ANALISA KEPUTUSAN PRU-14 SABAH - MAMPUKAH PERIKATAN NASIONAL (PN) RAMPAS SABAH?


1.0 PENDAHULUAN
Kecoh beberapa hari ini selepas tumbangnya PH di Negeri Kedah setelah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah berkuat kuasa 17 Mei 2020 selepas hilang majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) [1]. Tindakan keluar parti dua (2) Adun PKR Azman Nasrudin (ADUN Lunas) dan  Dr Robert Ling Kui Ee (ADUN Sidam) menjadikan Perikatan Nasional (PN) memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan negeri dengan kelebihan 25 Kerusi (PAS: 15 kerusi, PKR: 5 kerusi, AMANAH: 4 kerusi, BERSATU - Tan Sri Muhyiddin Yassin: 4 kerusi, BERSATU - Tun Dr Mahathir Mohamad: 2 kerusi, UMNO - 2 kerusi dan Bebas: 2 kerusi [2]. Perkembangan ini menyaksikan Datuk Seri Mukhriz terpaksa melepaskan Jawatan Menteri Besar Kedah buat kali kedua selepas kali pertama beliau melepaskan jawatan tersebut kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 3 Februari 2016 [3].

Peristiwa yang menimpa kepimpinan PH di Kedah adalah rentetan daripada peralihan tampuk kepimpinan daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kesan daripada Langkah Sheraton (Sheraton Move) yang berlaku di fasa awal negara mendepani pandemik Covid-19 penghujung Februari 2020 yang lalu. Kini seluruh pemerhati politik dan ahli akademik mengalihkan tumpuan kepada negeri Sabah sejuruh kejayaan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan campuran di Johor (Februari 2020), Melaka (Februari 2020), Perak (Mac 2020) dan Kedah (Mei 2020). Desas-desus bahawa PN berupaya merampas negeri Sabah daripada gabungan PH pimpinan Parti Warisan Sabah (PWS) bertiup kencang selepas kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah) yang menyatakan tidak wujud sebarang masalah untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan dan tidak mustahil akan berlaku [4]. Dakwaan tersebut turut diperkukuh dengan pendedahan bahawa wujud 30 Statutory Declaration (SD) menyokong PN untuk membentuk kerajaan campuran antara PPBM, UMNO dan Gabungan Sabah (PBS, PBRS, STAR dan Adun Bebas) [5].

Dalam membincangkan situasi semasa landskap politik Sabah, beberapa perkara perlu diberi perhatian, antaranya lanskap politik Sabah Pra dan Pasca PRU-14 selain memahami kronologi pembentukan kesepakatan antara PH dengan Parti Warisan Pra PRU-14 yang lalu.

1.1 Keputusan PRU-14
Nota Ringkasan Nama Parti Politik: UMNO (United Malays National Organisation), PBS (Parti Bersatu Sabah), UPKO (United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation), PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah), LDP (Liberal Democratic Party), MCA (Malaysian Chinese Association), GERAKAN (Parti Gerakan Rakyat Malaysia), PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP (Democratic Action Party), PAN (Parti Amanah Negara), PWS (Parti Warisan Sabah), STAR (Parti Solidariti Tanah Airku), SAPP (Sabah Progressive Party), HARAPAN RAKYAT (Parti Harapan Rakyat Sabah), PPRS (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), PCS (Parti Cinta Sabah), PKAN (Parti Kerjasama Anak Negeri),  PAS (Parti Islam Se Malaysia), PKS (Parti Kebangsaan Sabah), USNO (United Sabah National Organisation) dan PERPADUAN (Parti Perpaduan) [6]
Rajah 1; Pecahan calon Parlimen dan DUN bertanding PRU-13 dan PRU-14
Sumber: JASA Sabah

Pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018, negeri Sabah merekodkan penyertaan parti politik bertanding terbanyak sejak Pilihanraya 1963. Seramai 346 (94 orang bertanding kerusi Parlimen dan 252 orang bertanding kerusi DUN) calon bertanding merebut 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN Sabah. PRU-14 menyaksikan persaingan sengit empat blok politik utama iaitu Blok Barisan Nasional - BN (UMNO, PBS, UPKO, PBRS, LDP, MCA dan Gerakan), Blok PH (PKR, DAP, PAN dan PWS), Blok Gabungan Sabah - GS (STAR, SAPP, HARAPAN - PHRS dan PPRS), Blok Parti Sabah (PCS dan PKAN) dan Lain-lain parti pembangkang yang tidak bergabung (PAS, USNO, PKS dan Perpaduan) dan calon Bebas (4 Parlimen dan 8 DUN).

Sejak kembalinya Parti Bersatu Sabah (PBS) ke pangkuan BN (Januari 2002), penguasaan BN di Sabah semakin kukuh dan hampir mustahil untuk ditumbangkang meskipun berlaku 'Tsunami Politik Bandar PRU-13" yang mana Barisan Nasional - BN hanya kehilangan tiga (3) Kerusi Parlimen (P.172 Kota Kinabalu, P.174 Penampang dan P.186 Sandakan) dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Pakatan Rakyat (PR) masing-masing di kerusi (N.04 Matunggong, N.07 Kadamaian, N.09 Tamparuli, N.13 Inanam, N.14 Likas, N.15 Api-api, N.16 Luyang, N.19 Kepayan, N.20 Moyog, N.25 Klias dan N.57 Sri Tanjong), serta satu (1) kerusi DUN kepada parti pembangkang tempatan State Reform Party (STAR) iaitu di kerusi DUN N.33 Bingkor.

Rekod cemerlang penguasan BN di Sabah selaku negeri yang dilabel sebagai "Simpanan Tetap BN"  berakhir pada PRU-14. BN Sabah tewas di 15 kerusi Parlimen (P.168 Kota Belud, P.171 Sepanggar, P.172 Kota Kinabalu, P173 Putatan, P.174 Penampang, P.175 Papar, P.179 Ranau, P.180 Keningau - STAR, P.181 Tenom, P.185 Batu Sapi, P.186 Sandakan, P.188 Silam, P.189 Semporna, P.190 Tawau dan P.191 Kalabakan) dan 31 Kerusi DUN (N.01 Banggi, N.02 Tg Kapor, N.12 Karambunai, N13 Inanam, N.14 Likas, N.15 Api Api, N.16 Luyang, N.17 Tg Aru, N.18 Petagas, N.19 Kepayan, N.20 Moyog, N.22 Pantai Manis, N.23 Bongawan, N.28 Sindumin,  N.32 Tambunan - STAR, N.33 Bingkor - STAR, N.34 Liawan, N.35 Melalap, N.41 Gum Gum, N.43 Sekong, N.44 Karamunting, N.45 Elopura, N.46 Tg Papat, N.49 Tungku, N.50 Kunak, N.51 Lahad Datu, N.52 Sulabayan, N.53 Senallang, N.54 Bugaya, N.57 Sri Tanjong dan N.58 Merotai).

1.0 Prestasi Komponen BN
Rajah 2:;Alokasi kerusi Parlimen UMNO dan Komponen BN dan kedudukan kerusi pasca PRU-14
Kredit:JASA Sabah 


Rajah 3: Alokasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) UMNO dan Komponen BN dan kedudukan kerusi pasca PRU-14
Kredit:JASA Sabah 

1.1 Prestasi UMNO
Analisa Kerusi Parlimen; UMNO selaku tulang belakang kekukuhan  BN Sabah seakan tidak berupaya mempertahankan setiap kerusi di kawasan didominasi pengundi Bumiputra Islam (BI). Untuk rekod, daripada 25 kawasan Parlimen terdapat sekurang-kurangnya 16 kawasan Parlimen mempunyai pengundi majoriti Bumiputra Islam (BI). Antaranya termasuklah kawasan Parlimen P.167 Kudat, P.169 Kota Belud, P.171 Sepanggar, P.173 Putatan (UPKO), P.175 Papar, P.176 Kimanis (PRK), P.177 Beaufort, P.178 Sipitang, P.183 Beluran, P.184 Libaran, P.185 Batu Sapi (PBS), P.187 Kinabatangan, P.188 Silam, P.189 Semporna, P.190 Tawau (PBS) dan P.191 Kalabakan. Daripada 16 kawasan tersebut, UMNO hanya bertanding di 13 kerusi Parlimen majoriti pengundi BI dan baki tiga lagi kerusi ditandingi oleh komponen BN (P.173 Putatan - UPKO, P.185 Batu Sapi - PBS dan P.190 Tawau - PBS). Meskipun wujud isu berbangkit seperti desakan ahli UMNO agar ketiga-tiga kerusi ini diwakili oleh calon UMNO, namun atas semangat setiakawan, kerusi tersebut kekal ditandingi oleh komponen BN. Terdapat juga satu (1) kerusi Parlimen majoriti pengundi Bumiputra Bukan Islam (BBI) yang ditandingi oleh UMNO, iaitu kerusi P.181 Tenom.

Berdasarkan Rajah 2; Daripada 13 kerusi Parlimen yang ditandingi UMNO pada PRU-14 lalu, UMNO mengalami kekalahan mengejut di tujuh (7) kawasan Parlimen iaitu P.169 Kota Belud (PWS), P.171 Sepanggar (PWS), P.175 Papar (PWS), P.181 Tenom (DAP), P.188 Silam (PWS), P.189 Semporna (PWS) dan P.191 Kalabakan (PWS). Tiada siapa menduga UMNO boleh tewas di kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan tradisi dan kawasan PUTIH UMNO. Apa yang mengejutkan, kekalahan mengejut UMNO berlaku dikawasan yang mana majoriti UMNO pada PRU-13 melebihi angka 5,000 (P.169 Kota Belud - 5095, P.171 Sepanggar - 9442, P.175 Papar - 10,535, P.188 Silam - 13387 dan P.191 Kalabakan - 14221. Manakala kerusi P.189 Semporna telah diketahui akan kekal milik Presiden PWS (DS. Shafie Apdal) kerana beliau telah membina imej dan identiti yang cukup gah di kalangan masyarakat Semporna. Hanya terdapat dua (2) kerusi parlimen berjaya merekodkan peningkatan majoriti atau mengekalkan kemenangan dengan majoriti besar, iaitu kerusi P.177 Beaufort - 673 (PRU-13) kepada 3331 (PRU-14) dan kerusi P.187 Kinabatangan - 9731 (PRU-13) kepada 9478 (PRU-14).

Analisa Kerusi DUN; Situasi serupa turut berlaku bagi kerusi DUN Sabah, apabila UMNO tewas di 15 DUN yang ditandingi kepada calon PWS. UMNO bertanding di 32 kawasan DUN sementara PWS bertanding di 45 kerusi DUN. Senarai alokasi kerusi DUN yang ditandingi UMNO pada PRU-14 lalu, boleh rujuk Rajah 3. Kawasan DUN yang merekodkan kekalahan calon UMNO termasuklah DUN N.01 Banggi, N.12 Karambunai, N.18 Petagas, N.22 Pantai Manis, N.23 Bongawan (Calon: Datuk Mohd Alamin kemudiannya menjadi calon PRK P.176 Kimanis dan menang), N.28 Sindumin, N.34 Liawan, N.41 Gum Gum, N.43 Sekong, N.49 Tungku, N.50 Lahad Datu, N.51 Kunak, N.52 Sulabayan, N.53 Senallang dan N.54 Bugaya. Hanya dua (2) orang calon UMNO yang berjaya mengekalkan kemenangan dengan majoriti besar iaitu N.10 Sulaman - PRU13 (10411) dan PRU14 (7774)  menerusi DSP Hj Hajiji Mohd Noor dan kerusi DUN N.30 Karanaan - PRU13 (3500) dan PRU14 (3782) menerusi DSP Masidi Manjun. Selebihnya mencatatkan penurunan drastik majorit diperoleh calon UMNO dan ini termasuklah kawasan mantan Ketua Menteri Sabah (DSP Musa Aman) di DUN N.42 Sungai Sibuga yang mana pada PRU13 majoriti adalah sebanyak 11569 dan menurun menjadi majoriti 2184 (PRU14). Disebalik prestasi buruk tersebut, UMNO tetap berjaya merampas satu kerusi DUN N.25 Klias daripada mantan calon PKR yang juga Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah - HARAPAN dan bekas ahli UMNO iaitu DSP HJ Lajim Ukin.

