Mustapha Sakmud


Teka-teki berhubung kerusi yang bakal ditandingi oleh Mustapha Sakmud selaku Pengerusi Majlis Pimpinan (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sabah yang menyandang jawatan berkenaan bermula Mei 2024 daripada Datuk Sangkar Rasam, masih menjadi tanda tanya. Memimpin negeri dengan rekod buruk sepanjang menjadi calon PKR khususnya di kerusi Dun dalam Parlimen P.169 Kota Belud pada pilihanraya lalu dengan keputusan kalah semua (PRU-13, PRU-14 dan PRN-16), menjadi igauan negeri untuk mengepalai PKR menjelang PRN-17 Sabah.

Beliau yang ditolak sepenuhnya oleh pengundi P.169 Kota Belud dan terpaksa beralih ke Parlimen P.171 Sepanggar pada PRU-15 menggalas tugas untuk memimpin PKR Sabah pada PRN-17 kali ini. Beliau ketika ini kekal berahsia berhubung kerusi dun yang bakal ditandingi, memandangkan proses rundingan GRS-PH masih berjalan. Berikut disenaraikan beberapa kawasan jangkaan yang mungkin berada dalam jangkauan radar politik Mustapha.

Tampil sebanyak dua kali (PRU-14 dan PRN-16), menjadikan dun Tempasuk sebagai kawasan berpotensi untuk beliau tandingi. Pernah memperoleh undi 5,478 (35.95%) pada PRU-14 ketika PH menjalin kerjasama bersama Parti Warisan. Tempasuk menjadi kerusi berpotensi besar untuk ditandingi mengambilkira faktor PH kini sebahagian daripada parti komponen kerajaan negeri GRS-PH.

Namun status Dun N.09 Tempasuk kini milik adun penyandang dari PGRS/GRS Datuk Mohd Arsad Bistari yang melompat daripada UMNO ketika Langkah Kinabalu memuncak (April 2023). Pada PRN-16, Arsad tampil selaku calon muda mewakili UMNO/BN dalam pertembungan enam (6) penjuru menentang Mustapha Sakmud (1,852 undi: 20.3%) dan mantan Adun penyandang dari UMNO (Datuk Musbah Jamli) yang bertanding selaku calon Bebas (2,355 undi: 25.8%). 


Menurut sumber dalaman PGRS, parti berkenaan merancang untuk memberi laluan kepada Datuk Abdul Rahman Dahlan (DARD) selaku proksi DS. Hajiji dan keputusan itu turut direstui oleh Arsad Bistari kerana faktor peribadi (bekas bos Arsad). Namun perancangan tersebut seakan tidak menjadi apabila kem DSP. Bung Moktar telah mencalonkan DARD untuk bertanding di dun N.13 Pantai Dalit menentang Datuk Jasnih Daya yang juga antara Adun UMNO yang melompat parti menyertai GRS semasa kemelut Langkah Kinabalu. Malah nama DARD turut dicanang bakal bertanding di dun N.12 Sulaman menentang Ketua Menteri DSP Hajiji Noor. Ramai yang menjangkakan ini sebagai sebahagian usaha terancang untuk membunuh karier politik DARD dalam UMNO.

Sumber terdekat UMNO juga memaklumkan, jika Mustapha dicalonkan bertanding di Dun N.09 Tempasuk, beliau tidak berdepan masalah untuk memenangi kerusi berkenaan kerana dijanjikan sokongan padu oleh DSP Salleh Said Keruak yang bertekad untuk mematikan karier politik Arsad yang dilabel sebagai pengkhianat parti. Namun berpandukan kenyataan DSP Bung Moktar, tampak seakan UMNO telah memuktamadkan calon yang bakal mewakili UMNO di dun Tempasuk. 


Antara dun berpotensi untuk dilobi oleh kedua-dua gabungan GRS dan PH. Darau kini disandang oleh Adun daripada Warisan iaitu Azhar Datuk Haji Matussin yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 562 undi menewaskan calon UMNO/BN Datuk Jumat Idris dalam pertembungan enam (6) penjuru. Namun untuk PRN-17, Gagasan Rakyat (PGRS) bakal meletakkan SUA Gagasan Rakyat Datuk Razali Razi bertanding di kawasan berkenaan yang turut mendapat suntikan moral dengan kemasukan Datuk Jumat Idris. Dun Darau hampir mustahil untuk ditandingi Mustapha, memandangkan Inanam telah diwakili oleh Adun dari PKR (YB Pito Galim). Untuk rekod P.171 Sepanggar kini disandang Mustapha yang terbahagi kepada tiga (3) dun iaitu N.16 Karambunai (Datuk Yakub Khan - UMNO/BN), N. 17 Darau (Azhar Matussin - Warisan) dan N.18 Inanam (Peto Galim - PKR). 


