AMANAT TERAKHIR MANTAN PRESIDEN PBS (KONGRES PBS KE-32)






Tanpa disedari parti ini telah mencapai umur 32 tahun sehingga menjadikan parti PBS sebagai parti tertua dan kedua terbesar di negeri Sabah. PBS kini telah menjadi lebih matang, saya percaya dengan sokongan berterusan, kesetiaan dan kerja keras ahli parti dan penyokong di semua peringkat parti ini akan terus cemerlang dan berkembang demi memperjuangkan nasib rakyat negeri Sabah.

Kita semua perlu mengamalkan sikap bertoleransi, bekerjasama dan berkomunikasi secara efektif untuk memastikan bahawa PBS akan terus relevan di hati rakyat. Seperti yang telah saya sebutkan sebentar tadi, PBS telah melalui banyak cabaran dan halangan dalam 32 tahun perjalanan politiknya, PBS sebagai parti politik berbilang kaum telah diuji tahap rendah dan tinggi, kami telah melalui pengalaman pahit dan manis, adalah menjadi keinginan saya sebagai presiden parti agar semua rakan-rakan seperjuangan dan ahli dalam parti untuk terus berkongsi misi, visi dan perjuangan PBS supaya parti ini akan terus berkekalan bagi berkhidmat untuk rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama.

Ketika PRU semakin dekat, tidak ada lagi ruang untuk mengambil perkara sambil lewa, kita tidak boleh berpuas hati. Setiap ahli di setiap bahagian PBS dan cawangan mesti bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan parti di peringkat akar umbi. PBS di peringkat pusat akan lebih kuat dengan sokongan kuat dan padu daripada anda semua. Adalah sentiasa menjadi impian saya untuk melihat PBS terus berkembang, pemimpin yang lebih muda perlu teruskan perjuangan parti. Saya yakin dan percaya bakal ketua baharu (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) yang akan mengambil alih kepimpinan tertinggi parti akan terus membawa legasi kepimpinan baru kepada parti.

Ucapan dasar saya pada kali ini telah merangkumi teras perjuangan parti, cabaran masa lalu dan sekarang serta tanggungjawab di masa hadapan. Dunia telah berubah dan sedang berubah dengan pantas perjuangan masih kekal dengan matlamat asal PBS. PBS tidak pernah lari dari perjuangan asal, namun pendekatan dan strategi kita menghadapi perubahan iklim politik dan ekonomi perlu menerusi pembaharuan serta transformasi untuk menangani cabaran dan segala dugaan. Seperti lirik lagu nyanyian Hetty Koes Endang (aku masih seperti yang dulu).

Semoga lirik lagi ini menjadi intisari perjuangan generasi muda PBS. Saya yakin pemimpin-pemimpin baru PBS yang akan meneruskan perjuangan ini akan terus bersatu dan berjuang sepenuh tenaga untuk rakyat Sabah dan Negaraku Malaysia. Oleh itu saya ingin mengambil peluang ini untuk menyeru semua barisan kepimpinan parti untuk terus menyokong penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Team baharu parti yang akan meneruskan perjuangan parti. Berilah sokongan dan kerjasama penuh anda semua untuk melancarkan peralihan kepimpinan ini. Saya percaya selagi kita berpegang ikhlas kepada misi, visi dan perjuangan parti, maka kita akan terus berada di hati rakyat Sabah dan negara Malaysia. Kepada rakan-rakan seperjuangan dalam BN, khasnya YAB Ketua Menteri dan para pemimpin-pemimpin BN yang lain terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kerana sudi hadir dan memberi sokongan kepada PBS selama ini.

Akhir sekali, sekali lagi bagi pihak PBS, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menerima pelawaan kami untuk merasmikan dan seterusnya merasmikan pembukaan kongres PBS yang ke-32 bagi tahun 2017.

No comments:

Post a Comment