BERI PELUANG KEPADA PENGURUSAN 1MDB UNTUK MELAKSANAKAN RANCANGAN RASIONALISASI




KUALA LUMPUR, 7 April - Pihak pengurusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) perlu diberi peluang untuk melaksanakan pelan rasionalisasi yang dilihat mula membuahkan hasil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata Laporan Jawatankuasa Kira-kira (PAC) yang dibentangkan di Parlimen hari ini menunjukkan aset syarikat itu melebihi hutangnya.

"Pada bulan Januari 2016, aset 1MDB berjumlah RM53 bilion berbanding hutang sebanyak RM50 bilion.

"Itulah sebabnya adalah sangat penting untuk kita menyokong langkah-langkah yang diambil oleh pengurusan 1MDB untuk merasionalisasikan operasi mereka, termasuk penjualan Edra Global Energy Bhd dan aliran masuk pelaburan ke Bandar Malaysia dan kami percaya mereka boleh mengurangkan beban hutang mereka dan membuat 1MDB menjadi lebih mampan," katanya.

Wahid berkata demikian sebagai mengulas laporan setebal 106 muka surat yang mengandungi hasil siasatan PAC ke atas dana pelaburan strategik.

Walaupun laporan itu mendapati terdapatnya kelemahan dalam pengurusan dan kawalan dalaman korporat syarikat itu, Wahid melahirkan keyakinan bahawa proses rasionalisasi yang dilaksanakan oleh pengurusan 1MDB yang telah diperkenalkan pada Januari 2015 akan mengurangkan hutang syarikat.

"Untuk masa akan datang, kita semua perlu menyokong usaha 1MDB dan pengurusannya untuk melaksanakan program rasionalisasi mereka.

"Pelabur boleh terus melabur dalam 1MDB dimana sukuk yang sedia ada telah diberi jaminan oleh kerajaan, dan kami akan memastikan 1MDB akan terus berjaya pada masa depan," katanya.

Wahid berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran tambahan 1.5 bilion unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. - Bernama

No comments:

Post a Comment