SYARIKAT PERLOMBONGAN NADIR BUMI (M) SDN BHD (LYNAS)




1. Apakah kilang Lynas dan siapa pemiliknya?
Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas), sebuah syarikat milik Australia, telah memohon kelulusan Kerajaan Malaysia untuk membina sebuah kilang di Gebeng, Kuantan Pahang untuk memproses bijih nadir bumi (rare earth) yang diimport dari Mount Weld, Australia Barat.

Lynas dikendalikan dan diuruskan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dengan dibantu oleh lima orang penasihat pakar nadir bumi dari China dan India. Kilang LYNAS adalah kilang kimia dan BUKAN KILANG NUKLEAR seperti Chernobyl (Rusia), Bhopal (India) dan Fukushima (Jepun).

2. Apakah itu nadir bumi?
Istilah nadir bumi merujuk kepada sejenis galian atau bijih yang terbentuk semula jadi yang biasanya ditemui di dalam kerak bumi dan sukar dikeluarkan.

3. Apakah produk yang dihasilkan oleh kilang Lynas?
Ia digunakan dalam peralatan moden seperti Flat Screen TV, TV LED, komputer, telefon bimbit, panel solar untuk bekalan elektrik, kincir angin, komponen elektronik untuk pengeluaran kereta hybrid, bateri kereta, turbin angin, auto catalytic converter dan aditif dalam diesel.

4. Apakah isu kontroversi yang dikaitkan dengan Lynas?
Ia mempunyai kaitan dengan isu kesihatan dan keselamatan orang awam. Bijih nadir bumi yang diproses di kilang LYNAS mengandungi sejumlah kecil sahaja radioaktif yang terbit secara semula jadi. Terdapat dakwaan bahawa bahan radioaktif di dalam bijih dan produk yang dihasilkan oleh kilang LYNAS boleh mendatangkan kemudaratan dan kerosakan terhadap alam sekitar.

5. Benarkah kilang LYNAS mengeluarkan bahan radioaktif berbahaya?
Perlu ditegaskan radioaktif ada di mana-mana disekeliling kita yang berpunca daripada proses semula jadi, tetapi tidak mendatangkan kesan kepada orang awam. Terdapat tiga jenis bahan sisa iaitu Gypsum Sintetik (FGD), Gypsum Magnesium (NUF) yang kaya dengan magnesium, dan Fosfogypsum Besi (WLP).

Gypsum Sintetik (FGD) dan Gypsum Magnesium (NUF) adalah bahan sisa bukan radioaktif dan program untuk menjadikannya sebagai bahan komersil kini peringkat akhir. Fosfogypsum Besi (WLP) mengandungi kadar radioaktif pada tahap 0.165%. Kadar yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa bagi mengukur sesuatu bahan bukan radioaktif ialah 0.05%.

Lynas telah mengenal pasti kaedah bagi menstabil dan menurunkan paras radioaktif di dalam Fosfogypsum Besi (WLP) dari 0.165% ke paras 0.03% iaitu lebih rendah daripada paras yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa. Dengan penurunan tersebut, sisa Fosfogypsum  Besi (WLP) yang diuruskan oleh Lynas dikategorikan sebagai BAHAN BUKAN RADIOAKTIF DAN BUKAN TOKSIK.

Setelah distabilkan, Fosfogypsum Besi (WLP) boleh digunakan sebagai bahan asas penting dalam pembinaan jalan raya dan tempat meletak kereta. Oleh itu, ia boleh digunakan untuk tujuan komersil dan memberi faedah kepada negara.

6. Siapakah yang meluluskan lesen bagi kilang Lynas ?
Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (DOE) Malaysia yang bertanggungjawab menentukan piawaian keselamatan di Lynas dianggotai oleh anggota-anggota yang memiliki kepakaran dalam bidang yang berkaitan nuklear. Kewibawaan mereka mengesahkan bahawa tahap keselamatan di Lynas adalah terjamin / tidak perlu diragukan.

Laporan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa  (IAEA) kepada Kerajaan Malaysia pada 30 Jun 2011 menyatakan bahawa undang-undang dan peraturan di Malaysia berhubung keselamatan radiasi adalah komprehensif dan mematuhi piawaian IAEA.

