Bimbang Tiada Pengikut, Tun M Sengaja Lewatkan Penubuhan Parti Baharu - Puad



KUALA LUMPUR -  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sengaja melewat-lewatkan permohonan menubuhkan parti baharu kerana bimbang tiada di antara pemimpin ‘sasarannya’ akan bersama-sama beliau di dalam parti tersebut.

Jelasnya, pemimpin ‘sasaran’ tersebut termasuk bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lebih terdorong untuk menyertai parti PKR, manakala bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula enggan menyatakan persetujuannya untuk menyertai parti baharu tersebut kerana tidak mahu memperlihatkan kelemahannya yang kurang pebgikut terdedah kepada umum.

“Punca mengapa Tun Mahathir lambat hantar permohonan penubuhan parti baharu adalah kerana beliau risau tiada yang mahu masuk dalam parti tersebut.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin nampak kurang berminat dan lebih terdorong kepada PKR sahaja.

“Manakala Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula, kalau beliau masuk ke parti Tun Mahathir, beliau takut kelemahan beliau akan terdedah bahawa beliau tidak mempunyai ramai pengikut untuk dibawa menyertai parti berkenaan,” ujarnya dalam satu sidang media yang diadakan pada Majlis Sambutan Hari Raya bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), di Pulau Pinang, hari ini.

Tambah Mohd Puad, alasan demi alasan dibuat oleh bukan sahaja Tun Mahathir, malah anaknya, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung penubuhan parti baharu itu apabila memberi amaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk tidak menyekat hasrat bapanya menubuhkan parti politik baharu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa beliau sedang mencari alasan mengapa sehingga kini mereka masih belum menghantar permohonan tersebut.

“Pada saya, Tun Mahathir sebenarnya jadi tidak pasti sama ada partinya bakal mendapat sambutan ataupun tidak, terutama apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan minat terhadap PKR yang sudah mempunyai penyokongnya tersendiri,” jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Puad berkata, Tun Mahathir seolah-olah sedar akan betapa sukar untuk menarik penyokong menyertai sesebuah parti baharu apabila beliau melancarkan gerakan Deklarasi Rakyat yang memerlukan tandatangan lebih sejuta rakyat bagi menggesa pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada akhirnya terbukti ianya telah dipalsukan.

Disoal mengenai mengapa PKR dijadikan sebagai pilihan oleh Tan Sri Muhyiddin, beliau berkata bekas pemimpin itu dilihat hadir bersama-sama Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail dalam program pembangkang malah bersetuju membuat jerayawara (roadshow) dengan PKR.

“Saya melihat itu sebagai isyarat bahawa beliau sudah tidak boleh tunggu dan kurang yakin dengan parti baharu Tun Mahathir.

“Sebab itu saya mahu Tun Mahathir untuk menyegerakan penubuhan parti barunya dan meminta agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat kenyataan terbuka bahawa mereka akan menyertai parti baharu tersebut, bukannya PKR,” jelasnya.  

Sumber: KLXpress

No comments:

Post a Comment