SOLUSI ISU 51: SELURUH MASA BERSELAWAT

Allah Azzawajalla telah berfirman dengan satu perintah dalam al-Quran di mana Allah sendiri memulakan pelaksanaan perintah tersebut. Malah, Allah menyatakan bahawa para malaikat juga turut menyertai pelaksanaannya. Selepas itu, barulah Allah Taala menyeru kita iaitu setiap manusia beriman dengan perintah itu.

Firman Allah, maksudnya: "Sesungguhnya, Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala pernghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w): 'Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkan salam sejahtera dengan penghormatan sepenuhnya.' (Surah al-Ahzab 33:56).


Kemuliaan Berselawat
Mari kita renungi... Dalam al-Quran, amat lengkap sesuatu perkara yang diperintahkan dimulakan dengan satu kenyataan bahawa Allah s.w.t turut sama "melakukan" perkara tersebut.

Ini sahaja sudah cukup untuk menjelaskan betapa mulia fadilat amalan berselawat kepada Rasulullah s.a.w. Malah, Imam al-Qurtubi menyimpulkan bahawa ayat di atas merupakan satu kenyataan betapa mulia diri Rasulullah s.a.w itu sendiri.

Hubungan antara Rasulullah s.a.w dengan kita sebagai umat Baginda  amat rapat. Cuba fahami, bagi amalan solat yang merupakan satu ibadah yang sebegitu tinggi kedudukannya di sisi Allah, kita masih dituntut untuk berselawat dan mengucapkan salam kepada Baginda.

Ini menunjukkan seolah-olah Allah s.w.t mahu agar setiap hari hubungan, ingatan dan ikatan hati kita kepada Baginda sentiasa diperkukuhkan lima kali sehari dan hari demi hari sehingga hari kita akan mencari dan bertemu dengan Baginda di medan Mahsyar nanti.

Imam al-Nasa'i merekodkan satu riwayat daripada 'Umair al-Ansari r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa daripada umatku yang berselawat atasku dengan hati yang tulus ikhlas, maka Allah akan menurunkan 10 rahmat kepadanya, ditinggikan 10 darjat, dituliskan 10 pahala untuknya dan dihapuskan 10 dosa."


Banyak Berselawat
Imam al-Tirmizi pula merekodkan satu riwayat daripada Ubai bin Ka'ab r.a bahawa apabila berlalu dua pertiga malam, Rasulullah s.a.w akan bangun (bertahajjud) dan bersabda kepada para sahabat, maksudnya:
"Wahai manusia, ingatlah Allah. Ingatilah Allah. Telah sampai perkara yang menggoncangkan dan perkara yang mengiringinya (tiupan sangkakala yang pertama dan selepasnya tiupan sangkakala yang kedua sudah hampir). Maut berserta segala kedahsyatannya telah datang!"

Lantaran itu Ubai berkata:
"Wahai Rasulullah, aku ingin memperbanyakkan selawat kepadamu. Daripada masa berdoa dan berzikir, sebanyak manakah masa yang patut aku luangkan untuk berselawat kepadamu?"

Baginda bersabda: "Sebanyak yang hati kamu inginkan."

Saya bertanya lagi: "Wahai Rasulullah, jika satu perempat?"

Baginda menjawab: "Sebanyak yang kamu inginkan. sekiranya kamu menambah, maka itu lebih baik bagi kamu."

Tanya Saya: "Jika separuh?"

Baginda menjawab: "Sebanyak yang kamu inginkan. Jika kamu menambah lagi, maka itu lebih baik untuk kamu."

Saya bertanya lagi: "Jika dua pertiga?"

Baginda bersabda: "Sebanyak yang kamu suka. Jika kamu menambah lagi, maka itu lebih baik bagi kamu."

Lalu, saya berkata: "Jika demikian, saya jadikan seluruh masa untuk berselawat kepada tuan."



Baginda bersabda: "Jika kamu lakukan sedemikian, maka Allah akan hapuskan segala kerisauan kamu dan Allah akan ampunkan segala dosa kamu."

Sekarang, giliran kita pula bertanya kepada diri kita; berapa banyak pula masa yang kita sediakan untuk berselawat kepada kekasih hati kita; Rasulullah s.a.w?

MOHD. GUNAWAN CHE AB. AZIZ
Dipetik daripada Majalah Solusi
Kerana minat yang mendalam pada Majalah Solusi yang dilihat
bersesuaian dengan semua peringkat umur mahupun latar belakang masyarakat kini,
maka DKM Sabah berminat untuk memetik 1 atau 2 artikel keluaran Solusi
Sebagai usaha dakwah kepada semua masyarakat


No comments:

Post a Comment