Ahli Parlimen dan DUN UMNO keluar parti:
1) Menyertai PPBM; Ahli Parlimen (P.167 Kudat, P.177 Beaufort, P.183 Beluran dan P.184 Libaran) dan ADUN (N.06 Tempasuk, N.08 Usukan, N.10 Sulaman, N.21 Kawang, N.23 Bongawan, N.25 Klias,  N.27 Lumadan, N.30 Karanaan dan N.56 Apas)
2) Menyertai PWS; N.36 Kemabong, N.48 Sukau, N.55 Balung, N.59 Tg Batu dan N.60 Sebatik)
3) Menyertai UPKO; N.39 Sugut

Untuk rekod, sehingga tarikh artikel ini ditulis (29 Mei 2020), kedudukan semasa kerusi Parlimen dan DUN yang kekal milik UMNO termasuklah dua (2) kerusi Parlimen (P.176 Kimanis dan P.187 Kinabatangan) dan dua (1) kerusi DUN (N.42 Sg. Sibuga).

BACA JUGA: KRONOLOGI KRISIS POLITIK SABAH PASCA PRU-14

1.2 Prestasi Parti Komponen KDM/ BBI
Komponen BN yang mewakili kawasan majoriti pengundi Bumiputra Bukan Islam atau KadazanDusun Murut (KDM) atau kawasan campuran terdiri daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Dalam kalangan tiga (3) parti komponen BN ini, PBS tampil selaku parti berbilang kaum dan dengan itu, tidak hairanlah jika PBS turut meletakkan calon di kawasan Parlimen dan DUN majoriti pengundi BI dan Cina.

Parti Bersatu Sabah (PBS); Pada PRU14, PBS telah bertanding di lima (5) kerusi Parlimen (P.168 Kota Marudu, P.172 Kota Kinabalu, P.180 Keningau, P.185 Batu Sapi dan P.190 Tawau) dan 13 kerusi DUN (N.04 Matunggong, N.05 Tandek, N.09 Tamparuli, N.11 Kiulu, N.13 Inanam, N.15 Api Api, N.17 Tg Aru, N.29 Kundasang, N.32 Tambunan, N.33 Bingkor, N.35 Melalap, N.40 Labuk dan N.57 Sri Tanjong). Kawasan yang dimenangi oleh PBS hanya satu (1) kerusi Parlimen dan dan enam (6) kerusi DUN (P.168 Kota Marudu, N.04 MatunggongN.05 TandekN.09 TamparuliN.11 Kiulu, N.29 Kundasang dan N.40 Labuk). Terdapat kawasan tradisi PBS yang di swap (silang) iaitu bagi DUN N.07 Kadamaian diberi kepada UPKO dan N.33 Bingkor diberi kepada PBS. Meskipun PBS mengalami kekalahan besar di kawasan majoriti pengundi Cina dan campuran termasuklah kekalahan Huguan Siou yang juga Mantan Presiden PBS (Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) bagi kerusi DUN N.32 Tambunan kepada adik beliau yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku - STAR (Datuk Dr. Jeffrey Gapari Kitingan), namum peningkatan sokongan terutama kawasan majoriti pengundi KDM meningkat. Kesemua kawasan yang dimenangi oleh PBS datangnya daripada kawasan majoriti pengundi KDM.

Namun demikian, dua ADUN PBS bertindak keluar parti dan menyertai PWS iaitu ADUN N.05 Tandek (Datuk Lasiah Baranting @ Anita) dan N.40 Labuk (Abdul Rahman Kongkawan). Meskipun PBS bertindak keluar BN pada 12 Mei 2018 [7] dan membentuk Gabungan Bersatu, namun keikhlasan UMNO yang membantu jentera PBS pada PRK P.186 Sandakan (11 Mei 2019) genap setahun selepas PBS meninggalkan BN, melahirkan satu sinar baru yang PBS akan kembali kepada BN. Hasrat itu disuarakan oleh Presiden PBS (DSP Dr. Maximus Johnity Ongkili) pada kempen BN di PRK P.176 Kimanis [8].

