Dun N.72 Merotai menjadi kerusi dun pertama di Sabah yang mendapat liputan meluas media arus perdana dan Datuk Ruji Ubi menjadi calon terawal dari PKR yang diumum sendiri oleh PMX Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa program Himpunan Temui Rapat Umum di Merotai (26 September 2025). Dun Merotai antara kerusi dun yang terletak dalam Parlimen P.191 Kalabakan bersama tiga (3) dun lain iaitu N.70 Kukusan, N.71 Tg. Batu dan N.73 Sebatik. Sejak 1990an, seramai enam (6) orang Adun telah dipilih mewakili dun ini, bermula dengan Mohd Said Senang (1986-90, USNO & 1990-94, BN), DSP Abdul Ghapur Salleh - (1981-85, 1985-86, BERJAYA & 1994-1999, UMNO-BN), Dr. Patawari Patawe (1999-2004, UMNO/BN), Tan Sri Liew Yun Fah (2004-08, LDP/BN), Pang Yuk Ming (2008-13 & 2013-18, LDP/BN) dan kini Sarifuddin Hata - Parti Warisan (2018-20 & 2020-25).
Infografik 1: Demografi Pemilih Dun N.72 Merotai
Demografi Dun N. 72 Merotai
Berpandukan data daripada SPR Sabah bagi Suku Tahun November (ST Nov 2024), pengundi dalam kelompok umur 40 tahun dan ke bawah menjadi kelompok umur dominan (57.2%) daripada keseluruhan pengundi yang ada di dun Merotai. Faktor calon muda, dijangka bakal menjadi pertimbangan dan kriteria penting mempengaruhi pola pengundian.
Bumiputra Islam - BI menjadi kaum dominan (55.7%) berbanding KDMR (20.8%) dan Cina (13.3%). Etnik Bugis menjadi etnik majoriti di Dun Merotai, maka tidak hairanlah jika tuntutan untuk Merotai ditandingi oleh wakil rakyat dari komuniti Bugis sering dibangkitkan kepada pucuk pimpinan UMNO bahagian dan negeri sejak dun ini diwakili oleh Adun daripada LDP (2004-2018). Merotai kali terakhir diwakili Adun dari komuniti Bugis yang menjadi etnik teramai di Merotai adalah pada 2004 menerusi Dr. Patawari Patawe mewakili UMNO/BN.
Kerusi merotai adalah simbol pengorbanan masyarakat Bugis yang meletakkan aspek kesetiaan kepada parti melebihi segalanya dalam perjuangan. Merotai diwakili pemimpin berbangsa Cina dari parti komponen Liberal Democratic Party (LDP) bermula dari 2004-08 (PRU-11) menerusi Tan Sri Liew Yun Fah sebelum diganti oleh Pang Yuk Ming yang memimpin selama dua (2) penggal bermula 2008-13, (PRU-12) dan 2013-18 (PRU-13). Meskipun Merotai majoritinya pengundi Bumiputra Islam, namun ia diwakili oleh LDP atas konsep perkongsian kuasa. Dua (2) kerusi dun majoriti pengundi Bumiputra Islam (BI) yang diberikan kepada LDP semasa era pemerintahan UMNO/BN termasuklah Dun Tg. Kapor (Kudat) yang diwakili Datuk Teo Chee Kang dan Dun Merotai (Kalabakan).
Suara menuntut agar merotai diberikan kepada UMNO khususnya dari komuniti Bugis seringkali kedengaran menjelang pilihanraya, namun disenyapkan oleh kestabilan politik dan kekukuhan pentadbiran UMNO/BN di peringkat pusat dan negeri sehingga PRU-13. Akhirnya ketidak stabilan UMNO diperingkat pusat dan negeri ditambah dengan amarah rakyat setempat telah diterjemahkan pada PRU-14. Hasilnya, Parti Warisan menerusi Ma'mun Sulaiman berjaya menewaskan DSP Abdul Ghapur Salleh bagi kerusi parlimen P.191 Kalabakan dan Sarifuddin menewaskan calon LDP/BN (Lim Ting Khai). UMNO/BN hanya mampu mempertahankan kerusi Tg. Batu menerusi Datuk Hamisa Samat (majoriti 1,986 undi) dan Datuk Abdul Muis Picho di Dun Sebatik (majoriti 193 undi).
