Jika benar khabar angin Datuk Ir. Shahelmey Yahya (Ahli Parlimen P.173 Putatan, Adun N.24 Tg. Keramat) dan Datuk Andi Suryady Bandy (Ahli Parlimen P.191 Kalabakan, Adun N.71 Tg. Batu) bakal bertanding pada PRN-17 nanti, ia bakal mencipta sensasi tersendiri selaku Adun Termahal dalam lipatan sejarah Negara. Kedua-dua figura politik ini tidak hanya terikat dengan akta anti lompat parti bahkan juga perjanjian bersama UMNO/BN, dengan kedua-dua mereka bakal berdepan tindakan undang-undang serta denda RM100juta jika bertanding atas tiket GRS. 

"Jika mereka keluar daripada parti dengan maksud bertanding mewakili GRS, dengan sendirinya kontrak yang mereka tandatangani dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terpakai. Ini bermakna mereka kena membayar balik ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada parti. Itulah nilai bon perjanjian dan ganti rugi yang sudah dipersetujui serta dimeterai di hadapan Pesuruhjaya Sumpah sebelum menerima watikah calon Parlimen dalam PRU lalu".

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung UMNO
BHarian Online, 16 Okt. 2025


Shahelmey yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dilihat tidak berdepan masalah untuk menyelesaikan denda berkenaan memandangkan Projek Pan Borneo dan sebahagian besar projek infrastruktur negeri masih berjalan dan sudah tentu ramai kontraktor sanggup membantu melunaskan denda berkenaan demi imbalan projek pada masa akan datang. Sebaliknya, Andi Suryady yang hanya diberi jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Industri Sabah bakal berdepan kesukaran untuk mendapatkan dana sebesar itu jika bersandarkan kementerian dan jawatan yang disandang ketika ini.

Infografik 1: Perbandingan Keputusan PRN-16 dan PRU-15 antara P.173 Putatan dan P.191 Kalabakan


GRS dalam dilema sama ada untuk mencalonkan semula kedua-dua mereka atau sebaliknya. Meskipun Shahelmey dilihat tidak berdapan kesukaran menjelaskan saman 100juta berkenaan, namun Dun N.24 Tg. Keramat tidak menjanjikan peluang cerah buat Shahelmey untuk kembali menjadi Adun bagi penggal kedua. Demografi pemilih yang majoritinya Bumiputra Islam (73.3%) dengan komuniti Bajau menjadi suku kaum dominan, undi awal yang tidak memihak serta faktor jentera Gagasan Rakyat (PGRS) yang tidak sekuat UMNO/BN selain hakikat bahawa kemenangan pada PRN-16 lalu datangnya daripada undi penyokong tegar dan ahli parti (UMNO/BN). Kesemua ini menjadi faktor penolak seterusnya melupakan hasrat bertanding di Dun Tg. Keramat dan kekal selaku Ahli Parlimen. 

Infografik 2: Keputusan PRN-16 (Dun N.24 Tg. Keramat) dan keputusan PRU-15 (Perspektif Dun N.24 Tg. Keramat)

Seramai 4,106 pengundi awal (ST April 2024) daripada Kem Lok Kawi dengan kecenderungan keluar mengundi antara 58 peratus (PRU-15), pastinya menjanjikan persaingan sengit. Meskipun undi awal cenderung memihak kepada parti kerajaan, namun tidak untuk PRN-17 kerana faktor berlakunya pertembungan sesama sendiri daripada parti kerajaan Madani (GRS & BN). Selain itu, terdapat sekitar 2,000 orang pengundi Cina di Dun Tg. Keramat serta hampir 3,000 pengundi KDMR. Isu perpecahan antara pengundi awal, Cina dan KDMR, sangat mempengaruhi kemenangan Shahelmey.

Menang nyawa-nyawa ikan untuk kerusi Dun (majoriti 1,124 undi, PRN-16) dan Parlimen (majoriti 124 undi, PRU-15) serta bergantung sepenuhnya dengan kekuatan UMNO, menjadi faktor utama untuk Shahelmy terpaksa melupakan hasrat mempertahankan Dun Tg. Keramat bagi penggal kedua selain mempersiapkan mental dan emosi bakal kalah pada PRU-16 yang akan datang.

Infografik 2: Keputusan PRN-16 (Dun N.71 Tg. Batu) dan keputusan PRU-15 (Perspektif Dun N.71 Tg. Batu)

Sebaliknya, bagi Andi Suryadi pula, meskipun berdepan kesukaran menjelaskan saman 100juta, namun Dun Tg. Batu memiliki potensi besar untuk dipertahankan bagi penggal kedua. Tidak gusar dengan sokongan pengundi awal (Dun N.71 Tg. Batu - tiada pengundi awal), demografi pemilih dun yang majoriti pengundi Bumiputra Islam-BI (90%) dengan komuniti Bugis menjadi etnik teramai di Dun ini (80%) daripada keseluruhan pengundi BI, selain penerimaan pengundi muda kepada Andi, semua ini menjadi pertimbangan utama untuk beliau kembali dicalonkan GRS pada PRN-17. 

Meskipun berlaku sabotaj besar-besaran daripada jentera UMNO khususnya jentera Pemuda UMNO P.191 Kalabakan pada PRU-15, namun perolehan undi dari Dun Tg. Batu pada PRN-16 (4,728 undi) meningkat pada PRU-15 (8,191 undi), peningkatan sebanyak 3,463 undi. Peningkatan ini jauh lebih tinggi berbanding Calon Warisan yang juga Ahli Parlimen penyandang (Ma'mun Bin Sulaiman) yang hanya merekodkan peningkatan 1,432 undi. Situasi ini memperlihatkan dengan jelas, Andi tidak bergantung sepenuhnya kepada undi daripada jentera parti  (UMNO/BN), sebaliknya juga melalui undi daripada orang awam (non-partisan) terutama pengundi muda. Dapat disimpulkan, penolakan parti tidak menggugat mahupun mempengaruhi perolehan undi Andi pada PRU-15 dari perspektif Dun N.71 Tg. Batu.

Lebih manis buat Andi, apabila beliau berjaya mengembalikan maruah UMNO di kerusi Parlimen P.191 Kalabakan yang mengalami kekalahan pada PRU-14 apabila Allahyarham DSP Abdul Ghapur Salleh tewas mengejut kepada calon Warisan (Ma'mun Sulaiman) dengan majoriti 3,187 undi dalam pertembungan empat (4) penjuru. Kemenangan Andi pada PRU-15 dengan majoriti 9,100 menjadi isyarat jelas bahawa faktor parti bukan lagi penentu mutlak kemenangan calon, sebaliknya faktor personaliti calon dan faktor calon muda turut mempengaruhi pola pengundian pemilih khususnya di parlimen Kalabakan.

Sama ada sejarah Adun termahal (210juta) dengan 200juta untuk menjelaskan saman UMNO/BN serta baki lagi 10juta untuk kos kempen PRN-17 (RM5 juta setiap Adun kawasan tumpu), bakal tercipta atau sebaliknya, ia kekal menjadi rahsia parti. Persoalannya, adakah GRS sanggup membazir dana 210 juta untuk menyelamatkan kedua-dua adun ini atau sebaliknya memberi laluan kepada calon lain dan membiarkan keduanya fokus kepada kerusi Parlimen yang disandang ketika ini, segalanya hanya akan terjawab pada hari penamaan calon (15 November 2025).


Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022) - kini Gagasan Rakyat (PGRS)



RUJUKAN

BHarian (16 Okt 2025); PRN Sabah: 'Denda RM100 juta jika bertanding tiket GRS' - Aysraf Wajdi beri amaran 2 MP UMNO
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/10/1459670/prn-sabah-denda-rm100-juta-jika-bertanding-tiket-grs-aysraf-wajdi

Sinar Harian (24 Okt 2025); PRN Sabah: Shahelmey timbang pertahan DUN Tanjung Keramat atau kekal di Putatan
sinarharian.com.my/article/753923/berita/politik/prn-sabah-shahelmey-timbang-pertahan-dun-tanjung-keramat-atau-kekal-di-putatan

Wikipedia
Putatan; https://ms.wikipedia.org/wiki/Putatan_(kawasan_persekutuan)
Kalabakan; https://en.wikipedia.org/wiki/Kalabakan_(federal_constituency)

Kredit SPR, JASA, PPBM Alamesra, Gagasan Rakyat Alamesra, IKRAR:
Daftar Pemilih; ST November 2022
Daftar Pemilih; ST November 2025
Daftar Pemilih; ST Julai 2025
Scoresheet PRU-14
Scoresheet PRN-16
Scoresheet PRU-15

PRU-15, PRN-16, PRN16, PRN17, PRN-17, PRN-17 Sabah
#PRU-15, #PRN-16, #PRN16, #PRN17, #PRN-17, #PRN-17 Sabah