FELDA & FGVH



1. Bilakah Felda ditubuhkan dan apakah matlamatnya?
Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Undang-Undang Kemajuan Tanah 1956. Ia bertujuan mengatasi masalah kemiskinan penduduk khususnya penduduk di luar bandar.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok – GSA 1960) dan apakah matlamatnya?
  • Satu akta yang yang diwujudkan bagi membolehkan pembukaan tanah dan penempatan penduduk dilaksanakan secara teratur dan terkawal.
  • Menyeragamkan dasar pembukaan tanah.
  • Mewujudkan satu penempatan baru secara
  • teratur dan terancang dengan menyediakan kemudahan ekonomi melalui pembangunan tanah dan penempatan semula.
  • Membasmi kemiskinan terutama dalam kalangan penduduk kampung tradisional.
  • Menggalakkan perindustrian berasaskan pertanian.

3. Apakah kepentingan mengadakan Akta Tanah (GSA) 1960?
Membolehkan Felda membuka rancangan tanah secara besar-besaran. Membolehkan perpindahan penduduk di antara negeri sebagai peneroka. Untuk menjaga kepentingan penduduk yang tinggal di kawasan Felda, termasuk memastikan pegangan tanah kekal.

4. Apakah perbezaan antara Felda dan Ladang Felda?
Felda menguruskan Ladang Peneroka dan Ladang Felda. Ladang Peneroka adalah ladang yang dikhususkan untuk diusahakan oleh peneroka di mana semua hasil yang dikeluarkan dikembalikan kepada peneroka. Felda bertanggungjawab untuk menguruskan hak milik tanah peneroka dengan Kerajaan-kerajaan Negeri.

Ladang Felda adalah milik Felda di mana premium telah dibayar kepada Kerajaan Negeri dan cukai tanah dibayar sebagaimana ladang swasta. Nilai premium yang dibayar oleh Felda kepada Kerajaan Negeri adalah sama seperti yang dibayar oleh ladang swasta, bahkan di beberapa tempat, ladang Felda membayar premium yang lebih tinggi daripada ladang swasta.

5. Adakah ladang Felda tertakluk kepada Akta Tanah (GSA) 1960?
Tidak. Tanah-tanah yang diberi hak milik kepada Ladang Felda tidak tertakluk kepada Akta Tanah (GSA) 1960.

6. Ke manakah keuntungan ladang Felda diagihkan?
  • Untuk menampung kos pengurusan dan pembangunan Felda.
  • Untuk diagihkan kepada peneroka melalui dividen KPF.
  • Dikembalikan kepada peneroka dan generasi baru Felda melalui pelbagai bentuk insentif dan program sosioekonomi.


7. Apa itu Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH)?
FGVH ditubuhkan pada 2007 sebagai sebuah syarikat pelaburan dan bergiat sebagai anak syarikat milik Felda Holdings Berhad.

8. Apakah tujuan utama penubuhan FGVH?
Untuk membangunkan kekuatan dan meningkatkan penglibatan langsung dalam perniagaan berkaitan dengan perladangan, minyak dan lemak, oleokimia, logistik dan pelbagai kegiatan perkhidmatan seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan perkhidmatan kawalan keselamatan di peringkat antarabangsa.

FGVH bertanggungjawab  menguruskan aktiviti perniagaan berkaitan Felda termasuk mengurus ladang kelapa sawit milik Felda Holding, di samping menyokong kegiatan perladangan milik 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

9. Siapakah yang mencadangkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia?
Cadangan penyenaraian ini diumumkan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 di Parlimen Oktober 2011. FGVH telah ditukar taraf menjadi syarikat berhad selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyenaraikan FGVH di Bursa Malaysia.

10. Apa itu Felda Holdings Berhad?
Ditubuhkan di bawah Akta Ordinan Tanah 1956 tetapi diperbadankan pada 6 September 1995 untuk menjadi syarikat pegangan awam pada 3 Oktober 2003. Felda Holdings Berhad adalah sebuah syarikat pegangan Felda yang ditubuhkan untuk menguruskan aktiviti perladangan minyak kelapa sawit, aktiviti hiliran minyak kelapa sawit, perkilangan dan perkhidmatan.

