LAWAN PENJENAYAH DENGAN SEJADAH




Sumber: myMetro
SEGAMAT: Dua penjenayah, seorang daripadanya bersenjatakan pisau, lari lintang pukang selepas ditewaskan oleh seorang pelajar sebuah sekolah agama yang hanya menggunakan sejadah sebagai senjata ketika rumahnya di Bandar Putra di sini, dipecah masuk, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa, Abdul Hanan Hasan, 18, yang berseorangan di rumah serta bersekolah di sebuah sekolah agama di sekitar kawasan berkenaan terjaga daripada tidur ketika hendak ke bilik air. 
"Selepas solat Isyak, saya terlena di atas sejadah di ruang tamu rumah dan terjaga kerana terasa mahu ke bilik air. 

"Saya kemudian ke ruang tamu semula untuk melipat sejadah sebelum berjalan ke arah bilik dan terkejut apabila seorang lelaki tiba-tiba menegur saya sambil mengugut supaya saya menyerahkan wang tunai serta motosikal jika mahu selamat," katanya.


Abdul Hanan berkata, dia kemudian mencabar lelaki terbabit sebelum penjenayah lingkungan 20-an itu menyerangnya.


"Saya menumbuk mukanya dengan tangan kiri memandangkan tangan kanan masih memegang sejadah menyebabkan dia terjatuh ke lantai. 

"Bagaimanapun, tiba-tiba saya dipukul dari belakang dengan topi keledar oleh seorang lagi lelaki. Seorang daripada penjenayah terbabit mengeluarkan pisau dan cuba menikam saya," katanya. 

Abdul Hanan berkata, dia nekad menggunakan sejadah itu untuk menghalang tikaman sebelum berlaku pergelutan di antara mereka. 

Menurutnya, dia kemudian berjaya menjatuhkan pisau penjenayah selepas memukul lelaki terbabit dengan sejadah. 

Kedua-dua mereka kemudian berlari keluar sebelum memanjat pagar rumah dan melarikan diri. 

"Akibat bergelut dengan penjenayah, bahagian belakang badan luka, bahu kiri pula menerima lima jahitan selain calar di bahagian badan lain," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Hanafi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian. 

"Pelajar berkenaan bertindak berani, namun saya menasihati orang awam supaya segera memaklumkan kepada polis jika berdepan dengan perkara kecemasan seperti itu," katanya. 

Menurut beliau, setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan kedua-dua penjenayah dipercayai lingkungan 20-an. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05

No comments:

Post a Comment