Kehadapan Tuanku Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Daulat Tuanku dan diucapkan selamat datang kepada rombongan Tuanku daripada seluruh rakyat negeri Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Ampun Tuanku, apa yang cuba disuarakan dalam nukilan ini adalah curahan rasa yang selama ini dipendam oleh keseluruhan rakyat Sabah.
Ampun Tuanku, ketika Tuanku menzahirkan keinginan untuk berkenderaan mengelilingi Sabah dan Sarawak, seluruh rakyat Sabah tidak kira di platform media sosial mahupun kedai kopi merasa berbesar hati. Perasaan berbesar hati bukan hanya kerana kesudian Tuanku untuk merasai sendiri pengalaman mengelilingi Sabah, bahkan juga impian besar Tuanku untuk berkeliling melalui jalan darat yang dilalui oleh rakyat jelata. Hasrat Tuanku yang ingin merasai pengalaman melalui jalan bagaikan di bulan disambut dengan rasa kesyukuran rakyat jelata khususnya di Sabah kerana jarang sekali pemimpin utama kerajaan yang memiliki keinginan seperti Tuanku.
Ampun Tuanku, seluruh rakyat jelata khususnya di Sabah melahirkan keyakinan bahawa laluan yang bakal dilalui Tuanku serta rombongan, tidak akan sama keadaannya sepertimana kualiti jalan yang dilalui rakyat Sabah saban hari. Bukan niat untuk memburukkan Kerajaan Negeri ketika ini, namun itulah realiti sebenar apa yang berlaku di Sabah. Tidak akan ada lagi jalan berlubang jika ada golongan Kenamaan atau pemimpin utama negara berniat untuk melalui mana-mana jalan di Sabah. Jika ada lubang sekalipun, pastinya ia tidak sedalam jalan berlubang yang telah meragut ratusan nyawa rakyat tidak berdosa selama ini, selain kenderaan yang rosak teruk angkara permukaan jalan berlubang ditambah dengan ketiadaan lampu jalan.
Malah menjelang ketibaan rombongan kembara Tuanku pada 03 September 2023, Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, Ketua Menteri, YB dan Agensi kerajaan ketika ini kelihatannya sedang sibuk memperbaiki jalan-jalan yang bakal dilalui Tuanku dan rombongan bagi memastikan perjalanan Tuanku selamat dan selesa. Itula sifat hipokrit ahli politik yang ada di Sabah, jalan yang puluhan tahun diadukan rakyat kepada pemimpin dan ahli politik, tidak pernah diselesaikan. Kini segalanya tampak elok dan sempurna hanya kerana kedatangan Tuanku dan rombongan ke Sabah.
Ampun Tuanku, tidak perlu untuk diperkatakan berapa puluh ribu aduan rakyat kepada YAB dan YB serta agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan. Hasilnya, Ibarat mencurah air ke daun keladi, tiada apa yang boleh diharapkan selain bertawakkal dan dijauhkan dari kemalangan. Alasan yang sering diberikan adalah, tiada peruntukan atau peruntukan baik pulih belum disalurkan. Malah lebih parah lagi, apabila peruntukan telah disalurkan, kualiti jalan yang diperbaiki hanya mampu bertahan paling lama pun sebulan sebelum jalan tersebut kembali berlubang. Inilah kualiti jalan yang rakyat gelar sebagai Tampal Kurap.
Untuk pengetahuan Tuanku, JKR dan Kontraktor di Sabah sangat kebal daripada sebarang tindakan undang-undang, khususnya jika berlaku kemalangan maut yang disebabkan oleh permukaan Jalan. Kerja-kerja naik taraf jalan di negeri Sabah, tidak pernah menitikberatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. Apa yang penting bagi pemegang amanah di Sabah adalah, projek siap mengikut masa dan soal keselamatan rakyat bukan keutamaan Kerajaan, Agensi Kerajaan mahupun kontraktor.
Ampun Tuanku, untuk pengetahuan Tuanku, inilah negeri yang telah ditadbir oleh sebuah parti berpengkalan di Semenanjung Malaysia. Malah untuk tempoh hampir 30 tahun, pentadbiran kerajaan negeri adalah selari dengan Kerajaan Pusat. Namun apa yang menghairankan, Kerajaan Negeri yang selari dengan Kerajaan Pusat, tetap tidak mampu untuk menyediakan infrastruktur jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik yang sempurna untuk rakyatnya. Malah Ketua Menteri yang ada ketika ini juga berasal daripada Parti Politik yang suatu ketika dahulu Ketua Menterinya mentadbir negeri ini hampir 20 tahun tanpa diganggu gugat. Sedih buat rakyat jelata khususnya di Sabah, tiada sebarang pembangunan yang boleh dibanggakan.
