Datuk Redonah berdepan tentangan Datuk Maijol Mahap pada PRN-17 kali ini. Redonah tampil calon wanita pertama Gagasan Rakyat (PGRS) sejak penubuhan parti berkenaan pasca PRU-14. Secara jujurnya, pertembungan luar jangka kedua ikon politik ini khususnya di Dun Bandau, sememangnya di luar jangkaan.
Sejak Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan PPBM/GRS, kerusi dun Bandau menjadi rebutan dua calon berkaliber (Redonah dan Maijol) daripada PGRS. Situasi ini mengheret Hajiji dipersimpangan dilema dalam proses pemilihan calon dan terikat antara hutang budi terhadap pengorbanan Maijol bersama Arwah DSP Lajim dengan kuota wanita pertama Gagasan Rakyat. Malah pertembungan dua ikon berpengaruh mewakili dua rumpun etnik KDMR dengan kekuatan Maijol tertumpu kepada masyarakat KadazanDusun sementara Redonah memusatkan kekuatan kepada masyarakat Rungus serta serpihan penyokongnya dalam UMNO yang masih utuh disantuni hingga kini meskipun berlainan ideologi politik.
Badai politik Bandau, bakal menyaksikan hanya yang benar-benar berpengaruh dan diterima rakyat akan berdiri selaku Adun. Selain Redonah dan Maijol, Rizham (Warisan), Jaiping Minsu (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat - PKDM) dan Zaidi Jatil (PKR-PH), dilihat berupaya memberi saingan, namun tidak akan sesengit pertembungan Redonah dan Maijol. Perkiraan serta percaturan politik yang telah diatur gerak oleh Maijol bakal diterjemaskan sepanjang tempoh berkempen dalam usaha beliau menawan Bandau. Populasi pengundi dun Bandau majoritinya pengundi KDMR dan Bumiputra Islam (Bajau) menjadi penentu. Terdapat beberapa faktor yang menjadikan Bandau selaku kerusi dun paling panas dan menarik untuk diulas, antaranya termasuklah;
Pertembungan Antara Dua Etnik KDMR Terbesar
Pengundi KadazanDusun Murut dan Rungus (KDMR) menjadi etnik dominan di dun Bandau. Rungus 29.7% menjadi etnik majoriti berbanding KadazanDusun 29.2%, Bumiputra Islam (26.3%) dengan Bajau mendominasi seterusnya menjadi penententu ditengah-tengah pertelagahan antara Redonah dan Maijol. Pertembungan 13 penjuru disajikan dengan BN, PKR Warisan dan PKDM turut meletakkan calon. Memandangkan BN diwakili calon UMNO dari etnik Kadazan, hampir pasti untuk undi Wanita dan ahli UMNO akan cenderung memihak Redonah seterusnya berpotensi besar menjadi faktor kemenangan pada PRN kali ini.
Dilema Keluarga Bahanda
Semasa era kegemilangan UMNO/BN di Sabah, Wetrom dan Redonah menjadi tunjang dalam mengukuhkan kekuatan UMNO di Kota Marudu. Meskipun usaha untuk melobi salah satu kerusi dun (Matunggong) sebelum PRU-14 tidak berhasil, namun peluang untuk Datuk Wetrom bertanding terbuka selepas persempadanan semula Dun Sabah digunapakai semasa PRN-16. Bandau membuka ruang dan peluang untuk Wetrom tampil buat pertama kali dalam kancah pilihanraya dan memenangi kerusi Bandau menerusi Parti Bersatu (PPBM) selaku komponen PN. Melihat peluang untuk melebarkan pengaruh politiknya terutama di kerusi Parlimen seakan pudar jika kekal berada dalam GRS, beliau tekad bertindak keluar parti menyertai PKDM dan berjaya menewaskan DSP Maximus Ongkili dalam penampilan sulung bertanding di kerusi parlimen pada PRU-15.