Pada PRN-16 (2020), Parlimen P.191 Kalabakan mendapat tambahan satu (1) kerusi Dun selepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan kerusi 13 Dun Sabah. Pengaruh Warisan khususnya di Pantai Timur seakan sukar digugat apabila memenangi tiga (3) daripada empat (4) kerusi Dun dalam Parlimen Kalabakan menerusi Rina Hj. Jainal (N.70 Kukusan), Sarifuddin Hata (N.72 Merotai) dan Hassan A Gani Pg. Amir (N.73 Sebatik), sementara UMNO menerusi Andi Muhammad Suryady Bin Bandy memenangi dun N.71 Tg. Batu. Namun malang buat Warisan apabila Adun Sebatik dan Kukusan bertindak isytihar keluar parti selepas PRN-16.
Siapa Pemimpin Pilihan Rakyat
Tiga watak utama mewarnai politik Dun Merotai selepas PRN-16 serta mencipta gelombang yang tersendiri iaitu Adun Penyandang Sarifuddin Hata - (Warisan, 2 penggal), Jailani Chachu @ Cikgu Jai (PPBM - PGRS/GRS) dan Tan Sri Datuk Liew Yun Fah (PHRS/GRS). Namun kehadiran calon bidang terjun yang diperkuat dengan jentera kerajaan dan dana besar, menyajikan persepsi dan penerimaan yang berbeza-beza antara pengundi Merotai.
Infografik 2: Figura Politik Paling Menonjol Menjelang Hari Penamaan Calon
Sarifuddin Hata (Adun 2 Penggal)
Dua penggal berkhidmat selaku wakil rakyat Dun Merotai, sudah cukup untuk mengambarkan kehebatan dimiliki sosok ini. Pada PRN-16 lalu, daripada enam (6) Daerah Mengundi (DM) dalam Dun Merotai, beliau menang di lima (5) DM, sementara satu (1) DM berakhir dengan keputusan seri. Beliau turut mencatat kemenangan bagi undi pos dan mengalami kekalahan di Undi Awal (PGA Tawau). Lebih manis, turut berjaya memperoleh undi popular 47 peratus, iaitu hampir separuh daripada keseluruhan pengundi yang keluar mengundi pada PRN-16.
Tampil selaku pemimpin yang dilihat sederhana dalam tutur kata dan keperibadian, serta petah dan lantang dalam menyuarakan setiap permasalahan rakyat dalam perbahasan di Dun Sabah, menjadi kriteria utama untuk beliau mempertahankan Dun Merotai bagi penggal ketiga.
Namun untuk PRN-17 kali ini, beliau dilihat sedikit bergelut dengan masalah peruntukkan yang terhad, kewangan parti yang tidak kukuh dan limitasi jentera khususnya berdepan dengan calon yang serba serbi menggunakan premis dan jentera kerajaan serta dana politik yang besar. Namun jika ideologi kaum menjadi kriteria pengukuran oleh pengundi di Dun Merotai, tidak mustahil beliau akan sekali lagi berupaya mempertahankan kerusi yang disandang kini. Selaku wakil rakyat dengan mandat yang telah diberikan, beliau konsisten dengan prinsip wakil bagi semua rakyat dan pengundi khususnya di Dun N.72 Merotai.
Infografik 3: Analisa Ringkas Prestasi Adun Warisan (Sumber; Scoresheet PRN-16)
Jailani Chachu @ Cikgu Jai (PGRS-GRS)
Antara individu yang telah bergerak aktif selepas PRN-16 lalu. Muncul antara pesaing terkuat Sarifuddin dengan mengumpul undi kedua tertinggi (2,471 undi), menjadi motivasi untuk beliau bergerak aktif di kawasan. Tidak dibayangi dengan kekecewaan tewas kepada Sarifuddin pada PRN lalu, beliau bangkit menggandakan gerak kerja kempen dan aktiviti mendampingi rakyat. Untuk rekod, Cikgu Jai juga merupakan mantan ahli PKR (Bekas Timb. Ketua Cabang PKR Kalabakan) dan lineup Dato' Seri Mohamed Azmin Ali yang dicalonkan mewakili PPBM/PN pada PRN-16.
