hadith palsu

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-86: 
HADITH KELEBIHAN SOLAT SUNAT TARAWIH SETIAP MALAM [1]

Soalan:
Apakah status hadith kelebihan solat sunat tarawih setiap malam?

Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, kita dituntut untuk melaksanakan solat sunat Tarawih yang tidak ada dalam bulan-nulan yang lain secara berjemaah atau bersendirian. Hukum solat sunat tarawih adalah sunnah muakkad (sunat yang dituntut). Disebabkan itu, kita sering mendengar akan hadith-hadith berkaitan kelebihan solat sunat tarawih. Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cube menerangkan berkaitan status hadith ini.

Matan Hadith
Hadith berkaitan kelebihan solat tarawih setiap malam ini diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA:

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ditanya akan kelebihan solat tarawih dalam bulan Ramadhan, lalu dikatakan baginda SAW bersabda:

Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama: Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua: Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga: Para malaikat di bawah Arash menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat: Orang-orang yang mengerjakan solat tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima: Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjid al-Haram, Masjid al-Madinah dan Masjid al-Aqsa.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam: Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Bait al-Ma’mur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih  pada malam itu.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu dengan Nabi Musa AS serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan: Allah SWT mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim AS.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan: Allah SWT akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad SAW.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh: Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas: Dia meninggal dunia dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas: Dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya seperti bulan.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas: Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang kejahatan dan keburukan.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas: Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat tarawih serta Allah SWT tidak akan menghisab mereka.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas: Semua malaikat yang memikul Arash dan Kursi akan berselawat serta mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas: Allah SWT menuliskan baginya dalam kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas: Allah SWT menuliskan baginya pahala pada malam ini seperti pahala Nabi-Nabi.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas: Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah! sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas: Allah SWT akan meninggikan darjatnya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh: Allah SWT mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu: Allah SWT akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat daripada cahaya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua: Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang dukacita dan kesedihan pada hari tersebut.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga: Allah SWT akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat: Allah SWT akan memberinya dua puluh empat permintaan yang mustajab.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima: Allah SWT akan mengangkat seksa kubur daripadanya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam: Allah SWT akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat tarawih pada malam tersebut.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh: Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan: Allah SWT akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di syurga.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh Sembilan: Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh: Allah SWT akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam air yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama al-Kauthar.

Aku Tuhanmu dan engkau adalah hambaku”.

Sumber Hadith
Hadith ini terdapat di dalam kitab Durrah al-Nasihin pada halaman ke 19.

Hukum Hadith
Hadith ini adalah paslu lagi dusta di atas nama Nabi SAW dan juga sahabat baginda SAW iaitu Ali bin Thalib. Di samping itu, haram bagi kita menyebarkannya kepada orang lain. Ini kerana, telah jelas tanda-tanda atau ciri-ciri kepalsuan hadith tersebut seperti yang telah digariskan oleh para ulama’. Antara ciri-ciri hadith paslu adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Qayyim di dalam karyanya:

“Hadith palsu itu antara cirinya ialah padanya terdapat unsur berlebih-lebihan dalam menetapkan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah”. [Lihat: al-Manar al-Munif, 51]

Berdasarkan pernyataan Ibn Qayyim ini, kita dapat melihat di dalam hadith ini bahawa ganjaran yang ditetapkan bagi sesiapa yang melaksanakan solat tarawih padanya ciri tersebut iaitu berlebihan dalam penetapan ganjaran bagi amalan tersebut. Selain itu juga, hadith ini dikatakan bercampur dengan hadith-hadith yang lain.

Penutup

Kesimpulannya, hendaklah kita mengenalpasti akan kesahihan sesebuah hadith sebelum ia disebarkan kepada orang lain. Ini kerana, ancaman Nabi SAW terhadap orang yang berdusta di atas nama baginda SAW adalah amat berat iaitu neraka. Untuk menceritakan akan kelebihan kita berqiyam di malam Ramadhan, di sana terdapat sebuah hadith yang sahih sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RA di dalam kitabnya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ ، إيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan karena keimanan dan mengharapkan redha daripada Allah SWT, akan diampuni dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 36]

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melakukan amal dan ibadah kepada-Nya serta memelihara kita daripada melakukan pendustaan di atas nama Rasulullah SAW. Amin.


IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-370: 
TIDUR ORANG YANG BERPUASA ADALAH IBADAH [2]


Soalan: 
Apakah terdapat hadith yang menceritakan berkaitan tidur orang yang berpuasa adalah ibadah?

Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang masyhur dan ia sering ditimbul apabila tibanya bulan Ramadhan.