Meskipun Darau adalah kawasan majoriti pengundi BI (58%), namun pengundi Cina (14%) dan KDMR (26%) menjadikan dun ini memberi potensi seimbang kepada setiap parti politik bertanding. PGRS amat berharap kepada sokongan masyarakat KDMR dan Cina yang merupakan penyokong kuat PH, memberi undi kepada parti berkenaan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani. Seperti yang berlaku pada PRU-15, wujud kebarangkalian akan ada beberapa Dun bakal dikorban untuk memberi laluan kepada Razali (Darau) dan Mandela (Moyog) bertanding pada PRN-17. 

Semalam (31 Oktober 2025), Mustapha memaklumkan yang PKR sedang mengintai untuk bertanding di Dun N.50 Gum-gum dan N.54 Karamunting. Wujud persoalan, adakah Datuk Hiew Vun Zin (N.54 Karamunting) yang melompat parti dari Warisan menyertai PGRS, menjadi korban pertama DS. Hajiji dalam usaha menampilkan generasi pelapis yang juga orang kepercayaannya mewakili parti itu pada PRN-17. Pada PRU-15 lalu, DS Hajiji mengorbankan kerusi P.177 Beaufort (DSP. Azizah Dun) dan P.183 Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee) untuk memberi laluan kepada Armizan Mohd Ali (P.175 Papar) dan Khairul Firdaus Akbar Khan (P.185 Batu Sapi). 

Wujud desas-desus yang bertiup kencang bahawa kerusi N.20 Api-Api adalah kerusi berpotensi dan selamat untuk ditandingi oleh calon PKR terutamanya Mustapha Sakmud selaku Pengerusi PKR Sabah yang baharu. Kekalahan Adun penyandang (YB Christina Liew) dalam pemilihan parti pada April 2025 serta gagal mempertahankan jawatan selaku Pengerusi PH Sabah setelah kalah 3 undi kepada Ewon Benedict (UPKO) pada Disember 2024 lalu,  menjadi isyarat jelas penolakan terhadap Christina. Terdahulu, pada PRU-15 beliau turut gagal mempertahankan kerusi Parlimen P.190 Tawau ditangan calon muda Loh Su Fui (PBS/GRS). 

Gagal mempertahankan Jawatan Ketua Cabang PKR P.172 KK setelah tewas kepada Lee Lei Mei pada April lalu, dikatakan menjadi isyarat jelas bahawa ini merupakan penggal terakhir beliau selaku adun PKR untuk dun N.20 Api-Api. Namun persoalan siapa bakal mewakili PKR, masih menjadi persoalan.


Kesimpulan
Tampil selaku pengerusi PKR Sabah yang baharu, menjadi tugas berat ditambah dengan rekod penyertaan dalam pilihanraya negeri yang tidak memihak beliau, menjadi tugas berat mendepani PRN-17. Track record PH pada PRU-13 yang berjaya memenangi 11 kerusi dengan tujuh (7) daripadanya dimenangi oleh calon PKR (Jelani Hamdan - Matunggong, Jeremmy Malajad - Kadamaian, DSP Wilfred Bumburing - Tamparuli, Christina Liew - Api-Api, Dr. Roland Chia - Inanam, Terrece Siambun - Moyog dan DSP Lajim Ukin - Klias) serta turut memenangi kerusi P.174 Penampang menerusi Darell Leiking, menjadi penanda aras menguji kemampuan sebenar Mustapha dalam mengemudi PKR Sabah. 


Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022) - kini Gagasan Rakyat (PGRS)



RUJUKAN

BH Online (05 Jan 2023); 'Langkah Kinabalu' gagal, cubaan jatuhkan Hajiji tak menjadi.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1048155/langkah-kinabalu-gagal-cubaan-jatuhkan-hajiji-tak-menjadi

BH Online (28 Mac 2025); PRN17: Abdul Rahman ungkit penentuan kerusi UMNO Tuaran.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1378193/prn17-abdul-rahman-ungkit-penentuan-kerusi-umno-tuaran

Suara TV (01 Nov 2025); Rahman Dahlan tersingkir atau Tempasuk?
https://suara.tv/01/11/2025/rahman-dahlan-tersingkir-atau-tempasuk/

Penerangan Gagasan Rakyat (15 Okt 2023); Bekas Ahli Parlimen Sepanggar sertai Gagasan Rakyat.
https://gagasanrakyat.my/bekas-ahli-parlimen-sepanggar-sertai-gagasan-rakyat/

Daily Express (01 Nov 2025); PKR intai dua kerusi di Sandakan.
https://www.dailyexpress.com.my/news/269518/pkr-intai-dua-kerusi-di-sandakan/

Astro Awani (04 Mac 2023); ADUN Karamunting pemimpin kesebelas 'ceraikan' Warisan.
https://www.astroawani.com/berita-politik/adun-karamunting-pemimpin-kesebelas-ceraikan-warisan-409222

MalaysiaKini (21 Apr 2025); Pemilihan PKR Sabah: Christina tersingkir, gagal pertahan ketua cabang KK.
https://www.malaysiakini.com/news/740894

Mustapha Sakmud Usukan Tempasuk Darau Api-Api