Renungan buat Muslimah;



"Astaghfirullah!" Meluncur kalimah tersebut dari bibir saya diiringi gelengan kepala tatkala menatap sekeping foto dalam deretan News Feed Facebook pagi ini.

Tidak lama dahulu, saya ada membaca beberapa tulisan di blog yang mendakwa gambar-gambar Muslimah bertudung seperti sekeping gambar bogel. Kemudian, paparan berserta bukti bergambar yang menampilkan foto Muslimah dieksploitasi sehingga seakan-akan menampakkan susuk badan.

Walaupun wanita dalam foto-foto asli tersebut bertudung dan menutup aurat dengan sempurna, namun telah diedit melalui teknik Super Impose dan sinar-X untuk menampakkan sebahagian dalam. Dan kejadian ini berulang lagi. Saya amat sedih melihat gambar tersebut dan bersimpati kepada pemiliknya.

Masalah Muhaqqaqah

Terdapat sebahagian Muslimah berhujah bahawa gambar-gambar yang menutup aurat walaupun mungkin mendatangkan fitnah kepada lelaki yang melihat, tetapi ia berkemungkinan membuka jalan hidayah kepada ramai wanita lain yang menatap. Pada saya, itu hanyalah andaian (assumption) semata-mata yang boleh sahaja menjadi sebaliknya, iaitu hanya seorang wanita sahaja beroleh hidayah berbanding lebih ramai lelaki yang terfitnah!

Para Muslimah perlu tahu bahawa gambar tersebut menjadi beban dan masalah bagi lelaki untuk menjaga pandangan mereka terutama kepada yang berpenyakit hati sehingga "Tidak berupaya" untuk menundukkan pandangan. Ini bukan sekadar menatijahkan tindakan mengedit gambar yang sopan menjadi lucah, bahkan ia sebenarnya dimulai daripada "pandangan tembus mata" yang terlebih dahulu "membogelkan" foto berkenaan.

Dalam kata lain, ia hanya kebaikan atau faedah yang diandaikan sahaja, sedangkan terdapat maslahah muhaqqaqah (Kebaikan atau faedah yang lebih diyakini) yang bersumberkan daripada gesaan Allah s.w.t sendiri agar Muslimah lebih melazimi diri mereka di rumah serta tidak keluar tanpa apa-apa tujuan dan keperluan sebagaiman firman-Nya yang bermaksud;

"Dan hendaklah kamu tetap dirumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah yang terdahulu. Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Menghilangkan dosa daripada kamu, wanita ahl al-bait (isteri-isteri Rasulullah) dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya (Surah al-Ahzab 33:33)

Dalam persoalan memaparkan gambar Muslimah ini, sewajarnya usaha mengehadkan penonjolan gambar-gambar tersebut dipandang sebagai satu ihtiyat (langkah berhati-hati) dan Sad al-zarai' (menutup jalan yang menuju pada kerosakan) daripada diri Muslimah itu sendiri agar dia terlindung daripada sebarang keburukan yang mungkin sahaja timbul kesan daripada banyak dan mudahnya gambar-gambar itu diperolehi.

Bayangkan butang Download atau sekadar klik dipaparan save as, gambar seseorang Muslimah itu sudah boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.


Penyakit 'Ain

Sebagai tambahan, saya juga suka untuk mengingatkan diri dan para Muslimah di luar sana tentang keburukan yang berpotensi timbul kesan daripada penonjolan gambar-gambar tanpa batas ini. Dalam hal ini, satu kaedah fiqah menyebut; "....................................", iaitu menghilangkan kemudaratan itu lebih diutamakan daripada mengambil keburukan tersebut ialah penyakit 'ain yang berpunca daripada tatapan mata.

'Ain itu diambil daripada kata 'ana, ya'nu iaitu apabila seseorang menatap dengan matanya. Bertitik tolak daripada kekaguman orang yang melihat sesuatu, kemudian diikuti oleh jiwanya yang keji, lalu dia menggunakan tatapan matanya itu untuk menyampaikan racun jiwanya kepada orang yang dipandangnya. Lantaran itu, Allah s.w.t memerintahkan Nabi s.a.w untuk meminta perlindungan daripada orang yang dengki (hasid) sebagai mana firman-Nya yang bermaksud;

"Dan daripada keburukan orang dengki adalah ketika dia dengki". (Surah al-falaq 113:5).

Setiap 'ain (orang yang menimpakan 'ain) ialah hasid (pendengki), tetapi tidak semua hasid ialah 'ain. Ini kerana hasid itu lebih umum jika dibandingkan dengan 'ain, iaitu "panah" yang keluar dari jiwa pendengki yang ditujukan kepada orang yang didengki (mahsud atau ma'in), yang adakalanya menimpanya dan adakalanya tidak mengenainya.

ada ketika, keburukan 'ain terjadi tanpa sengaja daripada orang yang memandang secara takjub (kagum dan terpesona) terhadap sesuatu yang dilihatnya. Lebih daripada itu, pengaruh buruk ini juga boleh terjadi daripada orang yang hatinya bersih atau orang yang soleh sekalipun mereka tidak bermaksud menimpa 'ain kepada apa-apa yang dilihatnya.