Menguruskan lebih 880,000 hektar tanah perladangan termasuk 479,765 hektar tanah milik peneroka. Felda Holdings juga menyediakan perkhidmatan teknikal dan perkhidmatan sokongan untuk semua perusahaan agrikultur kumpulan Felda, Ketika ini memiliki modal lebih RM5 bilion dengan modal berbayar RM220 juta.
Mencatat keuntungan sebanyak 1.5 bilion pada 31 Disember 2009, dengan lebihan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM804.3 juta dan mempunyai petugas 19,000 serta 46,795 tenaga buruh di 300 buah ladang. Memiliki dan mengurus 300 ladang, 70 kilang kelapa sawit, tujuh kilang penapis minyak sawit, empat kilang penghancur isi rong sawit, 13 kilang getah, kilang-kilang pembuatan, kilang pemasangan logistik dan pukal di seluruh negara dan beberapa lokasi di luar negara.

Felda Holdings Bhd. pada ketika ini menguruskan 56 buah syarikat, 47 daripadanya aktif sementara 10 tidak aktif. Daripada 60 syarikat, 37 adalah anak syarikat (15 langsung dan 18 tidak langsung), 16 syarikat sekutu, dua syarikat usahasama dan lima syarikat pelaburan. Felda Holdings Bhd. aktif memberi khidmat nasihat dan sokongan teknikal kepada kumpulan Felda, termasuk membangunkan dan menguruskan sebahagian besar kawasan perladangannya dan mengusahakan aktiviti hiliran berasaskan kelapa sawit. Felda Holdings memiliki sebuah pejabat pemasaran di London dan ini menjadikannya peneraju industri sawit di peringkat antarabangsa dengan menyumbang 8% pengeluaran minyak sawit dunia. Memiliki kepentingan perniagaan di Amerika Syarikat, China, Australia, Afrika Selatan, Turki dan negara-negara Asia Barat.

11. Siapakah yang memiliki ekuiti dalam Felda Holdings Berhad?
KPF memiliki 51% saham, 49% oleh Felda melalui FGVH dan satu saham emas dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

12. Ke manakah keuntungan Felda Holdings Berhad disalurkan?
  • Untuk bayaran gaji petugas dan pengurusan Felda.
  • Bayaran insentif hari raya.
  • Bayaran pinjaman perumahan peneroka dan generasi kedua.
  • Bayaran insentif tuisyen.
  • Bayaran pinjaman untuk usahawan peneroka.
  • Bayaran khairat kematian.
  • Pelbagai projek infrastruktur.
  • Pembangunan kesejahteraan warga peneroka.


13. Apakah sebenarnya program pembangunan warga peneroka?
Program ini melibatkan penyediaan:
o Pusat Dalam Komuniti. o Pusat Literasi Keluarga. o Pusat Permata.
o Asrama Semai Bakti.
o Skim Tuisyen Felda.
o Insentif Pendidikan.
o Pinjaman pelajaran tinggi.

14. Benarkah Felda menubuhkan MRSM Felda (MRSMF)?
MRSMF telah ditubuhkan pada 2007 di Trolak dengan kos RM123 juta dan mampu menempatkan 1,050 pelajar.

15.     Apa itu Koperasi Permodalan Felda (KPF)?
KPF Ditubuhkan pada 1 Julai 1980 dengan tujuan untuk memberi peluang secara adil kepada warga Felda untuk turut memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat Felda melalui KPF. KPF adalah sebuah badan pelaburan peneroka yang menjalankan kegiatan pelaburan dan kewangan.

