News Update :

PTPTN...FAKTA YANG MUNGKIN ANDA TIDAK SEDARI

Tuesday, October 23, 2012




1. Bilakah PTPTN ditubuhkan?
Ditubuhkan pada 1 Julai 1997 di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997. Mula beroperasi pada 1 November 1997.

2. Apakah fungsi PTPTN?
Mengurus pembiayaan untuk tujuan pendidikan tinggi dan seterusnya memungut bayaran balik pinjaman. Menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi. Melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diberikan kepada PTPTN oleh mana-mana undang-undang bertulis.

3. Apakah objektif PTPTN?
Memastikan pembiayaan yang efisien disediakan untuk pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat Kerajaan bahawa tiada pelajar yang gagal memasuki IPT kerana masalah kewangan.

4. Siapakah yang layak mendapat pinjaman PTPTN?
Warganegara Malaysia.
Berumur tidak melebihi 45 tahun pada tarikh memohon.
Memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh PTPTN.

5. Apakah bentuk bantuan yang disediakan oleh PTPTN?
PTPTN menyediakan pinjaman untuk yuran pengajian dan perbelanjaan sara hidup berdasarkan kelayakan pemohon.

6. Berapakah jumlah peruntukan tahunan yang disediakan oleh kerajaan kepada PTPTN?
Sejak dilancarkan pada 1997 hingga 31Disember 2011, sebanyak RM42.96 bilion telah diluluskan. Pada 2011, sebanyak RM5.51 bilion telah diluluskan kepada pelajar. Untuk tahun 2012-2013 kerajaan memperuntukkan RM6 bilion kepada PTPTN.

7. Benarkah dakwaan bahawa jumlah RM42.96 bilion ini termasuk bayaran faedah pinjaman?
Tidak. Jumlah ini adalah jumlah pinjaman pokok yang diluluskan oleh PTPTN.
   
8. Berapakah ramaikah pelajar yang telah mendapat kemudahan pinjaman PTPTN?
Sejak ditubuhkan sehingga 31 Disember 2011, seramai 1,926,054 orang pelajar telah mendapat pinjaman daripada PTPTN. Pada 2011 sahaja, 227,209 pelajar menerima pinjaman PTPTN ini.

9. Berapa ramaikah pelajar yang telah membuat pembayaran balik kepada PTPTN dan berapakah jumlah bayaran balik yang diterima PTPTN?
Sehingga 31 Disember 2011, sebanyak RM2.96 bilion atau 54.61% peminjam telah membuat bayaran balik berbanding bayaran balik sebenar yang perlu dibayar berjumlah RM5.41 bilion (setelah ditolak penangguhan). Seramai 742,924 pelajar atau 83.72% daripada 887,376 pelajar/peminjam telah mula membuat bayaran balik. 144,000 peminjam gagal membuat bayaran balik sebagaimana yang diarahkan.


10. Adakah mereka yang hendak meminjam diwajibkan mempunyai simpanan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)?
Pada 1 Januari 2008, setiap pelajar perlu mempunyai akaun SSPN sebelum layak memohon pinjaman PTPTN dengan simpanan serendah RM20.00.Syarat ini telah dimansuhkan pada 18 Mei 2008. Bagaimanapun, mulai 1 Januari 2012 PTPTN telah menguatkuasakan semula syarat simpanan wajib dalam SSPN untuk melayakkan pelajar memohon pinjaman pendidikan PTPTN.

Syarat wajib ini dilaksanakan bagi menanam budaya menabung dalam kalangan pelajar untuk mengelakkan kebergantungan kepada pembiayaan pendidikan.

11. Wajarkah skim PTPTN dimansuh dan digantikan dengan bentuk biasiswa?
Pada 18 April 2001, Kabinet memberi kelulusan kepada PTPTN untuk mengubah status pinjaman kepada biasiswa kepada pelajar-pelajar yang memperoleh kelulusan Kelas Pertama. Kelulusan ini diberi kepada semua pelajar tanpa mengira kaum dan kedudukan kewangan, sama ada pelajar daripada keluarga berada atau miskin, yang menuntut di IPTA atau IPTS.

Bagaimanapun, bagi pelajar IPTS, mereka disyaratkan mengikuti kursus yang mendapat Sijil Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Rasional kepada keputusan ini ialah pelajar cemerlang wajar diberi pengiktirafan oleh kerajaan. Kelulusan ini berkuatkuasa mulai tahun 2003.

12. Kenapakah dasar ubah pinjaman kepada biasiswa PTPTN ditangguhkan pada 2005 ?
Pada 1 Julai 2005, dasar ini telah diberhentikan berikutan masalah kewangan yang dialami PTPTN. Bagaimanapun, semua pelajar yang diluluskan pinjaman sebelum 1 Julai 2005 masih layak memohon untuk mendapat pengecualian bayaran balik.

13. Bilakah dasar ubah pinjaman kepada biasiswa dilaksanakan semula ?
Pada 23 Oktober 2009, ketika membentangkan Bajet 2010, Perdana Menteri mengumumkan pinjaman pendidikan PTPTN ditukar kepada biasiswa bagi pelajar yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan memperoleh Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya dilaksanakan semula mulai 2010.

Mulai 1 Januari 2010 PTPTN melaksanakan semula dasar mengubah pinjaman kepada biasiswa untuk pelajar yang layak. Pelaksanaan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan mencerminkan pengiktirafan terhadap pelajar cemerlang.

14. Berapa ramaikah pelajar yang diluluskan untuk mengubah pinjaman kepada biasiswa sejak dasar ini diperkenalkan?
Sehingga 31 Disember 2011, 11,764 pelajar telah diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan kerana mendapat ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya. Pengecualian ini melibatkan pelupusan pinjaman pendidikan PTPTN berjumlah RM339.07 juta.

15. Adakah pinjaman PTPTN bercanggah dengan syariah kerana mengandungi unsur riba?
PTPTN melaksanakan pembiayaan berdasarkan kaedah Islam dikenali sebagai Kaedah Ujrah atau upah 1% setahun mulai 1 Jun 2008. Kaedah ini menggantikan kaedah sebelumnya yang mengenakan bayaran kos pentadbiran 3% hingga 5% setahun.

Kaedah baru ini adalah selaras dengan Syariah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 28 Julai 2008. Pembiayaan pendidikan mengikut Kaedah Ujrah dilaksanakan bagi semua peminjam PTPTN (yang sedia ada dan baru) tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

16. Pelajar berhujah supaya kerajaan menghapuskan pinjaman PTPTN kerana pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan untuk diberi percuma?
Buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan pinjaman PTPTN.

17. Ramaikah peminjam yang telah disenarai hitam dan berapakah jumlah pinjaman yang terlibat?
Seramai 132,801 peminjam telah disenarai hitamkan dengan kerjasama Jabatan Imigresen. Jumlah pinjaman terlibat ialah RM2.11 bilion.

18. Berapakah jumlah peminjam yang disenarai hitam yang telah membuat bayaran balik pinjaman dan berapakah jumlah pinjaman yang terlibat?
Seramai 21,839 peminjam telah membuat bayaran balik. Jumlah pinjaman yang telah dibayar balik ialah RM163.97 juta.

19. Apakah yang menyebabkan peminjam gagal membayar balik pinjaman?
Peminjam masih meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Peminjam masih menganggur.
Peminjam sudah bekerja tetapi memperoleh
pendapatan kecil yang tidak setimpal dengan kelulusan.
Sikap peminjam yang tidak endah untuk membuat bayaran balik.

20. Apakah faedah wujudnya PTPTN?
PTPTN membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran di IPTA dan IPTS. Menerapkan nilai-nilai murni dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar. Ibu bapa tidak lagi dibebankan dengan masalah kewangan termasuk hutang untuk menanggung perbelanjaan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran.

Menggalakkan pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat ijazah dengan keputusan terbaik. Bayaran balik kepada PTPTN boleh digunakan untuk membiayai pelajar-pelajar akan datang.


 


Share this Article on :
0 Comments
Tweets
Comments

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright D.K.M. SABAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.