(Berita Dari Sabah): Wanita Umno Sabah sepakat kekalkan wakil rakyat wanita sedia ada dalam PRU Ke-13



KOTA KINABALU: Wanita Umno Sabah sepakat mengekalkan sokongan kepada wakil rakyat Wanita yang sedia ada sebagai calon di kawasan masing-masing bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Ketuanya, Datuk Hajah Armani Haji Mahiruddin berkata sokongan itu merupakan satu usaha untuk menyasarkan pembabitan Wanita dalam dasar 30 peratus pembuat keputusan.

“Wanita Umno Sabah telah sebulat suara akan memberi sokongan untuk mengekalkan calon wanita yang sedia ada untuk dicalonkan semula bagi Pilihan raya Umum Ke 13 akan datang.
“Ini adalah untuk mengekalkan pembabitan wanita dalam politik yang merupakan antara garis panduan merealisasikan dasar 30 peratus membuat keputusan,” katanya.

Armani berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa pergerakan itu di Pejabat Perhubungan Wanita Umno Sabah, di sini kelmarin.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan Naibnya, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun, Penolong Setiausaha, Datuk Jainab Ahmad, Bendahari, Manis Buka Haji Mohd Dara, Ketua Penerangan, Asnah Haji Tahlil dan sebahagian Ketua Wanita Umno bahagian.

Terdahulu, ketika mesyuarat khas pergerakan itu, Ketua Wanita Umno Bahagian-bahagian turut mencadangkan Armani yang juga Exco Wanita Umno Malaysia sebagai calon bagi PRU-13 dan dipersetujui sebulan suara.

Armani memberitahu beliau akan mengusulkan beberapa muka baru untuk dicadangkan sebagai calon yang layak ke peringkat tertinggi.
Mengulas mengenai calon wanita yang tidak dicalonkan di peringkat bahagian dalam pilihan raya umum, Armani berkata ia mestilah dilakukan secara demokrasi dan kesepakatan.
Katanya, tindakan berkenaan haruslah dibuat secara demokrasi dan sokongan akar umbi dan bukannya bersifat peribadi.

“Ia harus diputuskan secara demokrasi yang mengutamakan suara akar umbi dan bukannya pandangan satu pihak sahaja,” katanya.
Terdahulu, Armani menyempurnakan majlis penyerahan pencetak kepada Ketua Wanita Umno Bahagian di 25 parlimen bagi persiapan keperluan Bilik Gerakan masing-masing.
Katanya, sumbangan itu adalah untuk kemudahan jentera wanita melaksanakan gerak kerja jalinan rakyat di kawasan masing-masing.

“Hari ini kita telah menyerahkan pencetak kepada setiap bahagian untuk keperluan bilik gerakan bagi menghadapi pilihan raya yang akan tiba bila-bila masa sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment