JULAI DAN SURVIVAL KERAJAAN SABAH


https://dkmsabah.blogspot.com/b/post-preview?token=APq4FmD5FushgEQO0um87NUN9UPy1sXV41rFTGNki0YNEUk0CM5ZlHqevOvH44rnMN27YfSz_N1aakuccJnaUophq7P99kavq_O5sv7dXKmAvebGHP46ZM2FbzTEYae1MUCLS5HTmQuC&postId=5059883522808611728&type=POST

Tarikh 13 Julai 2020 bakal menjadi penentu bagi survival politik kerajaan negeri Sabah yang diketuai Parti Warisan Sabah (PWS) dengan rakan gabungan daripada PKR, DAP (Pra PRU-14) dan UPKO (Pasca PRU-14), kerana pada tarikh bersebut bakal berlangsungnya Sidang Parlimen dalam situasi norma baharu selepas sidang singkat pada 18 Mei 2020 yang lalu akibat penularan wabak Covid19. Mengambil kira situasi politik semasa negeri, dengan tindakan keluar parti oleh Adun N.26 Kuala Penyu (Datuk Limus Jury) dan N.40 Sugut (Datuk James Ratib) selain tindakan keluar parti oleh ahli-ahli dan jentera PWS bagi Parlimen (P.171 Sepanggar dan P.184 Libaran), seakan memberi gambaran awal bahawa gabungan PWS/ PH/UPKO Sabah bakal berakhir lebih awal meskipun Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Shafie Apdal) bertegas tidak akan membubarkan DUN bagi memberi laluan PRU-15 diadakan serentak dengan DUN Sabah. Lebih meruncingkan PWS apabila telah mula kedengaran terdapat ahli parlimen PWS yang telah mula memberi gambaran awal untuk menjadi ahli BEBAS pro Perikatan Nasional (PN) iaitu MP P.166 Labuan (Datuk Rozman Isli) dan P.175 Papar (Ahmad Hassan). Watak utama yang turut menjadi penggerak PWS di Sabah pada PRU-14 yang lalu iaitu Datuk Peter Anthony (Adun N.35 Melalap merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah) juga berhadapan dengan lima (5) pertuduhan penggubalan Wang Haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang mana perbicaraan dijadualkan berlangsung pada 10 Julai 2020 setelah tertangguh apabila beliau dimasukkan ke Hospital KPJ Kota Kinabalu kerana mengalami Vertigo.

Lebih memeritkan buat gabungan PWS/PH/UPKO apabila Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi PKR Sabah merangkap Ahli Parlimen P.190 Tawau dan Adun N.15 Api Api (Datuk Christina Liew) turut berhadapan kes mahkamah membabitkan saman tertinggi yang pernah diperintahkan oleh mahkamah bernilai RM557 juta pada 2014 akibat melanggar perjanjian usahasama membabitkan 819 pemilik tanah yang terlibat dengan Skim Pekebun Kecil Begahak dengan plaintif Borneo Samudera Sdn Bhd. PKR Sabah terdahulu telah kehilangan Ahli Parlimen P.179 Ranau (YB. Jonathan Yasin) yang menyertai YB. Azmin Ali dalam kemelut politik negara (Sheraton Move) ketika dunia pada ketika itu sedang berada di fasa awal pandemik Covid19. Kepimpinan PKR Sabah yang diketuai Datuk Christina Liew turut berhadapan krisis dalaman parti sehingga mendorong seramai 8,000 orang ahli yang diketuai Datuk Nani Sakam (Bekas Pengarah Tugas-tugas Khas PKR Sabah) yang turut terdiri daripada mereka yang memegang jawatan penting dalam parti bertindak keluar parti pada 19 Jun 2020. Menyusul selepas itu adalah tindakan keluar parti ahli PKR P.191 Kalabakan yang bertindak meninggalkan parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Christina Liew. Jika kerajaan PN kekal memimpin negara sehingga PRU15, berkemungkinan akan ada lagi Ahli Parlimen dan ADUN daripada PKR yang akan menyertai PN. Tidak ada yang mustahil, kerana PASCA PRU13 menjadi bukti bahawa PKR Sabah hampir lumpuh sepenuhnya apabila PKR Sabah hanya tinggal dua kerusi DUN (N.13 Inanam dan N.15 Api Api) susulan tindakan Ahli Parlimen (P.174 Penampang) dan ADUN (N.04 Matunggong, N.07 Kadamaian, N.09 Tamparuli, N.20 Moyog dan N.25 Klias) meninggalkan parti ekoran perubahan haluan perjuangan selain krisis dalaman PKR Sabah itu sendiri. Maka adalah tidak keterlaluan untuk dikatakan akan ada MP dan ADUN daripada PKR akan bertindak meninggalkan PKR jika PN kekal mentadbir sehingga PRU15.