Namun cerita kurang enak mula kedengaran khususnya di kem PBS yang menuduh Redonah membantu abangnya secara terbuka hingga menyebabkan PBS kehilangan kerusi Kota Marudu buat pertama kali sejak kerusi Parlimen itu diwujudkan pada pilihanraya 2004 dengan Maximus menjadi ahli Parlimen tidak terkalah. Namun untuk PRN-17 kali ini, Datuk Wetrom tidak mempertahankan kerusi Bandau dan memberi laluan kepada Jaiping Minsu (calon PKDM) atas faktor janji peribadi beliau kepada Jaiping yang memberi laluan kepada Wetrom bertanding di kerusi Parlimen P. 168 Kota Marudu pada PRU-15 lalu. Dilema mula melanda Wetrom sama ada untuk memberi undi kepada Redonah mahupun Jaiping, kerana jika Redonah berjaya memenangi kerusi Bandau, maka Wetrom bakal dilabel pengkhianat, kerana berdasarkan rekod, mustahil untuk PKDM tewas di Dun Bandau jika Wetrom memberikan sokongan penuh kepada calon PKDM itu.
Pertembung Antara Maruah
Redonah dan Mizmah menjadi wakil kepada suara Wanita dalam Gagasan Rakyat yang sering terpinggir dalam kepimpinan Hajiji sejak dari PPBM hingga kewujudan Gagasan Rakyat (PGRS). Hajiji tidak menamakan calon dari Wanita semasa PRN-16, bahkan lebih buruk lagi semasa PRU-15, DSP Azizah Dun turut tidak tersenarai selaku calon mempertahankan kerusi P.176 Beaufort yang disandang demi memberi laluan kepada pencalonan ayam tambatan Hajiji iaitu Armizan Mohd Ali (P.175 Papar) dan Khairul Firdaus Akbar Khan (P.185 Batu Sapi). Beaufort (Azizah Dun) dan Beluran (Ronald Kiandee) menjadi korban dalam rundingan perjanjian berat sebelah (Perjanjian 3 Abdul) antara GRS dan BN. Penampilan dua wakil Wanita PGRS pada PRN-17 ini, menebus maruah Wanita yang selama ini terpinggir dari senarai pendek Hajiji.
Sementara bagi Maijol pula, sama seperti Fairuz Renddan (Pintasan), Dr. Roland Chia (Inanam), Ag. Ahmad Sah (Petagas) dan Rina Jainal (Kukusan) bertindak nekad dengan bertanding selaku calon Bebas kerana berasakan diri dikhianati. Maijol bersama-sama Allahyarham Lajim Ukin, sanggup meluluskan usul mencadangkan kemasukan Bersatu ke Sabah seterusnya memberi laluan penyertaan beramai-ramai bekas Adun UMNO yang ketika itu telah menjadi Adun Bebas setelah tumbangnya BN selepas PRU-14.
Menjadi antara ahli terawal PPBM serta turut serta bertindak keluar parti diawal pengambil alihan PGRS oleh Hajiji daripada Stephen Jacob Jimbangan. Sebagai tanda keikhlasan, beliau akur ketika nama Wetrom dicalonkan bertanding di dun Bandau (PRN-16) bahkan berlapang dada dengan ketetapan parti agar kerusi Parlimen Kota Marudu kekal ditandingi PBS menerusi DSP. Maximus (PRU-15). Pengorbanan Maijol tidak mendapat balasan setimpal Hajiji setelah menamakan Redonah selaku calon saat akhir, ketika gerak kerja melobi selaku calon PRN-17 telah dimulakan sejak Wetrom bertindak keluar parti dan menyertai PKDM.
Dendam Kesumat PBS Terhadap Redonah
PRN-17 menjadi pentas terbaik untuk PBS menebus maruah parti yang tercalar teruk sejak PRU-13 (konspirasi kemenangan Datuk Jelani Hamdan di Matunggong) dan PRU-15 (kekalahan Maximus di kerusi Parlimen Kota Marudu kepada Wetrom). Namun luka PRU-15 menjadi luka yang paling dalam bisanya buat PBS kerana kehilangan kerusi Kota Marudu yang dimenangi PBS menerusi Maximus sejak pertama kali dipertandingkan pada PRU-11 (2004). Redonah secara terang-terangan membantu gerak kerja kempen dan menjadi tulang belakang kemenangan wetrom di Kota Marudu.