United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO); Parti yang mawakili kawasan majoriti pengundi KDM ini bertanding di empat (4) kerusi Parlimen (P.170 Tuaran, P.173 Putatan, P.174 Penampang dan P.179 Ranau) serta enam (6) kerusi DUN (N.07 Kadamaian, N.20 Moyog, N.26 Kuala Penyu, N.31 Paginatan, N.38 Nabawan dan N.47 Kuamut). UPKO hanya menang di satu (1) kerusi Parlimen P.170 Tuaran menerusi calonnya yang juga merupakan Presiden UPKO (DSP Wilfred Madius Tangau) dan hanya kalah satu kerusi DUN (N.20 Moyog). UPKO menjadi parti komponen BN pertama yang bertindak keluar BN ketika keputusan PRU-14 menyaksikan kerajaan pusat beralih kepada PH dan negeri berhadapan krisis politik apabilan BN dan PWS masing-masing terikat dengan 29 kerusi DUN [9]. Tindakan ini juga mengulangi kegagalan kepimpinan UPKO mengekang siri tindakan sabotaj ahli UPKO terhadap calon PBS pada PRU-14 apabila mantan Adun N.33 Bingkor yang juga ahli UPKO (Datuk Justin Guka) bertindak keluar BN dan bertanding atas tiket Bebas bagi kerusi P.180 Keningau dan N.33 Bingkor [9]. Keputusan ini susulan tidak berpuas hati dengan keputusan pertukaran kerusi antara PBS dan UPKO bagi kerusi N.07 Kadamaian dan N.33 Bingkor [10]. Pasca PRU-14 menyaksikan UPKO menerima kemasukan ADUN UMNO N.39 Sugut (Datuk James Ratib) menyertai UPKO selain turut kehilangan satu (1) kerusi DUN N.38 Nabawan (Datuk Bobbey Suan) yang tidak mengikut keputusan Pucuk Pimpinan UPKO untuk menyertai PH yang diketuai PWS dan kekal sebagai ADUN pembangkang [11]. Teka-teki arah tuju politik Datuk Bobbey dan seorang lagi ADUN N.37 Sook PBRS (Datuk Ellron Alfred Angin) terjawab apabila kedua-dua mereka menyertai PPBM  ketika pelancaran PPBM di ITCC Penampang (6 April 2019) [12].

Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS); Merupakan satu-satunya parti komponen BN berasaskan KDM yang memiliki satu kerusi Parlimen (P.182 Pensiangan) dan satu (1) kerusi DUN (N.37 Sook). Pada PRU-14 lalu, PBRS tidak hanya berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi tradisi parti berkenaan bahkan juga mencatat peningkatan majoriti berbanding PRU-13. Pada PRU-14 kerusi P.182 Pensiangan ditandingi oleh anak (Arthur Joseph Kurup) kepada Presiden PBRS yang juga mantan Ahli Parlimen P.182 Pensiangan (TS DSP Joseph Kurup) dengan majori 2314 berbanding majoriti 1744 (PRU-13), manakala penyandang ADUN N.37 Sook (Datuk Ellron Alfred Angin) mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 4485 berbanding  majoriti 4395 (PRU13). PBRS menjadi parti ketiga dalam kalangan komponen BN yang mengumumkan keluar daripada BN selepas UPKO dan LDP dan mengemukakan permohonan menyertai Gabungan PH/Warisan [13]. PBRS kemudiannya menyertai Gabungan Bersatu Sabah pada 25 Oktober 2018 yang turut dianggotai Adun UMNO, PBS, PBRS dan STAR [14].  Pasca PRU14 selepas PBRS bertindak keluar BN, Datuk Ellron dan tidak bersetujuan dengan tindakan kepimpinan parti bertindak menjadi ADUN Bebas seterusnya menyertai parti STAR (16 Disember 2018) [15] sebelum kemudiannya menyertai PPBM (6 April 2019) [16]. Arthur Joseph Kurup kekal dengan PBRS dan GBS yang menyokong blok kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia ke-8 dalam Sheraton Move (Februari 2020) [17] seterusnya dilantik selaku Timbalan Menteri di JPM (Ekonomi) [18] dalam kabinet TS Muhyiddin.

1.3 Prestasi Parti Komponen Mewakili Masyarakat Cina
Parti politik komponen BN Sabah yang mewakili masyarakat dan kawasan majoriti pengundi Cini di Sabah terdiri daripada Liberal Democratic Party (LDP) Malaysian Chinese Association (MCA) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN). Parti komponen BN mewakili masyarakat Cina di Sabah diperuntukkan satu (1) kerusi Parlimen (P.186 Sandakan - LDP) dan lapan (8) kerusi DUN (N.02 Tg Kapor - LDP, N.14 Likas - LDP, N.16 Luyang - MCA, N.19 Kepayan - MCA, N.44 Karamunting - LDP, N.45 Elopura - GERAKAN, N.46 Tg Papat - GERAKAN, dan N.58 Merotai - LDP).

LDP yang diasaskan oleh Tan Sri Datuk Chong Kah Kiat adalah antara parti komponen BN yang ditubuhkan pada 1994 bersama-sama dengan dua (2) komponen BN yang lain seperti Sabah Progressive Party (SAPP) pimpinan DSP Yong Teck Lee dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pimpinan TS DSP Joseph Kurup dan diterima sebagai komponen BN pada 10 Jun 1994. Pada PRU14, LDP kalah dikesemua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi berbanding hanya kehilangan satu (1) kerusi Parlimen (P.186 Sandakan - DAP) dan satu DUN (N.14 Likas - DAP - PWS) pada PRU13. MCA dan GERAKAN yang merupakan parti komponen BN dari Semenanjung Malaysia, mula bertapak di Sabah sejak 1990 [19]. MCA kali pertama bertanding mewakili BN pada PRU-12 (N.19 Kepayan - Datuk Khoo Keok Hai) sementara GERAKAN yang tidak pernah diberuntukkan sebarang kerusi sejak 1990, memperolehi dua (2) kerusi DUN (N.45 Elopura dan N.46 Tg Papat) selepas menerima masuk keahlian dua ADUN SAPP (DSP Raymond Tan Shu Kiah dan Datuk Au Kam Wah) yang bertindak keluar parti (SAPP) dan menyertai GERAKAN ekoran tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan SAPP untuk meninggal BN (17 September 2009 - selepas PRU12) [20] dan berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU13. PRU14 menyaksikan parti komponen BN yang mewakili masyarakat Cina di Sabah tewas di kesemua kerusi yang ditandingi (1 Parlimen dan 8 DUN).


