Muhyiddin! Nafi Saja Tak Cukup, Contohi Rais Yatim




BUAT penafian sahaja tidak cukup. Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya berani mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka atau pihak-pihak yang menuduh beliau mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita bernama Nika Gee Siew.

Semua orang boleh menafikan begitu sahaja. Dakwaan diri mempunyai hubungan sulit merupakan tuduhan yang amat berat. Bukan sahaja dirinya, tetapi anak, isteri terpalit sama.

Apatah lagi buat seorang individu yang berprofil tinggi seperti Muhyiddin - yang dalam pengetahuan semua ini kali pertama bekas Timbalan Perdana Menteri itu berdepan dengan tuduhan yang amat memalukan ini.

Sekadar menafikan, itu tandanya untuk mendiamkan mulut rakyat. Mengapa dalam isu dakwaan terhadap 1MDB, sanggup pula Muhyiddin mendesak turun padang ke seluruh negara supaya isu itu disegerakan dibawa ke muka pengadilan. Bukan itu sahaja tetapi tergamak pula bercakap di luar platform parti dan bersekongkol dengan pakatan pembangkang untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jangan cakap isu 1MDB itu lain dan tuduhan bahawa beliau menjalin hubungan sulit dengan Gee Siew itu perkara berbeza. Nah! inilah masanya untuk Muhyiddin membersihkan namanya yang tercemar sebelum menubuhkan parti atau pakatan baharu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kalau Muhyiddin bercakap dengan Dr. Mahathir akan tuduhan yang dihadapinya, tentu sekali Dr. Mahathir bersetuju supaya Muhyiddin mengambil tindakan undang-undang untuk mendakwa mereka yang kononnya memfitnahnya. Kalau Muhyiddin menang kes itu di mahkamah nanti, bukankah parti baharu yang ditubuhkan itu akan memiliki reputasi tinggi dan barangkali boleh menang besar dalam pilihan raya umum ke-14 nanti? Bukankah begitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin patut contohi Penasihat Sosio Budaya kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang berani berdepan dengan kebenaran dalam menangani sesuatu isu. Apa lagi kalau berdepan fitnah atau dakyah yang mentohmah diri dan keluarganya.

Ingat tak lagi Muhyiddin bagaimana Rais yang ketika itu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan  pada 2011 telah memenangi saman fitnah beliau terhadap seorang penulis blog berhubung artikel yang memfitnahnya yang dipaparkan dalam satu blog.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof ketika itu memutuskan penulis blog Amizudin Ahmat, 42, didapati bersalah bagi memfitnah. Rais, 72, dalam pernyataan tuntutannya berkata seluruh artikel dalam bahasa Malaysia itu adalah berniat jahat dan memfitnahnya dan perkataan dalam artikel itu bermaksud dan/atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.

Rais, yang juga anggota Parlimen kawasan Jelebu di Negeri Sembilan semasa itu menafikan tuduhan itu selepas penulis blog itu menamakannya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia telah menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Selepas keputusan itu, Rais yang hadir bersama isterinya Datin Seri Masnah Rais, memberitahu pemberita bahawa beliau sentiasa mempunyai sepenuh keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.

Rais berkata beliau telah membawa kes itu ke mahkamah bagi membersihkan namanya, keluarganya dan juga reputasi kerajaan. Rais berkata pembelaan defendan (Amizudin) bahawa beliau menerbitkan artikel itu berdasarkan justifikasi adalah tidak berhasil dan ia mengandungi natijah-natijah politik semata-mata.

Itulah Rais yang berani kerana benar. Takut kerana salah. Muhyiddin wajar contohinya. Menafikan sahaja tanda Muhyiddin memang menjalin hubungan sulit itu. Bukankah begitu Tan Sri?

Sumber: KLXpress

No comments:

Post a Comment