7. Adakah kilang kimia seperti Lynas terdapat di negara lain?
Kilang memproses nadir bumi terdapat di China, Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, India dan negara-negara Scandinavia. Kilang yang sama sedang dirancang untuk dibina di Afrika Selatan dan Vietnam. Ketika ini, China merupakan negara yang menguasai pasaran nadir bumi di dunia dengan memenuhi hampir 97 peratus permintaan dunia.

8. Apakah kemungkinan kilang Lynas akan meletup dan menyebarkan radioaktif?
Kilang Lynas bukanlah loji atau reactor nuklear yang mengeluarkan sisa buangan radioaktif seperti Loji Nuklear Chernobyl di Ukraine yang meletup pada 26 April 1986 dan Fukushima Daiichi di Jepun yang meletup pada 11 Mac 2011 akibat dilanda  Tsunami besar. Justeru, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang tentang risiko tersebut kerana jika berlaku bencana di luar jangkaan, kilang Lynas tidak akan meletup.

9. Bagaimana bahan sisa kilang Lynas diuruskan?
Sisa bahan kilang LYNAS akan diuruskan dengan selamat berteraskan piawaian yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Atom Malaysia dan Tenaga Atom Antarabangsa berasaskan piawaian dan spesifikasi berikut:
1. Reka bentuk dan pembinaan tempat penyimpanan dalam kawasan kilangnya telah diluluskan oleh AELB pada Mac 2010.
2. Bahagian dalaman set tempat penyimpanan adalah dilindungi oleh dua lapisan yang tidak dapat
ditembusi air.
3. Penilaian oleh Agensi Nuklear Malaysia mengesahkan bahawa tiada kemungkinan kebocoran atau pencemaran air bawah tanah boleh berlaku.
4. Sebagai perlindungan tambahan, sel tempat penyimpanan akan dilengkapi dengan sistem pengesanan kebocoran.
5. Kaedah pengawasan geoteknikal akan digunakan bagi memastikan kestabilan bahagian dalaman sel tempat penyimpanan.
6. Air hujan dari sel tempat penyimpanan akan dibendung, di kitar semula dan dirawat.
7. Pembendungan air hujan direka bentuk berdasarkan senario hujan paling lebat yang telah berlaku dalam tempoh 100 tahun.
8. Walaupun Kerajaan berpuas hati Lynas tidak menghasilkan bahan buangan radioaktif, tetapi sebagai langkah tambahan yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa IAEA, Lynas hendaklah menyediakan kemudahan pelupusan tetap (PDF) di tempat yang jauh daripada penempatan awam. YAB Perdana Menteri sendiri amat prihatin tentang perkara ini.

10. Kenapa kilang Lynas didirikan di Malaysia bukan di Australia?
Lynas tidak datang ke Malaysia untuk mengelak peraturan ketat di Australia. Keperluan undang-undang di Malaysia adalah setanding dengan atau lebih ketat daripada undang-undang di Australia. Lynas melabur di Malaysia kerana:
1. Iklim pelaburan yang kondusif dan berdaya saing.
2. Mempunyai sumber yang optimum, termasuk infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong operasi kilang.
3. Gebeng, khususnya mempunyai kemudahan pelaburan yang diperlukan, kemudahan sokongan yang boleh dipercayai, pekerja yang kompeten daripada segi teknikal dan kemudahan utiliti yang berdaya saing.
4. Keperluan undang-undang yang jelas di mana ia amat penting dalam membuat keputusan untuk melabur.

11. Apakah sumbangan kilang Lynas kepada ekonomi Malaysia?
1. Projek Lynas dijangka membantu pertumbuhan ekonomi negara dan menjana pelbagai perniagaan dan industri kecil di Malaysia yang membuka peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat negara ini agar rakyat Malaysia dapat peluang pekerjaan dan perniagaan bagi meningkatkan pendapatan mereka.
2. Projek kilang Lynas dijangka membawa masuk ke Malaysia Pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah  RM2 bilion.
3. Kos operasi kilang Lynas adalah RM350 juta setahun.
4. Pelantikan 350 orang tenaga mahir.
5. Industri sokongan akan menjana 2,700 peluang pekerjaan.
6. Memberi kontrak bernilai RM1.2 bilion kepada kontraktor tempatan.
7. Kos berjumlah RM600 juta akan dibelanjakan setiap tahun untuk operasi kilang.
8. Hasil yang akan dapat dikutip oleh Malaysia daripada projek Lynas adalah bernilai RM8 bilion.



No comments:

Post a Comment