Friday, July 5, 2013


                                                                                         Datuk Jahara Hamid

Sumber: Bharian

Sidang tanpa sesi soal jawab, BN sifatkan tindakan angkuh DAP

Georgetown: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bermula semalam mencetuskan kontroversi apabila sesi soal jawab tidak diadakan yang disifatkan oleh ADUN Barisan Nasional (BN) sebagai tindakan 'membunuh' sistem demokrasi berparlimen negara. 
Alasan ketiadaan masa yang diberikan oleh Speaker DUN negeri, Law Choo Kiang itu tidak dapat diterima oleh ADUN BN kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN negeri. 

Ia sangat mendukacitakan, tambahan pula ini adalah persidangan pertama. Sesi soal jawab penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang menguji kebijaksanaan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam menjawab isu,” Datuk Jahara Hamid, Ketua Pembangkang

Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid, berkata Speaker tidak mempunyai kuasa berbuat demikian dan ia menunjukkan keangkuhan kerajaan pimpinan DAP.

Beliau berkata, ia tidak pernah berlaku dalam sejarah DUN negeri dan menganggapnya sebagai ‘hukuman maut’ terhadap sistem demokrasi.

Sangat mendukacitakan

“Ia sangat mendukacitakan, tambahan pula ini adalah persidangan pertama. Sesi soal jawab penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang menguji kebijaksanaan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam menjawab isu,” katanya ketika bangun membantah keputusan itu. 
Namun, ia menyebabkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo bangun memintanya menarik balik kenyataannya itu.

“Saya minta Yang Berhormat tarik balik kenyataan yang menyatakan sistem demokrasi sudah maut dalam dewan ini. Saya minta tarik balik kerana demokrasi tidak maut dalam dewan ini,” katanya.

Keengganan Jahara menarik balik kenyataan itu menyebabkan Jagdeep meninggikan suara dan berlaku pertengkaran apabila Jahara meminta ADUN Datok Keramat itu supaya tidak mengherdiknya.

“Saya bercakap mengikut peraturan dewan, iaitu keperluan untuk memberitahu. Saya percaya sesi soal jawab ini bukan saja penting kepada wakil pembangkang tapi semua ahli dewan,” katanya.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) kemudian meminta isu kekangan masa tidak dijadikan alasan untuk menafikan keperluan mengadakan sesi soal jawab pada sidang DUN kali ini.

Bagi menyelesaikan ketegangan, Speaker kemudian campur tangan dengan mengarahkan ahli dewan bertenang dan meminta mereka menghormati keputusan itu.

“Saya sudah jelaskan ketiadaan sesi soal jawab pada sidang kali ini tidak melanggar peraturan mesyuarat, tidak menjadi masalah dan berharap ia tidak dibangkitkan lagi,” katanya.

Persidangan DUN ke-13 Penggal Satu itu bermula kelmarin dengan majlis perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan akan berlangsung sehingga esok.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mengakui hairan dengan keputusan itu berkata, ia tidak wajar berlaku dan sesi soal jawab sepatutnya dibenarkan.

“Saya jangka ia berlaku kerana faktor masa, bagaimanapun ia perlu disemak semula oleh Speaker,” katanya kepada pemberita selepas sidang berhenti rehat.

Namun, Guan Eng berkata, Law tidak sepatutnya dipersalahkan kerana baru dilantik pada 28 Jun lalu.

Law, ketika dihubungi malam tadi mendakwa tidak berpeluang mengubah atur cara mesyuarat kerana pelantikan sebagai Speaker terlalu hampir dengan sidang DUN yang bermula Selasa lalu.

“Ketika dilantik Speaker, semua atur cara mesyuarat sudah diputuskan Penasihat Undang-udang negeri dan Setiausaha DUN. Keputusan ini dibuat kerana kekangan masa kerana mesyuarat kali ini dibuat berserta majlis angkat sumpah. Mungkin jika pelantikan dilakukan lebih awal, saya sempat menyemak atau merombak atur cara mesyuarat,” katanya.
Share this Article on :

No comments:

Post a Comment

 

© Copyright DKM SABAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.