Dipetik: Utusan Borneo



Cubaan seludup barangan kawalan bernilai lebih RM30,000 ke negara jiran

TAWAU: Seorang lagi juragan yang disyaki cuba menyeludup barang kawalan bernilai RM33,357.40 ke negara seberang, diberkas oleh pasukan Polis Gerakan Marin (PGM) Tawau di kawasan perairan Batu-Batu Sabindo di sini kira-kira jam 4.25 petang pada Selasa.
Pemangku Pegawai Pemerintah, ASP Mohamad Ismail, berkata penahanan suspek yang merupakan lelaki warga asing itu dibuat selepas pelbagai jenis barang kawalan didapati berada dalam jongkongnya hasil daripada satu pemeriksaan yang dijalankan.
“Juragan berusia 24 tahun ini juga gagal menunjukkan sebarang dokumen, permit atau lesen kebenaran membawa barang-barang berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dihantar ke Utusan Borneo di sini kelmarin.

Mohamad menjelaskan barang-barang kawalan yang turut dirampas selain daripada jongkong terbabit termasuklah minyak petrol (17 gelen), diesel (11 gelen), gula pasir pelbagai jenama (624 kilogram), Beras Nasional (40 kampit) dan Beras Bumi Sabah (29 kampit).

Tambahnya, turut dirampas minyak masak pelbagai jenis (207 kilogram) dan tong gas Petronas (sembilan tong) serta sebuah unit enjin sangkut jenis Yamaha yang berkemampuan 40 kuasa kuda.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek didapati tinggal di Sungai Panchang, Pulau Sebatik, Indonesia dan hanya menggunakan pas lintas batas memasuki negara kita,” katanya, sambil menjelaskan siasatan akan dibuka mengikut Akta Kastam.

Minggu lepas, PGM Tawau turut berjaya memberkas dua juragan yang cuba menyeludup pelbagai barang kawalan ke negara jiran menerusi dua jongkong berbeza dalam tempoh yang berasingan.

No comments:

Post a Comment