Menjadi Ketua Bahagian Gagasan Rakyat (PGRS) sejak parti itu secara rasminya diambil alih oleh DS. Hajiji Noor (Februari 2023). Namun, kemunculan calon payung terjun (Ruji Ubi) yang dikatakan daripada lineup TYT Musa Aman, menyaksikan beliau menjadi korban politik pertama GRS. Secara taktikalnya, jika Ruji berjaya memenangi kerusi Merotai, peluang untuk Cikgu Jai bertanding pada PRN akan datang telah tertutup selagi mandat GRS-PH berjaya dikekalkan selepas PRN-17. Ini suatu kehilangan besar buat pengundi Merotai khususnya individu yang telah bergerak lama di kawasan mendampingi pengundi dan sering mendapat pengiktirafan rakyat sebagai gandingan mantap (gandingan serasi antara Sarifuddin dan Cikgu Jai).
Brig. Jen (B) Tan Sri Datuk Liew Yun Fah (PHRS-GRS)
Orang lama atau otai yang juga mantan Adun Merotai sepenggal mewakili parti LDP/BN (2004-2008) dan cukup dikenali di kawasan dengan keramahannya. Banyak memperjuangkan masalah rakyat, khususnya di Dun Merotai. Memperoleh undi ketiga tertinggi (1,779 undi) selepas Cikgu Jai dan dilabel sebagai pengkhianat oleh sebahagian besar cybertrooper GRS semasa PHRS bukan sebahagian daripada komponen GRS/PN kerana bertindak sebagai pemecah undi yang mengakibatkan Cikgu Jai gagal memenangi kerusi berkenaan daripada Warisan pada PRN-16 lalu. Beliau antara individu penting yang turut menjadi mangsa korban politik GRS demi memberi laluan kepada calon payung terjun.
Ramai penyokong beliau mempersoalkan kehadiran Ruji memandangkan TS Liew memegang kuota Presiden Parti Harapan Rakyat (PHRS) dan seharusnya diberi keutamaan untuk bertanding di merotai berbanding PH. Selaku individu yang digelar otai dan sering tampil dengan keputusan luar jangka, tidak mustahil beliau akan membuat kejutan menjelang hari penamaan calon. Bergerak solo pada PRN-17 kali ini, bukan benda yang mustahil bagi beliau memandangkan situasi serupa telah berlaku pada PRN-16. Jika dicongak, tidak mustahil untuk beliau memberi saingan sengit pada PRN-17 berbekalkan gerak kerja kempen yang dimulakan lebih awal serta undi protes ahli GRS.
Untuk rekod, PHRS diambil alih sepenuhnya oleh TS. Liew pada 2020 daripada Allahyarham DSP Lajim Ukin setelah parti berkenaan dibubarkan demi memberi laluan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia - PPBM (BERSATU) ke negeri Sabah. PHRS semasa PRN-16 bertanding di lima (5) kerusi Dun menerusi Dayang Aezzy Binti Liman (N.34 Lumadan), Ariffin Bin Kassim Ibong (N.67 Balung), Yapp Yin Hoau (N.69 Sri Tanjong), Wong Jin Soon (N.70 Kukusan) dan Tan Sri Liew Yun Fah (N.72 Merotai).
PHRS selaku komponen GRS memiliki satu (1) kerusi dun yang diperolehi menerusi Rina Hj. Jainal yang melompat parti meninggalkan Warisan. Ramai pihak menjangkakan bahawa Tan Sri Liew bakal menggunakan kuasa veto selaku Presiden PHRS dengan menggugurkan Rina dan bertanding di N.70 Kukusan. Namun semua itu masih terlalu awal untuk diputuskan memandangkan belum ada keputusan rasmi berhubung status dun Merotai daripada kepimpinan tertinggi GRS.