Daripada Abdullah bin Awfa RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ

Maksudnya: “Tidur seorang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya berganda.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3654)]

Hukum Hadith
Imam al-Baihaqi menyatakan di dalam sanad hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Ma’ruf bin Hassan dan juga Sulaiman bin ‘Amr al-Nakha’ie tetapi Sulaiman lebih dhaif berbanding Ma’ruf. [Lihat: Syu’ab al-Iman, 5/422] Selain itu, Imam al-‘Iraqi menyatakan Sulaiman al-Nakha’ie merupakan salah seorang pendusta. [Lihat: al-Mughni ‘An Haml al-Asfar, 1/182] Tambahan pula, Imam al-Suyuthi juga menilai hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 2:363]

Melihat kepada beberapa pandangan ulama di atas dalam menilai hadith di atas, kami cenderung kepada kedhaifan hadith ini kerana di dalam sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang dinilai dhaif oleh para ulama.

Walaupun begitu, tidur boleh menjadi ibadah apabila seseorang itu menetapkan di dalam hatinya bahawa dengan tidur tersebut untuk menjadikan dia kuat dalam beribadah kepada Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu dan lain-lain lagi. Justeru itu, tidur seseorang itu boleh menjadi ibadah bergantung kepada niatnya. Secara umumnya, tidur orang yang berpuasa adalah ibadah kerana dia tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa.

Adapun berkaitan, doa orang yang berpuasa adalah mustajab ada dinyatakan di dalam hadith yang lain iaitu:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ: دَعْوَةُ الصَّائِمِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab: Doa orang yang berpuasa, doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3323)][Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai hasan]

Di dalam riwayat yang lain pula, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَالإِمَامُ العَادِلُ، وَدَعْوَةُ المَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga doa yang tidak akan ditolak: Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan juga doa orang yang dizalimi.” [Riwayat al-Tirmizi (3598)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

Berdasarkan kepada dua hadith ini, para ulama melihat sunat bagi orang yang berpuasa untuk memperbanyakkan berdoa bermula daripada awal hari (bermula puasa) sehingga ke akhirnya.

Selain itu juga, sememangnya Allah SWT menggandakan pahala amalan bagi orang yang berpuasa. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ

Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.” [Riwayat Muslim (1151)]

Oleh itu, walaupun hadith tersebut dhaif tetapi terdapat hadith-hadith lain yang menyokong makna hadith tersebut. Ini menunjukkan orang yang berpuasa mempunyai banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT.

Penutup
Kesimpulannya, puasa merupakan salah satu ibadah yang istimewa kerana banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berpuasa ini. Di samping itu juga, bulan Ramadhan merupakan bulan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh mereka cinta kepada ibadah. Oleh itu, marilah kita jadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk kita mengumpul sebanyak mungkin kebaikan dan amal soleh untuk kita jadikan bekalan ketika bertemu dengan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang diampuni dosanya serta diterima setiap amalannya. Amin.

Wallahua’lam


HADIS PALSU: SUARA KUAT DI PERTENGAHAN BULAN RAMADAN [3]


Keistimewaan Ramadan seperti ganjaran pahala berlipat kali ganda dan keampunan Allah SWT yang terbuka luas, menjadikan bulan itu dinanti-nantikan umat Islam di seluruh dunia. Justeru, sangat rugi sekiranya ada yang tidak berusaha untuk merebut peluang terbuka dengan melipatgandakan dan mempelbagaikan bentuk amalan sepanjang Ramadan kelak. Namun begitu, saban tahun juga berlegar di media sosial berkaitan huru-hara akhir zaman yang terjadi pada pertengahan bulan Ramadhan yang bertepatan dengan hari Jumaat.

1. Sebelum membahaskan isu ini, perlu diingatkan kepada semua umat Islam, sesuatu hukum tidak boleh dibina kecuali berasaskan dalil yang kuat seperti al-Quran dan hadis. Berhubung dengan al-Quran memang tidak dinafikan yang ia sangat tepat dan mustahil berlakunya penipuan. Hadis Nabi SAW pula tidak boleh diambil dalam bab akidah dan hukum kecuali hadis yang diiktiraf sahih oleh ulama hadis. Ini bermakna hadis palsu tidak boleh dijadikan sandaran untuk penentuan sesuatu hukum.