2.0 Analisa Sokongan BN Berbanding Pembangkang PRU14
Rajah 4: Pecahan Undi Diperoleh Calon BN Berbanding Parti Pembangkang Pada PRU-14 (Sumber mungkin khilaf kerana data adalah umum perolehan dan analisa penulis  dan bukan daripada Scoresheet PRU14)
Sumber: JASA Sabah

"Keputusan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan kerajaan baharu Sabah bersama-sama Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (PH) adalah disebabkan suara rakyat yang mahukan perubahan kerajaan. Untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sabah, Warisan dan PH telah memperolehi 57 peratus undi (undi popular), manakala mengikut undi parlimen pula Warisan dan PH memperolehi 60 peratus undi." [21].
Untuk ulasan berhubung dengan tahap sokongan pengundi dan dakwaan DSP Madius Tangau bahawa tahap sokongan BN pada PRU14 telah merosot dan rakyat inginkan perubahan, Rajah 4 boleh memberikan gambaran sebenar. Namun ia tidak cukup tepat untuk membaca aliran pemikiran dan tahap sokongan pengundi KDM pada PRU14. Untuk huraian tahap sokogan dan aspirasi pengundi KDM terhadap BN pada PRU14, ulasan dan pendedahan penuh akan menyusul. 

Berdasarkan Rajah 4, undi yang diperoleh oleh BN pada PRU14 berbanding parti politik lain adalah sebanyak 330,600 undi (39.64%) bagi kerusi Parlimen dan 355,141 undi (42.23%), sementara Gabungan PH/PWS (PKR, DAP, PAN dan Parti Warisan Sabah - PWS) pula memperolehi 417,443 undi (50.06%) bagi kerusi Parlimen dan 395,452 undi (47.04%) bagi kerusi DUN dan merupakan undi tertinggi berbanding Barisan Nasional (BN) dan lain-lain parti politik bertanding. Gabungan parti politik Sabah (United Sabah Alliance - USA) [22] yang terdiri daripada STAR (Parti Solidariti Tanah Airku), SAPP (Sabah Progressive Party), HARAPAN (Parti Harapan Rakyat Sabah) dan PPRS (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) pula memperoleh undi sebanyak 59,753 (7.17%) bagi kerusi Parlimen dan 63,157 undi (7.51%) undi bagi kerusi DUN, diikuti gabungan antara PCS (Parti Cinta Sabah) dan PKAN (Parti Kerjasama Anak Negeri) pula memperoleh 10,838 undi (1.30%)  kerusi Parlimen dan  12,370 undi (1.47%) bagi kerusi DUN. Terdapat juga empat (4) lagi parti politik lain yang bertanding dalam blok pembangkang iaitu PAS (Parti Islam Se Malaysia), USNO Baru (United Sabah National Organisation), PKS (Parti Kebangsaan Sabah) dan PERPADUAN (Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah). PAS yang bertanding di lapan (8) kerusi parlimen dan 18 DUN memperoleh 14,266 undi (1.71%) bagi Parlimen dan 11,241 undi (1.34%) bagi DUN, PERPADUAN 273 undi (0.03%) Parlimen dan 111 undi (0.01%) kerusi DUN. Dua (2) parti lain hanya meletakkan calon bertanding untuk kerusi DUN sahaja iaitu PKS 2,343 undi (0.28%) dan USNO Baru 28 undi (0.003%). PRU14 juga menyaksikan hanya seramai 12 orang calon BEBAS bertanding di empat (4) kerusi Parlimen dan lapan (8) bagi kerusi DUN berbanding 64 orang calon BEBAS pada PRU13.

Menjawab dakwaan DSP Madius Tangau bahawa PWS memperolehi "Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sabah, Warisan dan PH telah memperolehi 57 peratus undi (undi popular), manakala mengikut undi parlimen pula Warisan dan PH memperolehi 60 peratus undi." angka yang disebutkan oleh DSP Madius adalah betul jika mengambil kira undi semua parti pembangkang di Sabah termasuk USA, PCS + PKAN dan blok ketiga pembangkang (PAS, USNO Baru, PKS dan PERPADUAN) temasuk calon BEBAS. Namun fakta yang tepat adalah PH/PWS memperolehi 50.06% undi Parlimen dan 47.04% undi DUN. Fakta yang perlu digeruni oleh United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) yang telah menjenamakan parti tersebut (24 November 2019) dengan mengekalkan akronim UPKO (United Progressive Kinabalu Organisation) [23] adalah, hakikat bahawa sokongan Masyarakat KDM pada PRU14 terhadap parti komponen BN mewakili suku kaum KDM adalah meningkat berbanding PRU13. Menelusuri peristiwa yang berlaku PRA PRU14, jika diteliti, UPKO bukanlah parti yang diingini dalam gabungan PH/PWS kerana PH/PWS lebih berminat untuk menjalin kerjasama dengan PBS yang dilihat lebih kukuh dan stabil berbanding UPKO, namun tidak menjadi kenyataan [24]. Tindakan UPKO meninggalkan BN sehari selepas kejayaan PH membentuk kerajaan memberi sinar baru kepada penguasaan PBS khususnya di kawasan KDM. UPKO yang selama ini mengharapkan sokongan padu penyokong dan jentera PBS di kawasan KDM, pastinya akan berdepan detik sukar untuk mempertahankan kerusi tradisi yang selama ini mendapat sokongan padu UMNO dan PBS. Pastinya tidak lagi wujud perebutan kerusi dan isu sabotaj antara parti komponen pada PRU15 yang akan datang jika PBS kembali bersama BN.


3.0 Mampukan Perikatan Nasional (PN) Rampas Sabah?
Perlu diingat bahawa, kekalahan BN di peringkat Persekutuan dan Negeri adalah disebabkan oleh konflik dalam UMNO itu sendiri, atau lebih mudah dikatakan PRU14 adalah PRU yang mana UMNO melawan UMNO. Krisis dalaman UMNO Sabah bermula dengan penggantungan keahlian Datuk Jumat Idris (Ahli Parlimen P.171 Sepanggar) digantung keahlian selama enam tahun (April 2015) ekoran kelantangan beliau mengkritik kepimpinan Tan Sri Musa Hj Aman (Ketua Menteri Sabah). Tindakan penggantungan itu susulan laporan yang dibuat oleh Datuk Armani Mahiruddin (Setiausaha Wanita UMNO Sabah), Shahelmy Yahya (Naib Ketua Pemuda Sabah) dan Normala Sidek (Ketua Puteri UMNO Sabah). Krisis dalaman UMNO yang berlaku di Semenanjung Malaysia setelah Datuk Seri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir digantung keahlian turut merebak ke Sabah apabila Datuk Seri Shafie Apdal (DSSA) tersenarai dalam tindakan penggantungan keahlian yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO Pusat berkuatkuasa 24 Jun 2016. Tindakan penggantungan itu adalah serentak dengan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) atas tuduhan pelanggaran disiplin. 

Situasi ini mendorong kepada tindakan pengisytiharan keluar parti oleh DSSA yang juga merupakan Ahli Parlimen UMNO P.189 Semporna pada 4 Julai 2016. DSSA seterusnya mengambil alih parti tempatan yang dikenali sebagai Parti Warisan Sabah (Warisan). Parti Warisan adalah parti yang dimiliki oleh Fred Gabriel (Mantan calon PKR N.21 Kawang pada PRU-13). Nama asal parti Warisan adalah Parti Pembangunan Warisan Sabah dan telah ditubuhkan sejak 2013. Pada 13 Oktober 2016, RoS (The Registry of Societies) telah meluluskan penukaran nama dan logo Parti Warisan yang baharu dan ia diumumkan secara rasmi pada 17 Oktober 2016. Kehadiran Parti Warisan (Warisan) dalam kancah politik tempatan dilihat bakal memberi implikasi besar dalam dominasi BN di Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah yang majoritinya pengundi Bumiputera Islam (BI). Renteran daripada krisis dalaman yang menghimpit UMNO di Persekutuan dan negeri Sabah, menyaksikan UMNO mengalami kekalahan mengejut di tujuh (7) kawasan Parlimen daripada 13 kerusi Parlimen yang ditandingi selain turut tewas di 15 DUN  danripada 32 DUN yang ditandingi kepada calon PWS. Adalah jelas bahawa PRU14 adalah PRU di mana UMNO melawan UMNO, apabila PWS pimpinan DS Shafie Apdal mencabar UMNO disetiap kerusi majoriti Pengundi Bumiputra Islam (BI) dan kawasan bercampur atau seimbang antara Cina, KDM dan BI.

Menjawab Persoalan Mampukah PN membentuk kerajaan di Sabah selepas Johor, Melaka, Perak dan terbaharu negeri Kedah? Jika diteliti UMNO Sabah kini hanya tinggal satu (1) kerusi DUN (jika tidak berlaku perubahan dan fakta khilaf) iaitu N.42 Sg Sibuga, PPBM sembilan (9) kerusi (N.06 Tempasuk, N.08 Usukan, N.10 Sulaman, N.21 Kawang, N.24 Bongawan, N.25 Klias, N.27 Lumadan, N.30 Karanaan dan N.56 Apas) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) lapan (8) kerusi (N.04 Matunggong - PBS, N.09 Tamparuli - PBS, N.11 Kiulu - PBS, N.29 Kundasang - PBS, N.32 Tambunan - STAR, N.33 Bingkor - STAR, N.37 Sook - PBRS/BEBAS dan N.38 Nabawan - UPKO/BEBAS). 

4.0 Rumusan
Jika diamati, Gabungan PN hanya memiliki 18 Kerusi DUN. Untuk membentuk kerajaan negeri PN memerlukan lebih dari 12 orang ADUN melompat menyertai PN. Jika kerajaan Persekutuan kekal dengan PN, dengan andaian PN berjaya memperolehi 31 atau 32 Karusi DUN, tidak mustahil kerusi DUN akan kekal sehingga PRU15. Kedudukan semasa kerajaan negeri Sabah adalah bergantung kepada kestabilan kerajaan Persekutuan. Adakah keadaan itu menguntungkan PN?

Jawapan; Perubahan kerajaan negeri jika berlaku lompatan besar-besaran adalah TIDAK MENGUNTUNGKAN PN. Alasan adalah seperti berikut;

1.  Peluang untuk UMNO dan PPBM memperkukuhkan Parti; UMNO yang kini sebahagian besar ahli Parlimen dan DUN kini bersama PPBM atau juga rakyat dah ahli parti istilahkan PPBM sebagai UMNO 2.0, perlu memperkukuhkan hubungan antara kedua-duanya jika berhasrat untuk memenangi kembali kerusi yang jatuh kepada PWS. Sukar untuk mempertahankan kerusi parlimen dan DUN di kawasan Pantai Timur Sabah (P.185 Batu Sapi, P.188 Silam, P.189 Semporna), namun untuk menawan kembali kawasan P.190 Tawau dan P.191 Kalabakan adalah tidak mustahil. Kawasan Pantai Barat seperti di P.169 Kota Belud, P.175 Papar, P.176 Kimanis, P177 Beaufort, P178 Sipitang tidak sukar untuk disapu bersih jika calon berpotensi atau muka baru selaras dengan kehendak pengundi tempatan berjaya dikenal pasti dan diketengahkah. Kembalikan Datuk Rahman Dahlan di P.169 Kota Belud dan diperkuat dengan DSP Salleh Said Keruak di DUN, PN pasti berupaya menang di sana.

