SOLUSI 49: MAJORITI TAKWA MELALUI SIKAP BUKAN CAKAP


Untuk mencapai kemenangan memang mudah, tetapi untuk mengisi kemenangan ini nampaknya belum difahami oleh sesetengah pejuang Islam. Mereka merasakan kemenangan adalah segala-galanya. Lebih malang lagi apabila kemenangan itu disinonimkan dengan kemampuan mendapatkan kuasa. Dengan kuasa, ramai yang menyangka seluruh sistem hidup Islam dapat ditegakkan dengan mudah dan cepat.

Mendapat kuasa sahaja belum menjamin tertegaknya hukum Allah secara menyeluruh. Namun sifat amanah, bijaksana dan adil dapat menegakkan segala hukum Allah. Sering kali kuasa disalahgunakan untuk memenuhi kepentingan peribadi dan puak. Justeru, tidak hairanlah jika ada pejuang Islam yang berubah niat dan matlamat apabila mendapat kuasa.

Slogan dan semangat yang digembar-gemburkan dalam proses mendapatkan kuasa akan menjadi kurang penting apabila tiba fasa membangunkan Islam secara menyeluruh setelah mendapat kuasa. Ertinya, kemampuan meruntuhkan belum menjamin keupayaan untuk membina sekiranya tidak ada persediaan jiwa yang kukuh.

Justeru umat ini mesti dididik untuk menjadi bahu, bukan hanya mata dan telinga dalam usaha menegakkan Islam. Rakyat tidak boleh hanya menjadi pemerhati, tetapi mesti bersama-sama berganding bahu untuk menegakkan dan mempertahankan Islam. Mereka perlu dididik secara serius untuk menegakkan Islam dalam diri dan keluarga terlebih dahulu. Allah berfirman yang bermaksud;

"wahai orang yang beriman, selamatkan diri dan keluargamu daripada api neraka," (Surah al-Tahrim 66:6)

Ini satu fasa perjuangan yang memerlukan pengorbanan dan kesungguhan. Jika itu pun belum dapat dilaksanakan, adakah logik mereka mahu diajak untuk menegakkan Islam di peringkat yang lebih besar secara tiba-tiba?.

Anak tangga dalam usaha menegakkan Islam mesti didaki secara bertahap dan sabar. Pelaksanaan Islam mesti bermula dengan menghidupkannya dalam diri, keluarga serta masyarakat. Jika proses ini cuba dilakukan secara songsang, Islam tidak akan dapat ditegakkan dengan sempurna. Sebaliknya, akan timbul pelbagai kesan sampingan yang negatif. Dan dibimbangi, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Marilah membentuk majoriti takwa dalam kalangan rakyat. Majoriti takwa adalah faktor penting untuk menegakkan agama secara harmoni tanpa meninggalkan kesan sampingan yang merugikan. Pembentukan majoriti takwa umpama aliran air yang mengalir atau bagai gerakan akar yang menjalar. Walaupun kelihatan lambat, tetapi ia adalah jaminan tertegaknya Islam di semua peringkat. Islam yang ditegakkan di atas landasan ini tidak akan dapat dijatuhkan kerana dasarnya berakar umbi di dalam hati ummah.

Majoriti takwa tidak ditegakkan oleh peminat Islam, tetapi oleh penyokongnya. Jauh bezanya antara peminat dengan penyokong. Takwa adalah sikap mentaati perintah Allah secara penuh dan menyeluruh, dan bukan sekadar bercakap semata-mata. Sikap hanya dapat dibentuk oleh akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga perkara ini mesti dicapai melalui dua proses, dakwah dan tarbiah. Dakwah untuk membangkitkan kesedaran, manakala tarbiah untuk memberi bimbingan dan pimpinan ke arah pengamalan yang berterusan.

Tidak akan tertegak Islam dalam sesebuah negara selagi tidak tertegaknya Islam dalam keluarga dan masyarakat. Walaupun ramai pengkritik menganggap kaedah ini lambat dan menjemukan, tetapi inilah jalan yang paling tepat. Dan jalan yang paling tepat itulah yang paling cepat dan selamat. Apa gunanya berjalan cepat jika tidak selamat atau terpaksa berundur semula?

Mudah-mudahan, pejuang Islam sentiasa fokus dan serius dengan dakwah dan tarbiah kerana sesungguhnya ia umpama akar kepada pohon Islam yang merangkumi soal siasah, muamalat, ibadah, jinayat dan lain-lain.


Muhammad Jihad (Katadua Solusi Isu 49)
Dipetik daripada Majalah Solusi
Kerana minat yang mendalam pada Majalah Solusi yang dilihat
bersesuaian dengan semua peringkat umur mahupun latar belakang masyarakat kini,
maka DKM Sabah berminat untuk memetik 1 atau 2 artikel keluaran Solusi
Sebagai usaha dakwah kepada semua masyarakat

No comments:

Post a Comment