Datuk Ruji Ubi (PKR - GRS/PH)
Tampil dengan reputasi hebat selaku mantan KSU KDN, beliau dilihat mampu memberi nafas baru dalam mencorak transformasi di Merotai. Gerak kerja kempen yang agresif dengan mendampingi pengundi yang telah dimulakan dua (2) bulan lepas, iaitu sejak desas-desus nama beliau dicalonkan oleh PKR untuk bertanding mewakili parti berkenaan pada PRN-17. Malah kekuatan jentera diperkuat dengan kehadiran Menteri KDN (YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) selaku pemimpin angkat bagi PRN-17 ini, memberi isyarat jelas bahawa kubu Warisan akan digempur sehabisnya.
Infografik 4: Maklumat Sulit Gerak Kerja PKR Merotai Yang Tersebar Luas
Wujud sumber dalaman parti yang mengatakan Datuk Ruji Ubi adalah calon lineup TYT Musa Aman dan mendapat restu untuk bertanding dikerusi Merotai. Malah ada yang melabel beliau selaku calon anugerah Musa dan bukan pilihan parti. Beliau antara tiga (3) nama yang disenaraikan selaku calon lineup TYT Musa Aman dengan dua lagi adalah Hafeez Musa (N.35 Sindumin) dan Jamawi Jaafar (N.42 Melalap).
Kebenaran khabar angin tersebut masih menjadi persoalan, namun gerak kerja kempen dikawasan yang telah digerakkan kini, berjaya menepis tanggapan bahawa beliau adalah calon payung terjun, sebaliknya calon pilihan parti. Sokongan padu daripada jentera parti di peringkat Persekutuan dan memaksimakan sepenuhnya jentera kerajaan, dilihat menjadi senjata ampuh beliau mendepani kempen awal PRN-17 menjelang hari sebenar kempen iaitu pada 15 November 2025 nanti. Namun pelbagai cerita sumbang mengaitkan hubungan beliau dengan jentera tempatan yang tidak mesra, sombong dan perangai PALATAU jentera PH pusat menjadi ancaman buat Ruji.
Isu calon luar, turut kedengaran khususnya di kalangan masyarakat setempat. Sentimen ini akan menjadi faktor penolak, khususnya bagi pengundi di Merotai apatah lagi di kalangan pengundi yang tahu asal usul Datuk Ruji Ubi.
Rekod semakan daftar pemilih ST2 2022 dan ST November 2024, Datuk Ruju Ubi adalah pengundi Tanjung Batu (Lokaliti; 1917102001 - Kg. TG. Batu).
Namun semakan dalam daftar pemilih ST Julai 2025 dan SPR Online mendapati, alamat dan pusat mengundi terkini beliau telah bertukar ke Merotai (DM-Bombalai, Lokaliti; 1917203008 - Kg. Sg. Haji).
Dapat disimpulkan bahawa, pertukaran alamat tempat mengundi Datuk Ruji dilakukan pada tahun ini (2025) sebelum nama beliau diumum selaku calon mewakili PH pada PRN-17.
KESIMPULAN
Pesoalan siapa calon pilihan rakyat akan terjawab di peti undi. Meskipun calon Adun penyandang dilihat agak sukar untuk mempertahankan kerusi Merotai, dengan kelebihan di atas kertas ketika ini memihak Ruji yang dibantu sepenuhkan dengan kekuatan parti dari pusat serta agensi kerajaan dan dana besar, namun masih terlalu awal untuk menentukan soal menang kalah.
Sabotaj daripada jentera parti komponen kerajaan madani, jentera PKR setempat, tindakan tunjuk pandai (PALATAU) jentera pusat melebihi jentera tempatan, kelangsungan politik individu berkepentingan dalam parti komponen kerajaan Madani, pertembungan sesama sendiri, isu nasional yang menghimpit rakyat, isu tiga serangkai (infrastruktur jalan, bekalan air dan letrik) yang masih gagal diselesaikan dan banyak lagi, akan menjadi topik utama rakyat dalam memilih pemimpin yang bakal memperjuangkan nasib mereka untuk tempoh lima (5) tahun lagi.
