Syabas Dr Mashitah! Satu Hujah Terbaik

 

1. Sebaik-baik Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan di muktamar Pas baru-baru ini bahawa partinya menggugurkan matlamat membentuk negara Islam, sebaliknya mahu wujudkan negara berkebajikan jika dapat memerintah Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada Pengerusi DAP Karpal Singh.
 
2. Ini kerana setelah puluhan tahun, akhirnya hasrat Pengerusi DAP dan partinya untuk menghalang Pas membentuk sebuah negara Islam telah berjaya. Perjuangan Pas sejak tahun 1950-an berjaya dipatahkan DAP. Kata orang Kelantan, "Pas aloh ko DAP" (Pas kalah kepada DAP).

3. Ini hakikat yang sukar diterima orang Pas. Pusingan U yang diumumkan Hadi Awang buka sahaja mengaibkan ramai penyokong Pas akar umbi, malah dianggap menghina pejuang dan aktivis sebelum ini. Sekali gus, mengiktiraf kedudukan dominan DAP dalam pakatan pembangkang yang dianggotainya.

4. Seminggu selepas muktamar, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub mengumumkan bahawa sebuah panel khas akan ditubuhkan untuk membincang kandungan negara berkebajikan yang diinginkan Pas. Sebagaimana konsep negara Islam, Pas bercakap dulu, fikir kemudian. 

5. Dan dalam hal ini, Pas kena memerah otak untuk mengisi konsep negara berkebajikan yang masih tidak jelas. Saya percaya sebahagian besar yang difikirkan ialah bagaimana memastikan konsep negara berkebajikan tidak ditentang juga oleh DAP nanti. Pas kena pertimbangkan perasaan DAP dan risiko daripada tentangan politik dari aspek ideologi.

6. Keputusan Kerajaan Kedah menarik balik arahan melaksanakan peraturan terhadap premis hiburan di bulan Ramadan adalah satu lagi episod "Pas aloh ko DAP". Walaupun pemimpin Pas memberi pelbagai alasan bahawa ia bukan demikian dan memberi macam-macam putaran terhadapnya, hakikatnya ialah keputusan itu dibuat setelah diugut oleh Karpal Singh.

7. DAP anggap keputusan kerajaan Pas Kedah sebagai "tidak cerdik" (baca: bodoh) dan boleh menjejaskan hubungan kedua-dua parti. Andainya tiada ugutan kes ini dibawa ke mahkamah, masakan pucuk pimpinan Pas terbabit sehingga mendesak kerajaan negeri mengubah pendirian.

8. Dalam kes terbaru, wakil Pas di Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali, yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri, dikecam teruk oleh pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Theresa Kok atas pendirian terbukanya mempertahan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama Rabu lalu. Serbuan itu dibuat atas laporan adanya usaha menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam atau memurtadkan mereka.

9. Sebelum episod ini, "Pas aloh ko DAP" di Selangor. Exco DAP Selangor, Ronnie Liu perjuangkan penjualan arak dan meluluskan banyak lesen rumah urut, Pas tidak boleh berbuat apa. 

10. Dia arah Majlis Bandaraya Shah Alam kembalikan arak yang dirampas kepada kedai yang melanggar peraturan menjual. Dia juga arahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya tarik balik larangan ke atas orang Islam bekerja di premis menjual arak. 

11. Pemimpin-pemimpin DAP dibenarkan masuk masjid atas urusan politik dan ada yang masuk dalam keadaan tidak ikut adab tertib Islam. Melihatkan kuatnya tekanan DAP (dan pihak lain, termasuk Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, dari PKR) ke atas Hasan, nampaknya Pas akan 'aloh' lagi kepada DAP dalam hal ehwal agama dan orang Islam di Selangor.

12. Di Pulau Pinang pun sama, "Pas aloh ko DAP". Exco DAP berani campur tangan dalam hal ehwal Islam, sampai perarakan Maulidur Rasul pun dibatalkan. Lim Guan Eng sudah wujudkan Exco bagi bukan Islam. Sedikit demi sedikit hal-hal Islam diceroboh, dan umat Islam pula yang bertelagah sesama sendiri.

