SOLUSI ISU 52: AGAMA DAN POLITIK, BERPISAH TIADA?



Agama dan politik mesti dipisahkan! Tanggapan ini ada benarnya jika politik dilihat dalam konteks realiti semasa.

Kini politik bukan lagi dilihat dari aspek ilmu dan falsafah, tetapi lebih diwarnai perilaku parti dan gelagat ahli politik. Ia sudah menjadi satu gelanggang perebutan kuasa, penggunaan wang, pertelagahan antara ahli parti, pembelotan dan tipu muslihat.

Jika inilah wajah politik yang ada, maka wajarlah Islam diselamatkan daripada "kekotoran". Politik semacam ini bukan politik Islam.

Satu pihak lain beranggapan politik dan Islam tidak boleh dipisahkan. Politik adalah sebahagian daripada cara hidup dan Islam adalah satu cara hidup yang syumul. Oleh sebab itu, agama wajib menyuluh persoalan berkaitan politik.

Memisahkan politik daripada ajaran Islam adalah fahaman sekular Barat akibat kejumudan agama Kristian. Sebaliknya, Islam ialah agama yang dinamik. Justeru, politik sebahagian daripada unsur yang membuktikan kedinamikan itu.

Lantaran itu, politik menjadi sesuatu yang bersih kerana ditunjangi akidah yang mantap, dipantau syariat dan dihiasi akhlak. Sejajar dengan ini, Rasulullah dan para sahabat telah menjadikan masjid sebagai tempat perbincangan dan mesyuarat untuk memimpin dan mentadbir. Di situlah Rasulullah s.a.w. menjelaskan tanggungjawab pemimpin, peranan rakyat, prinsip keadilan, susunan masyarakat, pembangunan ekonomi, pendidikan dan urusan kepimpinan lain.

Pada ketika itu politik lebih berpusatkan kepentingan rakyat (People-centered) bukan berpusatkan diri pemimpin (Politician-centered). Kepimpinan bukan matlamat, tetapi alat untuk melaksanakan tanggungjawab. Jawatan tidak dilihat sebagai satu anugerah, malah dilihat sebagai satu amanah. Inilah warna indah apabila politik berjaya "diIslamkan".

Sebaliknya, jika Islam pula yang "dipolitikkan", urusan kepimpinan akan berserabut dengan cita-cita peribadi dan kepentingan puak. Ahli politik bukan sahaja terpaksa bergelut dengan lawan daripada parti lain, malah sesama anggota parti.

Kempen pilihan raya yang sepatutnya menjadi saluran untuk meyakinkan pengundi tentang dasar parti, kemampuan calon dan perubahan yang ingin dibuat telah bertukar menjadi medan caci maki, hasut-menghasut dan ejek-mengejek.

Rakyat yang sepatutnya diberi peluang untuk membuat penilaian tentang kredibiliti calon, rekod pencapaian parti dan manifesto perjuangan telah terheret dalam kancah permusuhan yang begitu serius. Lebih malang lagi apabila permusuhan berlarutan walaupun musim pilihan raya telah berlalu.

Prinsip Machiaveli tidak seharusnya dibiarkan mendominasi senario politik tanah air. Islam tidak boleh terus menjadi "bahan komoditi" yang menjadi alat politik semata-mata. Ironinya, ramai yang melanggar nilai Islam dengan alasan untuk menegakkan Islam. Mereka merayu rakyat menyokong partinya agar dia sendiri mempunyai tempat dan kedudukan.

Sebaliknya, ahli politik Islam ialah individu yang dapat membawa diri, keluarga dan negara menerusi bidang politik untuk mencapai kebaikan di dunia dan akhirat.

Kita semua harus matang dalam berpolitik dengan membezakan antara urusan politik umum dengan kepartian khusus. Walaupun isu politik dan kepartian berkaitan rapat, tetapi ia tetap berbeza.

Usaha untuk menegakkan kebaikan, kebajikan, keadilan, kasih sayang, keamanan dan kemakmuran yang merupakan tujuan penting dalam politik adalah tugas semua anggota masyarakat. Ia urusan politik, bukan parti politik.

Yang penting, dalam apa-apa jua keadaan sama ada urusan politik umum atau politik kepartian, kita hendaklah terikat dengan ajaran Islam. Individu atau parti yang berjaya mempertahankan prinsip ini tetap dianggap menang sekalipun kalah dalam pilihan raya.

Sebaliknya, parti yang gagal mempertahankan prinsip ini tetap dianggap kalah sekalipun memenangi pilihan raya. Islam menolak prinsip "matlamat menghalalkan cara".

Kalah atau menang dalam pilihan raya mungkin faktor yang kritikal dalam urusan politik kepartian, tetapi bukan faktor penting dalam urusan politik yang lebih umum. Bakti, pengorbanan dan kerja keras masih boleh dicurahkan kepada rakyat dan negara tanpa terikat oleh blok kepartian atau musim pilihan raya. Tidak payah menunggu kuasa untuk berjasa!


MUHAMMAD JIHAD
Dipetik daripada Majalah Solusi
Kerana minat yang mendalam pada Majalah Solusi yang dilihat
bersesuaian dengan semua peringkat umur mahupun latar belakang masyarakat kini,
maka DKM Sabah berminat untuk memetik 1 atau 2 artikel keluaran Solusi
Sebagai usaha dakwah kepada semua masyarakat


No comments:

Post a Comment