Ampun Tuanku, untuk membanding kualiti jalan di Sabah dengan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Semenanjung Malaysia, ibarat langit dan bumi Tuanku. Projek Pan Borneo yang sering dibangga-banggakan oleh kerajaan terdahulu, hanya indah khabar dari rupa. Untuk pengetahuan Tuanku, projek ini telah tertangguh beberapa kali sejak kali pertama dirasmikan ekoran kecelaruan politik. Kelangsungan projek Pan Borneo banyak bergantung kepada faktor siapa yang menerajui tampuk kepimpinan semasa Kerajaan Negeri. Jika bertukar parti yang menerajui kepimpinan negeri, maka tertangguh lagilah Projek Pan Borneo demi untuk memastikan kontraktor yang dilantik adalah selari dengan kerajaan semasa.
Ampun Tuanku, bukan niat untuk mendoakan agar Tuanku melalui jalan yang seratus peratus sama dengan jalan yang dilalui oleh rakyat saban hari, cuma keinginan agar Tuanku dapat merasai setidak-tidaknya hampir sama dengan apa yang dilalui rakyat Sabah. Diakhirnya nanti, Tuanku boleh menilai seterusnya menegur pemimpin-pemimpin yang hanya sibuk mengkayakan diri dan kroni mereka berbanding memikirkan soal keselesaan dan keselamatan rakyat yang terpaksa melalui jalan berlubang dan tanpa lampu jalan.
Ampun Tuanku, besarla harapan seluruh rakyat yang memendam rasa terhadap ahli politik khususnya di Sabah, agar Tuanku dapat menegur pemimpin-pemimpin ini. Hanya Tuanku yang berkuasa menegur mereka, kerana rakyat akan hilang kuasanya selepas selesai PRN dan PRU. Suara rakyat tidak lagi dikatakan suara keramat ketika kuasa sudah diperoleh, maka hakikat itu terpaksa ditelan meskipun pahit.
Ampun Tuanku, rakyat akan melalui jalanraya yang telah dibaik pulih sepenuhnya selepas puluhan tahun gagal diselesaikan berkat Kembara Borneo Dirgahayu Tuanku. Itulah nikmat yang dapat dirasai oleh rakyat jelata hasil daripada keinginan dan kesudian Tuanku untuk merasai sendiri jalan yang diibaratkan 'Jalan Seperti Di Bulan'. Jalan yang dilalui Tuanku akan memberi manfaat kepada rakyat jelata untuk suatu tempoh yang tidak diketahui, dan selepas itu rakyat akan kembali dihantui dengan isu jalan berlubang dan tanpa lampu jalan menerangi sepanjang laluan.
Ampun Tuanku, akhir kata dari seluruh rakyat Sabah, keinginan Tuanku adalah nikmat bagi rakyat Sabah yang dambakan infrastruktur yang setaraf dan setanding dengan Semenanjung Malaysia sejak Sabah menyertai Malaysia pada 16 September 1963. Rakyat telah bosan dengan janji dan alasan yang diberikan kerajaan negeri, baik kerajaan terdahulu mahupun sekarang. Kerana kesudahannya, yang merasai peritnya adalah rakyat. Golongan kenamaan khususnya ahli politik, mampu menaiki kereta besar dan mewah mahupun menaiki kapal terbang, tapi rakyat hanya mampu menggunakan kenderaan kecil yang terpaksa diservis dan tukar tayar hampir setiap bulan. Kepada siapa lagi Rakyat hendak mengadu Tuanku?
Ampun Beribu Ampun Tuanku, maafkan Patik yang hina ini. Doa Patik dan selurus rakyat jelata khususnya di Sabah, agar perjalanan Tuanku serta rombongan sepanjang Kembara Borneo Dirgahayu Tuanku di Bumi Sabah dan Sarawak bermula 3 September 2023 ini dipermudahkan dan dilindungi Allah SWT.
Daulat Tuanku
0 Comments