2. Berkaitan dengan riwayat yang menjadi perbincangan kali ini, berikut kami nyatakan sanad dan matannya:

قَالَ نُعَيْمٌ بْنُ حَمَّادٍ : حَدَّثَنَا أَبُو عُمَرَ عَنِ ابْنِ لَهِيعَةَ قَالَ : حَدَّثَنِي عَبْدُ الْوَهَّابِ بْنُ حُسَيْنٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ ثَابِتٍ الْبُنَانِيِّ عَنْ أَبِيهِ عَنِ الْحَارِثِ الْهَمْدَانِيِّ عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إذا كانَتْ صَيْحَةٌ في رمضان فإنه تكون مَعْمَعَةٌ في شوال، وتميز القبائل في ذي القعدة، وتُسْفَكُ الدِّماءُ في ذي الحجة والمحرم.. قال: قلنا: وما الصيحة يا رسول الله؟ قال: هذه في النصف من رمضان ليلة الجمعة فتكون هدة توقظ النائم وتقعد القائم وتخرج العواتق من خدورهن في ليلة جمعة في سنة كثيرة الزلازل ، فإذا صَلَّيْتُمْ الفَجْرَ من يوم الجمعة فادخلوا بيوتكم، وأغلقوا أبوابكم، وسدوا كواكـم، ودَثِّرُوْا أَنْفُسَكُمْ، وَسُـدُّوْا آذَانَكُمْ إذا أَحْسَسْتُمْ بالصيحة فَخَرُّوْا للهِ سجدًا، وَقُوْلُوْا سُبْحَانَ اللهِ اْلقُدُّوْسِ، سُبْحَانَ اللهِ اْلقُدُّوْسِ ، ربنا القدوس فَمَنْ يَفْعَلُ ذَلك نَجَا، وَمَنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ هَلَكَ.
[Nu‘aim bin Hammad, Al-Fitan, I/228, No.638]

Maksudnya:
Nu‘aim ibn Hammad berkata: “Telah menceritakan kepada kami Abu ‘Umar, dari Ibn Lahi‘ah berkata: Telah menceritakan kepadaku ‘Abd al-Wahhab ibn Husain, dari Muhammad ibn Thabit Al-Bunani, dari ayahnya, dari Al-Harith Al-Hamdani, dari Ibn Mas‘ud RA, dari Nabi SAW bersabda: “Apabila telah muncul suara di bulan Ramadan, maka akan terjadi huru-hara di bulan Syawal, kabilah-kabilah saling bermusuhan di bulan Zulkaedah, dan berlaku pertumpahan darah di bulan Zulhijah dan Muharam”. Kami bertanya: “Suara apakah wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Suara kuat di pertengahan bulan Ramadan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras yang mengejutkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari biliknya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan solat Subuh pada hari Jumaat, maka masuklah ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintumu, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara pekikan, maka bersujudlah kepada Allah SWT dan ucapkanlah: “Maha Suci Allah Al-Quddus, Maha Suci Allah Al-Quddus, Tuhan kami Al-Quddus”, kerana barang siapa melakukan hal itu akan berjaya, dan barang siapa yang tidak melakukan perkara itu, nescaya akan binasa”.”

3. Hadis ini tarafnya adalah palsu. Pada sanadnya terdapat beberapa perawi hadis yang bermasalah sebagaimana dibincangkan oleh ulama hadis. Para perawi tersebut ialah sebagaimana berikut:

i. Nu‘aim ibn Hammad
Meskipun beliau termasuk Imam dan menjadi pembela Sunnah, tetapi tidak dapat dijadikan hujah apa yang diriwayatkannya kecuali jika disokong oleh riwayat lain. Al-Nasa’i berkata: “Dia tidak thiqah” (An-Nasa’i, Al-Du‘afa wa al-Matrukin, I/101, no.589). Imam Al-Dhahabi berkata tentangnya: “Tidak boleh bagi siapa pun berhujah dengannya, dan ia telah menyusun kitab Al-Fitan, dan menyebutkan di dalamnya keanehan-keanehan dan kemunkaran-kemunkaran” (Al-Siyar A’lam Al-Nubala’, X/609). Imam Al-Azdi mengatakan: “Dia termasuk orang yang memalsukan hadis dalam membela Sunnah, dan membuat kisah-kisah palsu tentang keburukan Al-Nu’man (Abu Hanifah), yang semuanya itu adalah dusta” (Mizan Al-I’tidal, IV/267). Bagaimanapun, pendapat yang lebih adil tentang beliau ialah pendapat al-Hafiz Ibn Hajar dalam Taqrib al-Tahzib iaitu: “Seorang yang benar, namun banyak kesilapan, seorang faqih lagi arif tentang ilmu faraid…, Ibn ‘Adi telah menyelidiki kesilapan-kesilapan yang dilakukannya. Menurut beliau, baki hadis-hadisnya yang lain adalah benar”.

ii. Abu ‘Umar
Nama beliau adalah Hammad ibn Waqid, yang digolongkan sebagai Daif. Imam al-Bukhari mengatakan bahawa beliau adalah munkar hadisnya (al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir, 3/28).