Namun untuk kerusi P.171 Sepanggar, Datuk Jumat Hj Idris masih antara calon yang boleh diketengahkan jika mengambil kira jasa beliau kepada pengundi Sepanggar dan PPBM boleh meletakkan Saudara Razali Razi @Bob atas faktor ahli UMNO dan penyokong Datuk Jumat kini bersama beliau. Mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO dan PPBM sepakat untuk memulangkan kerusi KDM kepada parti komponen KDM selain mencari formula sesuai untuk membantu calon MCA menang di kawasan pengundi Cina atau kawasan bersesuaian. PRU15 adalah medan untuk PN menumbangkan PH/PWS/UPKO dengan mengetengahkan pendekatan baharu termasuk calon, jentera dan modus operandi kempen, dan ia akan mudah jika semua bersatu. PRU15 juga bakal menyaksikan PWS bakal ketandusan isu untuk dijadikan bahan kempen terutama di kawasan BI, berbanding PRU14. Tiada lagi Isu Kerabat Musa Aman dalam politik Sabah malahan pendekatan untuk memperoleh undi simpati terhadap DSSA sudah tidak relevan dengan isu melibatkan kepimpinan PWS yang dilihat semakin lemah dan gagal menjaga kebajikan rakyat.

Antara isu ampuh yang dimainkan oleh penyokong PWS pada PRU14 di media sosial dan menerusi applikasi WhatsApp
Sumber: Sabahkini2

2. BN berjaya menyingkirkan parti KDM yang lemah dan menjadi liabiti dalam BN pada PRU-14 iaitu UPKO. Sering berlaku pertelingkahan dan konflik berhubung alokasi kerusi dan kerjasama antara komponen BN. Tuduhan sabotaj antara komponen BN sering kedengaran menjalang PRU terutamanya membabitkan UPKO. Kesannya, parti komponen BN (KDM) membentuk Jawatankuasa Pantau Sabotaj Parti pada PRU14 [25] hingga berjaya merekodkan peningkatan sokongan terhadap calon UPKO dan kesepakatan tersebut dimungkiri selang sehari selepas kejatuhan BN. Keadaan ini jelas membuktikan UPKO amat bergantung harap dengan sokongan PBS dan UMNO khususnya di P.170 Tuaran. Situasi semasa memberi kelebihan untuk PBS dan STAR yang kembali mendapat tempat di kalangan pengundi KDM. Tidak wujud lagi sebarang keperluan untuk mewujudkan parti KDM baru. Daripada membazir duit membeli calon PH/PWS dan UPKO yang bermasalah, adalah lebih baik diguna untuk memperkukuhkan kekuatan komponen PN mendepani PRU15. Isu Pas Sementara Sabah (PSS), Bantuan Covid-19 di bawah Bajet We Care Sabah untuk B40 yang tidak direalisasikan, Isu Sempornanisasi, Dasar Kerajaan PWS mesra PTI selain isu sosial melibatkan PTI yang gagal ditangani oleh PWS, melahirkan rasa kecewa pengundi KDM terhadap prestasi semasa Kerajaan PWS. Kesemua isu ini dilihat akan memberi impak positif terhadap PN/GS pada PRU15.

3. Tiada lagi isu alokasi kerusi komponen BN (Cina) yang tidak setara. Setelah LDP dan GERAKAN bertindak meninggalkan BN, PN kini hanya tinggal wakil daripada MCA dan calon daripada PBS (kouta Cina) yang akan bertanding pada PRU15. Sememangnya sukar untuk mengembalikan sokongan pengundi Cina kepada BN/PN, namun Pandemik Covid-19 selain krisis politik negara, ekonomi merundum, ketidakcekapan kerajaan PH di Persekutuan dan kelemahan PWS di negeri, tidak mustahil sejarah PRU10  (1999) akan berulang [26]. Apa yang perlu sekarang adalah mengenalpasti calon berpotensi selain kawasan yang bersesuaian untuk dipinjamkan kepada MCA dan wakil kaum Cina dalam PBS untuk bertanding. MCA memiliki calon yang berpotensi, berkredibiliti dan rajin seperti Dr Pamela Yong dan Datuk Francis Goh Fun Shun dari MCA selain Datuk Dr Yee Moh Chai daripada PBS. Belajar daripada pendekatan Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Datuk Patinggi Hj Adenan bin Hj Satem pada PRN Sarawak ke-11 yang menggunakan pendekatan BN Direct (yang memberi peluang kepada individu yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat tetapi tiada jawatan dalam parti diberi peluang untuk menggalas mandat rakyat) [27]. Jika dilihat, pendekatan serupa digunapakai oleh PWS bagi kerusi P.185 Batu Sapi (Parlimen) dan untuk kerusi DUN pula berlaku di kerusi N.02 Tg Kapor dan N.20 Moyog yang bertanding atas tiket PWS. Banyak benda perlu diperhalusi menjelang PRU15, yang pastinya rakyat inginkan gabungan parti tempatan yang kuat, stabil, sepakat dan vokal dalam memperjuangkan hak dan aspirasi rakyat kepada kerajaan pusat.

Perlu diingat, kekuatan PH/PWS bukan terletak pada kehebatan calon PH/PWS itu semata-mata, tapi lebih kepada Faktor DSSA dan keinginan rakyat itu sendiri untuk merasai perubahan kerajaan daripada BN kepada PH. Kini rakyat bukan hanya di Sabah bahkan juga seluruh negara sudah merasai bebanan di bawah kepimpinan PH/PWS. Keluhan, protes dan amarah rakyat terhadap kepimpinan kerajaan PH/PWS/UPKO semakin sukar dibendung khususnya di media-media sosial, hanya tunggu masa untuk diluahkan di kertas-kertas undi. PRK P.176 Kimanis menjadi bukti dan tiada yang mustahil untuk melihat situasi serupa akan berlaku di kawasan KDM bahkan juga Cina.

