DARD

Dipetik: FB DARD

Industri perlancungan di Sabah begitu kritikal berikutan arahan PKP sejak tahun lepas. Hari ini suratkhabar Daily Express membuat laporan bahawa Sabah adalah pilihan destinasi kedua terendah di Malaysia yang dikunjungi oleh pelancong tempatan. Sarawak adalah destinasi terendah.

Daily Express juga melaporkan bahawa kadar penginapan hotel-hotel di Sabah hanyalah 6% dari keseluruhan bilik sedia ada. Ini belum lagi isu kehilangan pekerjaan dan “Tour Operator” yang tutup kedai. Saya ingn cadangkan dua perkara untuk difikirkan oleh kerajaan pusat dan negeri.

Pertama, kerajaan perlu benarkan rentas negeri antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak tanpa perlu permit polis atau kelulusan khas. Berlainan dengan rentas negeri di Semenanjung yang selalunya menggunakan kenderaan kereta, rentas negeri ke Sabah dan Sarawak dari Semenanjung hanya boleh dilakukan melalui penerbangan. 


Sekarang ini SOP (Standard Operating Procedure) yang ketat wajib dipatuhi iaitu setiap orang yang ingin terbang ke Sabah perlu menunjukkan bukti “Swab Test” yang negative tiga hari sebelum dibenarkan terbang ke Sabah. Maknanya semua penumpang ke Sabah sudah dibuktikan tidak ada virus Covid. 

Begitu juga, mereka yang mahu kembali ke Semenanjung akan diminta untuk menjalani ujian swab sekali lagi untuk memastikan mereka tidak ada jangkitan sebelum terbang kembali ke Semenanjung.

Semua hotel terkemuka di Sabah sudah pun menjalankan SOP yang ketat seperti mana yang dikehendaki oleh kerajaan termasuk memakai mask, penggunaan sanitizer dan penjarakan sosial.

Jadi saya cadangkan supaya kerajaan pusat bukan sahaja membenarkan tetapi menggalakkan percutian domestik ke Sabah dan Sarawak. Kerajaan negeri pula perlu memberi peluang kepada industri perlancongan untuk beroperasi tetapi mengikut SOP yang ketat.

Kalau di Sabah, banyak hotel-hotel yang ada di pulau peranginan. Hotel-hotel ini agak terpencil dan tidak terlalu terdedah kepada kunjungan orang tempatan. Hotel-hotel ini bukan sahaja menyediakan tempat penginapan tetapi mempunyai program dan aktiviti pelancongan mereka sendiri di pulau tersebut termasuk snorkelling, memancing, menyelam, menikmati flora dan fauna dan makanan laut. Semua aktiviti ini boleh dibuat dengan syarat SOP yang ketat dan boleh dilakukan di kawasan hotel itu berada.


Kalau belum diwujudkan, satu kerjasama yang rapat antara hotel, syarikat penerbangan, tour operator dan pemain industri perlancongan di Sabah dan Sarawak perlu dijalinkan dengan segera. Usaha ini mesti dipelopori oleh Kementerian Perlancongan pusat dan negeri untuk dikordinasikan.

Contoh harga bilik hotel di Sabah dan Sarawak sekarang sudah murah, namun syarikat penerbangan perlu turunkan harga tiket supaya lebih ramai orang yang terbang bercuti ke Sabah dan Sarawak. 

Satu contoh lagi, kos ujian Swab. Saya dapati penumpang kapal terbang terpaksa membayar kos ujian swab test mencecah sampai RM100 ke RM150 untuk ujian RTK - Antigen sebelum terbang ke Sabah. Ini tidak munasabah kerana kos ini menambah beban orang yang mahu bercuti ke Sabah. Bayangkan kalau satu keluarga lima orang, kos ujian swab sahaja akan mencecah RM500 hingga RM750. Dan oleh kerana ujian swab ini dibuat dua kali kerana pelancong perlu menunjukkan ujian swab yang negatif bila pulang ke Semenanjung, 

kos ujian swab sahaja ialah RM1,000 hingga RM1,500. Kos pembelian satu kit ujian RTK hanya antara RM20-RM50 sahaja. Syarikat penerbangan, klinik dan hotel boleh bekerja sama untuk menurunkan kos ujian RTK pada tahap minimum.

Saya bukannya mengatakan semua ini mudah, tetapi bila kita fikirkan kos terhadap ekonomi Sabah dan Sarawak, bebanan kepada industri perlancongan dan fenomena kehilangan pekerjaan yang teruk, kita semua perlu berfikir di luar kotak. 

Industri perlancongan Sabah yang menjadi antara penyumbang pendapatan besar kepada ekonomi Sabah amat terkesan sekali. Ramai yang hilang pekerjaan dan banyak hotel dan tour operator sudah dan akan tutup kedai. Kerajaan pusat dan negeri perlu memberi bantuan kewangan kepada sektor perlancongan supaya industri itu tidak mati yang mengakibatkan kesan ekonomi yang parah. 


Kesan ekonomi yang merudum in memerlukan beberapa tahun untuk pulih. Sementara itu, bantulah dan fikirkanlah cara yang boleh membantu industri perlancongan Sabah dan Sarawak yang mana ratusan ribu rakyat bergantung kepadanya.

Mungkin PKP tidak lagi mampu untuk menurunkan kes Covid di negara ini. Harapan kita sekarang bergantung kepada keberkesanan vaksin untuk menghapuskan Covid 19 dalam negara kita.

Saya rasa kalau pun PKP dapat menurunkan kes sehingga sekitar 2000 atau 2,500 kes sehari, angka itu pun masih tinggi. Jadi, apakah sektor ekonomi kita disekat atau ditutup sehingga kes turun sampai kosong? Pada waktu itu tidak akan ada industri perlancongan yang boleh berdiri. Semuanya akan kecundang dan kitaran kesan negatif akan dirasai oleh semua orang.

Pilihan yang mungkin lebih praktikal ialah longgarkan sekatan terhadap aktiviti ekonomi dengan memastikan SOP dipatuhi dengan ketat iaitu memakai pelitup muka atau mask, cuci tangan dengan sanitizer dan amalkan penjarakan sosial.

Salam,
DARD