iii. Ibn Lahi‘ah
Al-Nasa’i berkata: “Dia seorang yang lemah” (Al-Du‘afa wa Al-Matrukin, I/64, no.346). Ibn Hajar Al-‘Asqalani berkata: “Dia mengalami kekeliruan di dalam hafazannya setelah kitab-kitab hadisnya terbakar” (Taqrib Al-Tahdhib, I/319 no.3563). Dalam ilmu hadis, ia digolongkan sebagai orang yang tidak kuat ingatan (dabit).

iv. Abdul Wahhab ibn Husain
Al-Hakim berkata: “Dia seorang perawi yang majhul” (Al-Mustadrak No. 8590).

v. Muhammad ibn Thabit Al-Bunani
Yahya ibn Ma‘in berkata: “Dia seorang perawi yang tidak ada apa-apanya” (Ibn ‘Adi, Al-Kamil Fi Du’afa Al-Rijal, VI/136 no.1638). Ibn Hibban berkata: “Tidak boleh berhujah dengannya, dan tidak boleh pula meriwayatkan darinya” (Al-Majruhin, Ibn Hibban, II/252, no.928). Imam Al-Azdi berkata: “Dia seorang yang gugur riwayatnya” (Ibn Hajar Al-‘Asqalani, Tahdhib Al-Tahdhib, IX/72, no.104).

vi. Al-Harits bin Abdullah Al-A’war Al-Hamdani.
Al-Nasa’i berkata: “Dia bukan seorang perawi yang kuat hafazannya” (Ibn ‘Adi, Al-Kamil Fi Du’afa Al-Rijal, II/186, no.370). Ibn Hajar Al-Asqalani berkata: “Imam Al-Sha‘bi telah mendustakan pendapat akalnya, dan dia juga dituduh menganut mazhab Syiah Rafidhah, dan di dalam hadisnya terdapat kelemahan” (Taqrib Al-Tahdhib, I/146, no.1029). Abu Hatim Al-Razi berkata: “Dia tidak dapat dijadikan hujah.” (Al-Dhahabi, Siyar A’lam Al-Nubala’, IV/152, no.54).

4. Terdapat hadis lain seperti hadis Ibn Mas‘ud RA ini, daripada hadis Fairuz ad-Dailami RA. Namun, hadis ini juga sanadnya turut bermasalah sehingga dinilai palsu atau munkar oleh ramai pengkritik hadis. Berikut dinukilkan beberapa pandangan ulama berkaitan hadis tersebut. Imam Ibn al-Jawzi merekodkannya sebagai hadis palsu di dlm kitab al-Mawdu‘at, katanya: “Tidak sahih”. Penilaian ini turut diperakui oleh as-Suyuti dlm al-La’ali’ al-Masnu‘ah. Kata az-Zahabi dlm Talkhis al-Mawdu‘at: “Batil”. Menurut al-Juzaqani dlm al-Abatil wa al-Manakir: “Hadis munkar”. Kata al-Haithami dlm Majma‘ al-Zawa’id: “Terdapat padanya ‘Abd al-Wahhab bin ad-Dhahhak seorg yg matruk”.

5. Oleh sebab itu, hadis-hadis ini tidak dapat dijadikan sebagai hujah. Apatah lagi hadis ini berkaitan dengan perkara ghaib yang tidak diketahui oleh siapa pun. Dalam permasalahan ghaib, kita tidak boleh menggunakan hadis yang bermasalah sebagai dalil, kecuali jika ia sekadar berkaitan dengan bab targhib wa tarhib (galakan dan ancaman). Selain itu, realiti kehidupan pun turut sama membuktikannya. Sebagaimana diketahui, telah berlalu tahun-tahun yang lepas dan telah berulang kali kita berada pada hari Jumaat yang bertepatan dengan tarikh lima belas Ramadan, namun hakikatnya tidak pernah terjadi sebagaimana maklumat yang terkandung di dalam riwayat di atas.

6. Hadis palsu sebegini tidak boleh disebarluaskan, kerana telah menyandarkan suatu perkara yang tidak tepat kepada Rasulullah SAW. Para ulama menyatakan bahawa tidak dibolehkan atau haram bagi kita meriwayatkan hadis palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya.

7. Menjadi kewajipan kita semua untuk mengenal pasti sumber dan status, hukum sesebuah hadis sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampaikan atau menyebarkannya. Ini kerana, bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadis tersebut, akan menyebabkan kita termasuk ke dalam ancaman Nabi SAW: “Barang siapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka sediakan tempat duduknya di neraka”. (HR al-Bukhari dan Muslim, no. 3).

Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini dan juga daripada penyelewengan golongan-golongan yang ingin menghancurkan Islam.

Wallahu a‘lam bis-sawab.

Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)


Sumber: