PRN : Selepas Lawan 'Selak Kain', DAP, PKR Kini Bimbang Hilang Kerusi




Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini 'dipersalahkan' kerana mempertikai hasrat sebenar DAP untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng  mendedahkan bahawa PKR pernah membuat keputusan sendiri (tanpa berunding dengan DAP) semasa mengadakan pilihan raya kecil DUN Penanti, Parlimen Permatang Pauh dan DUN Kajang.

Selepas itu, PKR pula "menyelak kain" DAP kerana membuat pengumuman "mengejut" menguburkan Pakatan Rakyat dengan dan menubuhkan Pakatan Harapan.

PKR tidak yakin keperluan DAP mencadangkan pilihan raya negeri secara mengejut. Bagi menutup wujudnya ketidak sepakatan DAP dan PKR itu, kedua pihak mahu rundingan diteruskan.

Namun Guan Eng yang kini seolah-olah takut kepada bayangnya sendiri setelah dihadapkan ke mahkamah kerana dakwaan dua kes penyelewengan.

Beliau  semacam tidak lagi dapat bersabar dan mahu PRN itu disegerakan bagi membuktikan rakyat pulau itu masih menyokongnya setelah dipalit dengan skandal rasuah.

Tanpa berselindung lagi, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mahu PKR mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan.

Dengan kata lain  Guan Eng ingin memberitahu PKR, jika tidak setuju PRN mengejut itu, DAP boleh buat keputusan sendiri seperti mana PKR melakukannya pada PRK Penanti, Permatang Pauh dan Kajang.

Dalam bahasa mudah, PKR memang tidak bersetuju PRN awal di Pulau Mutiara itu kerana tidak yakin partinya boleh mengekalkan semua 10 kerusi yang dimenangi pada PRU-13.

(Kedudukan kerusi DUN Pulau Pinang sekarang ialah DAP 19, PKR 10, BN/UMNO 10 dan satu PAS)

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akhirnya pecah lubang dengan mengakui jika PRN mengejut diadakan sekarang, BN/UMNO kemungkinan  menang kerana pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan.

 PAS yang meninggalkan bahtera pakatan pembangkang tahun lepas membayangkan sudah bersedia mengambil semula kerusi tradisinya di samping mengintai potensi kerusi baharu di kawasan DAP.

Jika pun PAS tidak menang banyak kerusi, setidak-tidaknya parti itu akan "kacau daun". Lagi pun DAP dahulu juga mengisytiharkan PAS musuhnya dan  membuat keputusan menamatkan beberapa pemimpin PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pniang

Semua orang tahu,  semasa berada di dalam Pakatan Rakyat, PAS  turut bekerja keras membantu PKR dan DAP untuk menawan Pulau Pinang pada PRU 2008 dan 2013.

DAP dan Guan Eng tentu masih ingat tindakannya itu.  Kata orang, terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak cakap dan membuat keputusan... padahnya dapat kita lihat sekarang.

DAP, menerusi penasihatnya Lim Kit Siang juga kembali memujuk PAS untuk bersetuju dengan formula pembahagian kerusi pada PRU-14 supaya tidak bertanding di negeri lain kecuali Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

 Namun cadangan itu dibuat selepas DAP dan PAS sudah bercerai talak tiga.

Kekalahan PKR dan DAP di PRN Sarawak Mei lalu dan kegagalan Pakatan Harapan yang diwakili Parti Amanah Negara (PAN) pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini turut merisaukan PKR jika PRN awal diadakan di Pulau Pinang. 

Bagi PKR, kenapa perlu mencari "nahas" dengan mengadakan pilihan raya secara mengejut kerana Guan Eng masih boleh duduk di kerusi Ketua Menteri selagi belum didapati bersalah oleh mahkamah.

Malah untuk 'menyedapkan hati' sekutunya PKR,  Guan Eng menyatakan DAP juga merasai kebimbangan.

Tidak mustahil BN kembali berkuasa kerana pada satu ketika DAP pernah mengalami kekalahan yang teruk dalam PRU. 

Kemungkinan kali ini pengundi Cina 'ubah selera' berikutan isu rasuah Ketua Menteri, kemelut dalaman DAP selain cadangan projek mega yang tidak disenangi rakyat.

Lagi pun, jika BN menang sekalipun, pemimpin Cina daripada parti Gerakan akan menduduki semula kerusi Ketua Menteri walaupun parti itu menang satu kerusi sekali pun. Itu janji BN.

BN sudah pun bersiap siaga, PAS juga sudah bersedia. Ayuh Guan Eng! Jangan tunggu lama-lama.

Sumber: KLXpress

No comments:

Post a Comment