Perbincangan mengenai kedudukan Sabah dalam Malaysia dan rentetan sejarah pembentukan Malaysia semakin hangat dibahaskan sejak akhir akhir ini. Secara peribadi saya berpendapat perbincangan mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan kedudukan dan hak Sabah dalam persekutuan perlu diteruskan dan dibincang secara sihat.

Namun untuk kita merungkai isu ini dan seterusnya mencari penyelesaian yang mampan, kita perlu mengambil perhatian terhadap beberapa perkara.

Pertamanya, jangan politikkan perbincangan isu kedudukan Sabah dalam Malaysia ini untuk kepentingan politik semata. Jika ia dipolitikkan, sudah tentu orang-orang politik akan terpaksa menjaga kepentingan politik parti masing-masing dari berbincang untuk mencari penyelesaian.

Pemimpin pembangkang akan menuduh kerajaan dan pemimpin kerajaan akan mengkritik orang pembangkang. Bila ini berlaku, perbincangan tidak lagi rasional kerana semuanya akan dipolitikkan. Akhirnya, tujuan asal kita untuk mencari penyelesaian tidak kesampaian kerana kita asyik memainkan sentimen kepartian.

Keduanya, jangan label orang yang mempunyai pandangan berbeza atau interpretasi sejarah berlainan dari kita sebagai penderhaka, penipu atau macai.
Kita kena ingat bahawa sesuatu peristiwa sejarah itu tidak semestinya dilihat dari kanta yang sama. Setiap individu mempunyai persepsinya sendiri berdasarkan dari mana dia datang, latar belakang sosio-ekonomi dan pengalaman kehidupannya. Cara setiap individu menganalisa setiap peristiwa sejarah sudah tentu berbeza.

Ketiganya, jangan menganalisa peristiwa yang berlaku di era tahun 60an berdasarkan perspektif kita di tahun 2017. Kita tidak boleh menghukum keputusan dan tindakan yang dibuat oleh pemimpin kita semasa proses pembentukan Malaysia hanya kerana kita merasakan tindakan dan keputusan mereka itu tidak lagi relevan pada tahun 2017.

Siapa kita untuk mengadili keputusan mereka hanya kerana mereka mempunyai keutamaan yang berbeza pada waktu itu?

Dapatkah kita merasai kekhuatiran mereka atau kegelisahan mereka pada waktu itu? Isu remeh pada kita tahun 2017 kerana kita sudah maju dan berjaya, mungkin besar dan amat penting pada mereka di tahun 60an. Siapa kita untuk mengatakan mereka buat kesilapan?

Mungkin isu tuntutan Filipina terhadap Sabah, keagresifan tindakan konfrontasi Indonesia dan ancaman komunisme menjadi keutamaan kepada mereka pada waktu itu sehinggakan mereka membuat keputusan sedemikian rupa. Banyak faktor yang harus dipertimbangkan oleh pemimpin terdahulu sebelum keputusan untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia itu dibuat.

Walaupun pemimpin kita tidak berpendidikan tinggi pada waktu itu, saya percaya bahawa mereka patriotik terhadap negeri mereka atau mereka menjiwai kepentingan Sabah. Menyukarkan lagi keadaan ialah bila pemimpin-pemimpin lama kita itu sudah meninggal dunia dan tidak lagi bersama kita untuk memberi perspektif mereka dan diajukan soalan.
Keempatnya, perbincangan mengenai sejarah Sabah dalam pembentukan Malaysia tidak boleh didominasi oleh orang politik semata-mata.

Perbincangan ini perlu juga dijuarai oleh pakar sejarah, ahli akademik, pakar perlembagaan, NGO dan orang ramai. Bila ianya hanya dibincang oleh orang politik, percayalah, akhirnya ianya akan menjadi gelanggang percakaran politik. Semua pihak akan rugi. Isu ini kompleks dan perlu dibincang dengan penuh tanggungjawab melalui penilaian fakta dan keperluan untuk terus maju kehadapan. Debat terbuka yang tidak dimediasi dengan baik hanya akan menimbulkan pelbagai reaksi dan interpretasi yang boleh menyulitkan proses perundingan ke arah mencari jalan penyelesaian.

Intimidasi tidak akan menghasilkan solusi. Kita perlu pemikiran yang terlatih dari aspek sejarah dan perlembagaan untuk membincangkan isu ini secara ilmiah dan bukan interpretasi politik.

Saya ucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Panglima Anifah Aman yang mengumpulkan ramai pakar berbagai bidang tersebut dalam satu forum yang dinamakan My Sabah Forum. Beliau sendiri hadir bukan sebagai menteri kabinet persekutuan tetapi sebagai seorang rakyat Sabah biasa.

Begitu juga saya ucapkan terima kasih kepada sebuah NGO bernama SEEDS (Society Empowerment and Economic Development of Sabah) yang menganjurkan program dan forum tanpa ada elemen kepentingan politik.

Kelimanya, sementara kita membincangkan soal sejarah dan kedudukan Sabah dalam Malaysia, kita tidak boleh lupakan bahawa masa depan negeri Sabah juga penting untuk kita fikirkan.

Sementara kita wajib memikirkan isu sejarah, kita perlu juga memastikan bahawa Sabah terus mendapat perhatian khusus kerajaan persekutuan dalam pengagihan pembangunan negara. Kita perlu pastikan Sabah tidak ketinggalan dalam pembangunan dalam kesibukan kita membincangkan soal sejarah Malaysia.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi, saya komited untuk memberikan yang terbaik kepada pembangunan negeri tanah tumpah darahku, Sabah. Saya pastikan Sabah terus mendapat peruntukan pembangunan besar.

Itu pun sudah menjadi dasar YAB Dato Sri Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri kita yang terbukti memberikan Sabah peratusan bajet pembangunan yang tinggi di antara negeri-negeri di Malaysia secara konsisten.

Saya juga ingin pastikan pelaksanaan polisi berkaitan kedudukan Sabah dalam Malaysia dan hak-hak yang diberikan kepadanya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan dengan lebih efisien demi kepentingan rakyat Sabah. Saya pasti pandangan ini juga adalah pandangan YAB Tan Sri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah dan kabinet negerinya.

Kita tidak mahu tercicir lagi hanya kerana kita sibuk dengan isu lain. Kita tidak mahu jadi jaguh kampung sahaja sedangkan cabaran kita ialah bagaimana mahu menjadi jaguh dunia. Dunia semakin mengecil dan perhubungan manusia dan dagangan semakin dekat.
Isu Sabah dalam Malaysia penting tetapi isu “survival” kita dalam konteks dunia juga sama penting. Mengupayakan diri dengan ilmu, berdisiplin, berdikari dan sentiasa berusaha dan tidak putus asa serta mengambil segala peluang yang disediakan oleh kerajaan perlu ada dalam kehidupan kita, seiring dengan keinginan kita untuk mencari penyelesaian isu Sabah dalam Malaysia.

Akhir kata, kepentingan sejarah tidak boleh dipertikaikan. Usaha untuk memberi pengertian yang betul dan munasabah terhadap isu-isu Sabah dalam pembentukan Malaysian perlu diteruskan agar kita memahami apa sebenarnya yang berlaku pada waktu itu.

Namun semua perbincangan perlu dibuat secara berhemah dan tidak berkonfrontasi agar satu jalan penyelesaian dapat dicari. Penyelesaian mungkin akan memakan masa untuk di capai tetapi itu tidak bermakna kita gagal dalam usaha kita.

Dipetik 
Abdul Rahman Dahlan (FB)

Ahli Parlimen Kota Belud
Menteri di JPM.
Unit Perancang Ekonomi.