Berbanding dengan dua (2) rakan gabungan kerajaan Sabah iaitu PKR dan UPKO, DAP menjadi parti yang dilihat berupaya untuk mengekalkan kesetian kesemua MP dan ADUN daripada parti berkenaan. Perpecahan dalaman yang berlaku menjelang PRU14 lalu, telah berjaya diselesaikan dengan tindakan penyingkiran kumpulan veteran politik dalam DAP hingga mengakibatkan kumpulan ini yang terdiri daripada Adun N.16 Luyang (YB Hiew King Cheu) dan Adun N.19 Kepayan (YB. Edwin Bosi) bertindak keluar parti, selain turut berjaya menyingkirkan Adun N.14 Likas (YB. Datuk Wong Hong Jun @ Junz Wong) hingga mendorong beliau untuk menyertai PWS. Jika diteliti, agak sukar untuk mengenalpasti ADUN DAP yang akan meninggalkan parti kerana majoritinya adalah kumpulan yang sehaluan dengan kepimpinan DAP Sabah meskipun daripada wakil rakyat KDM yang mewakili DAP.

Ahli Parlimen dan ADUN yang berpotensi untuk melompat demi kelangsungan politik pastinya datang daripada PWS, PKR dan UPKO. Kelompok yang paling berpotensi besar datangnya daripada MP dan ADUN BN yang lebih awal menyertai PWS. Menyusul selepas itu pastinya MP dan ADUN PKR dan PWS. Perlu diingat, kekuatan PWS terletak kepada dua (2) orang individu yang menjadi nadi PWS itu sendiri iaitu Datuk Seri Shafie Apdal (Presiden Parti, MP P.189 Semporna dan ADUN N.53 Senallang) dan Datuk Peter Anthony (ADUN N.35 Melalap). Tanpa kedua-dua individu ini, PWS dan gabungan PWS/PH/UPKO akan lumpuh sepenuhnya. Apa yang menarik untuk diperhatikan adalah nasib parti UPKO itu sendiri yang menjadi parti pertama menyertai kerajaan negeri pintu belakang pertama di Malaysia selepas PRU14. Adakah mungkin untuk kita melihat sama ada UPKO bakal tinggal satu (1) ADUN dan satu (1) MP P.170 Tuaran (Merangkap Timbalan Ketua Menteri dan ADUN dilantik). Gabungan PWS/PH/UPKO mungkin masih boleh bergantung harap kepada talian hayat daripada enam (6) orang ADUN dilantik yang juga berkuasa untuk mengundi di DUN Sabah jika usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah diusulkan.

Agak sukar untuk diramal sama ada bakal berlaku peralihan tampuk kepimpinan kerajaan negeri daripada gabungan PWS/PH/UPKO kepada gabungan PN (UMNO/GS/PPBM/MCA/PAS). Apa yang boleh diharapkan adalah kesedaran rakyat terhadap kelemahan Kerajaan Negeri pimpinan PWS/PH/UPKO dalam mentadbir Sabah yang dapat dilihat daripada kegagalan menunaikan janji dalam Manifesto PRU14, isu Sempornanisasi, lantikan politik dalam GLC Kerajaan Negeri, kelemahan dan pendekatan yang sering tidak sehaluan dengan kerajaan pusat dalam mendepani pandemik Covid19, bantuan Covid19 bertemakan ‘Sabah We Care’ yang gagal sampai kepada keseluruhan rakyat terjejas seperti yang diumumkan selain peningkatan kes jenayah melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), isu PSS dan turut dilabel sebagai kerajaan mesra PTI. Meskipun wujud cadangan untuk menjadikan DSSA sebagai calon Perdana Menteri Malaysia bagi gabungan PH Plus sebagai alternatif dibalik kemelut perletakan calon Perdana Menteri antara Tun M dan DSAI, namun bagi rakyat Sabah dan Sarawak, ia bukanlah jalan terbaik untuk mengalihkan sokongan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk memuktamadkan sokongan kepada PH Plus yang masih kekurangan majoriti berbanding Perikatan Nasional (PN). Rakyat berpendapat, manakan mungkin DSSA mampu menjadi PM terbaik kalau negeri sendiripun gagal diurus tadbir dengan sempurna.

Sejak peralihan pemerintahan negara kepada Perikatan Nasional (PN), wujud usaha terdesak ahli politik, penyokong dan jentera PWS/PH/UPKO untuk menyerang pemimpin KDM (KadazanDusun Murut) Sabah dalam kabinet PN untuk menutupi kelemahan yang ditinggalkan oleh mantan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet PH daripada PWS. Serangan disasarkan kepada Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (Ahli Parlimen P.180 Keningau dan ADUN N.32 Tambunan merangkap Timbalan Menteri Pelancongan) berhubung isu MA63 dan isu pelarian perang dari Selatan Filipina yang mana beliau merupakan antara pemimpin tempatan yang lantang berhubung dua (2) isu ini. Di balik kelekaan ahli PWS/PH/UPKO menyerang Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (DDJK) berhubung pendirian beliau terdapat dua isu (Pelarian Perang dari Selatan Filipina dan IMM13) dengan desakan bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk DDJK merealisasikan apa yang selama ini beliau perjuangkan ketika masih menjadi pembangkang. Namun, serangan itu dilihat sebagai serangan yang kurang bijak jika diambil kira posisi beliau dalam kabinet PN (selaku Timbalan Menteri Pelancongan) selain mengambil kira faktor bahawa kerajaan PN adalah kerajaan yang baru empat (4) bulan lebih mentadbir negara selain daripada tempoh masa tersebut lebih tertumpu kepada usaha mendepani penularan wabak Covid19 berbanding dengan Menteri dalam kerajaan PH yang mentadbir negara selama 22 bulan. Mana mungkin suara dan kuasa yang ada pada DDJK mampu melebihi bidang kuasa yang ada pada mantan Timbalan Menteri KDN (Datuk Ajis Jamman) yang juga YB daripada Parti Warisan.

Apa yang pasti, Julai 2020 akan menjadi perhatian seluruh rakyat khususnya di Sabah. Jika kerajaan PN kekal berkuasa dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) berupaya mengekalkan kestabilan perpaduan dalam PN, maka tidak mustahil adegan lompat parti akan semakin kerap kedengaran khususnya di negeri Sabah. Jika itu yang berlaku dan PN berjaya membentuk kerajaan campuran kelima selepas Johor (Februari 2020), Melaka (Februari 2020), Perak (Mac 2020) dan Kedah (Mei 2020), maka bakal lahir permasalahan baharu yang bakal menjadi dilemma kepada PN menjelang PRU15 iaitu, adakah ADUN dan MP berkenaan akan dicalonkan semula mewakili PN? Namun apa yang lebih daripada itu, UMNO dan PPBM perlu duduk semeja untuk memuktamadkan pertikaian agihan kerusi selain cara terbaik untuk memusatkan kerjasama antara jentera dalam komponen parti bagi merealisasikan kemenangan setiap calon PN yang bertanding pada PRU15.


RUJUKAN;
Adun Kadamaian di Sabah tinggalkan PKR. Diakses pada 29 Jun 2020, melalui;
ADUN Kepayan, Edwin Bosi keluar DAP. Diakses pada 29 Jun 2020, melalui;
ADUN Luyang keluar DAP, jadi wakil rakyat bebas. Diakses pada 29 Jun 2020, melalui;
Ahli Parlimen Papar tidak tinggalkan Warisan, teguh di belakang Shafie Apdal. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Bumburing, pemimpin kedua keluar BN, tubuh parti baru. Diakses pada 29 Jun 2020, melalui;
Campur tangan melampau PKR Pusat punca keluar. Diakses pada 29 Jun 2020, melalui;
DAP, PKR Sabah guna logo masing-masing PRU14. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Dua ADUN UPKO umum keluar parti. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Hanya 14 Orang Ahli Parlimen PKR Sokong Azmin (Dan Mahathir). Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
IMM13 dokumen paling sesuai: Jeffrey. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Jeffrey should now realise mistake of joining PN – Warisan. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Kenyataan Media Ketua Puteri Umno Sabah Merangkap Ketua Puteri Umno Sepanggar Berkenaan Perletakan Jawatan Pemimpin Parti Warisan Sepanggar. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
KM pertahan pelantikan dua YB terajui GLC Sabah. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Lajim, Terence, Junz Wong keluar parti. Diakses pada 29 Jun 2020, melalui;
Lebih 1,000 ahli Parti Warisan Parlimen Libaran keluar parti hari ini. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Mahkamah tak benarkan timb ketua menteri Sabah kemuka bukti baru. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Naib Presiden PKR Darell Leiking keluar parti. Diakses pada 29 Jun 2020, melalui;
Pemberian IMM13, Kenapa Joniston Bangkuai Diam? – Jo-Anna. Diakses pada 06 Julai 2020, melalui;
Peter Anthony hadapi 5 pertuduhan RM8.75 juta. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Petugas mula memasuki bangunan Parlimen. Diakses pada 06 Julai 2020, melalui;
PKR Sabah hilang 8,000 ahli. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
'Saya tidak pernah khianati perjuangan rakyat Sabah' - Jeffrey Kitingan. Diakses pada 06 Julai 2020, melalui;
Shafie sebagai PM, Anwar dan Mukhriz calon TPM 1 dan 2 - Tun Mahathir. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Shafie: Why should we dissolve Sabah state assembly? Diakses pada 06 Julai 2020, melalui;
Tiada masalah jadi wakil rakyat Bebas - Ahli Parlimen Labuan. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
Tiada keperluan pilihan raya mengejut di Sabah - Mohd Shafie. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
UPKO umum keluar BN, wujud kerajaan campuran dengan Warisan. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;
600 ahli WARISAN Sepanggar keluar parti. Diakses pada 28 Jun 2020, melalui;

1 comment: