SIARAN LANGSUNG PERKIRAAN UNDI TIDAK PERLU - SPR



PUTRAJAYA 5 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpandangan bahawa cadangan penyiaran proses pengiraan undi oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak perlu diadakan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata keputusan itu dibuat kerana pada ketika ini, ejen pilihan raya daripada parti bertanding berada di dalam bilik pengiraan undi.

Beliau berkata SPR merupakan sebuah badan bebas dan sekiranya RTM ingin merekodkan proses pengiraan undi, SPR tidak boleh menolak permohonan daripada pihak lain selain RTM.

"Sehubungan itu, SPR telah membuat keputusan bahawa merakamkan proses pengiraan harus diuruskan oleh SPR sendiri dan bukan pihak lain.

"Untuk pilihan raya kecil Kuala Besut, SPR telah berbincang dan membuat keputusan bahawa ia tidak perlu ada rakaman. Kita akan bincang (untuk pilihan raya kecil yang akan datang) ," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian itu akan berbincang dengan SPR dalam masa terdekat untuk membenarkan RTM menyiarkan proses pengiraan undi pada pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.

Beliau berkata usaha itu bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia menyaksikan proses penuh pilihan raya yang dijalankan dengan telus dan adil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment