Ucapan: TS. DSP Joseph Pairin Kitingan
Kongsres Ke-32 PBS

Kemajmukan kaum di Sabah, menjadikan BN sebagai pilihan terbaik masyarakat berbilang kaum di Sabah kerana komponen BN itu sendiri terdiri daripada parti berbilang kaum. Beliau turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan tahniah terhadap pembentangan Bajet 2018 yang menurut beliau sebagai bajet yang komprehensif, menyeluruh dan inklusif. Bajet itu juga menurutnya, menyentuh kesejahteraan rakyat dalam menghadapi pelbagai permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini. Tambahnya lagi, terdapat banyak langkah yang diumumkan oleh kerajaan yang berpaksikan kepada rakyat biasa terutamanya B40 dan N40, penjawat awam dan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan. Malah Bajet 2018 tersebut katanya, turut menyentuh peruntukan kerajaan terhadap kerja-kerja penyukatan tanah adat bagi Sabah dan Sarawak.

Tanah Adat
Meskipun tanah berada dalam bidang kuasa negeri, maka usaha hendaklah dipertingkatkan untuk menyelesaikan tuntutan persempadanan tanah kampung-kampung dan tuntutan tanah bertindih antara penduduk kampung dan agensi kerajaan, penyukatan tanah dan pengeluaran geran tanah. Kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta ringgit bagi tahun ketiga untuk menyelesaikan masalah berhubung dengan tanah adat. Melalui peruntukan itu, PBS akan memastikan usaha penyukat dapat dijalankan segera dan menyelesaikan masalah yang berhubung dengan tanah adat.

MA63
Ketika era pemerintahan Tun M, isu berhubung dengan perjanjian Malaysia (MA63) adalah isu yang dianggap sebagai sensitif bagi kerajaan persekutuan hingga menyebabkan ramai rakyat dan pemimpin-pemimpin Sabah berasa takut untuk membangkitkan isu berkenaan kerana bimbang mereka bakal ditahan dan diambil tindakan di bawah ISA. Dr Maximus Ongkili adalah antara mangsa ISA Tun M. Tegasnya “saya tidak percaya beliau (Tun M) jujur mengenai perkara ini dan kita tahu bahawa beliau selalu tidak konsisten dengan kenyataan beliau”.

PBS turut menghargai usaha-usaha yang dimainkan oleh pelbagai pihak khususnya komponen BN yang lain dalam usaha untuk memulihkan kembali hak-hak asasi rakyat Sabah sepertimana yang ditetapkan dalam kerangka kerja MA63. Kesemua dokumen berkaitan dengan MA63 seperti Jawatankuasa perunding solidariti Malaysia, Memorandum 20 Perkara, Laporan Jawatankuasa IGC dan akhirnya diiktiraf dalam perjanjian Malaysia 1963. Semua dokumen ini memberikan jaminan dan perjanjian kontrak yang perlu dipenuhi dalam persekutuan Malaysia. “Kami dalam PBS berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pelantikan orang Sabah ke jawatan tertinggi di peringkat persekutuan yang termasuk seorang KSU, tiga Timbalan KSU dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN”.

Walau bagaimanapun ujarnya. Selepas 53 tahun dalam Malaysia, PBS merasakan sudah tiba masanya untuk melihat lebih ramai lagi rakyat Sabah dilantik untuk mengetuai bukan hanya Jabatan Persekutuan di Negeri tetapi juga di Semenanjung. Situasi itu kini ujarnya sudah bertambah baik di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak meskipun jumlah tersebut masih belum mencukupi sepertimana yang terkandung dalam MA63. Ini kerana daripada 104 Jabatan Persekutuan dan 45 Badan Berkanun di Sabah, bilangan pegawai Sabah yang memegang Jawatan Pegawai Kanan di kedua-dua sektor ini masih kurang daripada 50 peratus di kedua-dua sektor ini. Perwakilan rakyat Sabah sebagai pegawai kanan Jabatan Persekutuan di Sabah kurang 35 peratus sementara bagi Badan Berkanun pula kurang 30 peratus. “Sudah tiba masanya jawatan-jawatan ini diberikan kepada rakyat Sabah, dan ini amat bersesuaian dengan isu Borneonisasi dan sejajar dengan MA63”. Beliau berharap agar lirik lagu “Anak Kampung” nyanyian Jimmy Palikat yang turut diminati oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Musa Aman tidak menjadi realiti “Aku anak kampung, tiada pelajaran, kuli-kuli sahaja”.

