TUNTUTAN DONG ZONG




1. Siapa itu Dong Jiao Zong?
Dong Jiao Zong adalah satu istilah yang merujuk kepada dua pertubuhan Cina utama yang memperjuangkan pendidikan Cina di Malaysia iaitu Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

2. Apakah masalah yang dibangkitkan oleh Dong Zong?
Pada masa ini, terdapat 1,294 buah SJKC di seluruh Negara termasuklah, sekolah SJKC baru dibina. Buat masa ini sekolah-sekolah SJKC sedang juga dalam pembinaan di kawasan padat penduduk kaum Cina.
Kerajaan mempunyai perancangan untuk membina sekolah-sekolah ini termasuklah di Puchong, Serdang, Kuala Lumpur dan Negeri Johor. Dari jumlah 1,294 sekolah, sebanyak 455 adalah sekolah kurang murid (kurang 150 murid).

Dong Zong membangkitkan isu kekurangan guru di SJKC dan tindakan Kementerian Pelajaran menghantar guru yang tidak mempunyai kelayakan Bahasa Cina untuk mengajar di SJKC. Dong Zong turut serta mengkritik polisi pendidikan negara yang didakwa tidak adil terhadap sekolah pelbagai aliran.

3. Benarkah Kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC?
Tidak benar. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah berusaha untuk melatih guru-guru SJKC. Pada tahun 2009 terdapat kekurangan guru seramai 4,991, pada tahun berikutnya jumlah ini telah dikurangkan kepada 3,043 dan pada tahun 2011 jumlahnya menurun kepada 2,720 akhirnya pada tahun 2012 kekurangan guru di SJKC adalah hanya seramai 1,874. Daripada jumlah ini, KPM telah melantik sejumlah 1,482 guru interim untuk mengisi kekosongan tersebut dan baki 392 orang boleh dicadangkan calon guru interim oleh Guru Besar SJKC untuk dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

4. Benarkah tuduhan bahawa kerajaan tidak membantu SJKC di negara ini?
Tidak benar. Kerajaan membelanjakan sebanyak RM1.8 bilion setiap tahun untuk membayar gaji guru-guru dan operasi mengurus di SJKC seluruh negara. Dalam bajet 2012, Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Najib telah memperuntukkan tambahan RM100 juta khas untuk penyelenggaraan SJKC dan pembinaan SJKC baru.


5. Apakah tuntutan Dong Zong pada perhimpunan 25 Mac 2012 di padang New Era College, Kajang?
Dong Zong telah mengemukakan 4 tuntutan pada perhimpunan tersebut:
  • Mengeluarkan serta merta guru-guru yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina dari SJKC.
  • Mengadakan kursus khas untuk melatih guru-guru yang berkelayakan Bahasa Cina dan telah mengajar subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di SJKC lebih dari 3 tahun supaya mereka layak untuk mengajar ketiga-tiga bahasa.
  • Memulihkan sistem latihan guru Bahasa Cina yang menggunakan medium Bahasa Cina dan menubuhkan kumpulan Bahasa Cina dalam maktab perguruan serta mengadakan struktur latihan guru SJKC yang lebih sistematik untuk memenuhi permintaan.
  • Mengkaji semula Akta Pendidikan Negara untuk memastikan polisi pendidikan adalah bersifat “plurality”, supaya semua sekolah pelbagai aliran mendapat layanan yang adil dan menjamin kewujudan dan pembangunan sekolah jenis kebangsaan.

6. Apakah langkah yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran dalam menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC?
Kementerian Pelajaran telah menggariskan 8 tindakan untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC pada 21 Mac 2012:
  • Kekurangan guru interim seramai 392 akan dicadangkan terus oleh Guru Besar SJKC dan dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Ini bagi memenuhi kekosongan yang sedia ada.
  • Lebih kurang 100 orang guru kaunseling yang tidak faham bahasa Cina akan dikeluarkan serta-merta dari SJKC dan digantikan dengan guru berpengalaman yang dilantik oleh guru besar sehingga mendapat guru yang bersesuaian.
  • Peringkat pertama iaitu dari darjah satu hingga tiga, guru yang mengajar subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris perlulah guru yang mempunyai kelayakan Bahasa Cina dan peringkat kedua iaitu dari darjah empat hingga enam akan diajar oleh guru khusus dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
  • Subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di SJKC Kurang Murid perlulah diajar oleh guru yang berkelayakan Bahasa Cina.
  • Lebih kurang 20 orang guru subjek sivik yang tidak faham bahasa Cina akan dikeluarkan dari SJKC.
  • Guru lepasan Bahasa Cina yang mengajar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris lebih dari 5 tahun akan diberi latihan khas supaya mereka mendapat kelulusan tambahan untuk mengajar subjek tersebut.
  • Menambah pensyarah Bahasa Cina di Maktab Perguruan supaya lebih ramai guru Bahasa Cina boleh dilatih untuk memenuhi permintaan di SJKC.
  • Seramai 98 orang lepasan Diploma Pendidikan yang mempunyai kelayakan Bahasa Cina akan dihantar ke SJKC.

7. Selain itu, apakah langkah jangka panjang yang diambil oleh Kerajaan bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC?
Kementerian Pelajaran telah menubuhkan Mesyuarat Meja Bulat yang dipengerusikan oleh YB Datuk Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran dan menjemput 5 pertubuhan utama yang dilihat sebagai “Stake Holder” untuk membincangkan cadangan penyelesaian masalah tersebut. Mereka yang dijemput ialah:
  • Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong),
  • Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), C. Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong),
  • Kesatuan Guru Besar SJKC Malaysia, dan
  • Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK/NUTP).

8. Kenapa Dong Zong menarik diri dari Mesyuarat Meja Bulat?
Pada 5 Mei 2012, Dong Zong telah menarik diri dari Mesyuarat Meja Bulat dengan alasan bahawa mesyuarat tersebut hanya membincangkan isu-isu teknikal dan bukannya polisi. Selepas menarik diri, Dong Zong kini sedang mengadakan 14 ceramah di seluruh negara untuk menjelaskan pendirian mereka dan mendesak kerajaan supaya mengubah polisi kerajaan terhadap sekolah pelbagai aliran.

9. Apakah reaksi Kementerian Pelajaran terhadap tindakan Dong Zong?
Kementerian Pelajaran meminta Dong Zong supaya kembali ke meja perbincangan tetapi pada masa yang sama akan terus berbincang dengan 4 pertubuhan utama yang masih setuju untuk meneruskan Mesyuarat Meja Bulat bersama kementerian.

Tindakan Dong Zong juga mendapat kritikan dari pelbagai pihak dan ramai yang menyeru mereka untuk kembali ke meja perbincangan kerana tindakan mereka itu dilihat lebih kepada mainan politik daripada berusaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC.

No comments:

Post a Comment