Seperti pendedahan sebelum ini menerusi artikel Konspirasi Kekalahan PBS Di Parlimen P.170 Tuaran, kerusi P.168 Kota Marudu turut menyajikan siri pengkhianatan dalam sebuah gabungan rapuh yang terbina atas dasar kelangsungan politik.
Merujuk kepada ulasan Dr. Kanul yang menjangkakan persaingan sailang membabitkan Datuk Wetrom (PKDM) dengan Datuk Julita (PBS-GRS) mengambilkira keputusan PRU-15 dan menyifatkan Wetrom sebagai "giant killer", sejujurnya kurang tepat. Datuk Wetrom bukan Giant Killer kerana beliau sendiri merupakan nama besar yang telah membina empayarnya sendiri sejak dari dalam UMNO malah telah terbukti menerusi tindakannya menaja calon PKR (Datuk Jelani Handam) PRU-13 bertanding dikerusi N.04 Matunggong (kini N.05 Matunggong) semata-mata untuk membuktikan bahawa kerusi berkenaan seharusnya diberikan kepada beliau (ketika itu UMNO). Kekalahan PBS yang meletakkan calonnya Datuk Sarapin Magana, telah dijangkakan dengan tujuan untuk memberi isyarat jelas bahawa majoriti pengundi di dun Matunggong adalah suku kaum Rungus dan bukannya KadazanDusun seperti yang digembar-gemburkan pemimpin PBS.
Fakta sebenar kemenangan Datuk Wetrom Bahanda di kerusi P.168 Kota Marudu adalah kerana;
01. Janji DSP Dr. Maximus Yang Dimungkiri
DSP Maximus telah berjanji dengan pengundi di Kota Marudu pada PRU-14 bahawa ia adalah PRU terakhir beliau seterusnya memberi laluan kepada generasi atau pemimpin muda parti bertanding pada PRU-15. Namun, beliau memungkiri janji tersebut dan berkeras untuk bertanding pada PRU-15. Tidak cukup dengan itu, faktor kesihatan juga membatasi gerak kerja kempen DSP Dr. Maximus seterusnya menguatkan sentimen penolakan penyokong dan pengundi Kota Marudu keatas beliau.
02. Faktor Datuk Wetrom (Faktor Calon Itu Sendiri)
Faktor calon itu sendiri, iaitu Datuk Wetrom Bahanda menjadi faktor utama mempengaruhi kemenangan beliau. Fakta jelas boleh dilihat menerusi keputusan PRN-16 dan PRU-15, beliau tetap memenangi kedua-dua PRN dan PRU tersebut meskipun bertanding dengan parti yang berbeza iaitu calon Perikatan Nasional-PN (PRN-16) dan calon PKDM (PRU-15). Tidak wujud permasalahan, jika beliau memilih untuk bertanding di kerusi N.05 Matunggong mahupun N.06 Bandau, kerana kedua-dua kerusi berkenaan merupakan kerusi selamat beliau yang telah dijaga rapi sejak menjadi Ketua UMNO Bahagian P.168 Kota Marudu lagi.
Calon disebut-sebut bertanding dun N.06 Bandau
03. Pertalian Darah Dan Pengkhianatan PPBM/PGRS
Perlu diingat, PGRS ketika itu (PRU-15) belum wujud dan yang ada hanyala PPBM. Umum mengetahui, hubungan kekeluargaan yang kuat antara Datuk Wetrom dengan Datuk Redonah. Meskipun Datuk Redonah kecewa dengan tindakan Datuk Wetrom yang nekad meninggalkan PPBM dan menyertai PKDM semata-mata untuk bertanding di kerusi Parlimen P.168 Kota Marudu pada PRU-15, namun hubungan kekeluargaan itu menjadi pemberat untuk Datuk Redonah mengerahkan sepenuhnya jentera PPBM secara senyap untuk membantu gerak kerja kempen calon PKDM. Tindakan ini berjaya dihidu oleh pemimpin PBS seterusnya menjadi rungutan dan sindiran sinis pemimpin PBS yang melabel Datuk Redonah sebagai pengkhianat kerana tidak membantu calon PBS (DSP Dr. Max) dan menjadi punca kekalahan PBS di Kota Marudu.