13. Sebelum ini, Pas memberi alasan berkawan dengan DAP kerana ingin berdakwah dan memperkenalkan Islam kepada pemimpin DAP seterusnya mengislamkan mereka dalam masa terdekat. Soalnya Pemimpin DAP mana yang sudah masuk Islam sejak Pas mula menjalin hubungan politk dengan DAP? 

14. Selepas pilihan raya 2008, orang Pas tolong jaja cerita mengenai kepimpinan Lim Guan Eng ala Khulafah Al-Rasyidin. Penceramah-penceramah Pas tolong kempen termasuk waktu kuliah maghrib di masjid-masjid mengenai idola Guan Eng iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz. 

15. Malah ada ustaz-ustaz Pas mengumumkan Guan Eng akan peluk Islam, tetapi terpaksa menunggu sehingga bapanya Lim Kit Siang peluk Islam dulu dan melaksanakan undang-undang Islam sekiranya pakatan pembanghkang berjaya menawan Putrajaya kelak.

16. Sudahlah Pas gagal melaksanakan sebarang undang-undang Islam setelah lebih 20 tahun memerintah Kelantan, mereka meletakkan pula tanggungjawab hendak melaksanakan undang-undang Islam ke atas bahu Guan Eng dan Kit Siang. 

17. Amat malang, terlalu ramai pengikut Pas yang mempercayai momokan ustaz-ustaz Pas ini, yang berjaya mewujudkan segolongan pengikut yang taksub dan mempercayai apa saja yang diucapkan. 

18. Apa yang Pas berjaya lakukan ialah memberi dorongan kepada pemimpin DAP menghina Islam, menghina al-Quran dan menghina masjid. Pemimpin-pemimpin DAP sesuka hati memetik ayat al-Quran semasa berceramah politik dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti hati orang Islam. 

19. Tapi Pas mempertahankan mereka walaupun hadis dan ayat al-Quran dipersenda. Soalnya: dakwah macam mana yang Pas buat untuk DAP sampai DAP jadi berani begitu? Pemimpin PKR dan Pas di Selangor dan Pulau Pinang tidak lagi berani bercakap mengenai kepentingan Melayu dan kedaulatan Islam kerana dicap sebagai rasis. Kononnya atas dasar 'tahaluf siyasi', Pas berpakat dengan DAP untuk mendapat kuasa, seterusnya untuk mengembang Islam.

20. Hakikatnya Islam bukan sahaja tidak berkembang, malah pemimpin Pas sibuk pula mencari ayat-ayat Quran sebagai rujukan untuk menghalalkan tindakan-tindakan DAP. Nampak sangat kedudukan Pas yang sedang berkecamuk dan pemikiran pemimpin yang bercelaru. Negara Islam pun dah jadi Negara Kebajikan. Slogan 'Membangun Bersama Islam' kini tukar jadi 'Pas Untuk Semua. ' 

21. Dulu Karpal Singh kata Pas kena langkah mayat dia jika mahu tubuh negara Islam. Baru-baru ini, pemimpin Pas, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yakni bekas Speaker DUN Kelantan, pula kata langkah mayat dia jika ada sesiapa mahu serang Karpal Singh. 

22. Kalau Pas mendalami pengertian bahawa khalifah hanya menjadi khalifah yang sah selama mana dia benar-benar mengikuti hukum-hukum Allah, tidak mungkin Pas akan sanggup menobatkan seorang pemimpin DAP anti-Islam setaraf Khalifah al-Rasyidin. 

23. Bila timbul cerita Tengku Razaleigh Hamzah, dan bukannya Abdul Hadi Awang mungkin menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pembangkang untuk menawan Putrajaya, sekali lagi 'Pas aloh'. Padahal, di kalangan penyokong Pas, Abdul Hadi adalah calon mereka dan pernah dinobatkan sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

24. Nampaknya, Pas kecewa lagi. Tidak hairanlah jiwa Pas kini sakit, hatinya penuh dengan dendam dan nafsu Qarun yang semakin membuak. Saya percaya ramai pemimpin dan ahli Pas asal menangis melihat rupa wajah Pas hari ini: parti pak turut yang melukut di tepi gantang, parti yang aloh sokmo. (Rencana tulisan Dr Mashitah di dalam Utusan Malaysia).

No comments:

Post a Comment