Ramai kawan-kawan yang minta ulasan berhubung statement sahabat kita yang juga Setiausaha Perhubungan Awam (SUPA) Pejabat Menteri Kewangan Sabah yang menyentuh soal kerjasama PHBN menjelang PRN-17. Setiap pandangan dan pendapat peribadi individu kita raikan dalam konteks ilmiah tanpa ada rasa prejudis dengan falsafah, tidak ada analisa yang benar-benar tepat dan sebarang pandangan yang lahir ketika ini lebih bersifat sembang kedai kopi.
Berbalik kepada pandangan SUPA Pejabat Menteri Kewangan Sabah berhubung prestasi BN dengan mengambil kira representasi kerusi dimenangi bermula dari PRU (2008) hingga PRN-16 (2020). Sebelum itu sedikit pembetulan, PRN Sabah kali terakhir diadakan pada (1999 – 48 Dun) dan selepas Persempadanan Kawasan Pilihanraya (2003 – 60 Dun), Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah diadakan serentak dengan Pilihanraya Umum (PRU) bermula PRU-11 (21 Mac 2004), maka sewajarnya PRN Sabah disebut sebagai PRU dengan merujuk kepada keputusan DUN.
Analisa daripada SUPA ini sejujurnya tepat, TAPI mungkin beliau terlepas pandang akan beberapa fakta penting yang antaranya:
PRU-11 (2004) sehingga PRU-14 (2018) - Menggunakan Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Lama (60 Kerusi DUN)
Benar politics is all about numbers, tapi jangan lupa angka yang diguna pakai perlulah memiliki asas setara untuk mengukur prestasi semasa. PRU-11 sehingga PRU-14 kerusi Dun yang dipertandingkan adalah 60, maka perincian agihan kerusi perlulah mengikut komponen parti politik dalam BN. Berikut agihan kerusi DUN dalam komponen BN, UMNO bertanding di 31 (PRU11-12) kerusi dun Sabah dan 32 (PRU13-14) selebihnya diagihkan kepada PBS (13) UPKO (6) PBRS (1) LDP (4) MCA (2) GERAKAN (2).
Maka seharusnya pengukuran bukanlah bersifat umum iaitu BN sebaliknya prestasi UMNO selaku parti tunjang dalam BN sama seperti Gagasan Rakyat (PGRS) ketika ini, termasuk faktor yang mengetuai rundingan agihan kerusi PRN-17 di peringkat pusat adalah kepimpinan tertinggi UMNO dan PH. Jika prestasi UMNO diambil kira sejak PRU11 - PRU15, Prestasi UMNO adalah seperti berikut;
- PRU11: 31/31 - 100%
- PRU12: 31/31 - 100%
- PRU13: 32/32 - 100%
- PRU14: 17/32 - 53.1%
- PRN16: 14/32 - 43.8%
- PRU15: 6/11 - 54.5%
Rumusannya prestasi UMNO tidaklah seburuk yang digambarkan, sebaliknya yang merosot hanyalah prestasi komponen BN terutama yang mewakili masyarakat Cina (MCA, LDP dan GERAKAN) yang kalah di kesemua kerusi dun dominan masyarakat Cina dan lebih buruk lagi turut kalah di kerusi majoriti pengundi BI yang diwakili parti komponen Cina (LDP) seperti di dun (Tg. Kapor & Merotai).
PRN-16 (2020) adalah kerjasama antara PNBN+PBS
Seharusnya pengukuran bukan bersifat tunggal (iaitu BN) sebaliknya PNBN+PBS dan perinciannya prestasi setiap parti politik berbanding kerusi yang ditandingi adalah seperti berikut;
- PN: PPBM (11/19=57.9%), STAR (6/8 =75%) & SAPP (0/2 =0%)
- BN: UMNO (14/32 =43.8%), PBRS (0/5 =0%) & MCA (0/4 =0%)
- PBS: 7/22 (31.8%)
Maka PRN-16 (2020) seharusnya mengukur prestasi PNBN+PBS dan bukannya prestasi BN secara total. Prestasi PNBN+PBS adalah 38/73 (52.1%). Jika berdasarkan gabungan PNBN+PBS pula, PN (58.6%), BN (34.1%) dan PBS (31.8%).
