GEGAR SABAH (EKSPRESI PENUH KEMUSYKILAN)





Sabtu (12.01.2012), telah berlangsung "Himpunan Sabah Bangkit" bertempat di Red Square, Taman Chong Thien Vu Kota Kinabalu. Demonstrasi yang disifatkan oleh penganjur sebagai demonstrasi yang menghimpunkan seluruh mahasiswa dan Rakyat Sabah dalam menuntut hak-hak Sabah yang semakin dilupakan oleh kerajaan persekutuan di samping menyuarakan sebelas (11) tuntutan kepada bakal kerajaan yang mentadbir Malaysia kelak.




11 tuntutan GEGAR Sabah termasuklah;
1. Peluang Pekerjaan 

2. Rumah Mampu Milik
3. Kos Sara Hidup Rendah
4. Minimum Kadar Jenayah
5. Liputan Jalur Lebar
6. Kemudahan Pendidikan

7. Pilihanraya Bersih dan Adil
8. Negeri Hijau & Bersih
9. Royalti Minyak & Balak
10. Hak Tanah Adat
11. Pembangunan Infrastruktur




Penganjur menyimpulkan demonstrasi berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamat untuk menghimpunkan lebih seribu (1000) orang mahasiswa/i pada himpunan tersebut.



PENILAIAN PENGARANG

Secara keseluruhannya, himpunan Gegar berjalan dalam suasana aman dan tidak wujud insiden yang tidak diingini sepanjang himpunan tersebut. Dari segi penglibatan peserta yang hadir, pengarang berpendapat bahawa, penganjur gagal mencapai sasaran untuk menghimpunkan lebih daripada seribu penyertaan baik daripada mahasiswa/i mahupun daripada orang awam. Kehadiran dianggarkan sekitar 300 orang, dan yang meramaikan himpunan tersebut hanyalah liputan daripada warga media massa, blogger dan orang awam yang berdiri di hadapan atau berhampiran dengan himpunan tersebut.


Pengarang mengandaikan bahawa, penganjur sebenarnya telah lari daripada landasan asal demonstrasi ini. Menurut maklumat yang pengarang perolehi (Sila perbetulkan jika salah), Himpunan GEGAR ini dianjurkan oleh NGO untuk NGO dan tidak melibatkan parti politik. Namun apa yang digambarkan jauh berbeza ketika program sedang berlangsung. Wakil daripada PAS, PKR, DAP dan SAPP dijemput untuk menyampaikan ucapan ringkas mereka. Seperti biasa, jika orang politik yang dijemput untuk berucap sepatah dua kata, sudah tentu intipati ucapan mereka lebih berkisar soal politik dan sindiran serta maki hamun terhadap kerajaan kini.

Pengarang tidak berminat untuk mengulas keseluruhan 11 tuntutan GEGAR secara spesifik. Pengarang lebih berminat untuk membahaskan isu-isu yang melingkari golongan Mahasiswa/i di IPTA/S kini. Apa relevennya jika pengarang turut serta mengulas mahupun membahaskan Pro dan Kontra setiap tuntutan GEGAR sedangkan ada isu lain yang jauh lebih penting dan sepatutnya dititik beratkan oleh GEGAR Sabah.

Selaku sebuah NGO yang mendakwa mereka mewakili dan memperjuangkan hak dan kebajikan anak-anak Sabah serta tidak terpengaruh dengan parti politik, Kenapa pula ketika demonstrasi berlangsung, GEGAR menjemput wakil-wakil daripada PAS, PKR, DAP dan SAPP yang secara terang-terangan merupakan parti politik?. 


Kedengaran juga tuntutan GEGAR berhubung dengan isu Pendidikan Percuma dan Mansuhkan PTPTN. Pengarang ingin mahasiswa/i di luar sana berfikir sejenak dan menjawab persoalan yang selama ini bermain diminda pengarang terhadap tuntutan yang diperjuangkan oleh NGO Pro Pembangkang selama ini.

Mansuhkan PTPTN? 

Apa rasionalnya PTPTN dimansuhkan?. 
Pinjaman PTPTN yang disediakan oleh kerajaan selama ini adalah opsyen kepada mahasiswa/i yang tidak berkemampuan atau berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajaran di IPTA/S di seluruh negara. PTPTN tidak pernah memaksa mana-mana mahasiswa/i yang berkemampuan atau berpendapatan tinggi untuk meminjam melalui PTPTN. Jangan lupa, suatu masa dahulu orang-orang melayu dan bumiputra terpaksa bergadai harta benda semata-mata untuk menampung perbelanjaan pelajaran anak-anak di IPTA/S. 

Selaku kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat dan bukti bahawa kerajaan kini terlebih dahulu telah mengamalkan konsep Negara Berkebajikan (Manifesto PAS Kini),  maka kerajaan memperkenalkan PTPTN. Mahasiswa/i Indonesia sendiri mengkagumi cara dan pendekatan Malaysia yang memperkenalkan dasar dan usaha murni kerajaan kini dalam membantu rakyatnya yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di menara gading. Situasi bergadai harta benda masih diamalkan di negara-negara seperti Indonesia. Situasi sebegitu sepatutnya menjadi iktibar kepada kita dan bukannya menjadikan kita semakin lupa dan tidak mensyukuri nikmat yang diberikan olehNYA.

   
Mahasiswa/i jangan hipokrit  

Pengarang cukup berkeyakinan, lebih daripada 90% daripada Mahasiswa/i Melayu dan Bumiputra meminjam dengan PTPTN untuk menampung kos pengajian dan lain-lain kos semasa berada di IPTA/S. Jika PTPTN dimansuhkan dan pendidikan percuma diperkenalkan, dari mana mahasiswa/i boleh mendapatkan duit saku semasa mendaftar dan ketika berada di IPTA/S. Jika PTPTN dan pendidikan percuma (seperti mana yang diperjuangkan oleh pembangkang) dilaksanakan, pendekatan tersebut masih dianggap pendekatan yang menzalimi golongan mahasiswa/i yang kurang atau tidak berkemampuan. 

Ya! memang benar pelajar tidak perlu lagi memikirkan soal yuran pengajian yang tinggi, tapi bagaimana pula dengan perbelanjaan harian semasa berada di IPTA/S? Jangan tipu diri sendiri, sedangkan PTPTN masuk lambat mahupun pinjaman dikurangkan atau disekat, pastinya kita akan marah dan menyalahkan pihak pengurusan, bagaimana pula agaknya kehidupan di IPTA/S tanpa PTPTN dan tanpa wang saku?

Ingat! PTPTN tidak hanya membantu dalam melunaskan pembayaran yuran pengajian, tetapi juga berperanan sebagai sumber kewangan alternatif kepada mahasiswa/i. Meskipun baki wang yang boleh dibelanjakan adalah sedikit (sekitar RM2000) selepas ditolak dengan yuran pengajian, jumlah tersebut sangat-sangat membantu dalam menampung kos sara hidup sepanjang tempoh lima (5) bulan untuk satu (1) semester. 


Apa yang anda perjuangkan adalah suara dan candangan yang datang daripada golongan kaya. Tahap pemikiran pemimpin yang sinonim dengan kemewahan dunia tidak akan sama dengan tahap pemikiran dan pendekatan masyarakat yang terpaksa berhempas-pulas untuk terus hidup. 

Rakyat berfikir bagaimana cara untuk meneruskan kelangsingan hidup, sedangkan ahli politik akan berfikir bagaimana cara untuk mendapatkan kuasa dan kekal berkuasa.

Ingat! anda menuduh kerajaan zalim, tapi anda secara tidak sedar bakal menzalimi lebih ramai mahasiswa/i yang datang daripada golongan miskin dan sangat-sangat mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan yang memerintah.

Pengarang amat bersetuju dengan pandangan seorang sahabat yang menyatakan;
"Apa rasionalnya kita berdemonstrasi sehingga menganggu ketenteraman awam serta merosakkan harta benda?..... jika kita benar-benar matang, masa pilihan raya kita pangkah saja mana-mana calon yang kita suka... kerana masa itu, hanya kita tahu apa yang terbaik untuk diri kita...."



Kepada yang hadir semasa himpunan GEGAR tempoh hari, jangan jadikan diri anda Boneka Politik yang sewenang-wenangnya dipergunakan oleh segelintir pihak, tapi jadikanlah suara anda sebagai suara pendesak yang berpengaruh dan tulen memperjuangkan hak-hak dan kebajikan mahasiswa/i tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak tertentu. Mahasiswa yang benar-benar memperjuangkan hak-hak mahasiswa/i dan bebas daripada pengaruh politik akan lebih dihormati berbanding dengan barisan mahasiswa/i yang merelakan diri mereka dipergunakan oleh pihak tertentu.


Tahniah juga pengarang ucapkan kepada mahasiswa/i Sabah yang tidak hadir pada GEGAR Sabah tempoh hari. Sebenarnya tidak ramai pun mahasiswa/i yang hadir, yang ada pun hanyalah individu yang mendakwa diri mereka mahasiswa/i meskipun sebenarnya mereka bukanlah penuntut IPTA/S.








No comments:

Post a Comment