Peringatan:
Sebarang syor, pandangan dan cadangan dalam artikel ini, adalah bersifat peribadi dan pengalaman sepanjang berada di JASA Sabah selain sedikit ilmu daripada pemerhatian dan bacaan. Apa yang dikeutarakan adalah sekaradar pandangan bersifat ilmiah tanpa niat untuk menjatuhkan atau mengaibkan mana-mana pihak, kerana perlu diingat bahawa MATLAMAT kita semua adalah sama, iaitu untuk menumbangkan PH/PWS/UPKO pada PRU15 dan merealisasikan amarah rakyat untuk #UbahBalik.


RUJUKAN
[1] Mukhriz letak jawatan;
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/689713/mukhriz-letak-jawatan

[2] Mukhriz letak jawatan;
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/689713/mukhriz-letak-jawatan

[3] Kronologi krisis Menteri Besar Kedah;
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kronologi-krisis-menteri-besar-kedah-92630

[4] Tidak banyak masalah untuk Warisan tumbang di Sabah - Bung Moktar;
http://www.astroawani.com/berita-politik/tidak-banyak-masalah-untuk-warisan-tumbang-di-sabah-bung-moktar-243798

[5] Lebih 30 SD sokong PN! Warisan akan tumbang dalam tempoh terdekat?;
https://sabahkini2.com/en/news/2822/lebih-30-sd-sokong-pn-warisan-akan-tumbang-dalam-tempoh-terdekat/view

[6] FB Rasmi Parti Perpaduan Bahagian Kinabatangan;
https://www.facebook.com/partiperpaduan.cawangankinabatangan.9

[7] PBS keluar BN, bentuk Gabungan Bersatu;
[8] PBS mungkin rujuk kembali bersama BN;
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/01/647138/pbs-mungkin-rujuk-kembali-bersama-bn

[10] PBS akan kekal bertanding di Kadamaian;
https://www.utusanborneo.com.my/2018/04/23/pbs-akan-kekal-bertanding-di-kadamaian

[11] ADUN pembangkang Sabah bukan wakil rakyat BN;
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/06/437153/adun-pembangkang-sabah-bukan-wakil-rakyat-bn

[12] Lautan merah di Penampang sambut kedatangan PPBM ke Sabah;
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/04/06/lautan-merah-di-penampang-sambut-kedatangan-ppbm-ke-sabah/

[13] PBRS parti ketiga keluar BN, sertai PH;
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/05/338906/pbrs-parti-ketiga-keluar-bn-sertai-ph

[14] PBS, UMNO Sabah, STAR Sabah & PBRS Tubuh Gabungan Bersatu Sabah (GBS);
https://umno-online.my/2018/10/25/pbs-umno-sabah-star-sabah-pbrs-tubuh-gabungan-bersatu-sabah-gbs/ 

[15] Former PBRS Sook assemblyman Ellron Angin joins Sabah STAR;
https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/12/16/sook-assemblyman-ellron-angin-formerly-from-pbrs-joins-sabah-star

[16] Lautan merah di Penampang sambut kedatangan PPBM ke Sabah;
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/04/06/lautan-merah-di-penampang-sambut-kedatangan-ppbm-ke-sabah/

[17] Usah lupakan Sabah dalam pembentukan Kabinet - Arthur Kurup;
http://www.astroawani.com/berita-politik/usah-lupakan-sabah-dalam-pembentukan-kabinet-arthur-kurup-232939

[18] 6 pemimpin Sabah jadi Menteri, Timbalan Menteri;
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/663608/6-pemimpin-sabah-jadi-menteri-timbalan-menteri

[19] Ghazali Mayudin dan Lee Kuok Tiung; Politik Cina Di Sabah: Haluan Yang Berbeza

[20] Raymond Tan wajar kekal Timbalan Ketua Menteri Sabah;
https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/05/10/raymond-tan-wajar-kekal-timbalan-ketua-menteri-sabah

[21] UPKO keluar BN disebabkan suara rakyat Sabah yang mahukan perubahan;
http://www.astroawani.com/berita-politik/upko-keluar-bn-disebabkan-suara-rakyat-sabah-yang-mahukan-perubahan-178330

[22] Gabungan Sabah tanding hampir semua kerusi Parlimen;
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/04/408912/gabungan-sabah-tanding-hampir-semua-kerusi-parlimen

[23] Penjenamaan semula UPKO bukan hal luar biasa;
https://www.utusanborneo.com.my/2019/11/25/penjenamaan-semula-upko-bukan-hal-luar-biasa

[24] PBS Tinggalkan BN?;
http://dkmsabah.blogspot.com/2017/11/pbs-tinggalkan-bn.html

[25] Pembentukan jawatankuasa pantau sabotaj parti;
https://www.utusanborneo.com.my/2018/04/18/pembentukan-jawatankuasa-pantau-sabotaj-parti

[26] Saifuddin: Jangan salahkan Cina;
https://www.sinarharian.com.my/politik/saifuddin-jangan-salahkan-cina-1.161000

[27] Empat Faktor BN Menang Besar di Sarawak;
https://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2016/05/06/empat-faktor-bn-akan-menang-besar-di-sarawak/

Rujukan Tambahan
1. Kedudukan Kerajaan Sabah Sejak Tahun 1963;
http://ppn.spr.gov.my/sabah/?page_id=327

2. Dashboard PRU14;
http://pru14.spr.gov.my/#!/home

3. PRU-14: Senarai calon BN Sabah;
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/04/417215/pru-14-senarai-calon-bn-sabah

4. Dewan Undangan Sabah;
https://www.wikiwand.com/ms/Dewan_Undangan_Negeri_Sabah

No comments:

Post a Comment