Dapat disimpulkan, jika mengambil kira prestasi setiap parti dalam kerjasama PNBN+PBS, adalah tidak mungkin untuk DS. Hajiji Noor menjadi Ketua Menteri Sabah ketika itu, kerana UMNO menjadi parti yang memiliki kerusi Dun terbanyak (14 kerusi) berbanding PPBM (11 kerusi).
Ukuran Seharusnya Hanya Jumlah Kerusi Ditandingi Bukan Keseluruhan Kerusi Dun Sabah
Ukuran sebenar prestasi setiap parti dalam komponen PNBN+PBS semasa PRN-16 (2020), perlulah mengikut jumlah kerusi yang ditandingi dan bukannya jumlah keseluruhan kerusi DUN Sabah, dan ia adalah seperti berikut:
- PN 17/29 (58.6%): PPBM (11/19=57.9%), STAR (6/8 =75%) & SAPP (0/2 =0%)
- BN 14/41 (34.1%): UMNO (14/32 =43.8%), PBRS (0/5 =%0) & MCA (0/4 =0%)
- PBS 7/22 (31.8%)
Kenapa Kaedah Pengukuran Hanya Menumpukan BN dan Bukan PN/GRS?
Seharusnya prestasi pengukuran juga mengambil kira prestasi rakan dalam komponen yang membentuk kerajaan ketika itu. GRS ketika PRN16 bukanlah gabungan rasmi, maka tepatnya digunakan PN. Prestasi PN yang diwakili oleh PPBM, STAR & SAPP hanyalah (17/29 - 58.6%).
Perlu diingat, 45 kerusi DUN (termasuk 4 Adun dilantik) yang dimiliki oleh GRS ketika ini, 28 daripadanya dimiliki hasil lompatan Adun (10 PPBM, 3 bebas, 7 UMNO termasuk YB dua alam, 7 Warisan dan 1 PHRS). Dapat disimpulkan, kerusi asal GRS yang ada ketika ini hanyalah berbaki 13 (PBS-7 & STAR 6) bersamaan 13/73 (17.8%), sementara tambahan 28 kerusi (38.4%) adalah hasil lompatan YB KATAK.
KESIMPULAN
Maka setiap parti yang ada di bumi Sabah ketika ini khususnya BN dan GRS, memiliki keupayaan dan kekuatan yang seimbang dalam membentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik. Tidak wujud soal siapa kuat atau lemah, mahupun prestasi meningkat atau merosot, namun sebaliknya mengambilkira gabungan mana yang lebih menguntungkan semua pihak yang berunding.
Ramai yang terlepas pandang akan perkara yang lebih besar daripada kerjasama BN dan PH ketika ini. Jika prestasi BN lebih buruk berbanding PH, namun berjaya membentuk kerajaan dengan parti politik lain pasca PRN-17 nanti, tidak mustahil Ketua Menteri Sabah datangnya daripada Pakatan Harapan (PH). Tiada apa yang mustahil dalam politik, bahkan parti sekuat GRS yang kini bergelut dengan skandal rasuah dan prestasi pentadbiran yang tidak memuaskan hati rakyat ketika ini, akan berkubur pada PRN-17.
HM @ DKMSabah
Mantan Pem. Pegawai Penerangan (S.29), Caw. Siasah & Pengurusan Isu (CSPI), JASA Sabah (2010-2018)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRN-16 (2020)
Mantan Penganalisa ‘Unit Data Analisa’ Ibupejabat PPBM Alamesra PRU-15 (2022)
RUJUKAN:
Scoresheet PRU-11 (2004); Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Ehsan JASA Malaysia.
Scoresheet PRU-12 (2008); Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Ehsan JASA Malaysia.
Scoresheet PRU-13 (2013); Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Ehsan JASA Malaysia.
Scoresheet PRU-14 (2018); Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Ehsan JASA Malaysia.
Scoresheet PRN-16 (2020); Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Ehsan Unit Data Analisa - Pejabat PPBM Alamesra.
Pembentang PM-PRN16 (2020); Ehsan Unit Data Analisa, Pejabat PPBM Alamesra.
Direktori Pejabat Menteri Kewangan Sabah, diakses daripada,
FB KipaEmpire (9 May 2025); diakses daripada,
BH Online (29 Jan 2017); Persempadanan semula 2003: Antara dosa terbesar Mahathir kepada Melayu.
0 Comments