid) sementara George Hiew yang memenangi kerusi Karamunting atas tiket Warisan-PH dari PKR pada PRN-16 lalu dan telah melompat parti menyertai GRS, kini diberi kepercayaan semula mewakili PKR pada PRN-17. 

Tidak terhenti disitu, PKR turut membawa masuk Ketua Bahagian Gagasan Rakyat (PGRS) Dun Melalap (Jamawi Jaafar) dan Ketua Bahagian Karamunting (George Hiew) untuk bertanding selaku calon PKR. Menurut George Hiew beliau mendapat restu Hajiji untuk bertanding mewakili PKR dan Harapan Rakyat pada PRN-17 kali ini. Situasi ini mengesahkan kebenaran khabar angin yang beliau (Jamawi) antara tiga (3) calon lineup TYT yang bakal bertanding mewakili PKR selain Yamani Hafez dan Ruji Ubi. Keberadaan Jamawi semasa majlis pengumuman calon dilihat sebagai  langkah strategik Hajiji untuk menggunci mulut pemimpin PBS yang berkeras mahukan kerusi tradisi Melalap, dikekalkan kepada parti berkenaan. 

Mantan Adun Petagas (Ag. Ahmad Sah) yang juga Ketua Bahagian PGRS Tg. Aru, secara terbuka mempersoalkan tindakan PKR mengumumkan Ag. Husaini meskipun kerusi berkenaan masih dalam proses rundingan. Ahmad Sah yang menyertai Gagasan Rakyat menyandang jawatan Ketua Bahagian (KB) PGRS Tg. Aru sebagai pertukaran dan gerakan untuk mengangkat KB Petagas (Mohd Isquzawan Israq Bin Arsit) selaku calon GRS pada PRN-17. Namun tindakan PKR bertanding di kerusi Petagas, telah menafikan peluang Adun penyandang dan KB Petagas (kouta Pemuda GRS) untuk bertanding.

Tekanan terus memuncak, apabila komponen PH iaitu DAP, turut melanggar kerusi milik Adun penyandang GRS (Datuk Rubin Balang) dengan menamakan Norita Sual bertanding di kerusi N.43 Kemabong. Namun pengumuman calon kelapan dari DAP ini terpaksa ditangguhkan demi menjaga keharmonian sementara perbincangan masih berlangsung, selaras dengan hasrat DAP untuk bertanding satu (1) kerusi di dun pedalaman yang majoritinya pengundi KadazanDusun Murut dan Rungus (KDMR). Antara kerusi jangkaan yang bakal dikorbankan oleh GRS, tidak lain tidak bukan adalah kerusi N.40 Bingkor yang mana DAP pernah meletakkan Peter Saili mewakili parti berkenaan pada PRN-16 dan PRU-14. 


Kelicikan Hajiji Dan Drama Tikam Menikam Bermula
Tuntutan DAP untuk bertanding satu kerusi di pedalaman Sabah, dilihat tidak mustahil untuk direalisasikan memandangkan Bingkor merupakan kerusi tradisi ditandingi DAP untuk dua siri pilihanraya terdahulu (PRU-14 dan PRN-16). Namun persoalannya, bersediakah Hajiji mengorbankan Robert Tawik yang ketika ini berstatus mantan Adun daripada STAR dengan anak beliau (Rafie Robert) yang kini menyandang KB PGRS Bingkor juga disebut-sebut bakal bertanding mewakili GRS pada PRN-17. Di sinilah kelicikan sebenar Hajiji dalam memastikan dua kerusi yang diberikan kepada PH kekal milik GRS meskipun tanpa perlu meletakkan calon. 

Dun Bingkor tidak mustahil untuk dikorbankan kerana seorang lagi anak Robert Tawik iaitu Razzidin Tawik telah rasmi diangkat selaku calon STAR bertanding di Bingkor. Meskipun DAP bakal diberi laluan bertanding, hakikatnya undi GRS akan terarah kepada calon STAR yang juga anak Robert iaitu Razzidin. Ini adalah permainan biasa untuk Hajiji demi mengekalkan kerusi berkenaan milik GRS pada masa akan datang. 

Seorang lagi calon PKR iaitu Rafinah Pengeran yang dicalonkan di Dun N.44 Tulid pula bakal ditentang oleh anak kepada Datuk Ellron Angin (Adun N.45 Sook) iaitu Jordan Jude Ellron mewakili kouta Ketua Wiramuda STAR Sabah. Situasi ini dilihat sebagai perancangan strategik GRS mengekalkan kuasa di pedalaman Sabah menerusi calon STAR yang kesemuanya anak kepada pemimpin dari GRS itu sendiri. Meskipun kerusi berkenaan diberi laluan kepada komponen PH (PKR), hakikatnya undi GRS akan berpihak kepada calon STAR yang juga proksi GRS, sama sepertimana yang bakal berlaku di Bingkor. 

Meskipun GRS sanggup menggorbankan beberapa kerusi, namun pendekatan "give and take" GRS penuh dengan retorik dan pengkhianatan. Pendekatan menyerupai PRU-15 dan PRN-16, bakal berulang pada PRN-17. Hajiji tidak mengorbankan kerusi berpotensi tanpa pulangan menguntungkan. Mengorbankan Petagas (Isquzawan) untuk imbalan Moyog (Mandela Malakun), Sindumin (Dr. Yusof) untuk Darau (Mohd. Razali @ Bob) serta kerusi Melalap (PBS diganti Jamawi - PKR, proksi). Merelakan PKR dan DAP bertanding di kerusi milik Adun GRS juga ibarat "menarik rambut dalam tepung", memberi laluan DAP bertanding, hakikatnya undi GRS diberikan kepada calon STAR yang juga anak kepada pemimpin GRS (Robert Tawik dan Ellron Angin). 

DAP pada PRN-17 ini dilihat tidak berdepan masalah mempertahankan keenam-enam kerusi yang disandang pada PRN-16 lalu (Likas, Luyang, Kapayan, Elopura, Tg. Papat dan Sri Tanjong). Demikian juga PKR, mungkin tidak berdepan masalah mengekalkan dua kerusi yang disandang (Inanam dan Api-Api), manakala lain-lain kawasan masih berstatus kelabu hitam dan status sebenar bakal berubah semasa tempoh berkempen. Apa yang pasti, gerak kerja meletakkan proksi Hajiji dalam PKR telah terlaksana, demikian juga UMNO.


Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022) - kini Gagasan Rakyat (PGRS)



RUJUKAN

Sinar Harian (27 Oktober 2025); PRN Sabah: Amanah umum ustaz Mohd Julpikar calon DUN Sulabayan
sinarharian.com.my/article/754323/berita/politik/prn-sabah-amanah-umum-ustaz-mohd-julpikar-calon-dun-sulabayan

Buletin TV3 (09 Nov 2025); PKR umum 10 calon bertanding PRN Sabah
https://www.buletintv3.my/politik/pkr-umum-10-calon-bertanding-prn-sabah/

Sabah Media (08 Nov 2025); DAP Sabah umum tujuh calon rasmi PRU DUN Sabah ke-17
https://sabahmedia.com/2025/11/08/dap-sabah-umum-tujuh-calon-rasmi-pru-du-sabah-ke-17/

BH Online (09 Nov 2025); PRN Sabah: 2 pemimpin GRS dapat 'restu' Hajiji bertanding sebagai calon PKR
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1469582/prn-sabah-2-pemimpin-grs-dapat-restu-hajiji-bertanding-sebagai-calon

Kupi-Kupi FM (10 Okt 2025); PRN17: Anak Ellron, Robert diumum calon STAR di Tulid dan Bingkor
https://sabah.kupikupifm.my/prn17-anak-ellron-robert-diumum-calon-star-di-tulid-dan-bingkor/

BH Online (08 Nov 2025); PRN Sabah: DAP tanding 8 kerusi, pertaruh 2 MP dan calon paling muda usia 25 tahun
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1469080/prn-sabah-dap-tanding-8-kerusi-pertaruh-2-mp-dan-calon-paling-muda

Sinar Harian (04 Nov 2025); PRN Sabah: Kerusi ADUN 'lompat' terbuka untuk dirunding, PKR hanya mahu Petagas - Mustapha
https://www.astroawani.com/berita-politik/prn-sabah-kerusi-adun-lompat-terbuka-untuk-dirunding-pkr-hanya-mahu-petagas-mustapha-546010

Malaysia Kini (08 Nov 2025); PRN Sabah: DAP bertanding guna logo PH, tak jadi guna roket
malaysiakini.com/news/760208