Teringat semasa PRN-16 (2020) dan semasa kempen PRU-15 (2022), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dilabel sebagai parti yang main dua kolam. PAS ketika itu berada dalam dua gabungan Muafakat Nasional (MN) yang menjalin kerjasama bersama UMNO/BN serta turut menjadi komponen Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PPBM dan sebahagian kecil bekas ahli parlimen PKR. Itu cerita PRU-15 yang sudah tercatit dalam lembaran politik negara.
Namun untuk PRN-17 kali ini, istilah main dua kolam, kembali mencuri tumpuan. Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, PAN dan UPKO yang menjadi komponen minoriti dalam gabungan kerajaan madani di Sabah dengan tujuh (7) kerusi, dilihat memanfaatkan sepenuhnya kesempatan yang wujud ditengah-tengah kemelut antara BN dan GRS. Meskipun BN dan GRS sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat pusat, namun dalam konteks politik negeri, kedua-dua gabungan ini tidak bergerak sebagai sebahagian daripada entiti yang membentuk kerajaan Madani yang ada pada hari ini.
Keputusan BN untuk bergerak solo, bakal menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara BN dan GRS khususnya di kawasan majoriti pengundi Bumiputra Islam - BI dan KadazanDusun, Murut dan Rungus - KDMR. Situasi ini memberi implikasi besar dan peluang terbuka untuk PH melobi seberapa banyak kerusi baharu yang selama ini tidak pernah dimenangi atau ditandingi oleh mana-mana calon PH.
Rundingan PH-BN Mudah Namun Berisiko
Rundingan bersama UMNO/BN dilihat lebih mudah dan menguntungkan kedua-dua pihak (PH - BN), kerana majoriti kawasan ditandingi BN khususnya UMNO, tidak ditandingi oleh PH. Kenyataan media Pengarah Pilihanraya PH (Datuk Saifuddin Nasution) rundingan kerusi antara PH dan BN telah selesai. Perkembangan ini mengesahkan bahawa, tidak wujud pertindihan yang besar antara kerusi yang dituntut UMNO/BN dengan PH. Malah jika berlaku pertindihan sekali pun, majoriti kerusi yang dituntut mudah untuk diputuskan seterusnya dimuktamadkan.
Antara kawasan bertindih PH-BN yang dijangkakan termasuklah;
1. N.09 Tempasuk & N.17 Darau (PKR - UMNO)
2. N.22 Tg. Aru (DAP & UMNO), N.23 Petagas & N.24 Tg. Keramat (PKR - UMNO)
3. N.41 Liawan (DAP - UMNO)
4. N.45 Sook & N.44 (UPKO - PBRS)
5. N.47 Telupid (UPKO - PBRS)
6. N.62 Silam (PKR - UMNO) & N.61 Segama (PKR - UMNO)
7. N.67 Balung (PKR - UMNO)
8. N.73 Sebatik (PKR - UMNO)
Namun demikian, elemen sabotaj dan undi protes dijangka membayangi gabungan ini. Mengambil contoh Dun N.41 Liawan misalnya, komposisi pengundi Cina dan BI yang seimbang, menjadikan DAP berminat untuk melobi kerusi berkenaan. UMNO/BN menyedari bahawa sokongan DAP amat diperlukan dalam menjamin kemenangan tipis calon BN selaku komponen Kerajaan Madani hari ini. Sumber dalaman kedua-dua parti memaklumkan, wujud kebarangkalian penyokong kedua-dua parti untuk memberi undi kepada parti lawan jika calon daripada kedua-dua parti (UMNO & DAP) tidak dicalonkan.
Adun Penyandang, Sukarkan Rundingan PH-GRS
Majoriti kawasan yang dimiliki oleh GRS adalah DUN berstatus putih dan kelabu. Rundingan bersama GRS khususnya Gagasan Rakyat (PGRS) yang megepalai GRS, mungkin tidak berlaku seperti diharapkan oleh PH Sabah. Ini kerana majoriti kawasan yang dituntut oleh PH adalah kawasan milik adun penyandang dari GRS kecuali beberapa kerusi seperti N.17 Darau (PGRS-PKR), N.22 Tg. Aru (PGRS-PKR), N.26 Moyog (PGRS-UPKO), N.42 Melalap (PBS-PKR), N.54 Karamunting (PGRS-PKR), N.61 Segama (PGRS-PKR), N.62 Silam (PGRS-PKR), N.67 Balung (PGRS-PKR) dan N.72 Merotai (PGRS-PKR).
Strategi Calon Import & Calon Payung Terjun
Pendekatan ini dilihat menjadi strategi yang digunapakai PKR ketika ini. Antara nama besar yang berada dalam radar politik PKR termasuklah YB. Chong Chen Bin (N.04 Tg. Kapor), Hafeez Musa (N.35 Sindumin) dan Jamawi Jaafar (N.42 Melalap). Terdapat juga nama-nama besar lain yang turut tersenarai namun masih diperingkat rundingan memandangkan kawasan tersebut milik Adun PGRS.