04. Komposisi Kaum Rungus Yang Sering Dinafikan
Selepas persempadanan semula (17 Julai 2019), Kota Marudu kini memiliki tiga (3) kerusi Dun, N.05 Matunggong, N.06 Bandau dan N.07 Tandek. Sejak sekian lama, suara masyarakat suku-kaum Rungus yang menjadi pengundi majoriti di Dun Matunggong dan Bandau seringkali dinafikan. Kerusi Matunggong pernah dicadangan oleh DS. Zahid Hamidi pada PRU-14 untuk dipinjamkan kepada UMNO-BN, namun cadangan tersebut ditolak dan dengan angkuh PBS menyifatkan cadangan tersebut sebagai 'tidak sesuai dan tidak masuk akal'.
PBS dilihat tidak serik meskipun telah kalah di Dun Matunggong (PRU-13) kepada calon PKR tajaan Datuk Wetrom (Datuk Jelani Hamdan) namun PBS kekal dengan keangkuhannya dan menyifatkan kerusi berkenaan adalah kerusi majoriti KadazanDusun dan bukannya Rungus. Menyedari peluang untuk PPBM bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu pada PRU-15 semakin tertutup, maka jalan terbaik adalah dengan keluar parti dan menyertai PKDM. Akhirnya tindakan itu berbaloi dan berjaya memadam keegoan PBS yang selama ini beranggapan kerusi Parlimen dan Dun dalam Kota Marudu sebagai kubu dan kerusi putih parti berkenaan.
Untuk rekod, terdapat dua (2) lagi kerusi DUN yang berlaku persilangan namun hanya melibatkan kerusi sesama parti komponen iaitu antara PBS (Kadamaian) dan UPKO (Bingkor) semasa PRU-14.
05. PBS Yang Gagal
Perlu diingat, selepas persempadanan semula (2002), Kota Marudu dan Dun dalam perlimen berkenaan diwakili oleh parti PBS. Namun apa yang menyedihkan, Kota Marudu tersenarai sebagai salah satu daripada lapan (8) daerah termiskin di Sabah (Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu). Malah sehingga kini, masih terdapat kawasan luar bandar yang tercicir dari liputan infrastruktur jalan raya, air dan telekomunikasi. Lebih memilukan terdapat kawasan yang hanya boleh dihubungi menggunakan jalan darat menggunakan khidmat kenderaan pacuan empat roda. Sentimen Sabah for Sabahan yang sering dimainkan, dilihat gagal membawa sebarang manfaat kepada rakyat dan pengundi di Kota Marudu.
Scoresheet keputusan PRU-15 (Perspektif DUN - Daftar pemilih ST November 2022)
Merujuk kepada keputusan PRU-15 berdasarkan perolehan undi mengikut Dun, menang di keseluruhan Daerah Mengundi (DM) di dun Matunggong dan menang 10 daripada 13 DM di Bandau, jelas memperlihatkan pengaruh sebenar Datuk Wetrom berbanding calon GRS (DSP. Dr. Max). Keputusan ini mencerminkan realiti sebenar kedudukan goyah PBS Kota Marudu pada PRN-17 khususnya di Matunggong. Tidak mustahil PKDM berupaya memenangi dua (2) kerusi dun (Matunggong & Bandau) pada PRN-17 nanti.
Merujuk kepada andaian Dr. Kanul yang menjangkakan Datuk Wetrom bakal bertanding di Dun Matunggong pada PRN-17 nanti mengambilkira keputusan PRU-15 yang menyaksikan beliau menerima undi tertinggi di Dun N.05 Matunggong berbanding calon PBS-GRS Datuk Dr. Maximus, andaian itu mungkin berlaku jika;
Datuk Redonah Bahanda diletakkan selaku calon PGRS di Kerusi Bandau
Hanya hubungan kekeluargaan bakal merealisasikan andaian untuk Datuk Wetrom bertanding di kerusi Dun Matunggong. Situasi ini menjadi jangkaan DKMSabah sebagai konspirasi Keluarga Bahanda mengukuhkan kedudukan dalam arena politik di Kota Marudu seterusnya menjadi suara masyarakat Rungus yang selama ini dinafikan pemimpin PBS. Situasi ini menjadikan Keluarga Bahanda bakal menguasai tiga (3) kerusi Dun N.04 Tg Kapor (Datuk Verdon) N.05 Matunggong (Datuk Wetrom) dan N.06 Bandau (Datuk Redonah) selepas PRN-17 kelak selain kini telah berjaya menguasai dua (2) kerusi Parlimen P.167 Kudat (Datuk Verdon) dan P.168 Kota Marudu (Datuk Wetrom).
