GEMPUR SABAH, itulah cogan kata yang bersesuaian berdasarkan pendekatan dan keterbukaan PM yang konsisten dengan objektif asalnya sejak mula-mula menerajui tampuk kepimpinan negara. Program Transformasi Kerajaan yang dilihat tidak hanya menjurus kepada transformasi dalam urus tadbir kerajaan semata-mata, bahkan juga kini semakin menyelusuri segenap aspek yang menjadi nadi dan suara  rakyat di peringkat akar umbi. Satu-persatu cadangan dan tuntutan yang selama ini tidak pernah direalisasikan oleh pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu kini telah menjadi kenyataan. Segalanya kini terpulang pada TAKDIR dan WAKTU yang menentukan segalanya.

Beberapa hari lepas, Pengarang dikejutkan dengan artikel yang dikeluarkan oleh KL Post yang melaporkan 9 orang YB akan menyertai PKR berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh DSAI. Antara YB yang dilaporkan bakal menyertai PKR termasuklah 3 MP (Bernard Dompok, Siringan Gubat & Marcus Mojingoh) dan 6 ADUN (Donald Peter Mojuntin, John Teo Mau Sing, Masiung Banah, Ewon Ebin, Justin Guka & Bobby Suan). Kesemua YB BN yang dimaksudkan oleh DSAI bertindak melompat parti sebagai respon kepada tindakan Lajim dan Bumburing. Daripada kesemua YB yang disenaraikan di atas, Pengarang hanya meletakkan 3 orang YB sahaja yang akan menyertai PKR jika apa yang didakwa itu menjadi kenyataan. Ini adalah kerana, kesemua YB yang disenaraikan di atas merupakan YB-YB yang tidak berhadapan dengan sebarang kesukaran untuk dicalonkan pada PRU akan datang.
TOR RCI yang telah diumumkan oleh PM bersempena dengan lawatan beliau ke Sabah, telah mengundang pelbagai respon positif dari pemimpin-pemimpin utama komponen BN. Pairin menerusi kenyataannya yakin bahawa rakyat kini akan memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan, kerana RCI itulah yang diminta oleh rakyat selama ini. Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa tempoh 6 bulan yang diberikan bakal memberi hasil yang diharap-harapkan. Pairin turut menyuarakan bahawa, PRU13 akan datang tidak perlu menunggu sehingga keputusan siasatan RCI itu diumumkan. 
Berbeza dengan pendapat yang disuarakan oleh Bernard Dompok, beliau menyifatkan apa yang dilakukan oleh Najib kini merupakan tindakan berani. Beliau yang berpengalaman bekerja di bawah 3 orang Perdana Menteri berkata "beliau (Najib) sahaja yang berani melakukan ini". Maka, sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah memberi sokongan penuh kepadanya (Najib). Beliau menaruh sepenuh keyakinan kepada aggota panel RCI yang telah dilantik, yang mana majoriti anggota RCI merupakan warga Sabah, agar mampu menangani isu berkenaan dengan sewajarnya.

Seperti yang telah diduga, PR melalui Bersih yang tidak berapa bersih kembali bersuara. Jika sebelum ini mereka menuntut agar keanggotaan RCI diberi kepada rakyat Sabah dan Sarawak sendiri, tapi kini mereka tidak hanya menuntut agar beberapa nama digugurkan daripada menganggotai panel RCI malah turut menuntut agar draf TOR dikaji semula. Inilah perangai sebenar pembangkang. Secara ikhlasnya, pengarang berpendapat bahawa kerajaan tidak perlu terlalu melayan tuntutan yang tidak berasas dan hanya memberi kredit kepada sebelah pihak semata-mata. Apa yang lebih penting kini adalah, kerajaan menerusi panel RCI yang telah diwujudkan terus melangkah kehadapan dan fokus kepada matlamat serta objektif yang telah disasarkan.