1MDB BAKAL MENJADI SYARIKAT TIDAK AKTIF





1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal menjadi syarikat tidak aktif sebaik sahaja perancangan rasionalisasi ke atasnya bakal dilaksanakan, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif, Arul Kanda.

“Berdasarkan perancangan rasionalisasi tersebut dan cadangan daripada pihak Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), anak-anak syarikat bakal dikeluarkan daripada kawalan syarikat, dan ini akan menjadikan 1MDB sebagai syarikat tidak aktif.

“Ini sekaligus membawa maksud, kami tidak akan mempunyai operasi harian dan 1MDB akan membayar hutang-hutangnya melalui aliran kewangan berdasarkan perancangan rasionalisasi tersebut,” memetik kata-kata beliau dalam sebuah temuramah yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3, hari ini.

Arul Kanda juga mengulas tentang saranan PAC bahawa kesemua aset 1MDB dan anak-anak syarikatnya perlu diserahkan kepada Perbadanan Kementerian Kewangan (MOF Inc.) untuk penyeliaan yang lebih ketat.

Beliau juga menyatakan bahawa perbincangan tentang status 1MDB bersama MOF Inc bakal diadakan tidak lama lagi.

Pada masa ini, 1MDB memiliki Tun Razak Exchange dan 40 peratus pegangan saham Bandar Malaysia.

Sementara itu, Arul Kanda juga berkata bahawa perletakan jawatan yang ditawarkan kepada enam Ahli Lembaga Pengarah bukanlah satu helah untuk melarikan diri.

“Namun, tindakan ini lebih memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan siasatan yang lanjut yang lebih telus ke atas 1MDB,” beliau mengulas lanjut.

1MDB memiliki lebihan tunai sebanyak RM2.96 bilion berikutan jualan Edra Global Energy dan lepasan pegangan saham Bandar Malaysia.

Arul Kanda juga menerangkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah, termasuk dirinya tidak pernah meminta peruntukan kewangan, pampasan atau bayaran.

Pihak-pihak berwajib dan berkuasa telah diminta oleh PAC untuk menyemak laporan tersebut.

“Sekiranya ada kesilapan, maka tindakan bakal diambil. Dan sekiranya saya didapati bersalah, maka saya bersedia untuk menerima apa sahaja hukuman yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment