(SOLUSI ISU 50): KISAH SEORANG GADIS CINA

Pemilik artikel: (Solusi 50)
Penulis: Fatimah Syarha Mohd. Noordin


Seorang gadis remaja berbangsa Cina baru memeluk Islam. Dia bersemangat berani, aktif, bijak, bahkan cantik. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit menjadi seorang pendakwah. Dalam usia remaja, dia sudah duduk sebaris dengan penceramah-penceramah agama yang hebat.

Kali pertama saya mendengar ceramahnya, saya berbangga dengan kehadiran mawar agama ini dalam arena dakwah. Saya mengaguminya dari jauh. Itulah potensi jiwa muda; penuh aspirasi dan cita-cita. Bukan mudah baginya melalui detik-detik dibenci keluarga, ditinggalkan kawan-kawan dan dimusuhi sanak saudara, semua diharungi dengan tabah.

Namun, apabila ujian "Tsunami" bersilih ganti datang daripada orang Islam sendiri, dia hampir tersungkur dan rebah. Gadis remaja ini kembali meminum arak. Beberapa kali dia cuba "mencabut" nyawanya sendiri, mujur masih berbaki kewarasan diri. Buat masa ini, dia memilih menjadi pengunjung tetap pakar psikiatri. Islam dalam dirinya masih bersisa di hati. Ya Allah, kasihanilah dia....

Salah Tafsiran

Perkara di bawah menjelaskan salah tafsiran daripada remaja mualaf tersebut tentang Islam.

1. Cukup-cukuplah melabel!
"Tak boleh bertudung dengan fesyen ala Hana Tajima ni," tegur seorang ustazah. 
"Tapi ia menutup leher, dada dan rambut. Saya remaja dan sukakan fesyen," beritahu si gadis Cina tersebut.
"Fesyen itu tabarruj. Ia haram," tegah si ustazah.

Sejak awal masuk Islam, gadis ini tertekan dengan sikap segelintir Muslim yang berlebihan menghukum dan memaksa dalam isu-isu fiqah. Lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan wanita. Apa-apa yang dibuat olehnya selalu dipandang serong. Dia dikritik, bukan dididik. Di mana keindahan toleransi dalam Islam? Di mana roh kemudahan?

Terdapat banyak perbezaan pendapat dalam isu-isu fiqah. Ia suatu rahmat. Di sinilah Allah membenarkan kita berbeza. Semuanya dalam daerah pahala; sama ada satu atau dua pahala. Melayan perkara khilaf seperti ia bukan daripada perkara khilaf adalah sesuatu sikap yang tidak adil atau zalim.

Sudahkah kita mengetahui kisah tudung cantik Aisyah r.ha dan puteri Uthman r.a sebelum menganggap wanita tidak berhak untuk berfesyen?
Sudahkah kita merujuk sirah sebelum menganggap "pentas" wanita hanya di rumah?
Sudahkah kita mengenali Khadijah binti Khuwalid, Zainab binti Jahsy dan Asma' binti Abu Bakar sebelum menganggap wanita tidak layak berkerjaya?
Sudahkah kita meneliti sikap para sahabat sebelum menghalang isteri ke masjid dan ke kelas pengajian agama?

2. Hanya salah wanita?
Dalam sesetengah pengajian, gadis ini melihat wanita sering dipersalahkan. Wanita dianggap menyusahkan, digelar si tulang bengkok, hanya layak disebut perangkap syaitan dan simbol seks yang serba terkongkong serta terpenjara daripada tugas-tugas kemasyarakatan.

Gadis remaja yang dahagakan ilmu ini terdesak. Semakin mempelajari soal wanita, semakin hatinya benci terhadap Islam. Dia tertanya-tanya, inikah Islam atau silap tafsiran? Dia berfikir: "Patutlah Kristianisasi dan mubaligh Kristian sering menjadikan topik wanita sebagai senjata utama untuk menimbulkan ketakutan terhadap Islam di Barat."

Mungkin Muslimah yang terpengaruh dengan diayah mereka ini tidak menyatakan dengan perkataan, tetapi menonjolkan melalui tindakan. Mereka merasakan mendekati ajaran agama itu perkara yang terlalu membebankan.