Pendekatan calon import dan mencalonkan calon payung terjun dilihat memberi implikasi besar kepada kestabilan jentera PKR Sabah yang melihat kehadiran calon luar (payung terjung) sebagai ancaman seterusnya menafikan hak untuk bertanding Ketua Cabang yang lebih dahulu telah memulakan gerak kerja berkempen di kawasan masing-masing.
Lineup PH atau Lineup Musa Aman?
Kewujudan dan kehadiran calon lineup TYT Musa Aman yang menjadi keluhan akar umbi PKR bukan lagi rahsia parti tapi kini menjadi bualan rakyat. Jentera akar umbi parti yang tidak berpuas hati dengan kewujudan campur tangan pihak ketiga dalam proses penetapan calon dilihat bakal menjadi duri dalam daging merencatkan kemenangan calon PH. Bahkan calon yang cuba ditampilkan ketika ini dan kerusi yang dilobi, tidak lagi selari dengan kerusi dun yang kebiasaan ditandingi oleh PH. Suara akar umbi PH tidak lagi didengari dengan kepimpinan pusat dikatakan semakin giat merekrut seramai mungkin calon payung terjun mewakili PKR pada PRN-17 kali ini. Jumlah kerusi berpotesi untuk ditandingi lebih menjadi keutamaan berbanding memperkasa dan mengangkat pemimpin yang setia dari parti. Antara calon lineup TYT Musa Aman yang diperkatakan termasuklah, Datuk Ruji Ubi (N.72 Merotai), Hafeez Musa (N.35 Sindumin) dan Jamawi Jaafar (N.42 Melalap).
Kerusi Adun Penyandang, Bukan Milik Mutlak GRS
Maklumat dalaman GRS mendedahkan, kerusi selamat (putih) yang disandang oleh Adun dari GRS, turut dilobi oleh calon payung terjun yang baru muncul daripada PKR. Antaranya termasuklah dun N.09 Tempasuk dan N.17 Darau (Mustapha Sakmud-PKR), N.33 Kuala Penyu (UPKO), N.35 Sindumin (Hafeez Musa-PKR), N.54 Karamunting (PKR), N.67 Balung (PKR) dan N.72 Merotai (Datuk Ruji Ubi - PKR). Majoriti kawasan selamat calon GRS turut dilobi oleh PKR.
Malah PKR dilaporkan menggunakan tektik licik dengan menarik atau membeli calon milik GRS untuk bertanding mewakili parti berkenaan antaranya termasuklah, Ben Chong (Adun PGRS N.04 Tg. Kapor) dan Jamawi Jaafar (KB PGRS N.42 Melalap). Pendekatan pancung calon penyandang turut dilaporkan berlaku dibeberapa kawasan yang dilobi oleh calon PH, antaranya termasuklah N.09 Tempasuk (PKR) N.14 Tamparuli dan N.15 Kiulu (UPKO), N.23 Petagas dan N.24 Tg. Keramat (Ag. Husaini - PKR), N.33 Kuala Penyu (UPKO), N.35 Sindumin (PKR), N.54 Karamunting (PKR / DAP) dan N.67 Balung (PKR).
Selaku Pengerusi Majlis Pimpinan (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sabah yang menyandang jawatan berkenaan bermula Mei 2024 daripada Datuk Sangkar Rasam. Memimpin negeri dengan rekod buruk sepanjang menjadi calon PKR pada pilihanraya lalu dengan keputusan kalah semua (PRU-13, PRU-14 dan PRN-16), menjadi igauan negeri menjelang PRN-17 Sabah. Beliau (Mustapha) ditolak sepenuhnya oleh pengundi di kampung halamanya hinggakan terpaksa beralih ke Parlimen P.171 Sepanggar pada PRU-15 setelah mengambil kira faktor pertembungan seimbang antara calon UMNO dan Warisan yang menguntung PKR.
Infografik 2: Mustapha Sakmud Ditolak Pengundi Kota Belud
Demografi pemilih Parlimen P.171 Sepanggar, meskipun majoriti pengundi Bumiputra Islam - BI (59.6%), namun 40% daripada pemilih di Sepanggar datangnya daripada pengundi KDMR (22.9%) dan Cina (17.5%). Persaingan seimbang antara BN dan Warisan di kawasan majoriti pengundi BI, memberi kelebihan kepada PH khususnya di kawasan KDMR dan Cina yang tidak memihak UMNO dan Warisan. Faktor undi sabotaj jentera PPBM terhadap calon UMNO pada PRN-16 (Datuk Jumat Idris) juga berlaku pada PRU-15 (Datuk Yakub) dan situasi ini sememangnya telah dijangkakan oleh PH Sabah ketika itu. Wujud persoalan berhubung kerusi dun yang bakal ditandingi oleh Mustapha Sakmud pada PRN-17 kali ini, memandangkan beliau tidak pernah memenangi sebarang kerusi Dun, dan adakah beliau akan sekali lagi memilih untuk bertanding di luar Kota Belud?