Amarah pemimpin tertinggi PBS semakin sukar dibendung dan jelas kelihatan apabila Redonah sering menjadi bahan sindiran PBS khususnya ketika mesyuarat AMT GRS. Maka, tindakan Maijol bertanding Bebas, menjadi peluang keemasan untuk PBS melunaskan dendam yang tertangguh. Namun wujud persoalan besar, adakah PBS benar-benar berupaya membantu Maijol menewaskan Redonah yang kini mendapat sokongan daripada pergerakan wanita dan ahli UMNO yang masih setia kepada beliau dan abangnya (Wetrom).
13 Penjuru Serta Kehadiran PH Dan PKDM Yang Tidak Memberi Impak
Ramai pihak menjangkakan Maijol tidak bertanding dan situasi ini menarik minat PKR untuk menamakan Zaidi Jatil (AMK Sabah) selaku calon PH sehari sebelum hari penamaan calon. PKR melihat tindakan penyokong Maijol yang menutup sepenuhnya markas GRS sebagai peluang keemasan untuk mereka mendapatkan undi protes memangdangkan PH adalah komponen kerajaan negeri GRS-PH. Namun teka-teki akhirnya terjawab pada hari penamaan calon, apabila Maijol mengambil keputusan berani dengan bertanding selaku calon Bebas menggunakan logo Kerusi (simbolik kerusi Bandau miliknya). Zaidi dari etnik Bajau, dijangka hanya mampu memperoleh serpihan undi dari kawasan pesisir Kota Marudu yang lebih cenderung mengundi Warisan.
Jaiping Minsu yang tampil selaku calon PKDM, sangat berharap agar pengaruh dan reputasi Datuk Wetrom Bahanda khususnya di Dun Bandau, dapat membantu beliau mempertahankan kerusi berkenaan. Jaiping yang berbangsa Kadazan, dilihat sukar untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi KadazanDusun yang lebih cenderung menyokong Maijol dan PBS. Pengaruh keluarga Bahanda khususnya di kalangan pengundi Rungus, juga seakan tidak memihak beliau setelah kehadiran Redonah selaku calon mewakili GRS. Kahadiran Jaipin dan Zaidi pada PRN-17 kali ini, menjadi momen malang buat keduanya. Pertembungan 13 penjuru, dilihat lebih menguntungkan Redonah dan Maijol yang memiliki sokongan akar umbi serta sokongan daripada penyokong dari parti lain yang memihak kepada kedua-duanya.
Percubaan Sulung, Siapa Lebih Bertuah
PRN-17 merupakan percubaan sulung untuk kedua-dua figura politik ini, khususnya Redonah yang mewakili kuota Wanita PGRS, demikian juga untuk Maijol yang pertama kali bertanding untuk kerusi DUN kerana sebelum ini beliau telah bertanding sebanyak tiga (3) kali dengan kesemuanya melibatkan kerusi Parlimen P.147 Bandau (1999) dan P.168 Kota Marudu (2013, PRU-13 dan 2018, PRU-14) dan kesemuanya tewas di tangan DSP Maximus Ongkili. Redonah membawa harapan besar PGRS yang ketika ini terpalit dengan skandal mineral melibatkan sebahagian besar Adun PGRS, sementara Maijol menjadikan pentas PRN-17 sebagai simbol balas dendam di atas kesetiaan yang tidak dihargai.