Hal ini pernah terjadi antara para sahabat Rasulullah s.a.w., sedangkan hati mereka telah dimaklumi ramai sebagai hati yang amat bersih dan tidak ada rasa iri atau dengki sesama mereka. Tetapi, dengan kehendak Allah dan takdir-Nya, pengaruh buruk 'ain ini terjadi juga. Daripada Abu Umamah bin Sahl bin Hunayf, beliau berkata bahawa 'Amir bin Rabi'ah melihat Sahl bin Hunayf mandi. 'Amir berkata; "Aku belum pernah melihat keadaan seperti sekarang, dan tidak pernah melihat kulit yang tertutup ini." Tiba-tiba Sahl terjatuh (kerana sakit). Lalu, Rasulullah s.a.w datang kepada 'Amir dan memarahinya, Baginda bersabda yang bermaksud;

"Mengapa salah seorang daripada kalian hendak membunuh saudaranya? bukankah lebih baik kalian mendoakan keberkatan untuknya? Mandilah untuknya!"

Kemudian, 'Amir membasuh mukanya, kedua-dua tangan, siku dan lututnya, jari-jemari kedua-dua kakinya dan bahagian dalam kainnya. Dibasuhnya dalam sebuah bekas, lalu disiramkan air basuhan tersebut kepadanya (Sahl), dan Sahl kembali bersama orang lain (sihat). (Riwayat imam Malik dalam al-Muwatta, Jil. 2, hlm. 938; Ibn Majah no. 3509, disahihkan oleh Ibn Hibban no. 1424)

Selain itu, banyak hadis sahih lain daripada Nabi s.a.w tentang penyakit 'ain ini. Antaranya apa yang disebutkan daripada 'Aisyah r.ha. beliau mengatakan; "Rasulullah s.a.w memerintahkan kepadanya supaya meminta dirawat (ruqyah) daripada 'ain." (Riwayat al-Bukhari no. 5738 dan Muslim no. 2195).


Role Model

Saya berpandangan, sungguh pun menampilkan foto-foto tersebut tidak haram, ia harus dalam agama selagi syarat-syarat penutupan aurat telah diikuti sebaiknya, namun saya tidak melihat suatu keperluan yang amat mendesak untuk Muslimah meletakkan puluhan gambarnya yang indah untuk tatapan khalayak ramai termasuk juga kepada golongan pendakwah wanita atas nama keperluan dakwah.

Jika beralasankan sebagai role model dan contoh ikutan, sekeping dua atau beberapa keping foto yang sopan (Contohnya bersama keluarga, sahabat-sahabat Muslimah lain atau gambar yang melebihkan objek lain berbanding fokus kepada dirinya sendiri) sudah mencukupi untuk memenuhi tujuan tersebut dan bukan dengan membiarkan sahaja gambar-gambarnya berlegar tanpa had dan batasan.

Tambah pula, untuk mencari seorang role model berdasarkan kaca mata syariat yang mulia ini tidaklah begitu sulit dan menyukarkan, termasuk juga role model pada gaya dan penampilan berpakaian dalam kalangan Muslimah. Ia sebenarnya tidak memerlukan gambar-gambar seperti selebriti ikutan yang sering muncul di kaca televisyen dan menjadi tumpuan. sebaliknya, apa yang perlu dilakukan hanya melihat dengan hati dan jiwa yang ikhlas lagi bersih di sekitar kita. Individu yang lebih baik penampilan dan pemakaiannya, maka mereka layak diangkat sebagai contoh ikutan walaupun mungkin Muslimah itu hanya seorang makcik tukang sapu.

Ini bersesuaian dengan saranan  Rasulullah s.a.w agar melihat orang yang lebih rendah dalam urusan dunia, manakala untuk urusan agama dan akhirat, maka lihatlah kepada individu lain yang lebih tinggi amalan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya ;

"Lihatlah orang yang lebih rendah (kenikmatannya) daripadamu dan janganlah melihat kepada yang lebih banyak (kenikmatannya) daripadamu agar kamu tidak mencela nikmat yang Alah anugerahkan kepadamu." (Riwayat Muslim dan al-Tirmizi).

Gambar Kita, Tanggungjawab Kita

Buat sahabat-sahabat Muslimah yang saya kasihi kerana Allah, Sesungguhnya kalian memiliki kecantikan tersendiri. Ayahanda saya"berfatwa" :

"Ada Mata, hidung, mulut, cukup kedua-dua telinga, maka cantiklah orang itu."

Justeru itu, tahanlah diri daripada meletakkan terlalu banyak gambar lebih-lebih lagi jika gambar itu dalam pose berisi jelingan manja atau senyuman "Terlebih gula" yang mampu meluruhkan sukma jejaka. Privasikan ia, atau langkah lebih baik simpan sahaja ia untuk tatapan peribadi serta keluarga yang sudah tentu menyayangi diri anda. Gambar kita, tanggungjawab kita. Redha Allah dambaan jiwa.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Perbandingan dunia dengan akhirat itu seperti salah seorang daripada kalian memasukkan jarinya di laut, kemudian perhatikan apa yang tersisa di jariya ketika ia diangkat." (Riwayat Muslim dan al-Tirmizi)

Petikan Solusi Isu 42
Penulisan; Noraslina Jusin
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam, Universiti Malaya.
Blog; www.ummuhusna99.blogspot.com