3. Penghinaan terhadap wanita
Mana mungkin Nabi kita yang terkenal sebagai pembela wanita seluruh alam akan menghina wanita. Maksud yang ingin disampaikan sering ditafsirkan dengan maksud lain. Nabi menjelaskan dan menghiburkan wanita dengan hadis-hadis berkaitan soal ini. Tetapi apabila berpindah ke lisan sesetengah Muslim, maksudnya bertukar menjadi penghinaan dan sesuatu yang menyakitkan. Lalu, Islam yang mulia difitnah mendiskriminasikan wanita. 

Jangan tadahkan telinga hanya pada satu pengajian. Luaskan ufuk minda kepad ramai guru dan kebanyakan bacaan. Minda akan lebih celik. Fikiran akan lebih terbuka. Hati akan lebih faham menilai. Menjadi peranan kita untuk mendapatkan tafsiran terhadap hadis-hadis berkenaan wanita daripada sumber yang sahih, berautoriti dan tepat. Inilah sikap yang benar bagi umat yang sentiasa berbaik sangka terhadap Nabinya. Bacalah karya para alim ulama besar dunia seperti al-Qaradawi, Imam al-Ghazali, Abdul Halim Abu Syuqqah, Dr. Ali Shariati dan ramai lagi berkenaan wanita. Kita akan tersenyum bahagia.

4. Keliru dengan poligami
Gadis Cina ini dibawa ke negara jiran, Thailand oleh Muslim yang dipercayainya. Di sana, dia diminta bernikah dengan lelaki yang baru beberapa saat dikenali. Dia keliru, tiadakah proses merisik dan bertunang dalam Islam? Bagaimana Islam meraikan suara anak gadis dalam soal ini?

Sebelum bernikah, dia dimaklumkan bahawa seorang suami berhak untuk berpoligami bila-bila masa sahaja yang diingini. Beginikah Islam meletakkan kedudukan poligami? Bukankah ia hanya "rukhsah" apabila keadaan memerlukan?

Gadis Cina ini mencari-cari maklumat tentang poligami. Dia berharap ilmu dapat memberikan cahaya untuk hatinya meletakkan sudut pandang yang benar terhadap sesuatu isu sepertimana yang Islam kehendaki. Hatinya sedikit terpujuk apabila mengetahui hukum sebenar poligami dalam Islam; harus, makruh dan haram. Ia bukan boleh diambil mudah. Syaratnya ketat dan payah.

5. Suami mengabaikan nafkah
Gadis remaja ini teruji lagi. Dia mendapat meklumat bahawa wanita dilarang keluar rumah. Suamilah yang wajib mengajarnya agama. Realitinya, ramai suami pada hari ini tidak mendalami ilmu agama. Jika ada pun, mereka sibuk 24 jam. Apabila wanita dilarang keluar rumah untuk belajar agama, bukankah ia hanya menghantar wanita ke alam kebodohan?

Tidak cukup dengan itu, ada suami culas memberi nafkah. Hidup menganggur dan malas bekerja. Tekanan hidup kian memuncak. Setiap hari bertengkar, tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan. Syeikh al-Qaradawi menerangkan silap faham sebegini: "Ada golongan yang menganggap apabila wanita yang telah diperisterikan oleh seorang lelaki yang tidak dicintainya dan dia tidak mampu mencegah kemarahan suaminya atau tidak mampu menghindarinya, maka tiada pilihan lain selain bersabar dengan kesakitannya. Harungilah kehidupan yang pahit sehingga suaminya menjatuhkan talak atasnya atau talak khuluk (membayar mahar suaminya kembali). Apabila kedua-dua perkara ini tidak berlaku, maka tiada jalan lain baginya untuk melepaskan diri daripada tali perhambaan itu"



Doakan Dia
Gadis cantik yang dahulunya manis berbaju labuh dan bertudung ala-ala Hana Tajima, kini termenung murung di bilik pakar psikiatri. Masalah kefahaman terhadap Islam dan Muslim belum selesai dan perlukan masa. Mari berdoa untuknya. Mari lakukan sesuatu agar umat ini lebih jernih kefahamannya dan tidak menyumbang fitnah kepada agama.


FATIMAH SYARHA MOHD. NOORDIN
Dipetik daripada Majalah Solusi
Kerana minat yang mendalam pada Majalah Solusi yang dilihat
bersesuaian dengan semua peringkat umur mahupun latar belakang masyarakat kini,
maka DKM Sabah berminat untuk memetik 1 atau 2 artikel keluaran Solusi
Sebagai usaha dakwah kepada semua masyarakat

No comments:

Post a Comment