Dalam meneliti status pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, PBS melahirkan kebimbangan berhubung beberapa jaminan yang dalam pandang PBS belum ditunaikan sepenuhnya, terabai atau lebih lagi dipandang sebagai dicerobohi. Rakyat Sabah menuntut pemulihan hak-hak Sabah sepertimana yang termaktub dalam MA63. Jawatankuasa PBS telah mengkaji apa yang telah termaktub dalam perjanjian 1963 berkaitan dengan isu-isu pengagihan kuasa dan telah mencadangkan pemulihan bagi menyemak balik hak-hak yang sepatutnya dinikmati oleh negeri Sabah. Dalam konteks yang spesifik, PBS telah memberi tumpuan kepada peruntukan sistem mahkamah tinggi di Sabah dan Sarawak yang mana terdapat gangguan dalam sistem mahkamah di Sabah dan Sarawak yang mana telah menyimpang daripada jaminan laporan IGC dan MA63 dari segi pentadbiran Mahkamah di Sabah dan Sarawak. Sebagai contoh, dalam MA63 Sabah dan Sarawak diberikan kedudukan Khas iaitu Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak berasingan daripada Mahkamah Tinggi Malaya. Pada asalnya Ketua Hakim Mahkamah di Sabah dan Sarawak digelar “Chief Justice of The High Court of Borneo” tapi kini sekadar digelar “Chief Justice of the High Court of Sabah and Sarawak”. Perkara ini telah menyimpang daripada MA63. Berdasarkan kepada bukti sejarah, Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak telah diberikan status bebas iaitu berpegangan di bawah undang-undang. Apabila Sabah dan Sarawak membentuk persekutuan, Mahkamah Tinggi Borneo yang telah sedia ada tidak dimasukkan ke dalam Mahkamah Tinggi Malaya tetapi dibenarkan meneruskan kewujudannya secara berasingan di bawah MA63.

Sukatan pelajaran yang tertulis di dalam buku teks perlu ditambah baik dengan memperincikan informasi mengenai pembentukan Malaysia agar setiap rakyat Malaysia memahami dan menghargai intipati yang tersirat dan tersurat dalam Perjanjian Malaysia 1963. Antara syor topik yang perlu dimasukkan dalam sukatan pelajaran termasuklah, mengenai laporan Suruhanjaya Cobbold, Perkara 20 (Sabah) dan Perkara 18 (Sarawak), Mengenai Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan seterusnya mengenai perjanjian Malaysia 1963. Fakta Sejarah mengenai pembentukan Malaysia sepertimana yang terkandung dalam buku teks sejarah adalah terlalu ringkas dan hanya dihadkan kepada 1 bab yang terbatas. Kesannya, ramai di kalangan rakyat Malaysia bahkan  pegawai kerajaan sendiri tidak memahami perkara berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Suruhanjaya Mengenai Pendatang Tanpa Izin (RCI)
Beliau memaklumkan yang sepanjang tempoh tiga (3) tahun mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal RCI untuk menyelesaikan masalah berhubung dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI/ PTI), berasa teruja melihat perkembangan ini. Setelah beberapa Perdana Menteri terdahulu, akhirnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kerajaan persekutuan telah mengambil perhatian yang serius terhadap dilema rakyat Sabah berkenaan isu PTI. Menerusi Jawatan kuasa Teknikal RCI ujarnya, terdapat pelbagai cadangan yang termasuklah untuk mendaftarkan semula rakyat Malaysia di negeri Sabah. Kesemua cadangan itu diperolehi daripada rakyat Sabah sendiri termasuklah cadangan individu, NGO dan ahli politik tempatan, dan kesemua cadangan itu akan diambil kira oleh pucuk pimpinan tertinggi. Selain itu, cadang yang diterima turut menyentuh soal mengukuhkan langkah kawalan keselamatan di perairan Sabah dan memperbaiki kesilapan masa lalu. Namun begitu, laporan penuh belum dapat dibentangkan kepada umum. Penambahbaikan menerusi penubuhan Esszone antara usaha serius kerajaan dalam mengatasi malasah PTI, yang turut dikaitkan dengan jenayah rentas sempadan dan penculik.

Malah keseriusan kerajaan dalam mengatasi masalah ini jelas terbukti menerusi kenyataan Ketua Menteri (Tan Sri Musa Aman) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), kerajaan telah memperhebatkan penguatkuasaan dan pengusiran PTI dari Sabah, pada tahun 2015 kerajaan telah mengusir lebih daripada 27,769 orang PTI. Usaha ini menjadi jawapan kepada kritikan individu tertentu bahawa tiada tindakan diambil oleh kerajaan menerusi laporan RCI.