Kesimpulan
Situasi semasa dilihat memihak Redonah yang memiliki sokongan daripada masyarakat Rungus serta ahli UMNO yang masih setia kepada beliau. Sementara Maijol menjadikan faktor pengaruh serta undi protes PBS terhadap Redonah sebagai senjata ampuh. Elemen bangsa dan suku etnik dijangka mewarnai kempen melibatkan kedua-dua calon ini, sebagai simbolik dan kayu pengukur dalam menentukan suku etnik apa yang lebih dominan di Kota Marudu. Malah tidak keterlaluan jika isu keluarga Bahanda (merujuk kepada 3 calon dari keluarga Bahanda; Verdon - Tg. Kapor, Wetrom - Matunggong dan Redonah - Bandau) akan dieksploitasi sepenuhnya.
Bagi DKMSabah, Datuk Redonah dilihat bakal mempertahankan legasi yang ditinggalkan abangnya (Datuk Wetrom). Tidak hanya beroleh sokongan akar umbi khususnya daripada masyarakat Rungus, bahkan juga daripada ahli UMNO. Meskipun UMNO/BN mencalonkan Willey Lampaki (etnik Kadazan) namun ia dilihat masih belum mampu menggugat pengaruh politik Redonah dan Maijol. Sejujurnya Warisan menerusi calonnya Rizham Bin Abd Rahman (etnik Bajau), dilihat lebih berupaya memberi saingan dengan kekuatan dan memperoleh majoriti undi daripada masyarakat Bajau yang mendiami kawasan pesisir Kota Marudu.
Berbaki lapan (8) hari lagi sebelum keputusan sebenar diketahui, dan perjalanan masih jauh. Pelbagai isu boleh diketengahkan dan sebarang kesilapan kecil saat akhir bakal menjadi ancaman besar seterusnya menjejaskan peluang untuk memenangi kerusi dun Bandau. Selamat maju jaya buat Kak Redonah, antara insan yang mesra, rendah diri dan lembut perwatakannya.
Untuk bacaan lanjut berkenaan Dun Bandau dan drama politiknya, boleh klik link berikut;
Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022) - kini Gagasan Rakyat (PGRS)
RUJUKAN
Sinar Harian (14 Nov. 2025); PRN Sabah: PKR tambah kerusi, Ketua AMK calon DUN Bandau
https://pru.sinarharian.com.my/info-berita/19292/prn-sabah-pkr-tambah-kerusi-ketua-amk-calon-dun-bandau
Buletin TV3 (16 Nov. 2025); PRN Sabah 2025, Senarai penuh calon
https://www.buletintv3.my/nasional/prn-sabah-2025-senarai-penuh-calon/
Borneo Daily Bulletin (14 Nov 2025); Redonah: Keluarga Boleh Berbeza Parti, Tapi Hubungan Tetap Dijaga
https://www.borneodailybulletin.com/redonah-keluarga-boleh-berbeza-parti-tapi-hubungan-tetap-dijaga/
Malaysiakini (15 Nov. 2025); Selepas digugurkan, 2 penyandang GRS tanding bebas di Pintasan, Kukusan
https://www.malaysiakini.com/news/760836#google_vignette
BH Online (09 Nov. 2025); PRN Sabah: Senarai penuh 41 calon BN
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1469520/prn-sabah-senarai-penuh-41-calon-bn
BH Online (15 Nov. 2025); Senarai penuh calon PRN Sabah Ke-17
bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1472116/senarai-penuh-calon-prn-sabah-ke-17
DKMSabah (16 Jun. 2025); Serangan Politik Terancang Kepada Keluarga Datuk Wetrom? Bila Doktor Terencat Akal Berhujah...
https://dkmsabah.blogspot.com/2025/06/serangan-politik-terancang-kepada.html
DKMSabah (13 Jun. 2025); Pertembungan Sailang Wetrom (PKDM) - Julita (GRS)? Ini Faktanya
https://dkmsabah.blogspot.com/2025/06/pertembungan-sailang-wetrom-kdm-julita.html
Wikipedia; Maijol Mahap
https://en.wikipedia.org/wiki/Maijol_Mahap
#fyp #PRN17 #PRN17SABAH #PRN-17
#prn17 #prn17sabah #prn-17










0 Comments