Kerajaan hari ini meluluskan permohonan PROTON untuk
mendapat pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion. Pinjaman ini adalah sebahagian
besarnya untuk membolehkan PROTON membuat pembayaran kepada vendor-vendor yang
membekalkan komponen kepadanya.
Kerajaan juga bersetuju supaya beberapa syarat dikenakan
untuk memulihkan perniagaannya. Di antara syarat-syaratnya ialah PROTON perlu
meyakinkan Kerajaan tentang model perniagaan baharunya supaya perniagaannya
berdaya maju dan berdaya saing. Secara khususnya, PROTON di antara lain perlu
melaksanakan perkara-perkara berikut:
(a) mewujudkan
pelan penstrukturan semula PROTON (turnaround plan);
(b) menyediakan
pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara; dan
(c) mendapatkan
rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam R&D dan menjadi
syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sebuah Pasukan Petugas diketuai oleh Dato’ Sri Idris
Jala, Ketua Eksekutif PEMANDU akan ditubuhkan untuk memastikan program
transformasi ini berjaya. Pasukan ini
akan mempunyai 3 wakil dari sektor swasta dan 3 wakil lagi dari sektor awam.
Wakil-wakil Kerajaan adalah bagi mewakili Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri dan Unit Perancang Ekonomi; manakala, wakil-wakil
sektor swasta akan dikenalpasti secepat mungkin.
Selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah
dipatuhi, Pasukan Petugas ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan PROTON
pada masa lalu, mengenal pasti kelemahan serta langkah-langkah untuk
mengatasinya.
Kerajaan sedar bahawa industri automotif adalah sebuah
industri yang strategik. PROTON mempunyai 12,000 orang pekerja yang bekerja
secara langsung, dan kira-kira 50,000 orang lagi yang bekerja dengan
syarikat-syarikat vendor yang bergantung kepada PROTON.
Keputusan Kabinet pada hari ini adalah juga bagi
mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 orang pekerja yang bergantung secara
langsung kepada masa depan PROTON.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed
8 April 2016
No comments:
Post a Comment