Cadangan Perwujudan Timbalan Perdana Menteri Daripada Sabah dan Sarawak
Pelbagai pihak telah mengesyorkan agar Perdana Menteri melantik Timbalan Perdana Menteri khas untuk Sabah dan Sarawak untuk menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak. Cadangan itu bukanlah suatu perkara yang baru kerana parti pembangkang turut mengemukakan cadangan serupa. Pendirian PBS mengenai perkara ini sangat jelas, “kami menyokong cadangan serupa sepertimana yang dikehendaki oleh rakyat Sabah dan Sarawak”. “Kita masih ingat dahulu ada Jawatan Menteri Persekutuan yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak yang mana jawatan tersebut juga boleh dianggap sebagai jawatan Timbalan Perdana Menteri”. Sekiranya jawatan ini boleh meningkatkan tahap perwakilan untuk Sabah dan Sarawak dalam pentadbiran negara, maka tidak ada sebab untuk tidak menerimanya.

Infrastruktur Sabah dan Sarawak
Satu perkara yang dekat di hati rakyat ialah, keperluan infrastruktur asas seperti pembinaan sekolah baharu, pembaikan bangunan sekolah yang daif, penyediaan asrama desa, penyediaan bekalan air dan elektrik. Kita sedia maklum dalam pembentangan Bajet 2018, banyak peruntukan telah disediakan dan PBS mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri yang peka dengan keperluan rakyat Sabah. Namun beliau tidak menafikan, masih banyak lagi perkara yang perlu diberi tumpuan, justeru tambahan-tambahan yang diperlukan ini sedikit sebanyak akan dapat memberi keselesaan kepada pelajar agar dapat mencapai tahap kejayaan yang diinginkan. Pandangan PBS, penyediaan keperluan asas adalah penting, namun penting juga untuk memenuhi keperluan modal insan dan masyarakat yang berilmu. Ini diperlukan agar mereka mampu berdikari secara ekonomik dan dapat bersaing bukan sahaja dengan bangsa-bangsa lain di negara ini malah di peringkat global.

Bagi komuniti pedalaman khususnya masyarakat KDM, PBS telah menyuarakan keperluan pembinaan sebuah kolej pendidikan khas untuk membekalkan kemahiran dalam bidang-bidang yang kurang diberi perhatian khususnya di institusi pendidikan tinggi sedia ada. Subjek dan bidang yang dimaksudkan adalah seperti, Bio Perubatan Tradisional, Penggunaan kemahiran-kemahiran asli termasuk pemuliharaan adat resam dan penanaman herba yang dipercayai mempunyai khasiat kesihatan terutama sekali dalam perubatan tradisional serta mempraktikkan perubatan berasaskan pengetahuan dan secara tradisional. Ini termasuk latihan penggunaan teknologi Bio Botani dan Perubatan Herba yang telah melalui ujian saintifik. Ini bersesuaian dengan perkembangan dan permintaan ke atas perubatan tradisional semakin mendapat tempat di kalangan orang ramai.

Perkembangan pesat dalam sektor eco pelancongan juga mendorong kepada usaha untuk melahirkan lebih ramai pemandu pelancong dari golongan orang asal Sabah terutama sekali belia dan belia wanis yang berkemahiran dalam bidang botani dan produk hutan yang mempunyai nilai-nilai perubatan. Dengan latihan menyeluruh, mereka mampu menjadi pemandu pelancong yang profesional dan bertauliah. Kami (PBS) tidak mahu anak-anak tempatan menjadi Kuli-kuli sahaja. Dalam usaha ini, persatuan KDM, telah menubuhkan sebuah yayasan (Huguan siao Foundation) sebagai badan mengendalikan pendidikan KDM yang dimaksudkan serta program-program lain yang akan dilaksanakan dalam bentuk pendidikan dan kemahiran. Ini akan dapat membantu bukan hanya masyarakat KDM tempatan di luar bandar tetapi juga merancakkan pembangunan pendidikan seterusnya menyumbang kepada pembangunan Bio ekonomi Negara Malaysia.

Pelantikan Menteri Kabinet Dari Sabah
Tidak pernah berlaku dalam sejarah mana di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah melantik paling ramai menteri kabinet daripada Sabah. Di bawah kepimpinan beliau, Sabah dan Sarawak mempunyai seramai 12 Menteri di Persekutuan (6 dari Sabah) diberi mandat memegang portfolio penting tidak sepertimana era kepimpinan Tun Mahathir, dimana Sabah hanya memiliki satu (1) atau dua (2) orang wakil menteri di persekutuan yang diberi portfolio kurang signifikan. Berbeza dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib) yang kini lebih memahami sentimen Sabah dan Sarawak, dan jelas terbukti dengan keputusan berani beliau untuk mengisytiharkan 16 September sebagai Hari Malaysia sekaligus sebagai Cuti Kebangsaan selepas beliau menjadi Perdana Menteri.


Video Ucapan TS DSP Joseph Pairin Kitingan