Tiada alasan lain mengukuhkan andaian untuk Datuk Wetrom Bahanda bertanding di Dun Matunggong melainkan Datuk Redonah dicalonkan PGRS bertanding di Dun Bandau. Merujuk keputusan PRU-15 untuk mengukuhkan andaian bahawa Datuk Wetrom bakal berubah angin dengan bertanding di Dun Matunggong pada PRN-17, bukanlah alasan kukuh, kerana Parlimen dan Dun yang terdapat dalam Parlimen Kota Marudu adalah unik, malah kedua-dua kerusi dun berkenaan (Matunggong dan Bandau) merupakan kerusi selamat bagi Datuk Wetrom.
Perlu diingat, calon yang bertanding mewakili PBS pada PRU-15 (DSP Dr. Maximus) merupakan calon yang telah ditolak dan beberapa kali pada PRU terdahulu hanya mampu menang dengan majoriti tipis berbanding pesaingnya Datuk Maijol Mahap. Datuk Maijol nyaris berjaya mengalahkan DSP. Dr Maximus pada PRU-13 (Maximus menang majoriti 842 undi) dan PRU-14 (Maximus menang majoriti 1,774 undi) ketika beliau bertanding mewakili Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) milik Allahyarham DSP Lajim Ukin.
Malah jika PGRS mencalonkan Datuk Redonah sekalipun, keputusan tersebut turut akan mengundang sabotaj dan balas dendam tidak hanya daripada pemimpin dan ahli PBS bahkan juga Ketua Bahagian PGRS (Datuk Maijol Mahap) yang turut melobi selaku calon mewakili PGRS PRN-17.
Kesimpulan
Kerusi Dun N.05 Matunggong dan N.06 Bandau merupakan kerusi selamat bagi Datuk Wetrom Bahanda mengambilkira sejarah kekalahan PBS semasa PRU-13 (2013) dan dengan mengambilkira keputusan PRN-16 (2020) dan PRU-15 (2022). Suka dijelaskan, faktor utama kemenangan Datuk Wetrom adalah faktor calon itu sendiri dan diperkuat dengan sentimen kaum (suku kaum Rungus pengundi dominan) di kedua-dua dun berkenaan. Menang meskipun bertanding mewakili parti berbeza, menjadi bukti ketokohan beliau diterima pengundi di Kota Marudu berbanding mana-mana calon PBS yang lain. Tidak tepat untuk meletakkan beliau sebagai "Giant Killer" kerana beliau sendiri sebenarnya jauh lebih berpengaruh berbanding mana-mana calon PBS yang ada di Kota Marudu. Mengambilkira prestasi semasa PBS, Datuk Wetrom dilihat tidak berhadapan masalah besar untuk memenangi mana-mana kerusi (Matunggong dan Bandau) pada PRN-17 nanti.
Dapatan penting berpandukan scoresheet PRU-15, kedua-dua dun tersebut merekodkan peratusan keluar mengundi kurang 65 peratus, atau dengan kata mudah, hampir 10 ribu pengundi tidak keluar mengundi. Situasi ini memberi gambaran jelas, setiap calon memiliki potensi seimbang jika berjaya mengesan pengundi yang tidak keluar membuang undi pada PRU-15 yang lalu.
Sekian,
Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022)
RUJUKAN:
DKMSabah (10 Apr 2025); Konspirasi Kekalahan PBS Di Parlimen P.170 Tuaran
Sabah News Today (04 Jun 2025); Pertembungan Sailang Wetrom KDM-Julita GRS di DUN Matunggong Dalam PRN – Dr Kanul
Utusan Borneo (12 Apr 2018); PBS tolak cadangan pinjam kerusi DUN Matunggong kepada UMNO
MalaysiaKini (08 Ogos 2002); SPR pamerkan persempadan semula kerusi Parlimen dan Negeri mulai hari ini
The Star GE-14
Astro Awani (17 Jul 2024); PBS tolak 10 daerah termiskin, lapan daripadanya adalah di Sabah
Malaysia Kini (17 Jul 2019); Dewan Rakyat luluskan usul persempadanan semula Sabah
Scoresheet PRU-13; Ehsan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah & SPR
Scoresheet PRU-14; Ehsan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sabah & SPR
Scoresheet PRU-15; Ehsan Unit Data Analisa PPBM Alamesra - Sabah & SPR
#today #love #instagram #instagood #like #photography #life #photooftheday #follow #trending #happy #picoftheday #instadaily #fashion #art #photo #nature #beautiful #viral #me #india #motivation #music #news #new #insta #smile #style #likeforlikes #day
0 Comments