Kesimpulan
Rundingan antara PH dengan BN dilihat tidak berdepat kerumitan dengan majoriti kawasan yang ditandingi oleh kedua-dua gabungan berkenaan tidak bertindih, dan jika bertindih sekalipun ia tidak sukar untuk diselesaikan kerana pilihan kawasan alternatif yang boleh ditandingi oleh kedua-dua gabungan PH-BN adalah tidak terhad. Sebaliknya hasil rundingan antara PH dan GRS hanya akan diketahui di saat-saat akhir menghampiri hari pengumuman calon kedua-dua gabungan berkenaan.
Rundingan agihan kerusi antara GRS-PH diyakini bakal menyaksikan drama dimana Adun penyangdang GRS yang tidak dicalonkan demi memberi laluan kepada calon PH, bakal membuat penampilan bersama parti lain. Sehingga kini, telah kedengaran beberapa calon GRS bakal bertanding atas tiket PN dan Warisan jika nama mereka tidak dicalonkan oleh kepimpinan GRS.
Krisis dalaman GRS dengan tindakan keluar gabungan oleh komponen GRS iaitu STAR dan SAPP membentuk Gabungan Sabah, selain berkelahian antara USNO dengan Adun penyandang untuk kerusi Pintasan (YB Fairuz dan Pandikar Amin Mulia) dan Datuk Yusuf dengan Hafeez Musa (Sindumin), turut merencatkan kelancaran rundingan. Situasi yang melanda BN mahupun GRS, tidak memberi kesan kepada PH terutamanya PKR Sabah yang semakin rancak melobi seberapa banyak kerusi termasuklah kerusi yang bukan menjadi kerusi tradisi parti berkenaan. Konflik dalaman GRS yang turut dibebani dengan skandal rasuah adun Sabah terus menjadi batu loncatan untuk PH menekan seterusnya menjadi senjata menuntut lebih banyak kerusi selamat GRS untuk diberikan kepada gabungan berkenaan menjelang hari penamaan PRN-17 Sabah 15 November 2025.
PH yang ada kini, tidak lagi dilihat sebagai agen pendamai, sebaliknya tidak ubah seperti broker yang berusaha memaksimumkan sebanyak mungkin keuntungan hasil daripada percakaran di antara GRS dan BN. Tindak-tanduk melobi kerusi dun yang disandang Adun dari gabungan GRS, dilihat bakal melemahkan PGRS selaku parti dominan dalam GRS dan kerajaan GRS-PH di Sabah ketika ini. Tidak mustahil drama PRN-16 (2020) bakal berulang, dimana calon yang tidak tersenarai, bertindak keluar parti dan bertanding atas tiket calon Bebas, atau mungkin lebih buruk lagi, iaitu dengan menyertai parti lawan.
Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022) - kini Gagasan Rakyat (PGRS)
RUJUKAN
BH ONLINE (04 Sept. 2022); Tindakan PAS main `dua kolam', sukarkan penyatuan Muafakat Nasional
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/09/996492/tindakan-pas-main-dua-kolam-sukarkan-penyatuan-muafakat-nasional
Sinar Harian (22 Okt. 2025); Rundingan kerusi PH-GRS di peringkat akhir, PH-BN selesai sepenuhnya
sinarharian.com.my/article/753590/berita/politik/rundingan-kerusi-ph-grs-di-peringkat-akhir-ph-bn-selesai-sepenuhnya
Suara TV (25 Ogos 2025); PKR Sabah ‘bungkam’ spekulasi anak Musa Aman sertai parti itu, tanding PRN
https://suara.tv/25/08/2025/pkr-sabah-bungkam-spekulasi-anak-musa-aman-sertai-parti-itu-tanding-prn/
Sinar Harian (11 Okt. 2025); Calon payung terjun cetus gelora PKR Sabah
https://www.sinarharian.com.my/article/752015/berita/politik/calon-payung-terjun-cetus-gelora-pkr-sabah
Sinar Harian (11 Okt. 2025); Selepas Ruji, Jamawi pula dilamar PKR?
https://suara.tv/11/10/2025/selepas-ruji-jamawi-pula-dilamar-pkr/
Malaysia Bangkit (27 Mei, 2025); Dilantik sebagai Pengerusi MPN PKR Sabah, ia adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan – Mustapha Sakmud
https://malaysiabangkit.com/mustapha-sakmud-terima-lantikan-pengerusi-mpn-pkr-sebagai-tanggungjawab-bukan-keistimewaan/
https://en.wikipedia.org/wiki/Mustapha_Sakmud
Jesselton Times (27 Sept. 2025); Bekas KSU Datuk Ruji Ubi bakal calon PH DUN Merotai
https://jesseltontimes.com/2025/09/27/bekas-ksu-datuk-ruji-ubi-bakal-calon-ph-dun-merotai/
Malaysia Kini (29 Okt. 2025); Hubungan GRS, PH dan BN makin tegang akibat pertindihan kerusi
https://www.malaysiakini.com/news/759284
Sabah Media (20 Okt. 2025); PRN17 : Fairuz sedia pertahan kerusi Pintasan, jentera Pemuda Gagasan Rakyat siap siaga
https://sabahmedia.com/2025/10/20/prn17-fairuz-sedia-pertahan-kerusi-pintasan-jentera-pemuda-gagasan-rakyat-siap-siaga/


.jpg)









0 Comments