KPF menguasai 51% ekuiti dalam Felda Holdings Bhd dan pemilikan dalam 15 buah syarikat kumpulan Felda. Peneroka turut menikmati keuntungan yang diperoleh Felda Holdings melalui KPF. Sejak KPF ditubuhkan, warga peneroka menerima purata bayaran dividen dan bonus sebanyaK 14.2%.

16. Siapakah yang menjadi ahli KPF?
Peneroka, keluarga peneroka dan pegawai serta kakitangan Felda yang kesemuanya berjumlah 224,000 orang, ahli termasuk 112,635 orang yang merupakan peneroka.

17. Apakah kepentingan KPF dalam FGVH?
Sebagai pemegang ekuiti terbesar iaitu sebanyak 51% dalam Felda Holdings. Penyertaan KPF dalam FGVH penting kerana ia akan melonjakkan nilai KPF daripada RM3bilion kepada RM21bilion. Ini akan memberi keuntungan besar kepada peneroka, khususnya yang menjadi ahli KPF. Penyertaan KPF juga akan meletakkan FGVH berada dalam kumpulan saham mewah di Bursa Malaysia.

18. Bagaimanakah kedudukan KPF sekiranya ia bersetuju menyertai penyenaraian FGVH?
KPF akan menjadi antara peneraju FGVH sekiranya bersetuju menyertai FGVH dalam penyenaraian KPF di Bursa Saham Malaysia. Ia akan memiliki 35% ekuiti dalam FGVH. Pemegang ekuiti yang lain termasuk PNB, Tabung Haji dan KWSP. Sementara itu pihak asing akan berpeluang memiliki 5% ekuiti FGVH yang diperuntukkan untuk pihak swasta dan asing.

19. Apakah perbezaan antara Felda dan Felda Holdings Berhad?
Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan yang ditubuhkan pada 1956, adalah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diberi tanggungjawab membangunkan dan memajukan bidang pertanian negara ini sebagai salah satu cara untuk membasmi kemiskinan luar bandar.

Felda Holdings ialah sebuah syarikat pegangan yang ditubuhkan untuk menguruskan industri perladangan minyak sawit dan aktiviti hiliran minyak sawit, perkilangan dan perkhidmatan. Kumpulan Syarikat Felda Holdings menguruskan aset dan melaksanakan aktiviti perniagaan Felda. 49% ekuiti Felda Holdings dimiliki oleh Felda, 51% oleh KPF, sementara Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Yang Diperbadankan memiliki 1 Saham Emas.

20. Apakah faedah yang akan diterima oleh peneroka sekiranya FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia?
Sebagai ahli KPF, peneroka secara tidak langsung akan menjadi pemegang ekuiti utama dalam sebuah syarikat perladangan terbesar yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Peneroka akan memperoleh keuntungan yang lebih besar melalui pulangan dividen setiap tahun. Peneroka boleh berbangga kerana membantu menjulangkan ekonomi negara melalui komoditi minyak sawit.

21. Adakah kemungkinan FGVH boleh diambil alih syarikat asing melalui aktiviti di Bursa Malaysia?
Ini tidak mungkin berlaku kerana ekuiti asing dalam FGVH telah dihadkan 5% saham sahaja dalam FGVH.

22. Berapakah keluasan ladang kelapa sawit yang diuruskan oleh FGVH?
Jumlah keseluruhan ladang kelapa sawit yang diuruskan oleh FGVH Sdn. Bhd. ialah 880,000 hektar, termasuk yang dimiliki peneroka.

23. Benarkah dakwaan FGVH mengalami kerugian?
FGVH telah mencatat keuntungan daripada operasi luar negara sebanyak RM 569 juta sejak ditubuhkan pada 2009. Mencatatkan keuntungan sebelum cukai pada 2009 daripada perniagaan luar negara sebanyak RM203 juta. Meningkat 80% kepada RM366 juta pada 2010. Prospek kewangan 2011 sedang diaudit. Bagaimanapun FGVH yakin melepasi pencapaian 2010 berdasarkan pengukuhan harga komoditi dunia ketika ini.

No comments:

Post a Comment