Persoalan yang perlu difikir oleh pengundi dun Merotai adalah, siapa yang benar-benar layak untuk diangkat khususnya ketika calon yang telah lama berkempen tetapi tidak mendapat tempat pada PRN-17 kali ini. Ke mana arah tuju undi ahli GRS, penyokong Cikgu Jai dan penyokong Tan Sri Liew apabila kedua mereka tidak bertanding? Kemenangan Ruji bererti Merotai bukan lagi kerusi milik GRS sampai bila-bila.
Adakah pemilih Merotai akan meletakkan elemen kaum atau etnik sebagai kriteria pemberat dalam memilih calon sepertimana PRU-14 dan PRN-16 lalu? atau agenda pembangunan menjadi prioriti pengundi.
Profil Dun N.72 Merotai yang masih belum dituntut. Lengkap dengan Data Fizikal War room, pecahan kaum by DM & Lokaliti, pecahan umur by DM & Lokaliti, dan Peta Dun Merotai mengikut format SPR. Siapa cepat dia dapat.
Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022) - kini Gagasan Rakyat (PGRS)
RUJUKAN
Utusan Borneo (27 Sept. 2025); Bekas KSU Ruji Ubi bakal calon PH di DUN Merotai
https://www.utusanborneo.com.my/2025/09/27/bekas-ksu-ruji-ubi-bakal-calon-ph-di-dun-merotai?fbclid=IwY2xjawN2PZxleHRuA2FlbQIxMABicmlkETFCOUhrNWpOQ2p6cjN3MmpPAR4rN6jrkvxpA1uo0hHYI_RGkWHmyazqqPvqOL8dVIUK_SdvCqd8Sz9AjD1Sow_aem__xVbAjPj5HSG2bUXpQO-fw
Jesselton Times (24 Jun, 2025); Disebalik nukilan kisah kejayaan bekas KSU anak jati Merotai Datuk Ruji Ubi.
https://jesseltontimes.com/2025/06/24/disebalik-nukilan-kisah-kejayaan-bekas-ksu-anak-jati-merotai-datuk-ruji-ubi/
BH Online (25 Feb 2021); ADUN Sebatik umum keluar parti WARISAN.
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2021/02/790222/adun-sebatik-umum-keluar-parti-warisan
Sinar Harian (05 JuN 2022); ADUN Kukusan umum keluar Warisan
https://www.sinarharian.com.my/article/205670/berita/politik/adun-kukusan-umum-keluar-warisan
Sinar Harian (05 Feb 2023); Hajiji Presiden Gagasan Rakyat, GRS kini sepenuhnya tempatan.
https://www.sinarharian.com.my/article/243810/berita/politik/hajiji-presiden-gagasan-rakyat-grs-kini-sepenuhnya-tempatan
Sinar Harian (17 Feb 2019); Lajim bubar Harapan Rakyat demi Bersatu.
https://www.sinarharian.com.my/article/13452/berita/politik/lajim-bubar-harapan-rakyat-demi-bersatu
BH Online (05 Apr 2023); LDP, PHRS kini sah sertai GRS.
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2023/04/1086535/ldp-phrs-kini-sah-sertai-grs
Suara.TV (05 Feb 2022); ADUN Warisan Keluar Parti, Umum Sertai PHRS.
https://suara.tv/05/06/2022/adun-warisan-keluar-parti-umum-sertai-phrs/
Sinar Harian (17 Jul 2010); Dewan Rakyat lulus usul tambahan 13 kerusi Dewan DUN Sabah.
https://www.sinarharian.com.my/article/38381/berita/nasional/dewan-rakyat-lulus-usul-tambahan-13-kerusi-dewan-dun-sabah
#PRNSABAH #PRN17SABAH #PRN-17SABAH #PRN_SABAH #PRN17 #PRNSABAH2025














0 Comments